Saturday, December 05, 2020

SUBURI JIWA PENYERI HARI HARI PKP

Dalam tempoh PKP ini, selepas solat subuh berjemaah setiap hari bersama kelurga, kami mengadakan program tadarus al Quran dan membaca petikan hadis. Program sebegini telah lama dimulakan semenjak 2014 lagi, tetapi ianya hanya dibuat pada hari minggu dan cuti sekolah sahaja. Walaupun begitu tadarus sudah melepasi 18 juzu al Quran.

Dalam tempoh PKP ini semenjak dari bulan Mac sehingga Mei dan disambung semula pada pertengahan bulan Oktober. Program yang kami namakan sebagai Suburi Jiwa ini dijalankan setiap pagi sejurus selepas solat subuh selama sejam hingga sejam setengah. Dalam tempoh PKP ini setiap anak-anak diberi tanggungjawab tambahan untuk membentangkan bahan-bahan dari petikan akhbar terkini. Petikan ini diambil dari hari yang sebelumnya.

Pengisian Suburi Jiwa

1. Tadarus al Quran satu muka surat dengan kaedah bacaan bimbingan dari ayat demi ayat. Selepas setiap ayat yang dibaca, setiap orang akan membaca terjemahan ayat mengikut giliran dan kemudianya akan dihuraikan secara ringkas oleh saya sendiri.

2. Membaca petikan hadis dari kitab ‘Nuzhatul Muttaqin’ oleh al Imam al Nawawi oleh isteri saya.  Dia akan memetik satu hadis setiap hari untuk dihuraikan dan dibincangkan dalam tempoh 15 minit.

3. Pembentangan petikan akhbar melibatkan rencana, kolumnis ringkas dan juga petikan berita penting oleh 6 orang anak. Setiap orang akan diberi masa 5 hingga 8 minit untuk membentangkan petikan yang telah dibaca sebelunya. Petikan diagihkan selepas solat isyak mengikut tahap umur agar ia bersesuaian dengan umur.

Program suburi jiwa ini bertujuan untuk membaca dan memahami panduan yang telah diberikan oleh Allah untuk orang beriman melalui al Quran. Membaca terjemahan bagi setiap ayat dan huraian ringkas tentang pengajarannya diharapkan dapat melembutkan ahli keluarga kami untuk mengikutinya. Begitu juga dengan membaca satu petikan hadis setiap hari diharapkan dapat meneladani pesanan yang telah ditinggalkan oleh nabi Muhammad. Harapannya kami sekeluarga tidak sesat dan sentiasa dipandu oleh Allah dalam kehidupan yang mencabar ini sebagaimana yang pesan Baginda: “Aku telah tinggalkan dua perkara kepada kamu wahai umat ku. Jika kamu berpegang kepada kedua-duanya kamu pasti tidak akan sesat. Kitab Allah dan Sunnah rasulnya.

Pembentangan pula adalah sebagai satu latihan untuk melatih kemahiran bertutur dan berkomunikasi disamping sentiasa peka dengan perkembangan isu semasa.