Pertama kali saya memijak kaki di Sandakan ialah pada 7 Febuari 2001. Saya dan isteri diJemput oleh Pengetua SMKA Sandakan di Lapangan terbang Sandakan. Kami menumpang tidur di rumahnya selama dua malam di rumah pengetua. Kemudian menumpang di rumah bapa sepupu saya di Taman Lucky beberapa minggu. Menyewa rumah pertama kami di Taman Pertama, sebuah rumah semi D yang amat selesa. Kemudian berpindah lagi ke Taman Fajar dan terus di sana beberapa tahun sehingga saya berpindah ke Tawau.
Di Taman Fajar ada sebuah surau di tengah-tengah taman. Solat waktu berjalan seperti biasa. Namun tiada imam khusus atau jawatankuasa rasmi pengurusan yang menyusun operasi. Hanya agihan tugas secara lisan sahaja. Jarak rumah saya ke SMK Elopura hanya 9 km mengambil masa 15 minit perjalanan. Tidak lah begitu jauh untuk saya berulang alik pada waktu siang untuk bertugas dan waktu malam untuk bersama pelajar di Surau sekolah.
Sepanjang saya
berada di Sandakan, saya teringat pesan guru-guru saya ketika di Jordan dulu agar
berperanan menyambung kerja Nabi Muhammad di mana saja saya berada. Dr Qahtan
al Duriy yang menjemput khusus saya kerumahnya semata-mata ingin memberi amanat
terakhir sebelum pulang dan juga Dr Bahjat al Habashineh yang menyuntik
semangat dakwah dalam diri.
Saya menyahut
seruan dan nasihat guru saya dengan memikir beberapa usaha yang telah saya lakukan
sepanjang saya berada di Sandakan. Antaranya ialah:
1. Membantu pihak surau al Fajr menyusun organisasi dan membuat
jadual imam dan bilal.
2. Memakmurkan surau dengan membuat pelbagai aktiviti seperti
kuliah maghrib.
3. Kuliah Dhuha setiap Ahad untuk masyarakat sekitar.
4. Membaca surah pilihan pada malam jumaat dengan mengekalkan
bacaan surah Yasin sekali sebulan di awal bulan.
5. Ibadah Korban anjuran Surau.
6. Kuliah maghrib di beberapa masjid dan surau sekitar (tanpa
saguhati)
7. Edaran buletin dakwah setiap minggu dari rumah kerumah
dijalankan oleh rakan tabligh.
8. Mengubah budaya tahlil dilakukan selepas solat isyak berbanding
sebelum ini dilakukan selepas solat maghrib sehingga surau dan masjid
ditinggalkan tanpa solat berjemaah.
9. Program halaqah bacaan al Quran dan hadis secara mingguan dari
rumah ke rumah.
10. Edaran risalah mengenal Islam kepada kepada kejiranan bukan
islam dijalankan oleh rakan tabligh.
Semoga usaha
saya yang kerdil ini boleh menjadi pemberat timbalan amalan baik saya di
akhirat nanti. Saya harap Allah menerima segala usaha saya. Hanya
itu yang saya mampu lakukan. Saya berserah kepada Allah untuk memberi hidayah
dan Taufiq. Saya hanya mampu berserah dan bertawakkal kepada Allah. Sesungguhnya
Allah telah berfirman dalam Surah Hud ayat 88:
إِنْ أُرِيدُ إِلَّا الْإِصْلَاحَ مَا اسْتَطَعْتُ ۚ وَمَا تَوْفِيقِي إِلَّا بِاللَّهِ ۚ عَلَيْهِ تَوَكَّلْتُ وَإِلَيْهِ أُنِيبُ
Aku hanya bertujuan hendak
memperbaiki sedaya upayaku; dan tiadalah aku akan beroleh taufik untuk
menjayakannya melainkan dengan pertolongan Allah. Kepada Allah jualah aku
berserah diri dan kepadaNyalah aku kembali.
No comments:
Post a Comment