Showing posts with label sabah. Show all posts
Showing posts with label sabah. Show all posts

Tuesday, December 10, 2024

SANDAKAN MENDIDIK JIWA DEKAT PADA ALLAH

 Pertama kali saya memijak kaki di Sandakan ialah pada 7 Febuari 2001. Saya dan isteri diJemput oleh Pengetua SMKA Sandakan di Lapangan terbang Sandakan. Kami  menumpang tidur di rumahnya selama dua malam di rumah pengetua. Kemudian menumpang di rumah bapa sepupu saya di Taman Lucky beberapa minggu. Menyewa rumah pertama kami di Taman Pertama, sebuah rumah semi D yang amat selesa. Kemudian berpindah lagi ke Taman Fajar dan terus di sana beberapa tahun sehingga saya berpindah ke Tawau. 

Di Taman Fajar ada sebuah surau di tengah-tengah taman. Solat waktu berjalan seperti biasa. Namun tiada imam khusus atau jawatankuasa rasmi pengurusan yang menyusun operasi. Hanya agihan tugas secara lisan sahaja. Jarak rumah saya ke SMK Elopura hanya 9 km mengambil masa 15 minit perjalanan. Tidak lah begitu jauh untuk saya berulang alik pada waktu siang untuk bertugas dan waktu malam untuk bersama pelajar di Surau sekolah.

Sepanjang saya berada di Sandakan, saya teringat pesan guru-guru saya ketika di Jordan dulu agar berperanan menyambung kerja Nabi Muhammad di mana saja saya berada. Dr Qahtan al Duriy yang menjemput khusus saya kerumahnya semata-mata ingin memberi amanat terakhir sebelum pulang dan juga Dr Bahjat al Habashineh yang menyuntik semangat dakwah dalam diri.

 

Saya menyahut seruan dan nasihat guru saya dengan memikir beberapa usaha yang telah saya lakukan sepanjang saya berada di Sandakan. Antaranya ialah:

1.       Membantu pihak surau al Fajr menyusun organisasi dan membuat jadual imam dan bilal.

2.       Memakmurkan surau dengan membuat pelbagai aktiviti seperti kuliah maghrib.

3.       Kuliah Dhuha setiap Ahad untuk masyarakat sekitar.

4.       Membaca surah pilihan pada malam jumaat dengan mengekalkan bacaan surah Yasin sekali sebulan di awal bulan.

5.       Ibadah Korban anjuran Surau.

6.       Kuliah maghrib di beberapa masjid dan surau sekitar (tanpa saguhati)

7.       Edaran buletin dakwah setiap minggu dari rumah kerumah dijalankan oleh rakan tabligh.

8.       Mengubah budaya tahlil dilakukan selepas solat isyak berbanding sebelum ini dilakukan selepas solat maghrib sehingga surau dan masjid ditinggalkan tanpa solat berjemaah.

9.       Program halaqah bacaan al Quran dan hadis secara mingguan dari rumah ke rumah.

10.   Edaran risalah mengenal Islam kepada kepada kejiranan bukan islam dijalankan oleh rakan tabligh.

 

Semoga usaha saya yang kerdil ini boleh menjadi pemberat timbalan amalan baik saya di akhirat nanti.   Saya harap Allah menerima segala usaha saya. Hanya itu yang saya mampu lakukan. Saya berserah kepada Allah untuk memberi hidayah dan Taufiq. Saya hanya mampu berserah dan bertawakkal kepada Allah. Sesungguhnya Allah telah berfirman dalam Surah Hud ayat 88:

 

 إِنْ أُرِيدُ إِلَّا الْإِصْلَاحَ مَا اسْتَطَعْتُ ۚ وَمَا تَوْفِيقِي إِلَّا بِاللَّهِ ۚ عَلَيْهِ تَوَكَّلْتُ وَإِلَيْهِ أُنِيبُ

Aku hanya bertujuan hendak memperbaiki sedaya upayaku; dan tiadalah aku akan beroleh taufik untuk menjayakannya melainkan dengan pertolongan Allah. Kepada Allah jualah aku berserah diri dan kepadaNyalah aku kembali.

Monday, December 09, 2024

KEMPEN MEMBUGAR IMAN DI SMKE

 Kali pertama saya mendengar nama SMK Elopura (Bestari) adalah ketika menerima surat penempatan sekolah  ketika kami di hotel  di Kota Kinabali. Saya di tempatkan di SMK Elopuran (B) dan isteri saya di SMKA Sandakan.  Pada awalnya cuak juga apabila mendapat sekolah yang berasingan. Sudah terbayang di fikiran akan timbul  beberapa halangan  untuk menyusun kehidupan seharian nanti.



Rupanya SMKE dan SMKA Sandakan hanya bersebelahan . Hanya pagar yang memisahkan antara dua sekolah ini. SMKE adalah sebuah sekolah harian dan  merupakan sebuah sekolah terpilih untuk projek BESTARI di peringkat kebangsaan. Banyak kelebihan disekolah ini dari aspek kelengkapan IT   pada masa itu berbanding dengan sekolah lain.

Banyak kenangan  saya di sekolah ini. Sekolah ini lah yan g berjaya menyedarkan diri saya tentang  mulianya kerjaya guru. Pada asalnya saya hanya sekadar ingin bekerja untuk menghabiskan  kontrak KPM kerana menghantar saya belajar di Jordan dengan biasiswa. Selepas beberapa peristiwa yang saya alami saya dapat melihat bahawa hikmah dan kebijaksaan Allah yang telah mengatur perjalanan hidup saya.  Tidak semestinya yang kita suka itu baik dan tidak semestinya yang kita benci  itu buruk.

Sepanjang saya berkhidmat di SMK Elopura banyak inisiatif dan program yang saya rancang dan terancang sebenarnya dilakukan .Inisiatif ini saya boleh namakan sebagai PROJEK MEMBUGAR IMAN. Itu semua adalah aturan Allah.

Antara inisiatif  saya ialah:

1.       Rakan iman

2.       Taqwim solat

3.       Buletin al manhal

4.       Penubuhan Persatuan PERISA

5.       Peringatan 5 Minit pagi Isnin

6.       Kem bestari solat

7.       Kuliah santai hari minggu

8.       Kuliah muslimat hari Jumaat.

9.       Kempen Derma Darah

10.   Kaunter Daftar Tabung haji.

11.   Pelajar Aspuri Solat Jumaat.

12.   Qiam 10 malam terakhir Ramadan di Masjid.

13.   Rutin bacaan Al-Mathurat.

14.   Kem bestari solat.

15.   Projek Zakat potongan gaji.

 Saya teringat pesan guru-guru saya semasa belajar di Jordan dahulu agar menyambung kerja menyampaikan Islam kepada semua sahaja. Jadilah dari kalangan mereka yang menyambung kerja nabi. Saya ingin menyambut serian ini.  Firman Allah  dalam surah al Imran ayat 104:

﴿ وَلْتَكُن مِّنكُمْ أُمَّةٌ يَدْعُونَ إِلَى الْخَيْرِ وَيَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَيَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنكَرِ ۚ وَأُولَٰئِكَ هُمُ الْمُفْلِحُونَ﴾

Dan hendaklah ada di antara kamu satu puak yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan (mengembangkan Islam), dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, serta melarang daripada segala yang salah (buruk dan keji). Dan mereka yang bersifat demikian ialah orang-orang yang berjaya.

Saya ingin mengambil inspirasi dari Pesan baginda rasul :

من سن في الإسلام سنة حسنة كان له أجرها وأجر من عمل بها من بعده لا ينقص ذلك من أجورهم شيئ

Sesiapa yang memulakan amalan  yang baik dalam Islam, maka baginya pahalanya dan pahala orang yang mengamalkannya selepasnya, tanpa mengurangi sedikitpun dari pahala mereka.

 

Nabi juga berpesan mengingatkan kita:

من دلَّ على خير، فله أجر فاعله" رواه مسلم

Sesiapa  yang menunjukkan kepada kebaikan, maka dia akan mendapat pahala seperti pelakunya."


Inilah antara yang menjadi  inspirasi saya sepanjang saya bertugas di SMKE. Alhamdulillah projek ini antara dilihat banyak memberi memberi diri kesan kepada diri saya dan juga warga SMK Elopura. Tempoh Perkhidmatan saya di SMKE dari 7 Feb 2001 hingga 15 April 2007 amat bermakna dan memberi kesan kepada kerjaya saya dan kehidupan saya. Saya telah mengenal orang-orang baik yang telah banyak membimbing saya dalam kerjaya sebagai guru dan juga sebagai hamba Allah.

Saturday, December 07, 2024

SAYA MINAT KISAH NABI

 Di SMKE saya juga ditugaskan mengajar kelas pendidikan Moral untuk pelajar tingkatan 4. Biasanya saya akan diberi kelas yang paling akhir  gabungan  pelajar bukan Islam dari   2 kelas terakhir untuk  tingkatan 4. Pelajar biasa dari kalangan bangsa Cina, kadazan dan beberapa suku lain yang beragama bukan Islam.


Walaupun bukan bidang, tapi mengajar kelas ini  memberi pengalaman baru kepada saya. Pelajar pendidikan Moral adalah dari pelbagai bangsa dan bukan beragama Islam.  Sudah tentu pendekatan yang jauh berbeza dari kelas Pendidikan Islam dan juga kelas bahasa Arab. Sebenarnya agak kekok juga untuk mengubah rentak dari memberi kesedaran kepada murid tentang mengenal Allah dan patuh kepada perintahnya kepada   mengemukakan konsep kemanusia dan menjadi insan mulia berguna kepada bangsa dan negara.

Saya sebagai ketua panitia pendidikan Islam  dan moral juga telah mengeluarkan buletin mingguan  yang  saya jenamakan sebagai  ‘al Manhal’.  Buletin ini hanya sehelai kertas A4  yang dicetak depan belakang dan dilipat menjadi 2 helai menjadi  seperti buku kecil. Ia di isi dengan beberapa kolum, antaranya ialah ‘Siapa Kita’, Kisah Nabi, Sketsa, teka teki ada beberapa ruang  kecil yang  mengisi mutiara kata motivasi. Buletin ini dijual dengan harga 50 sen dan diedarkan oleh persatuan Pendidikan Islam. 

Satu hari ketika mengajar pendidikan Moral, saya mememinta salah seorang pelajar untuk menyerahkan buku kerja  untuk di semak. Dia bangun untuk kehadapan menyerahkan buku kerjanya kepada saya di meja guru hadapan kelas. Tiba-tiba saya terlihat berberapa himpinan kertas yang tersusun rapi jatuh ke lantai.

“Pang.. apa yang jatuh tu..”  Saya bertanya kepada Pang. Dia adalah pelajar Cina yang amat baik dengan saya dan pelajar yang  rajin menyiapkan kerja sekolah untuk pendidikan Moral.

Oh..Maaf Ustaz. Sekejap saya kemaskan  dulu kertas saya”.

Dengan beradab dia meminta izin. Dari jauh saya melihat kertas itu semuanya  adalah  himpunan buletin ‘al Manhal’ yang dikeluarkan oleh Panitia Pendidukan Islam. Banyak juga yang dia kumpulkan. Bila dia datang ke meja saya untuk menyerahkan buku kejanya saya bertanya:

Tu saya nampak macam buletin ‘al Manhal’ yang jatuh tadi. Banyak juga kamu kumpulkan. Kamu beli setiap minggu kah?”.

“Ya Ustaz. Saya beli setiap minggu. Saya minat baca kisah nabi. Saya tak boleh  beli kah Ustaz?”.  Tanya Pang dengan wajah gusar.

“Oh… tak mengapa. Saya hanya bertanya. Buletin tu  kami keluarkan sebagai bahan bacaan pelajar Islam.  Tapi tak salah kalau  kamu nak baca.”  Saya   menenangkan kegusaran Pang.

“Tak apakan  saya baca buletin tu. Saya minat baca semuanya terutama bahagian kisah Nabi”.

Saya  mengucapkan alhamdulillah memajat kesyukuran pada Allah kerana usaha kecil saya dan rakan  guru pendidikan Islam berjaya  memenuhi ruang keperluan pelajar. Dalam diam ada juga pelajar bukan Islam yang minat membaca buletin kami dan membuat koleksi dalam diam.


“Ramai kawan ku yang suka baca ustaz, mereka pinjam dari saya”. Terang Pang lagi.

Semoga usaha kecil ini berjaya menjadi penyuluh dan penyubur kepada Iman pelajar  muslim dan pencetus  hidayah kepada pelajar bukan Islam. 

Saturday, November 30, 2024

USTAZ ROTANLAH KAMI!

 Kelas bahasa Arab di SMK Elopura hanya diajar untuk pelajar menengah rendah sahaja iaitu tingkatan 1, 2 dan tiga. Setiap tingkatan hanya satu kelas sahaja yang akan membelajari bahasa Arab. Saya telah diberi tanggungjawab untuk mengajar pelajar tingkatan 3A. Bilangan pelajar adalah sekitar 27 orang. Saya tidak ingat jumlah yang sebenar.

Sudah menjadi amalan saya selepas melakukan set induksi, langkah pertama yang saya buat ialah mengulangkaji pelajaran lepas sekitar 5 minit. Saya akan bertanyakan soalan terbuka kepada semua pelajar. Siapa yang pertama kali menjawab akan dapat hadiah. Ada ketika saya hanya memberi peneguhan positif saja dengan memberi pujian dan tepuk tangan sahaja. Adakala saya memberi hadiah kecil seperti gula-gula atau sekeping biskut. 


Saya tidak pernah merotan dan memukul pelajar kerana saya percaya bahawa dengan pendidikan secara motivasi akan memberi rangsangan dan semangat kepada pelajar untuk belajar dengan rajin dan bersungguh-sungguh.

Selepas beberapa bulan saya perhatikan hanya pelajar sama sahaja yang menjawab. Ada beberapa orang pelajar tidak pernah mengangkat tangan untuk menjawab. Apabila saya mengemukakan soalan tertutup dengan menyebut namanya pun dia tidak mampu menjawab. Saya hanya sekadar menasihati pelajar ini agar lebih bersungguh belajar dengan memeberi perhatian di dalam kelas dan juga rajin mengulangkaji pelajaran di rumah.

Namun satu hari ketika waktu rehat saya di datangi oleh tiga orang pelajar saya dari kelas 3 A.

“Ustaz! Kamu ada mahu cakap dengan Ustaz bolehkan?”.

“Ya, kenapa? Silakan.”

Saya mengadap mereka bertiga memberi perhatian apa yang  mereka ingin maklumkan pada saya.

“Kami rasa cara ustaz mengajar kami tu tak berkesan lah. Ustaz selalu bagi hadiah dan pujian saja. Orang yang sama lah yanag dapat. Kami ni tak akan dapat lah peluang nak dapat hadiah tu.” Terang Fidah.

Saya baru perasan bahawa mereka bertiga ini antara pelajar yang pasif dalam kelas. Tidak pernah mengangkat tangan untuk menjawab dan jika ditanya pun, tidak boleh menjawab dengan betul. Markah dalam penilaian dan ujian pun memang selalu rendah.

Mereka bertiga ini antara nama dalam senarai saya  tidak dicadangkan untuk mendaftar bahasa Arab untuk peperiksaan PMR nanti. Sistem pada masa itu jika sesiapa yang gagal satu mata pelajaran akan dikira gagal PMR. Pengetua menasihatkan saya agar membuat strategi dengan memilih pelajar yang dijamin lulus untuk mendaftar bahasa Arab.

“Jadi, jika kaedah saya saya salah, apa cara mengajar yang kamu mahu?.

Soal saya kepada mereka bertiga.

“Ustaz kena rotan kami. Kami ni sudah biasa bah dengan rotan. Dari sekolah rendah lagi guru-guru kami guna rotan jak. Kalau di rotan kami akan belajar dan ulangkaji. Kalau tidak kami ni macam ndak ada apa-apa.” Adilah pula menjawab bagi pihak rakannya.

Aik peliknya kamu ni. Biasanya pelajar ndak mahu dirotan. Kamu pula datang minta di rotan. Tak pernah dibuat orang.”

“Kami sanggup dirotan ustaz. Kami bertiga sudah janji untuk menerima hukuman rotan jika kami tak dapat menjawab soalan ustaz. Kami janji ustaz. Nanti ustaz akan tengok perubahan kami”. Jamilah pula bersuara.

Aduh pelik juga mereka ini. Saya menerima cadangan mereka dan berjanji akan mengikut cadangan mereka. Hanya mereka bertiga akan dirotan jika tidak boleh menjawab. Manakala pelajar lain tidak akan dirotan. Mereka tidak boleh irihati sebab ini adalah permintaan mereka sendiri.

Petang itu saya ke bandar Sandakan mencari rotan kecil untuk memenuhi permintaan pelajar pelik saya. Dalam hati saya tertanya-tanya dan kurang yakin bahawa kaedah ini akan berkesan. Oleh kerana ini adalah permintaan mereka  saya akan cuba membuat pemerhatian dan analisan tentang kaedah rotan ini pada mereka bertiga.

** Nama yang digunakan bukanlah nama sebenar.

Friday, November 29, 2024

SUAMI SUDAH TINGGALKAN KAMI SEMUA

 Kisah Cau Siri 3

Ibu Nurasyikin datang lagi ke sekolah seingat saya dalam akhir tahun 2003. Tahun yang sama berlakunya peristiwa perbualan saya tentang isu perlunya pisahkan dia dan suami kerana berlainan agama. Kali ini saya tidak ingat atas urusan apa. Cuma seingat saya ada guru memaklumkan kepada saya bahawa Ibu Nurasyikin datang lagi ke sekolah untuk berurusan dengan guru kelas Nurasyikin.


Sekali lagi saya datang bertemu dengan ibu Nurasyikin ketika dia sedang berurusan dengan guru kelas. Apabila telah selesai urusan, saya mengambil peluang bertanya khabar tentang keadaan keluarganya sekarang.

Beliau tu dah tinggalkan kami semua. Saya dan anak-anak sudah puas memujuk beliau tu agar peluk Islam dan hidup bersama kami. Saya bilang pada dia Islam tidak benarkan hidup bersama suami ister jika berlainan agama. Dia pilih untuk tinggalkan kami”. Ibu Nurasyikin bercerita dengan panjang lebar apabila saya bertanya tentang suaminya.

“Jadi macamana keadaan sekarang? Siapa yang sedia duit belanja?”.

Saya bertanya memandangkan dulu keluarganya bergantung penuh pada suaminya. Ibu Nurasyikin sendiri tidak bekerja.

“Oh. Bila dia tinggalkan kami. Allah buka pintu rezeki kami. Saya dapat kerja di kilang dekat kawasan rumah . Jadi dapatlah saya menampung kehidupan kami sekeluarga. Kami juga dapat bantuaz zakat dari Pusat Zakat Sabah. Alhamdulillah hidupan kami tidak susah. Allah bantu kami”. Jawab Ibu Nurasyikin dengan wajah cerita.

“Bila lagi tu beliau tinggalkan makcik sekeluarga”?

Lama sudah. Seingat saya tak lama dia bersama kami. Dalam 4 atau 5 bulan begitu saja. Setiap minggu saya dan anak-anak pergi ikut kelas agama di Jabatan Agama Islam Beluran.  Saya minta dia ikut. Tak mahu dia. Jadi saya dan anak-anak sajalah yang pergi. Majlis agama bagi saguhati juga bagi siapa yang datang belajar agama. Jadi saya dan anak-anak semua dapat. Hampir setiap minggu jugalah kami pergi”.

Alhamdulillah. Saya mengucap syukur pada Allah yang telah memberi jalan keluar kepada keluarga Nurasyikin. Dulunya dia bergantung penuh pada suaminya dan masih tinggal bersama walaupun bebeza agama. Sehinggakan kami warga guru berselisih pendapat tentang isu tinggal bersama sehinggakan timbul padangan mengatakan bahawa saya membiarkan zina berlaku. Lebih parah lagi saya terdengar suara-suara mengatakan saya menghalalkan zina kerana tidak berusaha memisahkan Ibu Nurasyikin dengan suaminya. 

Ternyata  Jabatan Agama Islam Beluran lebih berpengalaman tahu tentang selok dakwah dan hukum hakam. Mereka tidak bertindak memisahkan pasangan Ibu Nurasyikin. Mereka telah membuat program susulan kepada semua muallaf dengan mengadakan kelas agama setiap hari minggu dengan menyediakan token sebagai saguhati sebagai tarikan untuk mendalami agama.

Apabila kefahaman agama muallaf ini kuat mereka semakin yakin kepada Islam dan berani untuk membuat keputusan sendiri yang lebih baik. Mungkin Ibu Nurasyikin banyak mendesak suaminya untuk belajar Islam menyebabkan dia tinggalkan keluarganya dan dikira bercerai atas dasar berbeza agama. Saya telah mengandaikan bawa isu ini akan selesai dalam tempoh setahun. Tapi ianya selesai lebih cepat lagi.

Ibu Nurasyikin juga telah berusaha untuk berdikari dengan  mencari kerja sebagai punca pendapatan bagi menyara keluarganya. Alhamdulillah, Allah maha kaya dan Allah maha pemurah lagi maha pengasih. Dia telah mengatur segala kehidupan hambanya dengan kebaikan apabila hambanya berdoa bergantung harap padanya.

Alhamdulillah selesai lah isu bersekedudukan dan tidak lagi timbul isu saya menghalalkan zina. Saya juga memaklumkan kepada Ibu Nurasyikin bahawa saya akan masukkan nama Nurasyikin dan adiknya dalam senarai pelajar yang akan mendapat bantuan sebagai kategori muallaf. Kebetulan saya terlibat menguruskan dana zakat sekolah dengan Pusat Zakat Sabah.

Semoga Allah permudahkan kehidupan Nurasyikin sekeluarga dan mereka berjaya mendapat redha Allah dunia dan akhirat.

Thursday, November 28, 2024

DOSA KUFUR LEBIH BESAR DARI DOSA ZINA

 Kisah Cau siri 2

Cau Yuk Sen atau Nurasyikin telah bercerita tentang keluarganya yang telah memeluk Islam melainkan ayahnya seorang yang tinggal. Saya gembira dan tidak melihat ada apa-apa isu disebaliknya.

Namun dua hari selepas itu, ada sorang guru memberi tahu saya yang Ibu Nurasyikin datang ke sekolah untuk membayar yuran anak-anaknya. Cuma ada dia memberitahu ada sesuatu menjadi persoalan kepadanya. Ibu Nurasyikin dan ayahnya yang masih beramama Budha masih tinggal bersama sebagai satu keluarga dan hidup sebagai suami isteri. Apa yang dia tahu bahawa apabila salah sorang pasangan suami isteri memeluk Islam mereka wajib dipisahkan (Faraq) dan perkahwinan mereka di kira batal.


Dia ada di sana ustaz! Sedang membayar yuran dengan cikgu kelas 5D”.

Sambil guru tadi menunjukkan kearah hujung bilik guru sebelah perempuan. Saya bangun dan pergi berjumpa dengan ibu Nurasyikin. Setelah selesai dia membayar yuran saya mengambil kerusi dan duduk di hadapannya memulakan perbualan.

Oh, ini ibu Nurasyikin ya. Sebelum ini dia banyak bercerita tentang puan. Hari ini baru saya berkesempatan jumpa. Saya nak ucapkan tahniah pada puan sekeluarga kerana memilih Islam. Insya Allah ini adalah pilihan tepat untuk masa depan puan sekeluarga.”

“Iya ustaz. Nurasyikin berjaya yakinkan saya untuk berubah. Tapi beliaunya tak mahu menerima. Tapi dia tidak marah. Dia setuju saja.  Semua anak-anak ikut saya”. Terangnya sambil tersenyum.

“Anak -anak puan yang di sekolah rendah sudah diuruskan kah untuk mereka belajar Pendidikan Islam?”.

Oh kena tukar kah?. Belum lagi tu. Saya belum buat apa-apa lagi”.  

Saya telah menerangkan keadaan yang sebenar. Dia berjanji akan ke sekolah anaknya untuk memaklumkan bahawa anak-anaknya sudah memeluk Islam dan ingin bertukar untuk belajar Pendidikan Islam dari kelas Kelas Pendidikan Moral.

Jadi beliaunya tu belum masuk Islam, kalau ikutkan hukum Islam kira tidak boleh tu. Dia mesti mesti masuk Islam. Kalau tidak dikira dosa besar tu”.

“Iya.. Saya ni tak bekerja. Beliaunya yang tanggung semua belanja. Kalau kena pisah, saya tak sanggup. Siapa mahu bayar sewa rumah, belanja dapur dan anak sekolah. Saya balik agama asal lah kalau begitu”. Jelas Ibu Nurasyikin dengan wajah terkejut.

“Kalau begitu tak apa lah. Nak buat macamana. Nanti pujuk lah beliau tu. Mungkin hidayah Allah belum sampai. Insya Allah satu hari nanti dia akan masuk Islam.” Puan dan Nurasyikin perlu selalu pujuk dia lah”.  Saya kemudiannya memberi pelbagai nasihat dan tips penting berguna sebagai seroang yang baru memeluk Islam. Selepas lama berbual saya meminta izin dan bangun kembali kemeja saya untuk menyiapkan kerja yang belum selesai.

Guru tadi datang kembali kepada saya dan bertanya tentang kewajipan memisahkan suami isteri apabila salah seorang memeluk Islam.

“Jadi Ustaz! Bukankah dia kira berzina tu nanti sebab tidak dipisahkan? Saya ada dengar orang bilang, kalau kita tidak pisahkan, kita dikira macam menghalalkan mereka berzina.” Guru bertanya saya untuk mendapat kepastian.

Saya hanya menjawab :

“Saya tidak pernah halalkan dosa zina”.

“Dosa kufur, dosa murtad lagi besar dari dosa zina. Dosa kufur tidak boleh taubat. Dosa zina masih boleh taubat. Kalau dia tak taubat pun hanya masuk neraka dulu sekejap dan akhirnya masuk syurga juga. Kalau dosa kufur masuk terus..ndak keluar lagi”.

“Lagi pun, kalau kita pisahkan.  Nanti dia murtad balik dan anak-anak dia pun ikut sekali. Bukan sorang tu. Sekarang anak-anaknya semua dah masuk kelas pendidikan Islam. Tak kan nak keluar balik masuk kelas moral”.

“Majlis agama pun tak cakap apa-apa tentang ini. Mereka lagi tahu tentang isu wajib pisahkan pasangan suami isteri yang islam salah sorang ni. Saya rasa mereka berpandangan macam saya.” Saya memberi penjelasan dengan panjang lebar.

Apabila melihat situasi itu saya teringat tentang pandangan Dr Yusul al Qardhawi tentang Fekah keutamaan dan juga fekah imbangan (Fiqh al Mizan) dalam melihat kesesuaian hukum fikah. Dalam hal ini dosa kufur itu lebih besar dari dosa zina.  Saya terbaca artikel tentang pandangan Dr Yusuf al Qardhawi tentang banyak kes yang berlaku di Jerman. Ramai  warga emas yang memeluk islam salah satu pihak dan mereka tidak mahu berpisah. Ramai yang memeluk Islam dengan fatawa ini. Rahimallah Dr Yusuf yang telah memberi jalan keluar dalam menentukan hukum.

Semoga keputusan saya ini tepat dan saya mohon Allah ampunkan dosa saya atas dosa dan khilaf yang lakukan.

Wednesday, November 27, 2024

"NAMA SAYA BUKAN LAGI CAU YUK SEN!"

 Satu hari diminggu akhir persekolahan tahun 2002 di SMK Elopura.

Ustaz, ada pelajar mau jumpa ustaz!’

“siapa?”

“Cau Yuk Sen, pelajar 4 D..” seorang pelajar memberitahu saya.

“OK.. minta dia jumpa saya di bilik Media waktu rehat nanti”



 

Sejurus loceng menandakan bermulanya waktu rehat saya bergegas ke bilik media menuggu Cau Yuk sen yang saya tidak kenali ini. Apa gerangan hajatnya mahu berjumpa saya, sedangkan saya tak mengajar di kelasnya. 

Assalamualaikum!”

Saya mendengar salam dari luar bilik dan kelihatan dua orang pelajar dengan senyum simpulnya. Seorang daripadanya bertudung. Barangkali yang tak bertudung itulah Cau Yuk Sen. Saya mempersilakan mereka berdua duduk. 

“Apa yang boleh saya tolong?”

“Kawan saya ada hajat dengan ustaz. Cau, kaulah yang bagi ustaz bah, jangan lah kau malu sama ustaz.” Jawab kawannya yang muslim sambil menyiku bahu Cau yang masih malu-malu.

“Begini ustaz.” Cau memulakan bicara dan kali ini dia dah mula serius.. 

“Saya ingin masuk Islam ustaz, bagaimana caranya ustaz?”

“Alhamdulillah.. Allah sayangkan kamu.. dan Dia telah beri hidayah kepada kamu. Orang lain susah nak dapat hidayah ini.”

Cau Yuk Sen ialah merupakan seorang pelajar kacukan dari bangsa Cina sebelah bapa dan bangsa Sungai dari sebelah ibu. Warna kulitnya yang sawo matang tidak menggambarkan bahawa dia dari bangsa Cina. Dia sudah lama meminati Islam semenjak dari sekolah rendah lagi. Lebih-lebih lagi selepas abang sulungnya telah memeluk Islam beberapa tahun yang lepas. 

Umurnya yang masih dikategorikan bawah umur menyebabkan saya lebih berhati-hati untuk terus segera mengislamkannya berdasarkan pengalaman setahun sebelum itu. Tahun lepas ada Ibubapa mahu menyaman saya di mahkamah kerana telah mengislamkan anaknya yang dibawah umur tanpa kebenaran. Kerumitan itu telah berjaya di selesaikan dengan baik setelah mengadakan perbincangan selama 4 jam dan hasilnya ibunya berlapang dada dan boleh menerimanya kembali, walaupun berlainan agama.

“Ibu dan ayah kamu tahu ke kamu nak masuk Islam ?” Saya bertanya meminta kepastian.

“Ayah tak kesah. Masa abang masuk Islam dulu pun dia tak bising. Saya dah Tanya ibu malam tadi, dia kata ikut suka sayalah, dia tak membantah.” Terang Cau pada saya.

Setelah berbincangan dengan panjang lebar tentang keluarganya terutama tentang pandangan mereka tentang agama Islam, Cau memberitahu bahawa ibunya pun dilihat berminat dengan Islam. 

“Adik-beradik kami bagaimana? Dia lebih rapat dengan ayah atau ibu?” 

“Kami semua rapat dengan Ibu dan banyak ikut cakap ibu dari cakap ayah”.

“Kalau ibu kamu masuk Islam, adik beradik kamu akan ikut ke?

“Mungkin ikut, sebab kami nak pergi kemana lagi sebab masih kecil.”

“Kalau begitu kamu balik bincang dengan ibu kamu dulu, panggil abang kamu yang Islam tu sama-sama pujuk ibu kamu agar masuk Islam , Insya allah bertambah rahmat dan keberkatan. Nanti sama-sama masuk syurga”. 

“Ya ustaz, nanti saya bincang dengan ibu saya malam ni, mudahan dia setuju” 

“Amin, saya akan doakan agar dia dapat hidayah dan petunjuk dari Allah, nanti kalau dia dah bersetuju bagitahu saya ya.” 

Dua hari selepas itu persekolahan berakhir dan saya tak melihat kelibat Cau Yuk Sen. Ah, mungkin belum selesai lagi perbincangan dengan ibunya kot. Saya memujuk hati saya.

Hari pertama persekolah 2003 saya disapa oleh seorang pelajar.

“Assalamualaikum ustaz!”

“Walaikumussalam! Hah kamu Cau! Apa cerita sekarang?”

“Saya bukan lagi Cau Yuk Sen ustaz, nama saya Nurasyikin. Saya dah masuk Islam, begitu juga ibu saya dan juga adik-adik”

“Allahuakbar! Alhamdulillah, kamu sekeluarga sudah masuk Islam. Allah amat mengasihi kamu sekeluarga.”

“Hanya beliau (ayah) saya yang tidak mahu peluk islam dia masih berpegang dengan Buddha. Tapi nasib baik ibu bertegas. Kami sudah buat semua urusan masuk Islam di pejabat agama Islam di Beluran”.

Itulah berita gembira yang membuka tirai tahun 2003 yang tak akan saya lupakan. Itulah hakikat sebenar agama Islam ini. Amat indah jika ia difahami dan dihayati. Ramai pelajar secara diam-diam meminati agama Islam kerana keindahan dan kemurniannya Cuma masih belum ada kekuatan jiwa untuk berdepan dengan cabaran yang mendatang jika mereka mengubah agama mereka.

Ya Allah berikan kekuatan kepada hambamu ini untuk menegakkan kalimah Allah di muka bumi ini..

       

 

Saturday, November 09, 2024

DAMAILAH SAHABATKU DI SANA

Aku telah mendapat SMS dari nombor Amrillah menyatakan bahawa keadaannya amat tenat dan telah dimasukkan ke hospital. Mungkin isteri atau ayahnya yang telah menghantar SMS tersebut. Aku tidak pernah tanya. Aku hanya ucapkan terima kasih atas maklumat dan titipkan doa agar Allah permudahakan segala urusan. Aku tidak  tidak banyak bertanya agar tidak mengganggu emosi keluarga Amrillah.

Selang beberapa hari aku terima SMS.

Amrillah telah pulang ke rahmatullah. Doakan kesejahteraan untuknya”. Begitulah lebih kurang isi SMS yang aku terima. Aku hanya mampu menuturkan

" إنا لله وإنا إليه راجعون"

اللَّهمَّ اغفِرْ له وارحَمْه واعفُ عنه وأكرِمْ منزلَه وأوسِعْ مُدخَلَه واغسِلْه بالماءِ والثَّلجِ والبَردِ ونقِّه مِن الخطايا كما يُنقَّى الثوبُ الأبيضُ مِن الدَّنسِ وأبدِلْه بدارِه دارًا خيرًا مِن دارِه وأهلًا خيرًا مِن أهلِه وزوجةً خيرًا مِن زوجتِه وأدخِلْه الجنَّةَ وأعِذْه مِن النَّارِ ومِن عذابِ القبرِ

Ya Allah, ampunilah dia dan rahmatilah dia, maafkanlah dia, muliakanlah tempat tinggalnya, perluaskanlah tempat masuknya, dan mandikanlah dia dengan air, salji, dan embun, serta bersihkanlah dia dari dosa-dosa seperti mana kain putih dibersihkan dari kotoran. Gantikanlah tempat tinggalnya dengan rumah yang lebih baik dari rumahnya, dan keluarga yang lebih baik dari keluarganya, serta isteri yang lebih baik dari isterinya. Masukkanlah dia ke dalam syurga dan lindungilah dia dari neraka dan dari azab kubur.



Aku menghubingi seorang kawannya sepengajiannya yang pernah aku kenali untuk bertanya khabar tetang perkembangan pengurusan jenazah dan menitipkan sedikit sumbangan untuk keluarga Amrillah terutama isteri dan anak kecilnya.

Setiap jiwa yang bernyawa pasti akan merasai saat kematian. Tiada seorang pun yang akan terlepas. Cuma saat dan detik kematian itu tidak pernah diketahui namun sudah tersurat dalam catatan Allah. Malaikat  Izrail hanya menjalankan tugas berdasarkan panduan yang telah disediakan.

Hidup di dunia ini ada tujuannya. Allah sudah terangkan dengan jelas dalam ayat kedua surah al Mulk:

الَّذِي خَلَقَ الْمَوْتَ وَالْحَيَاةَ لِيَبْلُوَكُمْ أَيُّكُمْ أَحْسَنُ عَمَلًا ۚ

Dia lah yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu) - untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu: siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya;

Apa yang penting bagi kita ialah memastikan bahawa amalan, aktiviti, perilaku seharian kita ini termasuk dalam kategori amalan soleh yang baik diterima oleh Allah. Tidak guna kita hidup lama panjang usia sedangkan hidup dipenuhi dengan amalan buruk dikeji oleh Allah.

Sebaliknya, jika umurnya pendek tetapi tempoh itu penuh dengan amal soleh dan aktiviti baik direadhai Allah, itulah yang kejayaan yang sebenar.

Insya Allah. Walaupun tempoh umurnya yang singkat, aku bersaksi bahawa sahabatku  Amrillah  adalah seorang yang soleh dan telah meraih redha Allah. Ujian sakit saat kematian telah membersihkan segala dosanya ibarat kain putih yang bebas dari segala noda.

Tinggal kami ini yang masih meneruskan sisa hidup ini berjuang meraih redha Allah mengejar ‘Ahsanu amala’. Semoga Allah merahmati kita semua dan diberi petunjuk dan taufiq untuk mendapat husnul khatimah sebagaimana sahabat kita Amrillah.

Saturday, October 26, 2024

CIKGU! APA TUJUAN HIDUP KITA KAT DUNIA INI?

 Ini adalah persoalan seorang pelajar Tiong Hua kepada seorang gurunya. Ketika kami guru-guru sesi pagi sedang bersiap sedia untuk pulang untuk memberi ruang kepada guru petang mengambil tempat kami di bilik guru saya di datangi oleh seorang guru sesi petang. Guru ini antara yang guru muslim yang tidak bertudung di sekolah kami, muda, cantik, ceria dan digemari oleh semua orang.

Boleh saya dan bercerita pada ustaz sekejap”. Sapanya sambil tersenyum simpul.

“Ya. Boleh. Jom kita ke bilik komputer”. Saya mengamitnya ke bilik komputer di hujung bilik guru. Meja saya terletak di tengah bilik guru dan menjadi laluan guru-guru keluar masuk.


Ada apa Cikgu Stef?”. (Bukan nama sebenar)

Ustaz! Semalam saya terdengar perbualan seroang pelajar Tiong Hua  dengan Cikgu kat sebelah saya. Mereka cakap bahasa Cina. Tapi saya dapat faham sebab dulu saya belajar kat sekolah Cina”. Cikgu Stef memulakan ceritanya.

Pelajar tu tanya cikgu tu kenapa kita hidup di dunia ini? Apa tujuannya? Terkejut saya dengar soalan ni. Tetapi saya buat-buat tidak dengar”.  Semakin serius wajah Cikgu Steff bercerita.

Saya melihat wajahnya dan  serius mendengar.

Wah menarik ni..”

Dia cakap, dia dengar Ustaz yang minta pelajar fikirkan persoalan ini”. Panjang lagi cerita Cikgu Steff pada saya. Perbualan pelajar itu dengan guru agak lama juga. Guru itu menerangkan banyak perkara tentang kehidupan ini. Tapi dalam versi budaya Cina.

Cuma Cikgu Steff mengatakan dia seronok bila pelajar mula berfikir begitu dan saya dalam program 5 minit pagi Isnin telah berjaya merangsang pelajar berfikir tentang kehidupan. Cara ini boleh membuka jalan kepada guru lain untuk mendidik nilai manusiawi kepada pelajar. Cuma Cikgu Steff berpandangan kalau saya sendiri yang menerangkan konsep ini kepada pelajar munking akan lebih jelas dan tepat.

Alhamdulillah, ini adalah antara kesan  positif slot 5 minit pagi Isnin di tugaskan oleh PK HEM sekolah saya. Memang ada satu hari tu saya bercerita tentang konsep kehidupan dengan mengemukanan persoalan..

Dari mana kita datang? Siapa yang rancang dan ciptakan kita sebagai manusia?”

Apa tujuan kita hidup kita atas dunia ini? Apa yang perlu kita buat?”

“Selepas ini ke mana kita akan pergi?”

Saya telah mengemuka beberapa lagi soalan supaya pelajar berfikir.

Rumusan saya bagi ialah tujuan kita hidup ini adalah untuk memberi.. berjasa kepada manusia sejagat dan alam. Apa kebaikan yang kita lakukan atas dunia ada balasannya.. tidak sia-sia. Jika kita melakukan kejahatan, menganggu gugat keselamatan orang lain, menyusahkan orang pastinya ada balasan. Jika tidak di Dunia, nun akan di balas di Akhirat nanti.