Wednesday, July 22, 2009

Namakan nama anak anda LUT!

Semalam ada dua panggilan bertanyakan makna nama-nama untuk diberikan kapada anak kesayangan yang telah dianugerahkan Allah. Alhamdulillah semakin ramai yang sudah mengambil berat tentang makna nama anak-anak agar ianya membawa maksud yang baik.

Islam telah memberi panduan dalam memilih nama anak kerana di akhirat nanti setiap orang akan diseru dengan nama yang telah diberikan kepadanya. Bagi mereka yang telah dinamakan dengan nama yang baik oleh ibubapa, mereka akan gembira dan begitulah sebaliknya jika nama mereka tidak mempunyai maksud yang baik.


Hadis yang diriwayatkan oleh Abu Daud, Ibnu Hibban, Ad Daarimi dan Ahmad menyebut:

" إنكم تدعون يوم القيامة بأسمائكم وأسماء آبائكم، فحسنوا أسماءكم ".

Kamu akan diseru pada hari kiamat nanti dengan nama-nama kamu dan nama bapa-bapa kamu. Jadi perelokkanlah nama-nama kamu


Nama yang paling di sukai oleh Rasulullah ialah Abdullah dan Abdur Rahman. Alangkah baiknya nama yang menggunakan Asmaul husna yang digabungkan dengan Abdul di hadapannya.


Sebagai seorang muslim yang hatinya terpaut dan kasih kepada Allah dan rasulnya akan mengikut panduan yang di sebut oleh Rasulullah ini. Konsepnya ialah nama yang dipilih untuk anak-anak kita yang merupakan permata hati anugerah Allah adalah nama-nama yang baik pada maknanya dan tidak janggal pada bunyi sehingga menjadi bahan ketawa. Biarlah nama yang diberi menunjukkan bahawa ada mempunyai identiti islam seperti mengambil nama malaikat, nama syurga, para nabi, sahabat-sahabat, tokoh-tokoh islam dan lain-lain nama yang bernuansa islam. Apabila menyebut namanya mengingatkan kita Allah Allah dan Islam.


Apa yang berlaku sekarang ialah ramai dikalangan kita mementingkan keindahan sebutan nama bukannya pada makna. Dicarinya nama-nama yang cantik pada pandangannya barulah ditanya akan maknanya. Kita sebagai yang tahu sedikit sebanyak bahasa arab sampai pening-pening lalat untuk mencari kata akar agar dapat disuaikan dengan makna yang agak baik.


Apa salahnya kita cari nama yang mudah dan senang. Nama nabi-nabi dan sahabat-sahabat kenapa tidak menjadi pilihan? Ramai diantara kita yang bersemangat Islam tetapi agak segan untuk memberi nama anak Ayub, Ibrahim, Nuh, Ismail. Jauh sekali nak menamakan anak mereka Lut dan. Hud. Kita mengaku nabi nabi adalah orang yang soleh yang patut menjadi ikutan tetapi kita tidak gemar anak kita bernama sebagaimana nabi. Dari aspek nama pun kita sudah tidak mahu persamaannya mana mungkin sikap si anak akan mengikut sifat-sifat nabi?


Saya sendiri lebih gemar meletak nama anak saya sempena nama-nama sahabat-sahabat yang telah berjasa kepada Islam dan juga memilih nama-nama yang mempunyai makna yang amat baik agar kehidupan mereka sebaik namanya dan di akhirat nanti mereka berbangga dengan kehebatan nama merka. Saya juga memilih nama-nama yang ringkas dan pendek agar mudah disebut dan mudah diingati. Tak ada guna meletak nama yang panjang tetapi diseru dengan paling ringkas. Tak terfikirkah kita bahawa nama yang panjang itu amat menyusahkan. Ianya menyusahkan anak kita semasa di sekolah rendah mengisi nama di kertas dan borang. Menyusahkan pihak hospital, pihak sekolah dan lain-lain lagi. Mambazir ruang di kertas-kertas untuk ditulis nama dan mungkin menimbulkan masalah kepada pemgantin lelaki semasa akad!. Konsep Islam adalah Mudah dan elakkan perkara yang menyusahkan.


Nama-nama anak saya ialah:

  1. Aishah – sempena nama isteri Rasulullah
  2. Muaz – Sempena nama panglima perang dan ulamak perawi hadis
  3. Ziad – nama sahabat dan perawi hadis
  4. Aufa – Diambil dari al quran. Paling sesuai, paling tepat
  5. Alya – ketinggian, kemuliaan
  6. Uwais – nama seorang wali Allah yang disebut Rasulullah dalam hadis
  7. Arwa – Nama ibu saudara dan sepupu Rasulullah. Pemberi minum. Paling menghilangkan dahaga.

Ringkas dan padat…Insya Allah berkat.

No comments: