Sunday, July 05, 2009

PERMULAAN DAKWAH RASULULLAH

Setelah dilantik menjadi Nabi dan Rasul dengan turunnya wahyu di gua hira', Rasulullah telah memulakan dakwahnya. Baginda telah menyeru kaumnya meninggalkan perbuatan menyembah berhala dan menyembah Allah yang maha kuasa. Tetapi Rasulullah telah memulakan dakwahnya dengan cara rahsia atau dengan kata lain dengan cara sembunyi-sembunyi. Rasulullah mengambil langkah ini kerana bimbang berlakunya kejutan kepada kaum quraish yang terkenal dengan taasub dan fanatik kepada berhala sembahan mereka. Rasulullah tidak menyebut dakwahnya ketika majlis umum bersama kaum Quraish tetapi mengemukakan dakwahnya kepada kaum kerabat terdekat dan juga kepada mereka yang telah dikenali yang difikirkan dapat menerima seruan dakwahnya.

Mereka yang paling awal memeluk Islam ialah :

1. Khadijah binti Khuwailid, isteri Rasulullah.
2. Ali bin Abi Talib (kanak-kanak pertama)
3. Zaid bin Harithah
4. Abu Bakar bin Abi Qahafah
5. Uthman bin Affan
6. Zubair bin Al Awwam
7. Abdur Rahman bin Auf
8. Saad bin Abi Waqqas

Mereka semua ini menerima tarbiyah dan bimbingan dari Nabi secara rahsia. Jika mereka hendak melakukan ibadat mereka akan pergi kepinggir Kota Mekah yang terlindung dari pandangan orang arab Mekah.

Apabila bilangan mereka yang telah memeluk Islam menjangkau tiga puluh orang meliputi lelaki dan perempuan, Rasulullah telah memilih rumah Al Arqam bin Abi Al Arqam sebagai tempat berkumpul. Di rumah inilah Rasulullah telah menjalankan bimbingan dan kuliah berkaitan dengan agama Islam. Di dalam tempoh tersebut hasil dakwah Rasulullah telah mencapai bilangan lebih kurang 40 orang lelaki dan perempuan yang telah memeluk Islam. Mereka yang memeluk Islam ini adalah dari golongan fakir miskin, hamba dan mereka yang tidak berkepentingan dari kaum Quraish.

KESIMPULAN DAN PENGAJARAN


Dakwah Rasulullah secara tersembunyi dan rahsia.
Rasulullah telah menjalankan dakwahnya pada peringkat permulaan secara rahsia bukan bermakna Rasulullah takut dan gerun kepada kaum kafir Quraish. Bahkan Rasulullah sangat yakin kepada Allah yang telah memberikan tanggungjawab dakwah dan Allah juga berkuasa menjaganya dari gangguan jahat manusia. Kalaulah Rasulullah melaungkan dakwah secara terbuka pastinya kaum quraish akan terkejut dan akan mengambil tindakan yang boleh membinasakan Nabi.
Akan tetapi Allah telah mengilhamkan kepada Nabi agar berdakwah secara rahsia agar tidak menimbulkan kejutan yang ketara kepada masyarakat Quraish. Bahkan Rasulullah menujukan dakwah kepada kaum kerabat dan kepada mereka yang telah diyakini boleh menerima agama Allah.

Perjalanan dakwah Rasulullah ini bertujuan mengajar pada pendakwah Islam terkemudian tentang cara berdakwah yang berkesan mengikut keadaan semasa. Keadaan dengan mengambil kira keadaan sekeliling yang boleh memberi kesan buruk kepada pendakwah dan Islam itu sendiri.

Pendakwah juga perlu menggunakan pemikiran waras dan bersifat analitikal untuk mencapai sasaran dakwah dan objektif yang telah dirancang. Sesorang pendakwah tidak boleh hanya bertawakkal kepada Allah semata-mata dalam membuat sesuatu tindakan tanpa berfikir apakah kesan yang akan berlaku dengan tindakan yang telah dilakukan. Sebagai contoh terdapat pendakwah yang ingin mengebom gereja dan kepentingan orang kafir dengan anggapan dapat menyekat mereka daripada menganggu orang Islam. Tindakan ini sebenarnya bertentangan dengan Islam dan memberi tanggapan buruk kepada Islam sebagai agama yang ganas dan melulu dalam setiap tindakan. Contohilah Rasulullah.


Berpandukan sirah Rasulullah ini para pendakwah bolehlah mengambil iktibar :

1. Menggunakan pelbagai cara untuk mencapai objektif dakwah yang fleksibel dan bukan hanya tertumpu dengan satu cara sahaja. Sebagai contoh dalam membimbing sahabat untuk sembahyang berjemaah di masjid. Banyak cara yang boleh dipakai antaranya yang asas memberitahu fadhilat sembahyang berjemaah di masjid. Menjemputnya setiap kali hendak kemasjid, sentiasa mendampinginya seperti bersukan bersama, makan bersama agar dapat mengakrabkan hati. Apabila hati dah akrab mudah menerima pandangan dan nasihat.

2. Kreatif dalam mencipta perkara-perkara dan suasana yang baru yang boleh menarik perhatian.

3. Seorang pendakwah hendaklah selalu manis muka dan selalu senyum. Apabila kita mengajukan sesuatu nasihat atau yang berbentuk arahan, orang lebih mudah mematuhinya apabila kita mengeluarkannya dalam keadaan manis muka berbandingkan dengan keadaan yang serius dan muka yang masam.

4. Perasaan kasih sayang dan bertanggung jawab perlu diterapkan dalam diri semasa menyampaikan sesuatu. Elakkan daripada menggunakan nada menyindir atau memperlekehkan sahabat yang lain.

5. Menunjukkan contoh yang baik kepada orang lain. Sebagai contoh seseorangnya sentiasa memperingatkan orang lain tentang kepentingan sembahyang di masjid jemaah dan penting menjaga masa tetapi dalam masa yang sama selalu lewat ke masjid.

**Artikel ini adalah adaptasi Kitab Sirah Nabawiyyah oleh Dr Said Ramadhan Al Buti sebagai bahan perbincangan dalam program Halaqah dan Rakan Iman di Sandakan

No comments: