Wednesday, December 18, 2024

SYIRIA 1 : SABAR DEMI KOTA DIMASYQ

“lissa ba’d. Syuwaiyya”.

(Belum lagi, sikit lagi). Itulah jawapan pegawai imigresen di sempadan sebelah Syiria bila kami tanya tentang pasport kami sudah selesai di cop atau tidak. Di imigresen sebelah sempadan Jordan langsung tiada masalah. Hulur pasport terus cop dan siap diucap ‘maassalaamah’.

Kami dari Jordan memasuk Syiria  melalui sempadan bandar al Ramtha di sebelah Jordan. Bila tiba di bahagian Imigresen Syiria, pemandu kami memakirkan teksinya dan meminta kami ke sebuah bangunan. Dia memberitahu kami agar mencarinya di café bila selesai nanti. 


Saya, Yusof, Zahari dan Ust Farid Ravi menyerahkan pasport kami ke kaunter imigresen. Kami nampak pegawai tu ambil pasport dan membeleknya kemudia  meletaknya di tepi sahaja. Tapi kami lihat jika orang lain yang datang dia belek dan terus cop. Pasport kami di letak begitu sahaja.

Bila kami tanya, jawapannya  belum lagi dan minta kami tunggu sekejap. Lepas sejam kami bertanya lagi. Diberi jawapan yang sama. Macam-macam kami meneka apa masalah kami sehigga ditahan begitu. Kami teringat cerita rakan-rakan yang juga sudah mencuba untuk masuk Syiria ada juga yang disidai begini dan hujungnya tak boleh masuk. Terpaksa berpatah balik. Kami berdoa agar ianya tidak berlaku kepada kami.

Setelah hampir dua jam kami menunggu dan melihat orang lain pelbagai bangsa keluar masuk tanpa ada apa-apa masalah. Kami lihat Arab dari pelbagai negara, orang barat pun mudah saja urusan mereka. Ada juga kami bertanya mereka dari mana. Ada dari Sweden, Belgium dan macam-macam lagi. Mereka hanya pelancong biasa dan tiada masalah. Apa masalah yang berlaku kepada kami sehingga ambil masa yang lama. Kami juga tidak dipanggil untuk diberitahu apa masalah kami.

Lepas dua jam kami bertanya lagi.

“Keif jawazna? Syuu musykilah”

“Bagaimana dengan pasport kami. Apa masalah?”. Kami sudah letih menunggu. Pemandu teksi sudah berapa kali datang mencari kami. Sudah berapa cawan teh yang dia dah minum sementara menunggu kami. Teringat juga kisah ada rakan kami yang kena sidai sampai hampir satu hari dan akhirnya terpaksa berpatah balik.

Kami hanya mampu berdoa. Segala macam doa kami baca agar urusan kami dipermudahkan oleh Allah. Saya menjenguk ke kaunter. Pasport kami masih ada di situ. Tidak dibawa kemana-mana pun. Saya hanya melihat wajah kelat pegawai imigresen. Berapa kali kami keluar masuk ke kawasan kaunter. Di fikiran kami terlintas pelbagai andaian. Mungkin kami antara yang terpaksa berpatah balik.

Kami hanya mampu bersabar. Kami teringat ada 90 ayat al Quran menyebut perkataan sabar. Allah amat suka orang yang sabar sebagaimana ayat 146 Surah al Imran

وَاللّٰهُ يُحِبُّ الصّٰبِرِيْنَ

Allah mencintai orang-orang yang sabar'.

Ayat ini yang menjadi penyejuk hati kami. Saya juga tidak putus-putus membaca ayat seribu dinar menyerahkan segara urusan kepada Allah.


{2}……dan sesiapa yang bertakwa kepada Allah (dengan mengerjakan suruhanNya dan meninggalkan laranganNya), nescaya Allah akan mengadakan baginya jalan keluar (dari segala perkara yang menyusahkannya),

{3} Serta memberinya rezeki dari jalan yang tidak terlintas di hatinya dan (Ingatlah), sesiapa berserah diri bulat-bulat kepada Allah, maka Allah cukuplah baginya (untuk menolong dan menyelamatkannya). Sesungguhnya Allah tetap melakukan segala perkara yang dikehendakiNya. Allah telahpun menentukan kadar dan masa bagi berlakunya tiap-tiap sesuatu.

 

Setelah lebih 3 jam menunggu, saya minta rakan saya Ust Farid pergi bertanya ke kaunter apa nasib pasport kami. Saya lihat dia berbual-bual dengan pegawai imigresen. Kemudianya kami mendegar bunyi pasport kami dicop. Ustaz Farid mengambil pasport dan menggangkat tinggi menunjukkan kepada kami.

“Alhamdulillah..” hanya itu yang keluar dari mulut kami. Kami memanjatkan kesyukuran pada Allah. Akhirnya  kami dapat masuk ke bumi Syiria. Bumi Khalifah Umayyah, bumi ulamak besar. Tergambar di mata kami wajah al Sheik Wahbah al Zuhailiy, Dr Said Ramadhan al Buty dan juga ulamak lain yang kami akan ziarah nanti.


No comments: