Sunday, July 05, 2009

KEWUJUDAN ALLAH SEBAGAI PENCIPTA

Artikel ini adalah merupakan artikel lama yang telah ditulis untuk buletin Pendidikan Islam SMK Elopura, Sandakan. Seingat saya artikel ini ada tiga siri tetapi dua lagi saya tak ingat dimana saya simpan. Artikel ini telah ditulis dengan bahasa yang mudah agar ia lebih senang difahami oleh pelajar-pelajar sekolah. Malah apa yang menarik ada beberapa pelajar bukan Islam mengumpul buletin Pendidikan Islam ini sebagai koleksi peribadi.


SIRI PENGHAYATAN ISLAM


Sekarang ini bilangan orang Islam sangat ramai melebihi satu ribu juta orang di seluruh dunia. Tetapi kenapa orang Islam tidak menjadi dominan dan dapat mencorak kehidupan dunia. Malah kita lihat seolah-olah orang Islam sentiasa dipengaruhi dan dicorak oleh orang bukan Islam. Ini berlaku kerana ramai orang Islam sekarang ni hanya sekadar Islam pada nama dan tidak pada penghayatan. Bahkan terdapat sesetengah orang yang tak memahami apa hakikat Islam yang sebenarnya. Mereka beragama Islam sekadar mengikut agama ibubapa sahaja. Ini yang dapat kita lihat di sekiling kita hari ini, ramai orang Islam mudah terpengaruh dan menerima sesuatu perkara, fahaman, pakaian dan cara hidup dari luar walaupun ianya bercanggah dengan agama Islam.

Insya Allah bermula di siri ini Suara Taqwa akan cuba menerangkan sedikit sebanyak konsep agama Islam agar ianya lebih mudah difahami dan dihayati oleh semua lapisan warga SMK Elopura.


KEWUJUDAN ALLAH SEBAGAI PENCIPTA


Apabila kita lihat disekeliling kita, banyak perkakasan dan alat kemudahan telah kita guna. Ambil contoh pen, adakah pen itu wujud sendiri dengan banyaknya. Adakah buku-buku yang kita baca telah lama wujud dan dijumpai dimana-mana? Begitu juga kereta, kapal terbang, dapur, televisyen dan apa saja yang kita gunakan dalam kehidupan seharian. Adakah semua peralatan ini terjadi dengan sendirinya. Kalau ada seseorang mengatakan bahawa barang-barang tersebut adalah semulajadi hanyak diambil didalam hutan atau didalam bumi. Bolehkah kita menerimanya? Mungkin kita akan anggap orang yang berpandangan sedemikian sebagai gila atau tidak betul.

Ini kerana kita telah mengetahui bahawa barang-barang tersebut ada orang yang mereka cipta dan membuatnya. Barang tersebut dikeluarkan di kilang-kilang dan dipasarkan untuk kegunaan manusia. Semua barang yang direka cipta itu ada tujuannya. Tidak kita jumpa manusia membuat sesuatu barang tanpa faedah. Paling kurang pun ianya untuk tontonan dan kepuasan diri.

Apabila kita melihat barang-barang atau peralatan tadi, kita dapat bayangkan pembuatnya yang bijaksana dan mempunyai kepandaian yang tidak ada pada orang lain. Alangkah hebatnya orang yang mencipta kapal terbang. Besi yang begitu berat boleh terbang di angkasaraya! .

Kita merasa kagum dengan manusia yang dapat mencipta perkara-perkara pelik. Tapi pernah kita rasa bahawa kita sebagai manusia ini sebagai makhluk yang pelik dan mempunyai pelbagai keistimewaan. Manusia boleh melakukan apa saja bahkan manusia jugalah yang dapat mereka dan membuat barang-barang yang hebat dan pelik tadi. Begitu juga kalau kita lihat alam di sekitar kita. Binatang-binatang yang pelbagai jenis dapat membiak dengan baik dengan mempunyai pelbagai kelebihan masing-masing. Lihat sistem bumi yang cantik tersusun dengan pusingan bumi menjadi siang dan malam dalam tempoh 24 jam tak pernah lebih dan terkurang. Banyak lagi unsur-unsur alam lain yang boleh kita renungkan. Adakah ini semua wujud dengan sendiri tanpa sesiapa yang mereka ciptanya?

Kalau kita lihat sebatang pen, mustahil ianya wujud dengan sendiri dengan fungsinya yang tersendiri diguna untuk menulis dengan pelbagai warna dakwat. Ada orang yang membuatnya. Alam ini yang lebih canggih ini bolehkah ianya kebetulan wujud dengan keistimewaan begitu rupa dan ianya tak pernah pula rosak. Inilah yang perlu kita selalu renung dan fikir. Sudah tentu ada seseorang yang menciptanya dan orang itu mestilah orang maha bijaksana. Kita sebagai orang Islam percayabahawa pencipta alam ini dan juga manusia ini adalah Allah Taala yang Maha Kuasa dan Maha Bijaksana.

Persoalannya, adakah Allah jadikan alam ini dan juga manusia ini sia-sia dengan tanpa tujuan? Adakah manusia juga mencipta alatan dan barang-barang tanpa tujuan? Kenapa manusia mencipta kereta? Peti sejuk? Pensil dan sebagainya? Apakah tujuan utama Allah jadikan manusia dan alam ini dan apakah yang dia mahu? . Jumpa lagi di keluaran akan datang.

No comments: