Friday, July 17, 2009

SOlat subuh berjemaah manifestasi syahadah

Solat subuh adalah merupakan ujian yang Allah telah tetapkan kepada manusia. Allah telah menetapkan waktu solat subuh di awal pagi sebelum matahari naik di mana manusia masih lagi enak tidur dan ketika inilah mimpi-mimpi indah menjelma.

Allah telah menetapkan waktu subuh ini sebegini awal untuk menguji keimanan hambanya yang telah berikrar dengan ikrar “أشهد أن لا إله إلا الله و أشهد أن محمدا رسول الله “ Kita sebagai Muslim mengaku bahawa Allah yang mesti sembah dan di utamakan dalam setiap aspek khidupan, begitu jugalah Rasululah menjadi panduan dan ikutan.

Subuh ini telah ditetapkan oleh Allah pada waktu yang amat genting dan tidak munasabah. Awal pagi, suhu masih sejuk, waktu solat yang singkat dan sebagainya. Tetapi inilah perintah Allah yang perlu kita tunaikan sebagai membuktikan bahawa kita ini adalah hamba Allah.

Sesiapa yang tidak menunaikan solat subuh ini dikira melanggar perintah Allah dan menderhaka kepadanya. Patutkah kita sebagai manusia yang dicipta oleh Allah dan diberi segala nikmat yang tidak terkira banyaknya bahkan setiap detik dan ketika kehidupan kita bergantung kepada Allah. Tetapi kita sanggup pentingkan diri memejam mata rehatkan diri dari mengadap Allah yang telah memberi segalanya kepada kita.

Alangkah baiknya kita sebagai orang Islam mengambil berat tentang nasihat nabi yang menggalakkan umatnya menunaikan solat subuh berjamaah di masjid bukannya sekadar solat di rumah bersendirian. Rasulullah memberitahu:

لو يعلم الناس في العتمة والصبح لأتوه حبوا
Kalaulah manusia tahu besarnya ganjaran yang Allah berikan kepada mereka yang solat Isyak dan subuh berjemaah pastinya dia akan datang kemasjid walaupun dalam keadaan terpaksa merangkak.


Rasulullah ini yang kita percaya bergelar As Siddiq, tak pernah bohong menceritakan perihal kelebihan solat isyak dan subuh berjemaah. Tetapi ramai dari kalangan kita masih tak mempercayai kata-kata Rasulullah ini dan apa yang dilihat ramai dikalangan kita hanya solat subuh dirumah memadai dengan satu pahala saja!

Inikah yang dikatakan beriman kepada Allah dan Rasulnya? Tetapi penyakit tidak yakin kepada Allah dan rasul ini bukan hanya melanda orang awam bahkan ia juga melanda golongan agamawan yang di katakan banyak pengetahuan agama dan lebih dekat pada Allah. Cubalah lihat dimana-mana sahaja golongan ustaz-ustaz masih ramai yang tidak mampu menanamkan keyakinan diri kepada perintah Allah dan Rasulnya. Apatah lagi orang awam. Jadi tidak hairanlah dalam masyarakat kita hari ini masih banyak kepincangan dan kemungkaran yang berlaku sedangkan kita mempunyai ramai cerdik pandai agama ustaz dan ustazah.

Marilah kita sama-sama memperbaiki diri kita dan berusaha untuk melakukan perubahan dengan menjadikan al Quran dan Sunnah sebagai panduan hidup kita. Semoga hidup kita diberkati Allah.

No comments: