Tuesday, December 03, 2024

MAK SAYA TAK PERCAYA SAYA LULUS BAHASA ARAB

Rotan 3 

Sebagaimana biasa, Fidah, Adilah dan Jamilah mengikuti aktiviti pembelajaran dalam kelas 3 A  dalam kelompok ketiga. Prestasi mereka sudah semakin baik namun masih lagi belum mencapai tahap sederhana jauh lagi kelompok pandai.

Fidah sangat lemah bahasa Arab terutama dari aspek kemahiran membaca dan menulis. Bayangkan dia masih teragak-agak untuk membezakan antara huruf sin dengan syiin dan huruf sad dan dhad. Itu adalah perbezaan yang mudah. Apabila dia menulis perkataan atau ayat yang ada huruf tersebut jarang sangat tidak ada kesalahan. 


Biasanya cabaran besar yang dihadapi oleh pelajar ialah dari segi sebutan bunyi huruf. Bagiamana ingin membezakan bunyi huruf Ha pedas dan Ha bulat,  zal dan zai, alif dan ain, Sin dan Sad, zai dan Zo dan beberapa bunyi lagi.

Saya kategorikan mereka bertiga ini amat lemah. Tapi semangat mereka ingin belajar bahasa Arab adalah amat tinggi. Mereka mendaftar Bahasa Arab untuk peperiksaan PMR nanti. Saya pun tidak pasti kenapa mereka begitu berani. Saya pula menjadi takut. Kalau mereka gagal, sudah sah saya akan menjadi penyebab kejatuhan peratus lulus PMR tahun ini.

“Betul kamu bertiga nak daftar bahasa Arab untuk PMR?”. Saya bertanya untuk mendapat kepastian

“Iya Ustaz. Kami nekad. Kami bertiga sudah berjanji ingin belajar bersungguh-sungguh hingga lulus PMR nanti”. Tegas Adilah memberitahu saya mewakili kawan-kawannya.

“Kamu sudah fikir betul-betul? Gagal bahasa Arab, kamu dikira gagal PMR. Kamu boleh je belajr bahasa Arab walaupun tidak daftar peperiksaan”. Saya mengingatkan mereka.

Mereka tetap dengan pendirian mereka. Jadi saya pasrah. Saya membuat analisa tentang bentuk soalan bahasa Arab PMR dan juga cara pemeriksaan dan skema pemarkahan. Saya mendapati ada beberapa teknik untuk memastikan mereka lulus.

Saya telah memberi latihan khusus untuk mereka dengan mengahafal dan menulis hanya satu jenis karangan sahaja. “Uhibbu Madrasati”. Itulah tajuk karangan yang mereka kena tulis setiap hari dalam kelas bahasa Arab. Nanti dalam peperiksaan nanti mereka tak perlu pun baca soalan. Mereka hanya perlu tulis saja karangan tersebut untuk mendapat markah bahasa sahaja. Kalau terkena dengan tajuk itu adalah bonus.

Manakalan soalan memahami teks saya mengajar mereka untuk mencari perkataan yang sama dalam soalan dan mencarinya dalam teks kefahaman. Jika jumpa perkataan tersebut mereka hanya perlu salin semua ayat dalam teks sebagai jawapan. Kalau jawapan tidak tepat, mereka masih lagi dapat sekurang-kurangnya satu markah.

Bagi soalan membina ayat, saya melatih mereka membina ayat mudah sahaja. Bina ‘Jumlah mufidah’. Mengenali yang mana kata nama dan juga kata kerja. Bagaimana nak bezakan kata kerja ‘muzakkar’ dan juga kata kerja untuk ‘muannath’. Sebelum mula kelas, saya saya akan buat kuiz ringkas kosa kata bahasa Arab yang menjadi sukatan tingkatan1 hingga 3. Semua kosa kata tersebut ada tersenarai di bahagian belakang sukatan. Kalau salah, berbirat tangan  dihinggap rotan.

Alhamdulillah, sehingga minggu peperiksaan, mereka sudah ingat dan mahir hampir 80% kosa kata bahasa Arab. Mereka juga cekap menulis karangan ‘Uhibbu madrasati’. Saya hanya ingin mereka lulus sahaja, bukan untuk dapat C jauh sekali B dan A.

Menjelang peperiksaan PMR. 3 sekawan itu mengatakan mereka dapat menjawab semua soalan. Memang petua yang saya ajar, mereka mesti jawab semua soalan. Jangat tinggalkan tanpa jawapan. Tulis lah apa saja. Kemungkinan besar mereka boleh dapat markah simpati dari pemeriksa atau markah upan menulis.

Ketika keputusan PMR diumumkan saya amat berdebar menghitung nasib. Sebelum ini matapelajaran bahasa Arab lah yang menjadi perosak kepada peratusan lulus PMR. Begitu juga dia mengganggu pencapaian pelajar yang mengimpikan keputusan semua A.

“Tahniah Ustaz. Tahun ini semua pelajar kelas 3 A lulus”. Maklum Cikgu Azhar pada saya sejurus saya masuk ke bilik guru.

“Masudnya tiada pelajar bahasa Arab yang gagal?”. Tanya saya ingin dapat kepastian.

Iya la.. lulus semua la.. ada yang dapat A lagi.. Hebat budak kita kali ini”. Seronok betul Cikgu Azhar bercerita.

Saya lagi seronok kerana semua pelajar bahasa Arab lulus dan ada yang dapat A. Tetapi cikgu Azhar tidak memberi keputusan mengikut matapelajaran. Dia belum sempat buat analisis lagi katanya. Kena tanya pelajar berdasarkan slip keputusan masing-masing.

Tiba-tiba beberapa orang pelajar perempuan masuk kebilik guru. Fidah, Adilah dan Jamilah rupanya.

“Ustaz… Kami lulus bahasa Arab. Kami macam ndak percaya bah ustaz..” Teriak Jamilah.

“Mamak aku pun ndak percaya bah… dia ada diluar tu. Aku sudah tunjuk sama dia”. Fidah bercerita  seolah mahu menangis gembira. Fidah dan Jamilah dapat gred D hanya lulus. Paling tak sangka ialah Adilah dapat gred C. Senyumannya meleret sampai ke pipi.

Saya hanya melayan kegembiraan mereka. Sebenarnya, sayalah insan yang paling gembira dengan keputusan ini. Saya tak sabar nak maklumkan kepada pengetua saya Cikgu Sani bahawa saya sudah buktikan Bahasa Arab tu mudah. Bahasa Arab bukan lagi pembunuh kepada kejayaan pelajar dalam PMR. Saya semakin seronok mengajar bahasa Arab, bahasa Al Quran, bahasa yang dipilih oleh Allah Taala sebagai bahasa rasmi agama Islam.

Semoga bahasa Arab terus maju.

No comments: