Monday, August 03, 2026

ANAK ENCIK DIDAFTARKAN DI BAWAH SEKSYEN 13!

Saya terkebil-kebil apabila pegawai Jabatan Pendaftaran Negara memaklumkan bahawa Aisyah al Humaira didaftarkan di bawah Seksyen 13 Akta Pendaftaran Kelahiran dan Kematian 1957. 


"Apa maksudnya?" saya bertanya dengan penuh kebingungan.

"Anak encik dibintikan kepada nama Abdullah. Nama pada sijil lahir ialah Aisyah al Humaira binti Abdullah," jawab pegawai itu.

"Ya, memang betullah. Nama saya pun Abdullah."

Pegawai itu menggeleng perlahan.

"Bukan begitu, encik. 'Abdullah' yang dimaksudkan di sini bukan merujuk kepada nama encik. Mengikut Seksyen 13 Akta Pendaftaran Kelahiran dan Kematian 1957, bayi yang didaftarkan sebagai tidak boleh dinasabkan kepada bapa biologinya akan dibinkan atau dibintikan kepada nama 'Abdullah'. Dalam sistem ini, anak encik direkodkan di bawah Seksyen 13."

Saya terpaku mendengar penjelasan itu.

Dalam fikiran saya hanya ada satu persoalan.

Mengapa anak saya direkodkan sedemikian sedangkan kami berkahwin secara sah?

Dengan suara yang sedikit bergetar saya segera mengeluarkan sijil nikah.

"Encik, saya ada sijil perkahwinan. Kami berkahwin secara sah."

Pegawai itu segera menenangkan saya.

"Saya tidak mengatakan anak encik tidak sah taraf. Yang berlaku ialah apabila saya memasukkan tarikh perkahwinan dan tarikh kelahiran ke dalam sistem, keputusan itu keluar secara automatik."

Beliau kemudian menerangkan dengan panjang lebar.

"Sistem ini dibina berdasarkan pandangan mazhab Syafie yang menetapkan tempoh minimum kehamilan ialah enam bulan. Jika tempohnya kurang daripada itu, sistem tidak membenarkan anak dinasabkan kepada bapa biologinya."

Beliau melihat semula dokumen di tangannya.

"Encik berkahwin pada 13 Januari, manakala anak encik lahir pada 12 Julai. Mengikut kiraan sistem, tempohnya kurang satu hari daripada enam bulan."

Kemudian beliau menambah sesuatu yang membuatkan saya sedikit terkejut.

"Tetapi kalau dikira menggunakan takwim Hijrah, saya rasa tempohnya sudah melebihi enam bulan. Anak encik sebenarnya mungkin sudah memenuhi syarat untuk dinasabkan kepada encik. Malangnya sistem ketika ini menggunakan kiraan tarikh Masihi."

Beliau menyambung lagi.

"Tambahan pula anak encik lahir pramatang. Ini kes yang sangat jarang berlaku. Saya sendiri tidak mempunyai kuasa untuk mengubah rekod dalam sistem. Encik perlu merujuk ke Ibu Pejabat Jabatan Pendaftaran Negara di Putrajaya."

Sebelum saya beredar, beliau sempat berkata,

"Kalau anak encik lahir sehari kemudian, iaitu pada 13 Julai, besar kemungkinan isu ini tidak akan timbul."

Saya hanya mampu terduduk di kerusi sambil memegang sijil lahir Aisyah al Humaira.

Di ruangan catatan tertera satu ayat yang begitu berat untuk saya baca:

"Didaftarkan di bawah Seksyen 13 Akta Pendaftaran Kelahiran dan Kematian 1957."

Saya pulang ke rumah dengan langkah yang longlai.

Sudahlah Aisyah lahir pramatang dan masih dirawat di hospital, kini kami pula diuji dengan isu pada sijil kelahirannya.

Dalam fikiran saya terbayang satu lagi urusan besar yang perlu diselesaikan di Putrajaya.

Bilalah agaknya saya mempunyai masa?

Ketika itu saya sendiri sedang menjalani praktikum perguruan. Dalam masa yang sama saya turut membantu menguruskan praktikum isteri. Setiap hari pula saya berulang-alik ke Hospital Kajang untuk menziarahi Aisyah yang masih berada di wad neonatal, menunggu belaian kasih sayang daripada ayah dan ibunya.

Apabila saya menceritakan perkara itu kepada isteri di rumah, kami hanya mampu beristighfar.

Tiada kata-kata yang mampu diucapkan selain berdoa agar Allah mempermudahkan segala urusan kami.

حَسْبُنَا اللَّهُ وَنِعْمَ الْوَكِيلُ

"Cukuplah Allah menjadi Penolong kami, dan Dia adalah sebaik-baik Pelindung."

Malam itu kami cuba mengira sendiri tempoh kehamilan menggunakan takwim Hijrah.

Mengikut tarikh Masihi, kami berkahwin pada 13 Januari 2000, manakala Aisyah dilahirkan pada 12 Julai 2000. Tempohnya ialah lima bulan dua puluh sembilan hari — hanya kurang satu hari daripada genap enam bulan.

Namun apabila kami membuat kiraan berdasarkan takwim Hijrah, kami berkahwin pada 6 Syawal 1420H, manakala Aisyah dilahirkan pada 10 Rabiul Akhir 1421H.

Hasil kiraan menunjukkan tempohnya ialah enam bulan empat hari.

Ketika itulah saya semakin yakin bahawa isu ini bukanlah berpunca daripada hukum syarak terhadap anak kami, tetapi lebih kepada kaedah kiraan yang digunakan oleh sistem pentadbiran pada ketika itu.

Walaupun hati terasa berat, saya memilih untuk melihat ujian ini dengan penuh husnuzan kepada Allah.

Saya percaya setiap ujian mempunyai hikmahnya.

Mungkin Allah sedang mendidik saya dan isteri agar menjadi insan yang lebih sabar, lebih matang dan lebih kuat dalam mengharungi kehidupan yang masih panjang.

Sesungguhnya, ada ketikanya bukan takdir Allah yang menyukarkan hidup kita, tetapi keterbatasan manusia dalam membina sistem sehingga tidak mampu menangani semua keadaan yang luar biasa.