Thursday, July 30, 2009

Hidup tiada masalah!

Islam adalah agama yang diturunkan oleh Allah sebagai rahmat untuk makhluk seluruh alam. Alam maya yang amat indah dan lengkap ini akan menjadi aman harmoni jika ianya diurus tadbir dengan mengukut panduan yang Allah sediakan. Allah telah mengutus nabi Muhammad sebagai perintis untuk membimbing manusia agar dapat mencapai kebahagiaan hidup di dunia dan akhirat: Panduan Allah:


وما أرسلناك إلا رحمة للعالمين

Tidaklah aku mengutuskan kamu (Muhammad) melainkan untuk membawa rahmat keseluruh alam

Islam adalah merupakan agama yang membawa penyelesaian kepada masalah manusia. Masalah yang timbul ialah kerana berlakunya pelanggaran kepada ketetapan yang Allah Taala tetapkan. Apabila manusia mengenepikan panduan Allah pastinya akan timbul masalah yang tidak mudah untuk diselesaikan.

Allah juga berpesan apabila manusia berselisih pendapat dan pandangan hendaklah kembali merujuk kepada panduan Allah.

وإن تنازعتم في شيء فردوه إلى الله والرسول

Apabila kamu berselisih pandangan dalam sesuatu perkara hendaklah kamu rujuk kepada Allah dan Rasulnya.


Apa yang menjadi masalah hari ini ialah Islam tidak dilihat dapat menyelesaikan masalah manusia. Bahkan pejuang-pejuang agama sendiri gagal menonjolkan sifat atau sifat menyelesaikan masalah. Mungkin ini berlaku kerana masih kurangnya ilmu dan penghayatan syariah Islam itu sendiri.


Kita lebih banyak mengeluh, berkonfrontasi, menghindarkan diri apabila berlaku sesuatu masalah atau pelanggaran kepada hukum syariat. Kita amat jarang berfikir untuk mengeluarkan umat Islam dari membelenggu masalah yang melanda.

Sebagai contoh pejuang-pejuang islam kita amat lantang apabila berbicara tentang masalah keruntuhan akhlak dan moral. Kesalahan demi kesalahan diletakkan diatas bahu orang-orang tertentu. Tetapi kita jarang berfikir tentang punca timbulnya masalah ini dan cuba menutup punca berlaku kebejatan masalah sosial. Apa yang mampu kita buat hanya memberi pesanan dan pengajaran di masjid-masjid dan surau-surau. Kenapa kita tidak membuat penelitian dan kajian seterusnya merancang sesuatu usaha agar ianya terus kepada golongan sasaran.


Insya Allah marilah kita sama-sama berusaha untuk berfikir dan merancang demi membebaskan umat Islam dari pelbagai masalah yang melingkari kita semua. Pesan Rasulullah:

من فرج كربة أخيه المسلم فرج الله عليه كربه من كرب يوم القيامه

ٍSesiapa yang menyelesaikan masalah saudaranya seislam Allah akan selesaikan masalahnya dari sebarang permasalahan hari kiamat.

No comments: