Monday, December 16, 2024

DALAM KESUSAHAN ADA KESENANGAN

 “Ustaz jangan jual kereta ustaz tu, dia sangat baik, tak susahkan tuan dia”..

Itu kata-kata pertama mekanik yang saya hubungi apabila saya mengadu tentang masalah yang berlaku pada kereta saya semasa pulang berhari raya korban beberapa tahun yang lepas.

Ini kali pertama dalam sejarah balik kampung untuk berhari raya kami semua mengharungi perjalanan 20 jam untuk sampai ke kampung kami di Pasir Puteh, Kelantan. Bertolak dari Bangi pukul 3 pagi sabtu dan kami sampai di Pasir Puteh pada jam 11 malam Ahad. Hampir 20 jam perjalanan dengan mengharungi kesesakan jalan yang tak masuk akal di Merapoh selama 6 jam untuk jarak 11km. 


Sepanjang kesesakan itu, banyak kereta yang membuat hal tersadai ditepi jalan. Banyak juga berlaku kemalangan kecil terlanggar kereta hadapan disebabkan pemandu yang keletihan dan mengantuk. Risau juga kereta kami bermasalah nanti sebagaimana kereta lain. Maklumlah kereta Starex Royal dah mencecah umur 8 tahun. Saya tak putus-putus berdoa agar kami selamat sampai ke kampung halaman dengan selamat. Namun, ketika 30 km sebelum sampai ke destinasi, lampu kecil amaran ESP berkelip dan seterusnya menyala sepanjang perjalanan. lampu ini katanya memberi amaran apabila kereta mengalami masalah. Hati hanya mampu berdoa agar kami sempat sampai ke destinasi.

Kalau betul-betul dia buat hal sebelum sampai ke destinasi, saya tak dapat gambarkan bagaimana nak uruskan keluarga besar saya yang terdiri dari 10 orang. Tak kira lagi barang-barang persiapan hari raya yang bukan sedikit. Kereta dah mula terasa kurang prestasinya dengan pecutan semakin kurang. Tapi alhamdulillah sempat sampai  dan dipakirkan dihujung halaman rumah.

Pagi esok iaitu pada pagi hari raya, kereta Starex langsung tak boleh bergerak. Ke empat-empat tayar telah dipegang kemas  oleh brek. Pam brek rosak. Ketika ini lah saya menelefon kawan saya mekanik Hyundai. Tetapi pada hari raya aidilfitri ini apa yang boleh dibuat, semua orang mahu bersama keluarga. Ketika inilah abang mekanik ni menasihati saya agar bersyukur pada Allah kerana telah memberi kesenangan pada saya dengan tidak menguji saya dengan kerosakan kereta di Merapoh sana.

Allah... sememangnya tidak dapat digambarkan jika   kerosakan itu berlaku di sana.  Memang kita terasa susah dengan kesusahan dan musibah yang menimpa, Namun musibah kecil itu adalah lebih ringan dari musibah lain yang  lebih berat  yang mungkin boleh menimpa kita.  Puji dan syukur pada Allah atas musibah kecil ini.


No comments: