Wednesday, December 11, 2024

URUS CARA MELEPAS MARAH DAN GERAM

 Dalam mesyuarat aset semalam, pegawai yang bertanggung jawab tentang pemyelenggaraan telah membuat laporan tentang kerosakan yang telah dilakukan oleh pihak luar yang menggunakan kemudahan IPG KPI. Kali ini kerosakan dilakukan oleh pelajar-pelajar rabgi yang melepaskan kemarahan kerana kalah dalam perlawanan. 


Saya nak laporkan beberapa pintu tandas tercabut ditendang oleh pelajar ragbi yang menggunakan kemudahan padang IPG. Kami ingatkan mereka ni pelajar sekolah rendah tidaklah seganas pelajar sebelum ini dari sekolah menengah. Rupanya sama sahaja.”

“Lepas je perlawanan, ada je pihak yang kalah akan melepaskan kemarahan dengan menendang pintu tandas. Sepak barang-barang kotorkan tandas.”

Ini antara masalah yang kita hadapi sekarang. Masih ramai yang masih belum mampu menghayati semangat kesukanan dan mengawal emosi dan marah setiap kali kalah dalam perlawanan. Perkara ini sudah banyak kali berlaku apabila pihak luar menggunakan kemudahan di IPG KPI.

Alhamdulillah perkara sebegini tidak berlaku kepada pelajar-pelajar IPG KPI. Pelajar-pelajar di sini sudah  matang  dan mempunyai kafahaman yang jelas tentang semangat kesukanan. Meraka dapat mengawal emosi dan kemarahan  jika  gagal atau kalah dalam pertandingan.

Dalam  Isu ini kita sebagai warga pendidik perlu memikirkan bagaimana kaedah untuk mendidik diri dan juga masyarakat untuk mengawal emosi dan marah dalam apa jua situasi.   Kita perlu mendidik  diri untuk sabar,  berfikir secara waras dan menyalurkan kemarahan dengan cara yang betul seterusnya menyelesaikan masalah dengan baik.

Dalam al Quran ada menyebut tentang kisah nabi Musa yang amat marah kepada abangnya Nabi Harun  dengan memegang  kepala dan janggutnya.  Allah mengabadikan kisah ini  dengan merakamkan dialog antara mereka berdua dalam surah Taha ayat 94.

﴿ قَالَ يَا ابْنَ أُمَّ لَا تَأْخُذْ بِلِحْيَتِي وَلَا بِرَأْسِي ۖ إِنِّي خَشِيتُ أَن تَقُولَ فَرَّقْتَ بَيْنَ بَنِي إِسْرَائِيلَ وَلَمْ تَرْقُبْ قَوْلِي﴾

Nabi Harun menjawab: "Wahai anak ibuku! Janganlah engkau meragut janggutku dan janganlah menarik (rambut) kepalaku. Sesungguhnya aku takut bahawa engkau akan berkata kepadaku: ` Engkau telah memecah-belahkan kaum Bani lsrail sesama sendiri, dan engkau tidak berhati-hati mengambil berat pesananku! ' "

Selepas Nabi Musa mendengar mendengar nasihat abangnya Nabi Harun, Nabi Musa lebih tenang dan mengalihkan kemarahan kepada tempat yang sebenarnya iaitu Samiri. Kemarahan yang melulu boleh memburukkan keadaan dan menimbulkan masalah yang lain lebih besar.

Pelajar ragbi marah kerana pasukannya kalah dalam perlawanan dan melepaskan kemarahan dengan menendang pintu tandas hingga tercabut. Ini telah merosakkan kemudahan sedia ada yang memerlukan kos baik pulih yang bukan sedikit. Jika mereka sendiri membayar pampasan atas kerosakan kerugian tetap berlaku, sedangkan kerosakan itu tidak sepatutnya berlaku dan boleh dielakkan.

Kita perlu mendidik diri kita mengawal kemaharahan. Ingatlah pesan nabi dalam satu hadith yang masyhur yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA:

أَنَّ رَجُلاً، قَالَ لِلنَّبِيِّ صلى الله عليه وسلم أَوْصِنِي‏.‏ قَالَ ‏"‏ لاَ تَغْضَبْ ‏"‏‏.‏ فَرَدَّدَ مِرَارًا، قَالَ ‏"‏ لاَ تَغْضَبْ

Maksudnya: Seorang pemuda meminta nasihat daripada Nabi SAW, dan Nabi bersabda: Janganlah kamu menuruti amarah. Dia mengulangi pertanyaannya, dan Nabi mengulanginya sebanyak tiga kali. Sahih al-Bukhari (6116)

 

Nabi SAW juga pernah bersabda:

لَيْسَ الشَّدِيدُ بِالصُّرَعَةِ إِنَّمَا الشَّدِيدُ الَّذِي يَمْلِكُ نَفْسَهُ عِنْدَ الْغَضَبِ

Maksudnya: Seorang yang kuat itu bukanlah yang handal bergusti; seorang yang kuat ialah orang yang mampu mengawal dirinya sewaktu sedang marah. Sahih al-Bukhari (6114) dan Sahih Muslim (260

Nabi telah mengajar kita bagaimana mengawal kemarahan antaranya ialah :

 

1.       Duduk jika sedang berdiri, berbaring jika sedang duduk

إِذَا غَضِبَ أَحَدُكُمْ وَهُوَ قَائِمٌ فَلْيَجْلِسْ فَإِنْ ذَهَبَ عَنْهُ الْغَضَبُ وَإِلاَّ فَلْيَضْطَجِعْ

Maksudnya: Apabila salah seorang daripada kamu marah sewaktu sedang berdiri, hendaklah dia duduk. Jika kemarahannya hilang, maka itu baik. Jika tidak, hendaklah dia berbaring.

2.       Mengambil wudhu

إِنَّ الْغَضَبَ مِنَ الشَّيْطَانِ وَإِنَّ الشَّيْطَانَ خُلِقَ مِنَ النَّارِ وَإِنَّمَا تُطْفَأُ النَّارُ بِالْمَاءِ فَإِذَا غَضِبَ أَحَدُكُمْ فَلْيَتَوَضَّأْ

Maksudnya: Sesungguhnya kemarahan itu datang daripada syaitan, dan syaitan itu dicipta daripada apI, dan api hanya dapat dipadamkan dengan air. Maka jika salah seorang daripada kalian berasa marah, hendaklah dia berwudhu.

3.       Mengelak daripada membuat  keputusan yang besar

لاَ يَحْكُمْ أَحَدٌ بَيْنَ اثْنَيْنِ وَهُوَ غَضْبَانُ

Maksudnya: Tidak boleh seseorang itu menghakimi antara dua orang dalam keadaan marah.

Mafhum hadith tidak terhad dalam urusan pengadilan hakim di mahkaham, tapi ia juga terpakai dalam keadaan-keadaan lain yang memerlukan penetapan keputusan yang kritikal, terutamanya jika melibatkan urusan orang ramai. Ambil sedikit masa untuk menenangkan diri sebelum mengambil sebarang keputusan.

4.       Diam

إِذَا غَضِبَ أَحَدُكُمْ فَلْيَسْكُتْ

Maksudnya: Apabila salah seorang daripada kamu berasa marah, hendaklah dia diam.

Berdiam diri sewaktu marah adalah lebih baik, kerana dalam keadaan marah, perkataan-perkataan yang diungkapkan berkemungkinan akan mengguris perasaan orang lain dan mungkin memberi ancaman kepada diri sendiri.

Marilah kita sama-sama kawal emosi dan kemarahan kita dan juga mendidik masyarakat menguruskan marah, geram dan tak puas hati dengan cara yang betul dan berhemah.

No comments: