Wednesday, July 28, 2010

Lebih Baik Bela Anak Halal dari Bela anak Haram!

Malam tadi selepas kuliah maghrib di Surau al-Rafiq, saya berpeluang bermesra dan bertanya khabar sahabat-sahabat ahli jamaah surau sambil mengirup teh panas bertemankan biskut kering.

Pelbagai topik diperbincangkan dari politik ekonomi, sosial dan pelbagai topik yang dirasakan menarik..

Ketika perbualan rancak berkaitan susahnya proses perkahwinan di Malaysia yang mempunyai pelbagai karenah birokrasi. Seorang sahabat mencelah menceritakan kisah jirannya yang membenarkan anak gadisnya yang berumur 16 tahun berkawin dengan jejaka pilihan. Anaknya yang tidak ada masa depan akedemik itu tak boleh dinasihat dan di kawal lagi.

Alasannya amat mudah.. kenapa ia tidak menghalang anak gadisnya berkahwin walau di usia muda. Jawapannya:

- Kalau tidak dibenarkan nanti dia akan lari dari rumah dan kemungkinan besar melakukan zina. Kemungkinan juga akan mengandung anak luar nikah. lebih parah.
- Biarkan anak gadisnya kawin dan lepaskan nafsu mudanya dengan cara halal senang cerita. Kalau mengandung dapat anak halal.
- kalau anak menantu tak ada kerja dan tak dapat bela anaknya itu dia sebagai datuk akan ambil tanggung jawab. katanya: "lebih baik bela anak halal dari bela anak zina!"
- Walaupun nampak kurang baik dari pandangan masyarakat kerana kawin awal dan pasangan tak ada pekerjaan tetapi apa yang penting mereka dapat memadu cinta secara halal.
- Mudharat benarkan anak gadis kawin itu lebih kecil dari mudarat zina dan buang anak yang amat keji dosanya.

Kami semua ketawa mendengar kisah ini yang pada pandangan kami penyelesaian ini amat bertepatan dengan cara islam walaupun sekali pandang ianya kurang sesuai dengan keadaan semasa. Inilah pentingnya kefahaman agama di dalam diri umat islam yang boleh digunakan untuk menyelesaikan masalah dalam kehidupan mereka dengan cara yang terbaik dan mendapat keredhaan Allah.

Thursday, July 22, 2010

Islam terbela dengan terbelanya melayu?

Saya amat tekejut mendengar seorang agamawan menyebut dalam dalam satu majlis bahawa perpaduan melayu adalah perpaduan Islam. Bumi Malaysia adalah hak Melayu dan Melayu itu adalah Islam kerana ianya telah tertulis dalam perlembagaan. Jika melihat realiti semasa secara tohor mungkin kita boleh menerima hujah ini. Tetapi apa yang dilihat daripada kesungguhan penghuraian dan semangat agamawan tadi memperlihat sesuatu perkara yang membimbangkan.

Tersasar dari manhaj Islam! Itulah yang saya dapat simpulkan. Kenapa kita beriya-iya mengutarakan pandangan mengikut penilaian akal sendiri sambil mengumpul segala hujah untuk mengukuhkan pandangannya. Sedangkan hujah yang dipakai adalah amat naif dan bersifat andaian dan bukannya berdasarkan panduan dan petunjuk dari Allah dan Rasul yang bersifat pasti.

Adakah penilaian kita lebih bijaksana dari Allah yang mengatakan bahawa taqwa dan iman itu melampaui sempadan ras dan bangsa. Bahkan Rasulullah menegaskan walaupun beliau berbangsa Arab dan al Quran itu diturunkan dengan bahasa Arab, ianya tidak menjadikan bangsa arab itu ada kelebihan apatah lagi mendapat keistimewaan tersendiri. Iman dan taqwa adalah yang utama.

Allah telah menyediakan sistem kehidupan kepada manusia melalui wadah Islam. Manhaj Islam asasnya meroboh tembok ras dan bangsa. Islam mengajar semua bangsa hidup bersama menghambakan diri kepada Allah. Sejarah telah membuktikan Islam mencapai tahap tamadun yang gilang gemilang apabila Islam dijadikan wadah penyatuan.

Sejarah cuga mencatat peristiwa pahit kejatuhan tamadun Islam apabila faktor bangsa dijadikan alasan untuk menetapkan hak dan keistimewaan. Apa yang paling menyedihkan Empayar khalifah Islam Uthmaniah terakhir dijatuhkan menggunakan senjata kebangsaan. Musuh Islam tanpa penat jemu menyuntik fahaman kebangsaan bahawa arab lebih berhak mentadbir tanah arab dan kenapa tanahair ini ditentukan nasibnya oleh bangsa Turki! Itulah senjata yang ampuh menghancurkan Islam!

Allah telah membuktikan kebejatan pemikiran dan pemahaman kebangsaan ini dengan memperlihatkan kepada kita betapa hanya kerana ingin melihat tanah arab ditadbir oleh bangsa Arab, mereka sanggup menyerahkan bumi Masjidil Aqsa, tempat persinggahan Nabi pada malam Isra’ kepada Yahudi!

Inilah hinanya kita umat Islam bila mengutamakan kebijaksanaan diri dan mengenepikan kebijaksaan Allah dalam mengurus kehidupan di bumi ini. Ingatlah amanah sebenar kita sebagai khalifah Allah ialah memperkenalkan Allah sebagai tuhan yang wajib di sembah dan dipuja kepada semua bangsa di atas muka bumi ini. Gunalah kebijaksanaan minda yang dianugerahkan Allah untuk mempromosikan Islam dan berusaha untuk hidup bersama diatas bumi Allah ini. Mengatakan Islam itu melayu dan melayu itu islam dibimbangi akan membantutkan perkembangan Islam di bumi Malaysia ini.

Allah menafikan bumi ini diciptakan untuk bangsa Arab, jauh sekali untuk bangsa Melayu. Bumi ini adalah untuk orang beriman dan bertaqwa kepada Allah. Jangan kita tersilap langkah.

Wednesday, July 21, 2010

Kurangkan Tidur Bangunlah Mengadap Allah!


Ayat yang kedua yang digunakan oleh Dr Abdullah Nasih Ulwan dalam menggariskan perbezaan antara generasi zaman kegemilangan Islam dan generasi masakini ialah ayat 17 hingga 19 surah al-za:riya:t:

كانوا قليلا من الليل ما يهجعون وبالأسحار هم يستغفرون وفي أموالهم حق للسائل والمحروم

mereka sentiasa mengambil sedikit sahaja: masa dari waktu malam, untuk mereka tidur. dan pada waktu akhir malam (sebelum fajar) pula, mereka selalu beristighfar kepada Allah (memohon ampun). dan pada harta-harta mereka, (ada pula bahagian Yang mereka tentukan menjadi) hak untuk orang miskin Yang meminta dan orang miskin Yang menahan diri (daripada meminta). (al-za:riya:t 51:17-19)

Antara ciri-ciri orang beriman yang berjaya yang digariskan di sini ialah:

1. Sanggup mengenepikan keselesaan dan kerehatan demi kereinduan mengadap Allah taala pada waktu yang paling disukainya.

2. Sanggup bangun awal untuk memohon ampun dan bermunjat kepada Allah walaupun terpaksa meninggal saat tidur yang paling indah.

3. Harta dan wang ringgit digunakan untuk membantu saudara seislam yang kesusahan yang telah ditakdirkan Allah kurang mendapat rezeki dan kesenangan dunia.

Jika kita renungi dan hayati ayat ini dengan mendalam dan cuba kita lihat kepada diri kita. Adakah ciri-ciri ini sudah ada dalam diri kita? Ramai dikalangan kita mengeluh tentang kemunduran dan kelemahan Islam. Malah umat islam dilanda pelbagai masalah kehidupan yang teruk yang kadangkala lebih teruk dari mereka yang kufurkan Allah.

Antara sebabnya ialah masyarakat islam kita amat naif dari memiliki sifat-sifat di atas. Pernah saya mendengar keluhan pimpinan dewan ulamak sebuah parti Iislam di malaysia. Beliau mengatakan bagaimana perjuangan Islam di Malaysia mahu mencapai kemenangan sedangkan pejuang-pejuang Islam yang bertaraf ulamak pun tidak ramai yang sanggup mengurangkan tidur bangun mengadap Allah. Beliau mengatakan dalam satu program pernah diajukan soalan siapakah yang istiqamah qiamullail sekurang-kurangnya sekali seminggu? Hanya tiga atau empat orang sahaja yang mengangkat tangan.

Inilah masalah yang dihadapi oleh kita semua. Ramai yang bercakap bedegar-degar mahu memperjuangkan islam dan sanggup berjihad melawan musuh. Tetapi malangnya pejuang-pejuang berpangkat general sendiri pun masih tak mampu melawan hawa nafsu. Apatah lagi orang awam yang kurangnya ilmu dan iman.

Marilah kita mulakan untuk melatih diri kita untuk berjihad dan berkorban untuk Allah. Ketepikan keseronokan dan keselesaan di dunia. Kejarlah apa yang telah di janjikan Allah di akhirat. Dunia adalah tempat untuk bekerja. Akhirat adalah tempat untuk berehat bersama bidadari di dalam istana yang amat indah.

Tuesday, July 20, 2010

Antara Dua Generasi

Sudah lama saya tidak membuat coretan di blog ini. Rancangan untuk menajamkan mata pena terhenti seketika dengan alasan remeh iaitu ingin menyimpan kekuatan minda untuk menyiapkan kajian sarjana yang dilihat masih jauh lagi untuk mencapai penghujungnya. Tugasan bersama masyarakat pun banyak telah dikurangkan kekerapannya demi meluangkan masa untuk mendalami buku-buku ilmiah yang bertimbun.

Hanya satu perjumpaan saja yang saya tidak punya alasan yang kukuh untuk menolak.Bahkan tidak sampai hati untuk berpisah dengannya. Majlis ilmu bersama pelajar Kolej Kejuruteraan MAS setiap hari isnin adalah merupakan majlis yang tidak ternilai. Pelajar-pelajar yang dahagakan ilmu agama dan bimbingan sentiasa setia memeriahkan taman syurga sehingga lewat waktu isyak. Suasana inilah yang memberi kekuatan kepada saya untuk mengenepikan segala keletihan dan kejerihan aktiviti seharian yang kadangkala nikmat rehat dan makan terpaksa diketepikan seketika. Hambatan masa dan waktu sudah menjadi rutin kehidupan di Kuala Lumpur.

Majlis ilmu malam tadi membincangkan perbezaan antara generasi Rasulullah dan para sahabat dengan generasi umat Islam masa kini. Kenapa generasi Islam dahulu begitu hebat dapat menguasai kehidupan dunia dan akhirat sedangkan generasi masakini hanya sekadar buih di lautan yang tidak mempunyai nilai dunia dan akhirat.
Isu ini telah di utarakan oleh Dr Abdullah Nasih Ulwan sebagai pendorong untuk menyusun bukunya Pendidikan Kanak-kanak berdasarkan Islam. Beliau memetik beberapa ayat al-Quran sebagai perbandingan antara dua generasi. Antara ayat tersebut ialah ayat 29 surah al fath:

محمد رسول الله والذين معه أشداء على الكفار رحماء بينهم ترهم ركعا سجدا يبتغون فضلا من الله ورضوانا سيماهم في وجوههم من أثر السجود

Nabi Muhammad (s.a.w) ialah Rasul Allah; dan orang-orang Yang bersama dengannya bersikap keras dan tegas terhadap orang-orang kafir Yang (memusuhi Islam), dan sebaiknya bersikap kasih sayang serta belas kasihan kasihan sesama sendiri (umat Islam). Engkau melihat mereka tetap beribadat rukuk dan sujud, Dengan mengharapkan limpah kurnia (pahala) dari Tuhan mereka serta mengharapkan keredaanNya. tanda Yang menunjukkan mereka (sebagai orang-orang Yang soleh) terdapat muka mereka - dari kesan sujud (dan Ibadat mereka Yang ikhlas)…. (Surah al-fath 48:29)

Ayat ini menghuraikan akhlak peribadi masyarakat Islam zaman Rasulullah.
1. Bersikap tegas terhadap orang kafir. Sentiasa berusaha mengutarakan bahawa Islam adalah agama yang benar.
2. Berlembut , mudah bertolak ansur, saling membantu sesama Islam.
3. Sentiasa Taat dan patuh kepada perintah Allah.
4. Sentiasa mencari, berusaha, merebut peluang mendapat apa-apa habuan yang telah di janjikan oleh Allah.
5. Mengutamakan keredhaan Allah dalam setiap aspek kehidupan.
6. Penampilan diri menyerlahkan sifat taqwa, rendah diri dan berjiwa hamba.

Ini adalah merupakan satu ayat daripada beberapa ayat yang dipetik oleh Dr Abdulah Nasih Ulwan yang menggariskan perbezaan antara dua generasi. Cukuplah dulu dengan satu ayat ini yang menjadi renungan kita bersama untuk hari ini. Marilah kita sama-sama berusaha mengembalikan sifat-sifat ini pada generasi islam kini. Ianya bermula dengan diri kita!