Sunday, December 01, 2024

KETIKA BANJIR MELANDA, ADA YANG PANIK, ADA YANG RILEKS. ANDA NAK JADI GOLONGAN MANA?

 Baru-baru ini seluruh negara gempar dengan banjir di Kuantan, Pahang. Saya terperanjat dengan gambar di akhbar bagaimana berderet kereta tenggelam dek banjir. Beribu-ribu rumah dinaiki air di mana sebelum ini ia dianggap mustahil untuk tenggelam.

Kami yang menetap jauh di Selangor dan seluruh negara cuba membantu dan Alhamdulillah, banyak sungguh ’agen-agen syurga’, sukarelawan tenaga penggerak yang sudi mengumpulkan baju, air minuman dan sebagainya kepada mereka.

Kebetulan saya ada seorang rakan yang menetap di Kuantan. Muhaimin namanya. Rumah beliau rosak teruk akibat dinaiki air. Habis segala perabot, pakaian dan barangan lain terpaksa dibuang. Kerugian jangan dihitung. Hanya Tuhan sahaja yang tahu betapa besarnya ’sentimental value’ yang ada pada barangan itu.
Namun begitu, saya terkesima dengan cerita yang Muhaimin sampaikan tentang kisah ketabahan luarbiasa jirannya iaitu Haji Basir. Beliau seorang kerani bank sahaja. Tetapi di kawasan perumahan itu, beliau lebih dikenali sebagai ’orang kuat surau’. Selalu terjadi, ketika semua penduduk lena diulit mimpi, beliau seorang diri setia hidupkan surau. Solat subuh dialah bilal, dialah imam dan dialah juga makmum.
Dan seperti orang lain, rumahnya juga tidak terkecuali dilanda banjir. Cuma Muhaimin berkongsi dengan saya rasa kekagumannya terhadap Haji Basir :
"Asraff, kau tahu, ketika semua orang sibuk bersihkan rumah, dia tiba-tiba ’berceramah’ kepada kami mengajak ke surau solat asar...."
"Surau tak naik air ke?" Saya agak kehairanan.
"Tidak, kerana surau di kawasan bukit paling tinggi.."
Sambung Muhaimin

"Beliau kata, kan elok kita solat asar, kemudian solat hajat minta Tuhan tabahkan hati kita hadapi musibah.."
Sungguh bagus cadangan itu. Saya berbisik sendirian. Bukankah Tuhan telah berkongsi teknik, jika kita ditimpa masalah, cubalah cari penyelesaian dengan solat dan sabar :

"Wahai orang beriman, mohonlah bantuan dari TuhanMu dengan sabar dan solat. Sesungguhnya Allah sentiasa bersama orang sabar" (Surah Al-Baqarah, 153)
"Habis tu, kau pergi ke tidak?"
"Saya pergi… .tapi tak ramai yang join sekali. Adalah tiga-empat orang..."
Benar kata ulama, amat sukar untuk kita melaksanakan solat mengadu kepada Tuhan ketika menghadapi bencana besar. Ujian Allah seolahnya tidak membawa sebarang erti yang signifikan. Sepatutnya ujian mendekatkan tapi kini ia terbalik, semakin menjauhkan. Kita lebih senang untuk menyelesaikan masalah mengikut pemikiran manusia yang kononnya ’mujarab’. Cara Tuhan selalunya diletak di nombor terakhir sekali.
"Yang saya tak tahan tu Asraff, orang lain ketika itu ramai merungut. Paling saya kasihan pihak kerajaanlah. Macam-macam kutukan orang cakap.. Ketua kampung pun teruk kena. Ahli politik jangan kira, lunyai kena sembur bila datang ke tempat kami ni. Masing-masing macam hilang akal bila banjir ni..." Muhaimin meneruskan cerita.
Saya tergelak sedikit. Itu perkara normal.
"Tapi dalam ramai-ramai tu, orang yang paling rileks saya tengok hanya Haji Basir. Dia asyik tersenyum je. Sedikit pun dia tidak merungut padahal rasanya, rumah beliau antara yang paling teruk dinaiki air..."
Tentu ada rahsia yang Haji Basir amalkan sehingga beliau begitu tenang di saat hati manusia lain teruk dilanda ’banjir kegelisahan’. Saya bertanya lagi ’kau tak tanya ke apa rahsia beliau?’
"Ada. Panjang lebar saya dengar syarahannya ketika menolong beliau bersihkan selut ruang tamu rumahnya itu..."

"Hah... Ceritalah kepada saya juga". Saya cuba mengorek rahsia.
"Insaf betul saya ketika itu. Haji Basir kata, tak seharusnya kita merungut-rungut ketika banjir. Sebenarnya semua malapetaka ni Allah datangkan kerana Dia ingin menguji kita samada masih ingat lagi ke tidak padaNya. Itu sebabnya Haji Basir ajak semua orang solat jemaah dan solat hajat..."
Muhaimin menambah lagi "Haji Basir bilang, bila kita solat, itu bermakna kita serahkan segalaNya kepada Dia. Nanti tahulah Dia macammana nak ’settle’kan masalah itu. Dan saya lihat Haji Basir banyak tersenyum kerana bagi beliau masalah banjir ni macam dah tak ada. Semuanya dah diserah kepada Tuhan..."

"Tinggi maqamnya kekuatan dalaman Haji Basir tu kan. Nanti kalau kau jumpa dia, jangan lupa sampaikan salam saya kepadanya ya....". Saya memohon Muhaimin sambungkan keberkatan kami melalui salam.

No comments: