Sunday, December 01, 2024

HULUR TANGAN UNTUK DIROTAN

 Rotan 2

Pembelajaran bahasa Arab kelas 3A berjalan seperti biasa. Saya tidak ingat berapa jam diperuntukan untuk seminggu. Seingat saya kelas bahasa Arab hanya dua kali seminggu. Mungkin 4 jam atau 3 jam dengan satu jadual anjal.

Setelah beberapa bulan mengajar saya mengkelaskan pelajar 3A kepada 3 kelompok. Kelompok 1 yang pandai, kelompok kedua sederhana dan kelompok ketiga adalah pelajar yang lemah. Kelompok lemah ini seingat saya ada 6 orang semuanya lengkap satu kumpulan. 3 orang dari mereka ialah Fidah, Adilah dan Jamilah yang datang berjumpa saya agar menukar kaedah peneguhan dengan menggunakan rotan. 


Tiga kelompok ini saya sudah tentukan tempat duduk dan kumpulan mereka. Jadi apabila kelas bahasa Arab mereka akan bergerak mengikut kelompok masing-masing. Objektif pengajaran adalah sama untuk semua kelompok. Namun aktiviti dan aras pencapaian adalah berbeza.

Qiyaamannnn. Man yujib ala al islah fal yajlis ( Semua berdiri. Siapa boleh jawab soalan dia boleh duduk)”.

Itulah antara rutin saya selepas set induksi, saya meminta semua pelajar bangun untuk aktiviti kuiz pantas ulangkaji tajuk lepas dan juga kosa kata bahasa Arab. Biasanya saya akan sediakan sekitar 20 soalan untuk dijawab. Soalan ini akan diulang-ulangkan kepada pelajar dengan harapan pelajar akan belajar dari jawapan telah diberi oleh pelajar lain.

Seperti biasa, kelompok pelajar pandai akan dapat menjawab dengan pantas dan dapat duduk lebih awal, kemudiannya disusuli oleh kelompok kedua. Manakala kelompok ketiga ini lah yang biasanya tertinggal dan lambat untuk dapat menjawab. Apabila hanya tinggal kelompok mereka sahaja yang tidak dapat menjawab dengan baik, saya akan mengulang-ulang soalan yang sama yang dapat dijawab oleh kelompok satu dan dua.

Kaedah ini membuatkan mereka lebih fokus dan memerhati kepada jawapan pelajar kelompok satu dan dua. Kaedah ini berkesan dan ramai dapat menjawab dengan baik. Jika pelajar tidak dapat menjawab dan tempoh 5 minit sudah selesai kuiz selesai pelajar akan dihukum. Tapi hanya 3 orang itu sahaja, Fidah, Adilah dan Jamilah yang akan dirotan. Manakala yang lain sekadar diberi nasihat.

 Agak lucu juga mengenang keadaan mereka bertiga. mereka secara sukareka akan menghulurkan tangan untuk dirotan jika sudah habis tempoh masa kuiz dan mereka masih lagi belum menjawab.

“Papppp”. Bunyi rotan bila mencecah tapak tangan. Saya akan merotan secara sederhana ringan sahaja agar mereka tidak sakit. Tapi mereka ini tersenyum saja tanpa menunjukkan rasa cemas atau takut.

Selepas beberapa bulan, saya melihat perubahan yang agak drastik prestasi Fidah, Adilah dan Jamilah. Mereka semakin cepat menjawab dan amat jarang dirotan. Nampaknya rotan berjaya meningkatkan motivasi mereka untuk lebih fokus dan kadar usaha belajar dan mengingat isi pelajaran yang diajar. Rotan berjaya mengubah mereka.

Kadangkala saya memberi hadiah kepada mereka bertiga kerana peningkatan mereka dalam menjawab kuiz dan juga latihan. Ada juga suara suara irihati dari kelompok satu dan dua. Saya hanya menjawab.

“Mereka sanggup dirotan untuk berjaya, Jadi mereka berhak mendapat hadiah bila mencapai tahap yang baik walaupun ianya setara dengan kamu semua”.

Saya kagum dengan semangat pelajar-pelajar di sini. Mereka sebenarnya tidak berpeluang untuk mendapat pendedahan pendidikan yang sama dengan pelajar di semanjung. Suasana di rumah mereka amat kurang membantu mereka untuk belajar. Mereka hanya dapat belajar di sekolah.

Justeru saya pengajaran saya banyak melibatkan latih tubi dan aktiviti dalam kelas sahaja. Saya tidak memberi kerja rumah kepada pelajar saya. Bahkan untuk belajar bahasa Arab saya mereka tidak perlu pun buku teks ke sekolah. Buku kerja dan buku latihan bahasa Arab ditingalkan di sekolah di rak yang telah di sediakan. Setiap kali kelas bahasa Arab bermula ada pelajar yang telah ditugaskan untuk mengambil dan mengagihkan buku kerja atau buku latihan kepada rakan-rakan yang lain.

Memang belajar bahasa Arab amat tidak membebankan mereka. Ramai semakin meminati bahasa Arab. Alhamdulillah.

No comments: