Sunday, March 13, 2011

Mudahnya Punca Hidayah Allah...

Pengalaman saya terlibat dengan muallaf ini banyak menginsafkan saya tentang punca hidayah Allah untuk diberi kepada sesiapa yang dia pilih. Mungkin ada yang mengatakan bahawa seseorang itu tidak mampu berdakwah bercerita tentang Islam kepada bukan Islam jika tidak berilmu apatah lagi mencetuskan punca hidayah agar mereka menerima Islam. Saya banyak bertanya tentang punca hidayah ini kepada mereka yang telah terbuka hati memilih agama Islam sebagai cara hidup yang baru dengan meninggalkan agama yang lama walaupun mendapat pelbagai tentangan dari banyak pihak.

Jawapan seorang gadis Kadazan:

“Saya meminati Islam semenjak kecil lagi. Ketika saya belajar dalam darjah dua, saya mempunyai seorang kawan Islam yang rapat. Kami makan sama-sama di kantin. Setiap kali hendak makan dia akan baca doa. Saya tertarik dan bertanya apa yang dia baca sebelum makan sebab saya tak faham apa yang dibaca. Kawan saya memberitahu bahawa orang Islam diajar untuk berdoa kepada tuhan setiap kali sebelum makan akan diberkati rezeki dan kehidupan dan diminta jauh dari azab neraka. Semenjak hari itu hati kecil saya mengatakan inilah agama yang sebenar. Tetapi sejak akhir-akhir ini baru saya ada kekuatan dan semangat yang kuat untuk memeluk Islam setelah kawan-kawan sekelas saya di tingkatan enam memberi galakan dan dorongan. Alhamdulillah sekarang saya rasa tenang dengan agama Islam”.

Jawapan pekerja swasta (Cina):

“Walaupun saya memeluk Islam agak lewat pada usia saya 34 tahun setelah berkeluarga dan memiliki anak. Sebenarnya punca hidayah yang sebenarnya hati saya mula tertarik dengan agama Islam ketika saya masih di sekolah menengah lagi. Ketika berada di tingkatan 4 saya bersekolah di sekolah menengah aliran perdana dan bukannya sekolah Cina. Saya berkawan dengan kawan-kawan Islam tetapi tiada seorang pun yang pernah bercerita tentang Islam pada saya. Saya amat meminati bola sepak dan saya adalah antara pemain bola sekolah. Saya dilatih oleh seorang guru yang saya amat hormati perwatakannya. Apa yang menarik perhatian saya ialah ketika kami menjalankan latihan bola sepak pada waktu petang, guru itu akan memberhentikan latihan bila azan asar berkumandang. Guru itu mengarahkan semua pelajar Islam berhenti bermain dan sembahyang berjemaah di surau sekolah. Tinggallah saya seorang diri di padang menanti mereka semua selesai sembahyang untuk menyambung kembali latihan. Keadaan ini berlaku setiap kali kami melakukan latihan pada waktu petang dan jika ada perlawanan pun ditempat lain jika ia melibatkan waktu solat zohor atau asar guru tersebut tersebut akan mengarahkan kami semua berhenti sekejap untuk solat sebelum memulakan permainan. Hati saya berbisik apa yang hebat pada tuhan orang Islam sehinggakan mereka sanggup meninggalkan permainan yang amat menyeronokkan ini semata-mata hendak mengadap tuhan mereka. Semenjak hari itu saya mencari jawapan dengan membaca buku-buku tentang Islam sehingga hari ini baru saya ada kekuatan untuk melakukan perubahan dalam hidup saya”

Jawapan seorang pekerja Kilang (India):

“saya mimpi melihat orang sembahyang. Minggu ini hampir setiap malam saya mimpi tengok orang Islam sembahyang. Dulu semasa saya muda-muda dulu, masa belum kawin saya bekerja sebagai tukang tarik kereta. Saya ada seorang kawan melayu yang baik. Dia ini kalau kami jalan-jalan cari kereta dia selalu singgah kat surau atau masjid untuk sembahyang. Jadi saya selalu tunggu dia dalam kereta lah. Tapi ada satu hari tu saya keluar kereta saya mahu tengok bagaimana cara orang Islam sembahyang. Saya tengok mereka ramai-ramai dalam barisan mengadap kehadapan saja tiada apa-apa saya tengok. Mereka gerak sama-sama sampai habis. Tak sama dengan agama saya yang boleh pilih mana-mana patung yang ada kat kuil tu ikut kita suka dan sembahyang sendiri-sendiri saja. Sudah lama saya fikir kenapa tuhan agama kami banyak dan boleh pilih-pilih mana yang kami suka untuk minta apa-apa. Saya tanya kawan saya tu bagaimana tuhan orang Islam. Dia jawab tak tau dan semua orang tak tau rupa dia tetapi dia hebat boleh tengok semua orang, boleh dengar semua orang dan tahu semua apa yang manusia buat, tak boleh tipu. Nanti kalau mati nanti lepas kiamat, hidup balik ada balasan baik dan buruk. Ada syurga dan neraka. Dari hari itu, hati saya tidak senang lagi dengan agama saya. Tapi saya masih pergi kuil dan sembahyang macam biasa. Tapi sekarang sudah ada bini dan anak ramai minggu ini saya mimpi tengok orang Islam sembahyang. Bini saya pun ada mimpi jugak. Jadi kami sekeluarga pun buat keputusan masuk Islam. Mak saya pun ikut sekali. Sekarang hati saya senang walaupun ramai ahli keluarga saya marah tapi saya yakin saya akan selamat di akhirat nanti”

Apa yang kita dapat simpulkan disini ialah amalan yang dilakukan dengan ikhlas dan istiqamah mempunyai cahaya dan aura tersendiri yang boleh memancarkan hidayah kepada insan lain tanpa perlu mengeluarkan apa-apa perkataan. Bagaimana dengan amalan anda seharian?

Saturday, March 12, 2011

Hormatilah orang lain jika anda Ingin di Hormati...


Ramai orang yang melenting apabila merasa dirinya tidak dihormati. Mereka merasakan bahawa jasanya tidak dihargai malah menuduh mereka yang tidak menghormatinya sebagai kurang ajar malah perlu dihukum. Kenapa mudah melenting? Kaedah kehidupan ini adalah sangat mudah “Hormatilah orang lain jika anda juga ingin dihormati” ini antara kata-kata para bujaksana.

Bahkan Rasulullah telah berpesan:

“Kasihilah sesiapa sahaja di bumi ini pastinya kamu akan dikasihi oleh pengghuni langit”

Pesan baginda rasul lagi:

“Anda tidak dikira sebagai orang yang beriman sehinggalah anda melayan orang lain dengan cara sebagaimana yang anda sendiri suka”

Nah! Marilah kita mendidik diri kita menghormati sesiapa sahaja tidak kira siapa. Mudah-mudahan kita akan dihormati oleh sesiapa sahaja. Apa yang pasti kita akan dihormati dan dikasihi oleh penduduk langit, diantaranya ialah Allah tuhan yang telah mencipta kita dan yang menentukan untung nasib hidup kita di dunia dan akhirat.

Friday, March 11, 2011

Masih ada yang terlena!!!


Selepas Solat jumaat hari ini, saya disapa oleh seorang ahli jamaah:

“Bagus khutbah ustaz tadi. Boleh memberi kesedaran kepada pendengar. Tapi sayang! Saya lihat masih ramai ahli jemaah tertidur”

Saya hanya tersenyum sambil menjawa: “Mungkin mereka letih, lebih-lebih lagi kalau lepas makan”

Saya tak mengenali sahabat ini. Perwatakannya macam pegawai kerajaan macam saya. Apa yang pasti mereka bukan dari kalangan warga IPG KPI. Beliau dengan nada mesra menyambung perbualan kami dengan memberi cadangan.

“Bagus kalau lain kali Ustaz boleh masukkan fakta-fakta lengkap masalah sosial yang berlaku agar boleh menyentak ahli jemaah yang mengantuk atau bawa apa-apa cerita yang menarik boleh manarik pendengar agar tidak tertidur”.

Saya mengiyakan cadangannya. Sememangnya sudah menjadi lumrah kita umat Islam di Malaysia. Khutbah mesti di baca melalui teks yang sudah siap ditulis. Bukan hanya semata-mata kerana kawalan dari pihak pemerintah tetapi kerana para pengkhutbah itu sendiri yang tidak berkemampuan berkhutbah tanpa teks. Jika ada beberapa orang yang mencuba berkhutbah tanpa teks jarang yang kita dapati dapat berkhutbah dengan bernas dan padat. Malah ia kadang-kadang meleret-leret dan tidak tersusun langsung mengelisahkan para jemaah yang mendengarnya. Apabila khutbah dibaca berpandukan teks secara langsung ianya tidak menepati jiwa pendengar bahkan ianya hanya sekadar menjadi bahan pengulit tidur sahaja.

Sedangkan Rasulullah dahulu apabila baginda berkhutbah mukanya kadang-kadang berubah menjadi merah kerana bercerita tentang azab Allah dan ancamannya dan berwajah ceria dan gembira bila bercerita tentang nikmat dan janji-janji Allah kepada orang-orang beriman seterusnya dapat menyuburkan iman dan taqwa kepada pendengar.

Para pengkhutbah atau khatib perlu meningkatkan kemahiran diri dalam seni berpidato dan ceramah agar dapat menyampaikan ilmu yang sangat berharga kepada para jamaah yang hadir. Setiap muslim lelaki diwajibkan mendapat peringatan dan pengisian ilmu hanya sekali setiap minggu. Jika yang sekali ini pun hanya sekadar hadir tanpa mendapat apa-apa hasil ianya amat merugikan. Marilah kita sama-sama memulakan perubahan ini. Dari hanya kita mencela ahli jemaah yang tidur semasa mendengar khutbah kepada membaiki kemahiran para pengkhutbah agar dapat menjalankan amanah dengan lebih berkesan.

Thursday, March 10, 2011

Aku lewat lagi…

Bulan ini memang teruk. Hari ini kali ketiga kad pengetik waktu aku mencatak warna merah. Cuaca sekarang tidak menentu dan sudah banyak hari hujan pada waktu pagi ketika semut-semut berbondong-bondong keluar mencari kehidupan. Apabila hujan keadaan jalan raya tidak menentu kerana ramai yang amat berhati-hati ketika memandu. Walaupun hujan renyai-renyai atau gerimis ramai pemandu yang berpuas hati dengan hanya kelajuan 50km/j. Pemandu di lorong kanan pun ramai hanya berpuas hati dengan 60km/j. Ya ini adalah latihan untuk kesabaran.


Nampaknya musim hujan ini masa keluar rumah mesti diawalkan sepuluh minit. Ya. Besok mesti turun seawal jam 6.20pagi. Esok adalah hari yang sangat sibuk.. Kelas, mesyuarat jabatan, Khutbah Jumaat, Penyeliaan praktikum 2 guru pelatih.. memang memenatkan fizikal dan mental. Tapi itulah tugas dan tanggungjawab yang akan dipersoalkan nanti di Akhirat… Sememangnya itulah tanggungjawab kita sebagai khalifah Allah di muka bumi ini… Semoga Allah mempermudahkan segala urusan dan memberkatinya. Amin.









Belum lagi sampai tahap ini.

Wednesday, March 09, 2011

Masa Lebih Mahal Dari Emas


Perjalan setiap hari ke tempat kerja amat memenatkan. Turun dari rumah seawal 6.30 pagi merentas jarak sejauh 46km dan 18 lampu isyarat di samping kesesakan yang tidak dijangkakan amat menguji kesabaran dan ketahanan mental. Perjalanan balik pula adalah lebih teruk dan boleh mengambil masa sehingga 2 jam atau lebih. Purata perjalan sehari adalah 3 jam dan jika ditolak hari cuti sabtu dan ahad jumlah akan menjadi 15 jam seminggu hanya di atas kereta . Jumlah ini jika di darab dengan 20 hari kerja dalam sebulan ianya adalah 60 jam!. Satu jumlah yang besar masa terbuang begitu sahaja. Itu belum dikira dengan kos minyak, tol, masa dan keletihan fizikal dan mental

Masa adalah nikmat Allah yang amat berharga yang tidak dapat dinilai harganya. Ianya lebih mahal dari emas. Semahal-mahal emas pun ianya masih boleh dibeli jika mempunyai harta dan wang. Tetapi masa! Ianya tidak dibeli atau ditukar dengan wang dan harta. Kalau ianya sudah berlalu tidak dapat diperolehi kembali.

Demikianlah Allah telah berpesan tentang masa dalam al-Quran di dalam surah al-Asr bahawa semua manusia dalam kerugian dalam aspek pengurusan masa melainkan mereka yang beriman dan bertaqwa kepada Allah. Mereka yang tidak rugi ialah mereka yang sentiasa menyampaikan kebenaran iman dan berterusan berusaha menyebarkannya dengan penuh kesabaran.

Tempoh perjalanan yang panjang setiap hari ini perlu diuruskan agar ia dapat manfaat semaksima mungkin. Setakat ini, di samping tangan memandu kenderaaan, mata memerhatikan jalan, mulut dan hati dididik untuk menghalusi zikir ma’thurat pagi dan petang. Usai zikir memuji Allah, telinga dan minda mendengar dan menghadami kuliah-kuliah agama yang disampaikan ulama-ulamak seperti tuan guru Haji Nik Abdul Aziz Nikmat dan tidak ketinggalan juga ulama-ulama arab kontemporari seperti Dr Yusof al-Qardhawi, Dr Salman Odah, Dr Aidh al-Qarni dan lain-lain. Masya Allah sungguh banyak kuliah-kuliah ilmu yang dapat dimuat turun dari internet. Jika 10 kuliah sehari diteladani selama bertahun-tahun ianya tidak mungkin akan dapat langsaikan.

Ya Allah berikanlah bimbingan dan petunjuk Mu kepada hambamu yang lemah ini dan anugerahkan disiplin dan istiqamah agar dapat memanfaatkan sisa hidup ini memperhambahkan diriku kepadaNya.