Pulang dari masjid, beliau akan bersarapan, bersiap lalu
terus turun bekerja. Ayah hanyalah seorang penoreh getah yang tidak mempunyai
waktu kerja tetap. Terpulang kepadanya untuk memulakan kerja pada bila-bila
masa. Namun, ayah hampir sentiasa memulakan kerja seawal pagi tanpa berlengah.
Jika cuaca hujan dan getah tidak dapat ditoreh, ayah akan
membawa parang masuk ke kebun untuk menebas semak. Jika tidak, beliau akan
berkebun di sekitar rumah — menanam serta mengurus tanaman yang sedia ada.
Seolah-olah setiap pagi mesti diisi dengan kehidupan, gerakan dan manfaat.
Ayah pernah berpesan kepada saya:
“Allah wajibkan solat Subuh di awal pagi sebagai tanda
rutin hidup umat Islam.”
“Orang Islam sikapnya ialah memulakan kehidupan seawal
pagi.”
“Rasulullah ﷺ dan para pejuang Islam bangun lebih awal lagi. Mereka
qiamullail pada satu pertiga malam.”
“Kita sebagai orang awam, sekurang-kurangnya bangun Subuh
dan terus mulakan kehidupan.”
“Kenapa orang Islam gagal? Sebab mereka sudah tidak ikut
perintah Allah.”
“Allah perintah kita tidur awal dan bangun awal pagi.
Tetapi ramai orang Islam buat sebaliknya. Tidur lewat dan bangun lewat. Usahkan
qiamullail, solat Subuh pun sering terlajak.”
Ayah memang marah jika saya tidur selepas Subuh.
“Jangan tidur lepas Subuh! Kalau nak tidur juga, tidurlah
selepas kerja sekitar jam 12 tengah hari. Itu namanya qailulah.”
Ketika kecil, saya merasakan ayah terlalu tegas. Namun
apabila dewasa dan mula belajar tentang agama serta kehidupan, barulah saya
memahami bahawa prinsip itu sebenarnya sangat besar nilainya. Ia bukan sekadar
disiplin orang kampung, tetapi sebahagian daripada sunnatullah dan panduan
hidup Islam.
Tidur awal dan bangun awal ialah fitrah kehidupan yang Allah
susunkan untuk manusia. Pagi adalah waktu keberkatan, waktu tenaga dan waktu
terbukanya pintu rezeki.
Rasulullah ﷺ
bersabda:
اللَّهُمَّ بَارِكْ
لِأُمَّتِي فِي بُكُورِهَا
“Maksudnya: Ya Allah, berkatilah umatku pada waktu pagi
mereka.”
— Riwayat Abu Dawud dan al-Tirmizi
Allah SWT juga berfirman:
وَجَعَلْنَا
النَّهَارَ مَعَاشًا
“Dan Kami jadikan siang untuk mencari kehidupan.”
— Surah al-Naba’: 11
Dalam ayat lain Allah SWT berfirman:
وَمِنَ اللَّيْلِ
فَتَهَجَّدْ بِهِ نَافِلَةً لَّكَ عَسَىٰ أَن يَبْعَثَكَ رَبُّكَ مَقَامًا
مَّحْمُودًا
“Dan bangunlah pada sebahagian malam untuk bertahajud
sebagai ibadah tambahan bagimu; mudah-mudahan Tuhanmu membangkitkanmu ke tempat
yang terpuji.”
— Surah al-Isra’: 79
Ayah mungkin tidak mengenal istilah self-development,
productivity atau motivational mindset. Namun beliau memahami
hakikat kehidupan melalui fitrah dan agama. Beliau percaya bahawa kehidupan
yang baik bermula sejak awal pagi.
Hari ini para ilmuwan moden juga banyak membincangkan
tentang kekuatan rutin pagi. Robin Sharma dalam bukunya The 5 AM Club
menyebut bahawa kejayaan ramai tokoh besar dunia bermula dengan disiplin bangun
awal pagi kerana waktu pagi memberi ketenangan mental, fokus dan kekuatan
emosi.
Begitu juga pakar psikologi terkenal, William James, pernah
menyebut bahawa kehidupan manusia banyak dibentuk oleh tabiat hariannya.
Disiplin kecil yang diulang setiap hari akhirnya membentuk karakter dan
kejayaan seseorang.
Namun Islam telah mendahului semua itu sejak lebih 1400
tahun lalu. Islam bukan sekadar mengajar manusia bekerja keras, tetapi mengajar
manusia menyusun hidup mengikut aturan fitrah tidur awal, bangun malam, solat Subuh
berjemaah, memulakan pekerjaan sejak pagi dan berehat seketika pada waktu
tengah hari.
Saya kini semakin memahami bahawa ayah bukan sekadar
mengajar saya supaya rajin bekerja. Ayah sebenarnya sedang mendidik jiwa saya
tentang makna kehidupan.
Bahawa orang yang membina pagi dengan ibadah dan usaha,
insya-Allah akan membina masa depan dengan keberkatan.
Dan hari ini, setiap kali saya terjaga selepas Subuh lalu
memulakan kerja awal pagi, saya teringat kepada ayah.
Rupanya sebahagian kejayaan hidup bukan bermula dengan
kecerdikan.
Tetapi bermula dengan kemampuan untuk bangun awal pagi.
Semoga prinsip ini menjadi ikutan dan amalan saya dan
anak-anak.
Ya Allah…
Ampunkanlah dosa ayah kami.
Rahmatilah rohnya.
Lapangkan kuburnya dan teranginya dengan cahaya iman.
Tempatkanlah dia bersama para solihin.
اللّهُمَّ اغْفِرْ
لَهُ وَارْحَمْهُ وَعَافِهِ وَاعْفُ عَنْهُ، وَأَكْرِمْ نُزُلَهُ، وَوَسِّعْ
مُدْخَلَهُ
Kurniakanlah kepadanya syurga yang luas terbentang…
Dan kurniakanlah kepada kami yang ditinggalkan—kesabaran yang indah dan
kekuatan untuk meneruskan legasi amalnya.
