Friday, April 30, 2010

Kasi lelaki itu!

Cadangan mengkasi lelaki yang tak bertanggungjawab sehingga sanggup membuang anak adalah cadangan yang nakal. Cadangan ini telah dikemukan oleh salah seorang senator Dewan Negara dalam persidangannya kelmarin.

Melihat gelagat manusia kadang-kadang agak melucukan. Apabila ada segolongan bersuara tentang kalam ilahi dan panduan yang telah disediakan pencipta untuk mengatasi masalah manusia, ramai di kalangan pembuat dasar memandang sepi malah mencebik muka. Langsung tidak cuba untuk merenung dan berfikir hikmah disebaliknya. Tetapi pada masa yang sama cuba mencadangkan cadangan yang nakal yang belum tentu boleh merungkai masalah.

Jawapan Menteri Wanita, keluarga dan masyarakat amat baik dan lebih lunak dengan mengatakan bahawa tindakan itu tidak adil kerana tidak semua kaum bapa mengabaikan anak-anak. Malah kecurangan kaum bapa itu sendiri timbul dari penyimpangan masyarakat
kita yang tidak lagi mementingkan tanggungjawab dalam mendidik anak-anak. Sikap penting diri sendiri dan mengejar harta dunia menyebabkan proses mendidik dan memberi kasih sayang kepada anak-anak telah diswastakan kepada pembantu rumah, taman asuhan, sekolah dan masyarakat. Gejala ini sudah menjadi lumrah budaya masyarakat kita tanpa mengira latar belakang kehidupan dan pendidikan.

Penyelesaian lain perlu dicari untuk menyelesaikan masalah hilangnya nilai kemanusiaan di kalangan kita. Tiada siapa yang lebih tahu tentang selok belok ciptaan manusia melainkan Allah Taala. Golongan agamawan yang lebih memahami titah firman Allah ini perlu lebih giat berusaha untuk memberi penerangan dan bimbingan yang sepatutnya. Mereka perlu lebih kedepan dalam memberi cadangan dan jalan penyelesaian bukannya hanya sekadar mengulas, mengkritik, menyindir dan menghukum.


Ambillah langkah proaktif terjun kedalam arus perdana masyarakat. Selami masalah mereka dan fahami cabaran yang merintang. Didik dan bimbinglah keterlanjuran masyarakat. Siramilah mereka dengan hikmah kalam kebesaran Allah dan rahmatnya. Sesungguhnya Allah itu maha pengampun lagi maha pengasih.

Wednesday, April 28, 2010

Resepikan semula Perencah al-Quran

Al-Quran adalah merupakan kitab ajaib yang diturunkan Allah Taala kepada manusia. Wahyu pertama idturunkan kepada nabi kita Muhammad S.A.W adalah merupakan perintah membaca. Menggunakan akal dalam memahami pesanan Allah dan ciptaannya.

Mukjizat (baca:keajaipan) al-Quraan bukan hanya semata keberkatan bacaannya boleh ditiup-tiup pada air untuk dimimum semata-mata. Begitu juga mukjizatnya bukan hanya untuk menghalau hantu syaitan, jin dan sebagainya. Mukjizat al-Quran adalah adalah mukjizat intelektual yang perlu menggunakan akal untuk melihatnya bahkan ia perlu digandingkan dengan akal untuk menzahirkan keajaiban al-Quran itu.

Al-Quraan adalah bahan mentah yang perlu digali, diadun, diproses dengan pelbagai rencah fitrah semulajadi kejadian manusia dengan menggunakan formula ilham akal anugerah Allah akan menyerlahkan al-Quran sebagai kata Allah yang ajaib boleh menyelesaikan segala permasalahan yang dihadapi oleh semua manusia malahan seluruh kehidupan di alam maya ini.

Pandangan yang hanya menekankan kepada pembacaan al-Quraan sekadar lafaz dan hafazan semata-mata dengan sekadar mengharapkan pahala dan keberkatan adalah tidak menepati tujuan sebenar al-Quraan itu diturunkan. Amat banyak ayat-ayat al-Quraan yang menganjurkan penggunaan akal pemikiran dalam memahami dan melaksanakan panduan yang digariskan dalam al-Quran dengan menggunakan perkataan “ya’qilun’ ‘yatadabbarun’ dan sebagainya..

Marilah kita memulakan langkah perubahan dengan belajar al-Quraan untuk memahami dan meneliti isi kandungannya dari hanya semata-mata belajar al-Quraan untuk memperelokkan bacaan tajwid dan tarannum. Semoga dengan cara ini fungsi al-Quran dapat dikembalikan ke tempatnya yang asal.

Monday, April 26, 2010

Ayam pun diberi minum air Yasin!

Ketika membelek akhbar harakah terkini saya terpandang satu iklan jualan air bacaan Yasin. Air ini di jual dalam bentuk beberapa produk berdasarkan nama-nama tertentu yang salah satunya ialah merupakan air zam-zam yang dibacakan dengan Surah Yasin.

Sudah menjadi lumrah masyarakat Islam di Malaysia amat teruja dengan Surah Yasin sehinggakan ianya menjadi bacaan di mana-mana majlis tanpa mengira peristiwa. Jika si kaya ingin membuat kebajikan, mereka akan mecetak surah-surah Yasin dan diedarkan ke masjid dan surau.

Pernah saya menghadiri sesi penerangan salah sebuah Syarikat perniagaan yang cuba membawa wadah Islam di Malaysia. Salah satu usaha mereka ialah membuka ladang ternakan ayam yang betul-betul bercirikan Islam. Di samping memastikan ayam itu dibesarkan dengan makanan dan proses yang terjamin halal, penceramah memberitahu bahawa ayam-ayam itu juga diperdengarkan bacaan yasin malah akan diberi minum air yasin untuk mendapat keberkatan!

Adakah sebegitu sekali tuntutan Islam?

Saya tidak mahu membincangkan tentang kelebihan surah Yasin dengan mengemukakan hujah hadis Rasulullah dan juga pandangan para ulamak tetapi ingin mengemukakan tentang kemurnian sebenar agama Islam itu sendiri.

Allah taala yang maha bijaksana telah menurunkan al-quran kepada nabi Muhammad sebagai panduan kepada semua manusia dalam 114 surah dibahagikan kepada 30 juzuk. Al-Quran adalah mukjizat utama Rasulullah. Al-Quran sebagai mukjizat masih lagi tidak difahami oleh masyarakat Islam secara lebih jelas. Bahasa lebih mudah untuk menggambarkan al-Quran ialah ia adalah buku ajaib yang diturunkan oleh Allah kepada manusia. Semua isinya mengandungi keajaiban bukannya hanya semata-mata surah Yasin.

Kalaulah surah Yasin itu mempunyai kekeramatan dan kehebatan sebagaimana di dakwa kenapa Allah turunkan surah yang lain memadailah surah Yasin sahaja. Apa yang diperhatikan sekarang ialah umat Islam di Malaysia di momokkan dengan kehebatan surah Yasin sehinggakan surah-surah lain dipandang sepi. Ini sebenarnya secara halus
menafikan mukjizat al-Quran itu sendiri malah menafikan kebijaksanaan Allah yang menurunkan al-Quraan sebanyak 114 surah.

Pada pandangan masyarakat Islam di Malaysia, keajaiban al-Quran hanya pada bacaannya yang mendatangkan keberkatan. Paling tidak pun di baca untuk mendapat pahala yang di janjikan oleh Allah satu ayat sepuluh pahala. Ayat-ayat al-Quran hanya dilihat berguna untuk rawatan dan mengalau jin dan iblis. Hal ini tidak hanya membelenggu pemikiran masyarakat awam bahkan juga melanda golongan agamawan yang dilihat masih banyak menggunakan pendekatan al-Quran dari aspek keberkatan semata-mata.

Keadaan ini sebenarnya perlu difikirkan secara serius oleh kita semua untuk mengembalikan Islam balik kepada kedudukannya yang asal. Kita perlu mengambalikan fungsi asal al-Quran yang perlu dibaca untuk difahami dan seterusnya dijadikan asas untuk mencorak kehidupan manusia seluruhnya.

Saturday, April 24, 2010

Agama dan Politik di Hulu Selangor..

Ahamdulillah, saya telah diberika kesempatan oleh Allah taala untuk berkunjung kekawasan pilihanraya kecil P094 parlimen Hulu Selangor pada hari khamis lepas. Saya bersama sahabat saya mengambil peluang meninjau suasana pilhanraya kecil yang dilihat antara pilihanraya yang hangat di Malaysia.

Saya dan sahabat berkesempatan untuk berhenti solat Isyak di salah sebuah masjid yang agak besar terletak ditepi jalan dari Tanjung Malim ke Hulu Selangor. Selepas solat Isyak semasa hendak keluar dari masjid saya mendengar perbualan sebahagian jemaah mengatakan ada ceramah kelompok oleh Pakatan Rakyat di kawasan berdekatan. Saya dan sahabat mengambil kesempatan ini untuk mendengar isu-isu terbaru pilihanraya.

Kami mengambil tempat dikalangan penduduk kampung untuk memenuhi kawasan lapang di tempat ceramah tersebut. Sementara menunggu kehadiran penceramah mengambil tempat saya melihat seseorang memakai jubah berserban berseroangan di suatu sudut. Saya mengambil kesempatan menegurnya kerana perwatakannya yang berlainan dari hadirin yang lain.

Setelah berlangsung sesi perkenalan ringkas saya mengetahui bahawa dia adalah merupakan imam masjid yang kami solat isyak tadi. Patutlah dia memakai jubah dan berserban. Disamping mendegar ceramah saya mengambil kesempatan untuk berbual-bual dengannya.

“Saya dengar cerita ramai pemimpin PR memberi kuliah maghrib dan berkhutbah di masjid dan surau hulu selangor ni. Tak ada masalah ke?” Soal saya..

“Kami orang masjid ni bersifat terbuka. Siapa datang kami akan terima semua. Tak kira pihak kerajaan atau pembangkang”

“Tapi kenapa hanya timbul cerita pembangkang saja yang menggunakan masjid untuk kempen parti”

“Memang ya pun. Sepanjang kempen piliharraya ni saya lihat Pihak PR saja yang menggunakan masjid. Mereka datang untuk solat berjemaah setiap waktu solat. Setakat ni saya tak lihat pun petugas parti kerajaan datang solat kat masjid kami ni, pihak pimpinan pun tak pernah nampak muka”

“Mungkin mereka tak mahucampur urusan agama dengan politik kot” Saya bergurau.

“Hmm.. takkan mereka sibuk berkempen sampai lupa nak mengadap Allah. Tu.. markaz besar parti Kerajaan tak jauh je dari sini.. tak tau la pulak mungkin mereka buat surau kat markas mereka tu.. Prinsip kami sesiapa pun datang tak kira pihak kerajaan atau pembangkang kami layan semua. Kami pun terttunggu juga pemimpin kerajaan singgah solat kat masjid kami ni, boleh kami bagi peluang jadi imam solat, bagi peluang mereka berdoa dan kami aminkan doa mereka. Kami pun teringin juga nak dengar tazkirah atau kuliah agama dari pemimpin kerajaan. Tapi setakat ni tak ada yang singgah. Pemimpin pembangkang boleh dikatakan setiap waktu solat ada yang singgah solat di sini. Inilah peluang kami orang kampung nak dengar kupasan agama yang menarik, setakat ini saya tak nampak sangat ada unsur-unsur politik dalam tazkirah mereka. Semuanya kearah mengingati kebesaran Allah dan bertakwa padanya” Bersemangat imam ini bercerita. Di depan sana Dr Mujahid juga bersemangat bercerita tentang peristiwa di parlimen hari ini .

Mengikut perbualan ringkas dengan beberapa penduduk setempat, saya dapati mereka semua amat gembira dengan pilihanraya ini lebih-lebih lagi berpeluang mendengar khutbah-khutbah yang amat segar dan membina semangat takwa.

“Tak pernah kami dengar khutbah yang begini.. langsung tak mengantuk.. menyentuh jiwa.. berbeza dari khutbah hari-hari biasa”

“Saya rasa kalau setiap minggu umat Islam dikhutbah dengan cara begini umat islam akan berubah”

Itulah antara suara-suara beberapa penduduk kampung sepanjang perbualan saya di beberapa masjid dan surau yang kami singgah untuk solat.

Tapi apakan daya.. bid’ah yang cukup besar masih melanda pemikiran umat Islam di Malaysia.. Agama tak boleh bercampur dengan politik.. hatta waktu kempen pilihanraya pun tak mahu mendekati masjid.. lantaran bimbang mengotori masjid dengan politik yang dikatakan bernajis.. lebih teruk lagi di samping kempen pilihanraya secara halusnya ada yang berkempen agar menjauhi masjid dan surau..

Masya Allah betapa kufurnya mereka dengan Allah..Mungkin bagi Sesetengah mereka Allah ni dipatuhi pada ketika tertentu sahaja, tidak pada masa yang lain. Atau Allah tak perlu sibuk mengambil tahu urusan manusia kerana manusia lebih tahu tentang urusan dunia!..

Semoga Allah ampunkan dosa kita semua dan di beri petunjuk ke jalan yang benar..Amin..

Wednesday, April 21, 2010

Kembali Kepada Manhaj Dakwah Rasulullah

Mungkin apabila ditanya oleh seseorang tak kira sama ada Islam atau bukan Islam sudah menjadi kebiasaan kita untuk mengatakan bahawa Islam itu ialah sembahyang, puasa, zakat dan haji. Jawapan yang diberi biasanya mengabaikan rukun yang pertama iaitu ikrar keyakinan dan ketaatan pada Allah dan Rasul. Sememangnya Islam hanya banyak di lihat dari aspek ibadah semata-mata dengan memencilkan aspek aqidah dan akhlak.

Tetapi apabila kita melihat sejarah Islam dan juga menekuni kembali al-Quran kita akan dapati risalah Islam ini diperkenalkan denangan cara yang beza. Rasulullah, ketika memulakan dakwah menyeru sahabat terdekat dan kaum keluarga seterusnya masyarakat Quraish Mekah, baginda memulakan dengan memperkenalkan Allah taala sebagai Allah maha kuasa yang telah mencipta seluruh alam dan juga manusia. Baginda juga menyeru manusia agar patuh dan taat kepada Allah. Baginda juga mengingatkan tentang wujudnya hari akhirat dimana semua manusia akan dibangkitkan dan dihadapkan dihadapan Allah.

Jaafar bin Abi talib menjawab apabila ditanya oleh Raja Habsyah tentang apa yang dibawa oleh nabi Muhammad:

Rasulullah meminta kami menghambakan diri kepada Allah yang satu dan tidak mendambakan diri kepada yang lain (syirik), berdoa dan bergantung harap (solat) kepadanya, bercakap benar, menunaikan tanggungjawab, berbuat baik dengan jiran, merapatkan hubungan persaudaraan (silaturrahim), menahan diri dari melakukan perkara haram dan menghormati perempuan yang baik”

Di dalam al-quran banyak sekali ayat-ayat Allah yang menerangkan konsep mudah aqidah Islam di antaranya ialah ayat 2 dan 3 surah Yunus :

Sesungguhnya Tuhan Kamu ialah Allah yang menjadikan langit dan bumi enam masa kemudian Ia bersemayam di atas Aras, mentadbirkan segala urusan. Tidak ada sesiapa pun yang dapat memberi syafaat melainkan sesudah diizinkanNya. (Yang bersifat demikian) itulah Allah, Tuhan (yang memelihara dan mentadbirkan keadaan) kamu; maka tunduklah dan taatlah kamu kepada perintahNya; patutlah kamu - setelah mengetahui kenyataan yang tersebut - tidak mahu mengingatiNya?

KepadaNyalah kembalinya kamu semua, sebagai janji Allah yang benar. Sesungguhnya Dialah yang memulakan kejadian sekalian makhluk, kemudian Ia mengembalikannya (hidup semula sesudah matinya), untuk membalas orang-orang yang beriman dan beramal salih dengan adil; dan orang-orang yang kafir pula, disediakan bagi mereka minuman dari air panas yang menggelegak, dan azab yang tidak terperi sakitnya, disebabkan mereka ingkar dan berlaku kufur.


Allah ialah tuhan kamu yang telah mencipta langit dan bumi. Dialah telah mengurus dan mentadbir segalanya. Tidak ada seorang pun yang boleh memberi bantuan atau pertolongan kepada kamu melainkan dengan keizinannya. Itulah sebenarnya tuhan kamu, dambakan diri kamu kepadanya. Ingatlah hal ini jangan kamu lupakan.

Kamu semua akan dihidupkan kembali dan dihadapkan kepada Allah. Janji Allah itu benar. Allah yang mencipta seluruh kehidupan dan dia mampu menghidupkan manusia selepa mati untuk memberi ganjaran kepada mereka yang beriman dan melakukan amalan baik dengan penuh keadilan. Mereka yang engkar kepada perintah Allah akan dimasukkan ke dalam neraka dan diberi minum air yang amat panas menggelegak. Mereka akan disiksa dengan azabnya kerana keengkaran mereka ketika hidup di dunia dahulu.

Inilah manhaj yang digunakan oleh Rasulullah dalam memperkenalkan Islam. Mengenal Allah dan memperhambakan diri padanya dan menerangkan tentang hakikat sebenar kehidupan dunia dan akhirat. Tetapi sayangnya apa yang berlaku selepas hampir dua kurun, kita hanya memperkenalkan agama Islam sebagai agama ibadat yang hanya berkaitan dengan solat, puasa, zakat, haji dan sebagainya tanpa memahami konsep sebenar di sebaliknya.

Tidak hairanlah hari ini jika kita melihat ramai orang Islam yang amat lemah akhlaknya, ramai yang kuat agama dan banyak ibadahnya hanya mementingkan diri sendiri kurang rasa prihatin terhadap masyarakat sekeliling. Apa yang difikirkan adalah kesempurnaan ibadahnya semata-mata langsung sanggup menggadai akhlak dan maruah demi mempertahankan remeh temeh persoalan ibadah. Kerosakan akhlak dan integriti umat Islam ditahap yang lemah walaupun kita lihat melihat islam semakin diamalkan. Masjid yang menjadi tumpuan untuk solat dan mengingati Allah pada masa yang sama menjadi tempat pengkhianatan kepada Allah. Cubalah anda sengaja cuaikan talifon bimbit atau dompet anda di sana, tidak mustahil anda akan kecewa.

Pada masa ini Islam masih gagal dipersembah kepada masyarakat sebagai penyelesai masalah dan membawa rahmat dan keamanan. Islam tidak bersalah. Kitalah sebenarnya yang gagal memahami insprasi islam itu sendiri.

Marilah kita sama mengembalikan roh asal agama Islam yang diturunkan oleh Allah taala. Marilah kita sama-sama telusuri kembali sunnah Rasulullah dalam membimbing manusia mengenali Allah dan memperhambakan diri kepadanya. Insya Allah pastinya Islam itu akan menjadi agama yang membawa rahmat ke seluruh kehidupan di muka bumi ini.

Monday, April 19, 2010

Kisah Poligami : Jiwa Optimis

Di kampung, kami berjiran dengan sebuah keluarga yang agak besar. Haji Yasin dan Makcik som dan anaknya seramai 10 orang a mendiami rumah yang sederhana besar. Kami mengenali Makcik Som sebagai seorang yang peramah di samping suaminya Haji Yasin seorang yang baik hati. Begitu juga anak-anak mereka yang ramai itu ada sebaya umur dengan saya menjadi teman sepermainan setiap hari.

Di samping membuat kerja kampung berkebun dan menoreh getah Haji Yasin juga adalah penggiat tabligh. Hampir setiap bulan dia akan keluar untuk menjalankan kerja dakwahnya. Apa yang kami tahu setiap bulan dia akan keluar kawasan tiga hari dan dalam setahun ada masanya kami tidak melihatnya hampir sebulan. Kata anak-anaknya, ayah mereka keluar berdakwah selama 40 hari.

Satu ketika heboh satu kampung bahawa Haji Yasin ini telah berkahwin lagi. Tetapi itu hanya sekadar cerita yang menjadi buah mulut orang kampung. Tak terdengar pula di telinga saya tentang perang besar antara Haji Yasin dan Makcik Som.

Haji Yasin telah membina sebuah rumah untuk isteri mudanya di hujung kampung. Tempat itu agak terpecil dan tidak ada rumah yang berjiran dengannya.

Suatu petang Makcik som bertandang kerumah kami membawa anak bongsunya. Kami berbual-bual di beranda sambil minum petang. Sedang kami rancak berbual kami melihat Amran anak makcik Som yang hampir sebaya dengan saya menaiki motosikal melintas di hadapan rumah kami.

“Amran! Mari sini sekejap” Makcik Som memanggil anaknya.

“Ya mak! Apa apa?” Amran membelok masuk kehalaman rumah kami dan mematikan enjin motosikalnya.

“Tolong pergi ambil Makcik Esah kamu tu bawa balik kerumah. Ayah kamu keluar lagi, dia kata dia nak keluar 40 hari” Makcik som memberitahu Amran.

“Baik lah Mak! Nanti saya ambil” Jawab Amran sambil menghdupkan enjin motosikal dan terus memecut pergi.

Sambil memandang Amran yang memecut motosikalnya menuju kerumah ibu tirinya saya bertanya kepada Makcik Som:

“Pak Haji pesan suruh pergi ambil ke Makcik Esah tu?”

“Tidak, dia tak pesan apa-apa pun. Cuma Makcik bimbang keselamatan Makcik Esah tu tinggal seorang diri dengan anak kecilnya tu. Bahaya. Nanti jadi apa-apa berlaku, tak ada siapa yang tahu.” Jawab makcik Som sambil mematahkan biskut untuk disuapkan kemulut anak kecilnya.

Jawapan Makcik Som menyebabkan saya semakin berminat untuk saya bertanya lagi.

“Makcik Som tak apa-apa ke Makcik Esah datang tinggal sama-sama. Ya la, kat rumah Makcik Som tu ramai dah anak-anak.”

“Setakat ini ok je. Anak-anak makcik pun tak kesah. Mereka pun suka, tak perlu buat banyak kerja sebab Makcik Esah tu rajin orangnya. Jarang duduk diam. Kami pun kadang-kadang macam dan berjanji. Kalau saya memasak, dia akan cuci pakaian, kemas rumah. Kalau dia memasak saya pula akan cuci pakaian dan kemas rumah. Ringanlah sikit beban, tak lah kena buat semua kerja. Anak-anak pun, kami sama-sama jaga. Anak kecilnya tu, rapat dengan saya” Terang Makcik Som dengan panjang lebar.

“eh! Baiknya kalau begitu, jarang saya dengar begitu hidup bermadu ni. Langsung tak ada khilaf ke .. masam muka ke?” Saya bertanya penuh minat.

“Khilaf !.. ada, tapi tak lah besar.. tak boleh ambil hati sangat. Kalau dilayan perasaan kita bukannya selesai masalah pun. Nanti kita juga yang sakit hati, kita juga yang susah.. Jangan difikirkan sangat soal khilaf-khilaf tu buat serabut je. Fikir yang baik-baik je, baru senang hati.”

“Baguslah begitu Makcik Som. Tapi Makcik Esah tu muda sangat lagi, Makcik Som tak tak kenen kenen ke. Ya lah…”

Belum sempat saya habis bercakap, Makcik Som memotong cakap saya..

“Alah… saya ni dah tua.. tak larat dah nak melahirkan anak… biarlah pak haji tu lepaskan hajatnya dengan makcik esah tu.. yang penting dia tak sakitkan hati saya.. Kalau dia tak adil ke.. tak betul ke.. biar tuhan yang balas.. makcik tak kuasa..”

Makcik Som menghabiskan baki goreng pisang di tangannya dan mengirup air tehnya yang sudah sejuk itu sampai habis.

“Makcik Som nak balik lah.. nak kemas-kemas rumah sikit . nanti kejap lagi Si Esah nak sampai. Nampaknya Amran dan si Rosli tu kena tidur kat ruang tamulah sebulan ni..”

Makcik Som memimpin tangan bongsunya turun dari rumah saya. Terfikir di benak saya. Amat jarang kita dapati orang yang sebaik hati Makcik Som. Mungkin di sebalik ceritanya yang positif itu tak mustahil banyak juga pengalaman pahit hidup bermadu. Tetapi sikapnya yang optimis itu membuatkan hidupnya bahagia dan ceria walaupun hidup bermadu.

Ya, kehidupan ini tidak semua indah. Sikap kitalah yang menentukan keindahan dan kebahagiaan kehidupan. Begitu jugalah dalam kehidupan berumahtangga. Sikap sentiasa melihat aspek positif dan menyisihkan aspek negatif akan menyuburkan jiwa yang optimis. Insya Allah hidup kita akan bahagia.

Tuesday, April 13, 2010

Membuktikan Keimanan!

Ketika hampir melelapkan mata setelah keletihan seharian dengan kerja di sekolah, Tiba-tiba kedengaran alunan zikir Hasbi rabbi Jallah…yang menjadi tone mesej telefon bimbit ku.

“siapa la yang hantar msg malam-malam buta ni, mungkin ada perkara penting” Aku menggumamam sambil meraba-raba telefon ku di tepi bantal.

Dapat je telefon itu aku menekan butang ok untuk melihat mesej yang baru sejurus tiba itu. Ianya dari seorang sahabat ku juga guru agama di Sandakan.

“ Salam ustaz! Harap tidak mengganggu. Saya nak tawarkan peluang keemasan pada ustaz. Pelaburan menguntungkan sehingga 300%. Inilah peluang untuk tingkatkan pendapatan kita sebagai umat Islam. Kalau ustaz berminat, esok boleh kita bincang pasal pelaburan swisscash ini”.

Mesejnya panjang Cuma beginilah intipatinya yang dapat saya ingat.
Aku mengeluh panjang. Sememangnya swisscash ini seolah menjadi satu fenomena di Sandakan tika ini. Di mana-mana sahaja kita akan dapat dengar perbualan tentang swisscash. Lebih-lebih lagi di kalangan para pendidik dan lebih parah lagi berjangkit juga kepada para ustaz.

Antara hujah para ustaz ialah membina kekuatan ekonomi Islam adalah merupakan jihad. Umat Islam sekarang ditindas dan dihina kerana lemah penguasaan ekonomi.. dan bermacam lagi hujah mereka. Di saat itu mereka sudah lupa kaedah muamalat Islam tentang riba, Gharar dan sebagainya. Apa yang difikir adalah duit.

Dalam satu khutbah yang pernah saya sampaikan di salah sebuah masjid saya telah menghurai tentang skim pelaburan akhirat yang amat menguntungkan dan saya membandingkan pelaburan ini dengan swiss cash. Ayat yang menjadi intipati khutbah tersebut ialah dari Surah al-Baqarah ayat 261:

مثل الذين ينفقون أموالهم في سبيل الله كمثل حبة أنبتت سبع سنابل في كل سنبلة مائة حبة والله يضاعف لمن يشاء والله واسع عليم”
Bandingan (derma) orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah, ialah sama seperti sebiji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai; tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji. Dan (ingatlah), Allah akan melipatgandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendakiNya, dan Allah Maha Luas (rahmat) kurniaNya, lagi Meliputi ilmu pengetahuanNya

Ya,cuba kita ibaratkan benih itu dengan RM1 didarab 7 kemudian di darab 100. Hasilnya adalah 700 kan! Maknanya skim pelabaran Allah memberi keuntungan 700%! Bukankah skim pelaburan Allah ini lebih menarik? Itu kalau dilaburkan hanya RM1. Kalaulah dilaburkan RM1000 akan memberi pulangan RM700 000!.

Wah! Ramai yang melenting..

Tapi sayang! Pelaburan swisscash tetap menjadi pilihan ramai walaupun ianya di janjikan oleh manusia dengan pulangan 300%. Di sini kita dapat lihat bagaimana nilai keimanan kita kepada Allah dan hari akhirat. Walau lidah mengaku kebesaran Allah yang memilki segala kekayaan dan tidak pernah engkar dalam janjinya, tetapi ramai masih ragu dan lebih mempercayai janji manusia dengan mengenepikan janji Allah. Ini terbukti dengan keyakinan kepada swisscash lebih mengatasi dari keyakinan kepada janji Allah. Lebih mengecewakan lagi ianya juga melanda golongan ustaz yang bertanggungjawab bercakap tentang keimanan pada Allah dan hari akhirat.

Timbulnya swisscash adalah merupakan ujian dari Allah untuk melihat bukti keimanan manusia. Iman bukan sekadar mempercayai dengan hati dan menzahirkan kepercayaan dengan lisan tetapi ianya perlu dibuktikan dengan perbuatan.

Berdasarkan fenomena swiss cash ini tidak hairanlah jika kita melihat janji Allah tidak di endahkan malah di abaikan oleh ramai kalangan umat Islam bahkan oleh sesetengah pembawa agama. Usahkan nak mengharap kepada sumbangan harta benda untuk pembangunan Islam, apatah lagi untuk mengorbankan jiwa dan raga fi sabilillah. Untuk bangun solat subuh berjemaah di masjid pun, ramai yang masih kurang yakin dengan janji Allah dan Rasulnya. Sedangkan Rasulullah bersabda:

“kalaulah seseorang itu mengetahui ganjaran solat isyak dan subuh berjemaah di masjid pastinya dia akan datang (untuk solat berjaamah) walaupun terpaksa merangkak”.

Pernah seorang sahabat saya mengemukakan rasa tidak puas hati tentang solat subuh berjamaah yang amat sedikit bilangannya termasuk 4 orang ustaz.


“Demo tengok ni, kawe dah tulis senarai nama ustaz-ustaz hok di Taman Fajar ni lebih 30 orang.. semuanya kawe tulis dengan no rumah dia sekali.. gi mmana puak ni semua masa semaye, tak nampak batang hidung pun. Tapi kalu kat gelanggang badminton ada semua puak ni”

Kita hanya mampu mengatakan bahawa iman itu mudah untuk di akui, tapi amat susah untuk
dibuktikan. Jika mereka yang diberi amanah untuk menyemai benih iman dan ketaqwaan pun gagal membuktikan iman mereka apatah lagi orang-orang biasa yang amat miskin ilmu pengetahuannya.

Inilah kerja yang amat berat perlu diusahakan bersama. Menyemai benih keimanan dalam jiwa umat Islam sehingga mampu dibuktikan dengan perlakuan dan tindakan. Membuang penyakit cinta dunia kepada mencintai kehidupan akhirat.

Monday, April 12, 2010

'Kami Prihatin' Kepada Perintah Allah Atau...




‘Kami Prihatin’ itulah kempen yang telah dijalankan oleh golongan al-mala’ (pemegang kuasa) di Malaysia ini dalam menangani isu pembuangan bayi yang sudah menjadi wabak yang sukar dibendung.

Walaupun kempen ini baru dilancarkan dan aktivitinya masih lagi belum dpat dilihat secara jelas, tetapi kecenderungan perbincang di media sudah dapat dilihat pola dan temanya. Ianya lebih menjurus kepada memberi kesedaran bagi mereka yang terlanjur agar tidak membuang bayi mereka . Gadis yang terdesak disarankan menyerahkan bayi yang dilahirkan ditempat yang telah disediakan oleh pihak kerajaan. Kempen juga dilihat hanya menjurus kepada member kesedaran kepada remaja untuk mengelakkan berlakunya kehamilan sahaja . Malah masyarakat diseru agar tidak menyisihkan mereka yang telah mengandung tanpa nikah bagi mengelakkan tekanan dan hilang pertimbangan.

Tetapi jika dilihat dengan lebih teliti, kempen ini kurang memberi penekanan untuk mengurangkan berlakunya hubungan seks itu sendiri atau dengan kata lain penghidaran budaya zina tidak menjadi keutamaan. Secara sinis di lihat bahawa zina itu tidak menjadi satu kesalahan yang besar yang patut dihindari.

Sepatutnya ‘kempen prihatin juga perlu memberi penekanan untuk tempoh jangka panjang iaitu kempen besar-besaran mengelakkan pergaulan bebas di antara lelaki dan perempuan dan juga kempen keluarga prihatin yang menitik beratkan soal kasih sayang kepada anak-anak.

Kalau dilihat kepada gejala pembuangan bayi ini ianya banyak melibatkan golongan melayu Islam. Pihak berkuasa juga dari kalangan muslim. Maka, amat lah baik dan sudah menjadi kewajipan kepada kita untuk menyelesaikan masalah ini dengan merujuk kepada kuasa yang lebih berkuasa dan bijaksana tidak lain tidak bukan ialah Allah Taala. Di sampin kita prihatin tentang masalah masyarakat, kita juga perlu prihatin kepada ketakwaan kita kepada Allah. Prihatin kepada perintah Allah dan Rasulnya perlu diselaraskan dengan prihatin kita kepada masyarakat dan permasalahanya.

Ingatlah .. firman Allah di dalam surah al-Baqarah ayat 11 dan 12:

وإذا قيل لهم لاتفسدوا في الأرض قالوا إنما نحن مصلحون. ألا إنهم هم المفسدون ولكن لا يشعرون

dan apabila dikatakan kepada mereka: "Janganlah kamu membuat bencana dan kerosakan di muka bumi", mereka menjawab: " Sesungguhnya Kami orang-orang Yang hanya membuat kebaikan".

Ketahuilah! Bahawa Sesungguhnya mereka itulah orang-orang Yang sebenar-benarnya membuat bencana dan kerosakan, tetapi mereka tidak menyedarinya.

Walaupun ayat ini menceritakan tentang sifat-sifat orang munafik tetapi alangkah baiknya jika kita merenung ayat ini agar kita dapat menghindarkan diri kita dari sebarang sifat munafik yang berkemungkinan telah meresap dalam diri kita. Di bimbangi bahawa tindakan yang kita ambil itu boleh membawa kerosakan dan menyebabkan masalah yang lebih parah kepada masyarakat kita.