Penerbangan Oman Air dari Muscat mendarat di Lapangan Terbang Queen Alia tepat pada masa yang dijadualkan. Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT yang telah mengatur perjalanan hamba-Nya. Benarlah firman Allah SWT:
﴿وَمَا
بِكُم مِّن نِّعْمَةٍ فَمِنَ اللَّهِ﴾
"Dan segala nikmat yang ada pada kamu, maka
datangnya daripada Allah." (Surah al-Nahl: 53)
Setelah 27 tahun meninggalkan bumi Jordan, tidak pernah saya
menyangka bahawa Allah SWT akan membuka ruang untuk saya kembali menjejakkan
kaki ke bumi yang menyimpan begitu banyak kenangan dan nostalgia kehidupan. Ada
tempat yang kita tinggalkan dengan jasad, tetapi tidak pernah benar-benar pergi
dari hati. Jordan ialah salah satu daripadanya. Tercapai juga hasrat dan impian
yang sekian lama terpendam untuk kembali ke bumi Jordan, sebahagian daripada
dataran Syam yang pernah menjadi saksi perjalanan menuntut ilmu dan membina
kehidupan pada suatu ketika dahulu.
Jemputan Allah akhirnya tiba pada tahun ini apabila
notifikasi tiket murah muncul di telefon bimbit saya bagi laluan Kuala
Lumpur–Amman. Terima kasih kepada Oman Air yang memberikan peluang untuk saya
kembali ke Jordan dengan harga tiket yang tidak sampai RM2,500. Kebiasaannya,
harga tiket ke Jordan mencecah RM4,000, dan jika terdapat promosi sekalipun,
harganya masih sekitar RM3,000.
“First time in Jordan?”
Tanya pegawai imigresen kepada saya sambil membelek-belek
pasport.
“La... thani marrah,” jawab saya sambil menguntumkan
senyuman.
“Ahlan wa sahlan ila al-Urdun.”
Katanya sambil menghulurkan pasport kepada saya.
Proses imigresen berlangsung dengan amat lancar. Banyak
kaunter dibuka dan saiz lapangan terbang yang tidak terlalu besar turut
membantu mempercepatkan proses ketibaan. Ketika menunggu bagasi tiba, saya
bertanya kepada seorang kakitangan tentang lokasi tandas.
“Law samaht, wain al-hammam?”
“Shuf hunak, akhir zawiyah ‘ala al-yamin.”
Hati saya berbunga mendengar perbualan dalam bahasa Arab
dengan lahjah Jordan yang telah lama saya rindui. Kali ini, saya berpeluang
menggilap semula penguasaan lahjah Jordan yang sudah lama ditinggalkan.
Sementara menunggu bagasi yang masih belum tiba, saya
mencari mesin ATM untuk mendapatkan wang dinar Jordan. Saya tidak membuat
sebarang persediaan wang tunai sebelum berangkat. Sebaliknya, saya hanya
membawa kad kredit dan kad debit yang telah diaktifkan untuk pengeluaran di
luar negara.
Rupa-rupanya, caj perkhidmatan yang dikenakan ialah JD10
bagi setiap transaksi pengeluaran. Had maksimum pengeluaran pula hanyalah
JD250. Agak mengejutkan apabila mengetahui bahawa caj pengeluaran di lapangan
terbang begitu tinggi. Jika menggunakan mesin ATM di luar lapangan terbang, caj
yang dikenakan biasanya sekitar JD5 sahaja.
Walau bagaimanapun, saya terpaksa juga mengeluarkan wang
tunai untuk membayar kos sewa kereta dan beberapa urusan lain yang memerlukan
pembayaran secara tunai.
