Tuesday, July 28, 2009

Bakarlah jari anda!


Kuliah maghrib malam tadi di Surau Ar Rafiq berkisar tentang kesan keimanan kepada Allah dan hari Akhirat dalam kehidupan. Kehidupan manusia di atas muka bumi ini adalah berjalan bergantung kepada aqidah manusia. Apakah yang manusia percaya, itulah yang akan memperngaruhi perjalanan kehidupan kita.

Andainya kita percaya bahawa duit amat perlu bagi menjamin kebahagian dan kelangsungan hidup maka kita akan berusaha sedaya upaya untuk mendapatkan duit sebanyak mungkin dan sanggup mengenepikan segala rehat dan keseronokan lain demi mengejar punca kebahagiaan dan kelansungan hidup tadi. Semua aktiviti dan geri laku harian, samaada berbentuk fizikal, lisan atau pemikiran semuanya menjurus kepada duit.

Begitu jugalah jika kita beriman dan yakin dengan Allah dan wujudnya hari akhirat. Ianya juga akan mempengaruhi kehidupan kita seharian. Keimanan ini adalah merupakan sebagai enjin untuk menggerakan kehidupan kita.

Dua perkara yang akan mempengaruhi kehidupan kita: - Keyaikan kepada Allah - Keyakinan kepada wujudnya audit dan pembalasan di akhirat nanti

Peringatan Allah dalam surah Yunus ayat 61:

وَمَا تَكُونُ فِي شَأْنٍ وَمَا تَتْلُوا مِنْهُ مِنْ قُرْآنٍ وَلا تَعْمَلُونَ مِنْ عَمَلٍ إِلا كُنَّا عَلَيْكُمْ شُهُودًا إِذْ تُفِيضُونَ فِيهِ وَمَا يَعْزُبُ عَنْ رَبِّكَ مِنْ مِثْقَالِ ذَرَّةٍ فِي الأَرْضِ وَلا فِي السَّمَاءِ وَلا أَصْغَرَ مِنْ ذَلِكَ وَلا أَكْبَرَ إِلا فِي كِتَابٍ مُبِينٍ
Kamu tidak berada dalam suatu keadaan dan tidak membaca suatu ayat dari Al Quran dan kamu tidak mengerjakan suatu pekerjaan, melainkan kami menjadi saksi atasmu di waktu kamu melakukannya. tidak luput dari pengetahuan Tuhanmu biarpun sebesar zarrah (atom) di bumi ataupun di langit. tidak ada yang lebih kecil dan tidak (pula) yang lebih besar dari itu, melainkan (semua tercatat) dalam Kitab yang nyata (Lauh mahfuzh).

Setiap orang beriman mesti meyakini bahawa segala aktivitinya akan diaudit oleh Allah di Akhirat nanti. Seterusnya akan diberi ganjaran yang setimpal baik atau buruk. Setiap apa yang dilakukan ketika hidup di atas muka bumi ini tidak akan luput begitu sahaja bahkan akan di redok oleh pencatat elektronik Allah taala yang akan merekodkan segala perkara kecil dan juga besar.

Allah mengingatkan kita di dalam Surah Qaf ayat 17-18:

إِذْ يَتَلَقَّى الْمُتَلَقِّيَانِ عَنْ الْيَمِينِ وَعَنْ الشِّمَالِ قَعِيدٌ * مَا يَلْفِظُ مِنْ قَوْلٍ إِلا لَدَيْهِ رَقِيبٌ عَتِيدٌ
ketika dua orang malaikat mencatat amal perbuatannya, seorang duduk di sebelah kanan dan yang lain duduk di sebelah kiri. Tiada suatu ucapanpun yang diucapkannya melainkan ada di dekatnya malaikat Pengawas yang selalu hadir.


Dan peringatan Allah juga dalam Surah al Infitor ayat 10-12:

وَإِنَّ عَلَيْكُمْ لَحَافِظِينَ * كِرَامًا كَاتِبِينَ * يَعْلَمُونَ مَا تَفْعَلُونَ
Padahal Sesungguhnya bagi kamu ada (Malaikat-malaikat) yang Mengawasi (pekerjaanmu),Yang mulia (di sisi Allah) dan mencatat (pekerjaan-pekerjaanmu itu), Mereka mengetahui apa yang kamu kerjakan.

Ya. Dengan meyakini bahawa Allah telah menugaskan dua malaikat mendampingi kita setiap detik dan ketikan mencatit apa saja aktiviti kita akan menjadikan kita lebih berhati-hati dalam segala perilaku kita seharian samaada fizikal, mental atau lisan.

Masalahnya ialah kita sudah begitu baik, beristiqamah datang kemasjid setiap hari ini pun banyak tidak merasa kehadiran malaikat Raqib dan Atid ini. Cuba renungkan pernahkah kita rasainya?
Aktiviti-aktiviti yang dicatat oleh Raqib dan Atid tadi akan dijaga dengan rapi dan sekali-kali ia tidak akan hilang atau luput. Ianya akan dibentangkan kepada tuannya di Akhirat nanti. Peringatan Allah dalam surah al Isra’ ayat 13 -14:

وَكُلَّ إِنسَانٍ أَلْزَمْنَاهُ طَائِرَهُ فِي عُنُقِهِ وَنُخْرِجُ لَهُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ كِتَابًا يَلْقَاهُ مَنشُورًا * اقْرَأْ كِتَابَكَ كَفَى بِنَفْسِكَ الْيَوْمَ عَلَيْكَ حَسِيبًا
Dan tiap-tiap manusia itu Telah kami tetapkan amal perbuatannya (sebagaimana tetapnya kalung) pada lehernya. dan kami keluarkan baginya pada hari kiamat sebuah Kitab yang dijumpainya terbuka. "Bacalah kitabmu, cukuplah dirimu sendiri pada waktu Ini sebagai penghisab terhadapmu".

Allah mengandaikan bahawa rekod-rekod catatan amalan manusia digantung dileher mereka sahaja ibarat pendrive di zaman ini dan apa diperlukan ianya dibentangkan kepada kita di akan diminta oleh Allah untuk kita sendir membaca catatan tersebut. Tidaklah menjadi satu pekara yang pelik memandagkan pendrive yang ada sekarang pun boleh mengisi amat banyak data dan kalau ianya berbentuk teks yang boleh dicetak ianya melebihi jutaan muka surat!

Apa sahaja yang kita anggap remeh-temeh di dunia ini akan dianggap besar di sisi Allah di Akhirat nanti. Allah akan menyebut apa yang telah kita lupa sedangkan kita telah lakukannya. Allah mengingatkan kita tentang hal ini di dalam surah al Kahf ayat 49:

وَوُضِعَ الْكِتَابُ فَتَرَى الْمُجْرِمِينَ مُشْفِقِينَ مِمَّا فِيهِ وَيَقُولُونَ يَا وَيْلَتَنَا مَالِ هَذَا الْكِتَابِ لا يُغَادِرُ صَغِيرَةً وَلا كَبِيرَةً إِلا أَحْصَاهَا وَوَجَدُوا مَا عَمِلُوا حَاضِرًا وَلا يَظْلِمُ رَبُّكَ أَحَدًا
Dan diletakkanlah buku catatan amalan, lalu kamu akan melihat orang-orang bersalah ketakutan terhadap apa yang (tertulis) di dalamnya, dan mereka berkata: "Aduhai celaka kami, Kitab apakah Ini yang tidak meninggalkan yang kecil dan tidak (pula) yang besar, melainkan ia mencatat semuanya; dan mereka dapati apa yang Telah mereka kerjakan ada (tertulis). dan Tuhanmu tidak menganiaya seorang juapun".

Setiap aktiviti yang telah di rekodkan tadi akan ditimbang oleh Allah dengan alat timbangan khas yang telah disediakan oleh Allah taala untuk melihat yang mana lebih banyak samaada aktiviti baik atau buruk dan alat timbangan Allah amat canggih boleh menimbang sekecil-kecil amalan!

Peringatan Allah dalam surah al A’raf ayat 8-9:

وَالْوَزْنُ يَوْمَئِذٍ الْحَقُّ فَمَنْ ثَقُلَتْ مَوَازِينُهُ فَأُوْلَئِكَ هُمْ الْمُفْلِحُونَ * وَمَنْ خَفَّتْ مَوَازِينُهُ فَأُوْلَئِكَ الَّذِينَ خَسِرُوا أَنفُسَهُمْ بِمَا كَانُوا بِآيَاتِنَا يَظْلِمُونَ
Timbangan pada hari itu ialah kebenaran (keadilan), Maka barangsiapa berat timbangan kebaikannya, Maka mereka Itulah orang-orang yang beruntung. Dan siapa yang ringan timbangan kebaikannya, Maka Itulah orang-orang yang merugikan dirinya sendiri, disebabkan mereka selalu mengingkari ayat-ayat kami.

Ya. Allah maha kuasa lagi maha adil. Allah melakukan segalanya dengan adil. Kalaulah di dalam kehidupan kita banyak aktiviti baik yang dilakukan ikhlas kerana Allah insya Allah akan dapat dilihat di akhirat nanti. Apa yang di bimbangi ialah yang memberatkan timbangan kita ialah aktiviti buruk. Minta dijauhkan oleh Allah.

Apabila kesedaran kita tentang kekuasaan Allah dan apa yang akan dihadapi di akhirat nanti, secara tidak langsung akan mempengaruhi kehidupan kita seharian. Kita akan merasai bahawa Allah sentiasa mengawasi kita seterusnya kita akan memastikan bahawa semua gerak laku kita selaras dengan kehendak Allah. Kita akan sentiasa berfikir tentang akibat perbuatan kita di akhirat nanti. Cara ini secara tidak langsung akan mengawal diri kita dari melakukan perkara yang tidak sepatutnya.
Mari kita lihat bagaimana para ulamak dahulu mendidik diri menghayati hari akhirat dan hari pembalasan.

Ibrahim At Timi: Aku akan membayangkan aku berada dalam syurga sedang memakan buah-buahannya, sedang mengirup air dari sungainya, memeluk bidadari yang amat cantik. Kemudian aku bayangkan aku dimasukkan ke dalam neraka, sedang memakan buah zaqqum, minum air nanah dan darah, aku di seret dan diikat dengan rantai-rantai. Kemudian aku mengatakan kepada diriku “mana satu yang kamu inginkan?

Al Ahnaf bin Qais pula mempunyai cara tersendiri untuk mengingatkan dirinya pada azab neraka Allah. Dia akan mengambil pelita dan diletakkan jarinya sehingga dia merasai sakit kerana melecur. Kemudia dia akan berkata kepada dirinya: wahai Ahnaf! Apa yang menyebabkan kamu buat begitu pada hari itu (dosa) inilah balasan kamu akan hadapi..

Ibn Sammah pula sentiasa menghitung dirinya dengan dosa-dosanya. Satu hari dia mengira umurnya yang sudah mencecah 60 tahun dan amat terkejut bahawa hari yang dia telah lalui ialah sebanyak 21500 hari!. Dia menjerit : Celakalah aku! Bagaimana aku akan bertemu dengan Allah dengan 21500 dosa? Bagaimana kalu aku telah lakukan dosa 10 ribu sehari??

Kita pilihlah cara yang mana sebaiknya untuk kita mendidik jiwa dan nafsu kita agar setiasa takut dan gerun kepada Allah taala. Ingatlah tidak akan ada seorang pun akan terlepas dari bertemu dengan Allah di akhirat nanti.. Buat lah sesuatu!!

No comments: