Thursday, July 09, 2009

SABDA JUNJUNGAN : Hati penentu Amalan

وَعَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ عَبْدُالرَّحْمَنِ بنِ صَخْرٍ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ قَالَ: قَالَ رَسُولُ الله : "إِنَّ اللهَ تَعَالَى لا يَنْظُرُ إِلَى أَجْسَامِكُمْ, وْلا إِلَى صُوَرِكُمْ وَلَكِنْ يَنْظُرُ إِلَى قُلُوبِكُمْ وَأَعْمَالِكُمْ

رواه مسلم

Mafhumnya: Dari Abi Hurairah, Abdur Rahman bin Sakhr r.a berkata Rasulullah s.a.w telah bersabda: "Sesungguhnya Allah tidak memandang kepada susuk tubuh badan kamu, Dia juga tidak memandang rupa paras dan penampilan kamu. Akan tetapi Allah memandang kepada hati dan amalan kamu" Hadis diriwayatkan oleh Muslim

PENGAJARAN YANG DAPAT DIAMBIL DARI HADIS

Antara pengajaran yang boleh diambil dari hadis di atas amatlah banyak diantaranya ialah:

1. Ganjaran pahala keatas amalan atau aktiviti muslim bergantung kepada apa yang terdetik di hati daripada perasaan ikhlas dan niat yang baik. Amalan yang baik tidak disertakan dengan niat atau berniat bukan kerana Allah adalah sia-sia dan tidak ada ganjaran yang dijanjikan oleh Allah. Tetapi amalan yang haram tidak boleh dihalalkan dengan niat yang baik seperti perbuatan mencuri tidak menjadi halal walaupun dilakukan dengan niat baik ingin membantu orang miskin.


2. Umat Islam dituntut mengambil berat tentang hati dan membetulkan objektif dan tujuan serta membersihkannya dari segala sifat-sifat tercela yang dimurkai Allah. Hati yang selalu dibiarkan dan tidak didik dengan ikhlas kepada Allah akan selalu cenderung kepada sifat mazmumah seperti riak, sombong, takbur dan sebagainya. Malahan lebih teruk lagi apabila keadaan ini tidak lagi dianggap salah atau berdosa.


3. Mengambil berat tentang membersihkan hati diutamakan daripada amalan anggota kerana amalan hati dapat menentukan segala nilai ibadat dalam Islam. Walau banyak mana sekalipun amal ibadat dan kebajikan dibuat tetapi hati tidak selaras dengan kehendak Allah seperti tidak ikhlas dan sebagainya amalannya akan sia-sia. Amalan yang sedikit tetapi ikhlas kerana Allah adalah sangat tinggi nilainya di sisi Allah.


4. Boleh jadi amalan seseorang manusia itu baik tetapi niatnya rosak. Tetapi kita sebagai manusia biasa hendaklah mengambil pendirian dari segi zahir atau luaran sahaja. Apabila amalan seseorang itu baik pada zahirnya itulah yang kita terima dan jangan dipertikaikan. Kesahihan amalan sesorang atau keikhlasannya hendaklah kita serahkan kepada Allah Taala kerana hanya Dia sajalah yang maha mengetahui apa yang tersembunyi.

No comments: