Friday, July 31, 2009

Malu lah pakai Baju Melayu!!

“ Hari ini hari Isnin lah bukan hari jumaat”

“Ye lah aku tahu.. kenapa pulak?

“ Apa? buang tabiat ke kamu ni pakai baju melayu hari isnin, biasanya orang pakai hari jumaat je atau bila nak akad nikah kawin.”

Mungkin ini antara perbualan yang mungkin kita telah alami apabila kita memakai baju melayu selain hari jumaat. Seolah sudah menjadi kebiasaan baju melayu hanya dipakai apabila hendak kemasjid atau menghadiri majlis yang berkaitan dengan agama Islam. Baju Melayu hanya megah di pakai ketika hari raya dan ketika menjadi raja sehari. Selepas itu baju melayu hanya disimpan dalam almari dan hanya dipakai dalam majlis-majlis tertentu sahaja. Bahkan ramai dikalangan orang melayu Islam malu untuk mengenakan baju melayu pada hari-hari biasa apatah lagi untuk ke pejabat!

Malang sungguh nasib baju melayu. Walaupun potongan amat cantik dan sesiapa yang memakainya akan bertambah segak dan seri tetapi oleh kerana lemahnya semangat jati diri dalam jiwa kita, kita sendiri menyisihkan keistimewaan ini. Tidak keterlaluan untuk dikatakan bahawa kita sendiri yang berusaha membunuh identiti kita sebagai bangsa Melayu. Kita sepatutnya bangga dengan kelahiran kita di dalam rumpun bangsa Melayu dan ini adalah ciptaan Allah. Allah telah meletakkan setiap bangsa itu ada keistimewaan sendiri yang tidak ada pada bangsa lain.

Kenapa kita tidak memartabatkan pemakaian baju melayu dengan menjadikan ia sebagai pakaian harian. Jadikan ia sebagai pakaian untuk ke pejabat, ke sekolah atau kemana sahaja ketika menjalankan urusan kehidupan seharian.
Mungkin ada yang mengatakan Baju Melayu tidak sesuai kerana reka bentuknya tidak sesuai untuk rutin kerja yang pelbagai. Tetapi kenapa kita tidak kreatif mengubah sedikit reka bentuk baju Melayu agar ianya bertepatan dengan tuntutan semasa.

Lihat betapa segak Shah Rukh Khan berbaju Melayu.

Alangkah indahnya kalau semua kakitangan kerajaan atau swasta bergaya dengan baju melayu setiap hari dengan pelbagai reka bentuk dan corak. Begitu juga sekolah-sekolah dan pusat pengajian tinggi menggalakkan pelajar melayu Islam mengenakan baju Melayu sebagai pakaian harian.

Insya Allah dengan cara ini. Budaya Melayu Islam akan semakin sebati dengan jiwa kita dan inilah yang telah diperintahkan oleh Allah taala iaitu berbangga dengan identiti yang telah ditetapkan oleh Allah. Disamping itu kita juga dapat menjana ekonomi masyarakat Melayu Islam dalam bidang tekstil. Baju Melayu akan di keluarkan dalam pelbagai jenama terkenal dan akan di keluarkan di kilang-kilang seterusnya akan dipasarkan secara meluas. Faedahnya akan kembali kepada kita juga.

Marilah kita martabatkan indentiti kita.. siapa lagi kalau bukan kita.. pakailah baju melayu ..

2 comments:

En. W said...

orang perempuan juga yang tak payah susah2 nak suruh pakai baju kurung

En. W said...

orang perempuan juga yang tak payah susah2 nak suruh pakai baju kurung