Monday, December 30, 2024

SYIRIA 4 : BAB TUMA GERBANG MASA KE ZAMAN KHILAFAH UMAYYAH

Teksi Ammu Mahmood memecut pergi meninggalkan kami di hadapan Pintu gerbang besar Bab al Tuma. Nama pintu ini tertera dalam alamat yang telah diberikan oleh ayah Salahuddin kepada saya. Pintu gerbang ini adalah salah satu dari 5 pintu gerbang utama kota lama Damsyik. Kota ini dikhabarkan adalah berasal dari zaman Dinasti khilafaah Umayyah lagi. 

Di Kota Lama Bandar Damsyik (Damascus), terdapat beberapa pintu utama yang bersejarah yang menjadi sebahagian daripada tembok pertahanan kota ini. Beberapa pintu utama yang terkenal di Kota Lama Damsyik adalah:

  1. Pintu Bab Sharqi (باب شرقي): Pintu ini terletak di sebelah timur Kota Lama Damsyik dan merupakan salah satu pintu utama yang paling terkenal. Ia menghubungkan bandar lama dengan kawasan luar kota.
  2. Pintu Bab al-Jabiya (باب الجابية): Terletak di sebelah barat laut kota, pintu ini merupakan salah satu pintu utama yang mengarah ke jalan utama yang membawa keluar dari Damsyik ke kawasan luar.
  3. Pintu Bab al-Saghir (باب الصغير): Pintu ini terletak di sebelah selatan Kota Lama Damsyik dan juga merupakan pintu penting yang digunakan dalam sejarah.
  4. Pintu Bab al-Amara (باب العمارة): Pintu ini terletak di sebelah barat daya dan merupakan pintu utama yang menghubungkan Kota Lama dengan kawasan luar, khususnya ke arah kawasan perumahan yang lebih moden.
  5. Pintu Bab al-Tuma (باب التومة): Pintu ini berada di sebelah utara dan dikenal sebagai pintu penting yang menghubungkan beberapa kawasan dalam bandar lama.

Setiap pintu ini mempunyai sejarahnya sendiri, yang berkait rapat dengan pembinaan kota dan juga peranan pertahanan pada zaman dahulu. Kota Lama Damsyik, yang telah diiktiraf sebagai tapak warisan dunia oleh UNESCO, masih mengekalkan pintu-pintu bersejarah ini sebagai sebahagian daripada warisan kebudayaan yang kaya.

Saya dan rakan-rakan merasa amat kagum dengan suasana kota ini. Kami merasakan Salahuddin amat bertuah kerana tinggal dalam kota lama ini dan menjadi sebahagian dari sejarah kerajaan Umayyah. Berbekalkan alamat yang diberi, kami  mula masuk melalui  pintu gerbang  bab al Tuma. Luas lorongnya kurang 10 kaki dan    di kiri kanan lorong  merupakan dinding rumah yang bersambung-sambung.  Hanya terdapat pintu-pintu  rumah sahaja di perbuat dari besi. Terdapat beberapa bahagian yang dibuat kedai menjual  buah dan juga manisan.

Setelah berberapa seketika berjalan, kami  kehilangan punca kemana hendak dituju. Dalam kertas  tertulis ‘syaari uthman’ (jalan Usman) kalau tak silap dan  baris terakhir tertulis bayt Abu Ragib. Memang alamat di di sini tertulis begitu secara umum dulu kemudian semakin khusus. Berbeza penulisan alamat rumah di Malaysia  nombor rumah dahulu, kemudian jalan dan kampung  dan kemudiannya negeri.

Kami bertanyakan kepada beberapa orang pemuda yang sedang berbual-bual di penjuru lorong tentang rumah yang kami cari.

“Lau samaht, wein syaari Usmaan?”

(boleh tolong, di mana jalan Usman?) saya bertanya sambil menunjukkan kertas alamat di tangan saya.

“Ohh… hinaak, quddam syuwaiya hawalai khamsiin meter alal yamiin”.

(Oh .. disana.. hadapan sedikit sekita 50 meter sebelah kiri). Tangannya menunjukkan ke satu arah.

Tiba-tiba kawannya menyampuk.

“Antum Malayziiey? Ana a’ malayzie saakin hinaak”

(Kamu orang Malaysia kah? Saya  kenal  orang Malaysia yang tinggal kat sana).

“Mari saya tunjukkan dan hantar kamu ke sana. Lebih mudah”. Tawarnya apabila melihat kami kebingungan.

Alhamdulillah. Pemuda tadi bernama Firas  menggamit kami untuk mengikutinya. Kami berempat mengikutinya dari belakang.  Masuk ke lorong kiri semakin kecil. Mungkin inilah lorong Usman yang tertulis dalam alamat.  Kemudia ada lagi masuk ke lorong  yang lain. Ada juga masuk macam terowong di bawah  bangunan. Kemudian kami sampai ke hujung satu lorong . Kawasan tersebut agak lapang. 

Firas menunjukkan satu pintu besi besar dan memberitahu kami ada orang Malaysia yang tinggal di sini. Setelah mengucapkan terima kasih Firas berlalu pergi meninggalkan kami.  Kami mengetuk pintu sambil  memberi salam. Agak lama juga kami menunggu. Terdetik di hati kami mungkin Solahuddin tiada di rumah. Kami berkira-kira untuk mengunggu saja dihadapan pintu sehingga Solahuddin  balik.

Namun selepas berberapa ketika kami mengetuk lagi pintu dan memberi salam, kami terdengar salam kami berbalas. Beberapa ketika pintu rumah terbuka.  Seorang pemuda berwajah sawo matang berbadan kurus memakai thsirt putih muncul. Tapi bukan Salahuddin.

“Solahuddin tinggal di sini kah?” Saya bertanya  kepadanya.

Ya,  Solahuddin tingga di sini bersama saya. Kamu  ni kawannya kah?”

Ya, saya rakan sekampung di Solahuddin di Kelantan,  saya belajar di Jordan. Ini semua kawan saya dari Mafraq”. Saya  memperkenalkan diri kami kepada pemuda tersebut.

Dia mempersilakan kami masuk.   Rupanya pintu tadi  hanya ibarat pintu pagar saja.  Terdapat halaman rumah yang agak luas juga dengan beberapa batang pokok  zaiton atau tin.  Dia   memberi tahu Solahuddin ada kelas , insya Allah sebelum maghrib dia akan sampai. Kami  diminta masuk ke ruang tamu untuk berehat sambil  menunggu kepulangan Solahuddin.

Kami di hidangkan air kosong sambil berehat.  Kami ingin keluar  mencari alas perut makan tengah hari.  Kami bertanyakan Imran (bukan nama sebenar) tentang kedai makan terdekat.  Beliau  memberi tahu kedai makan yang sesuai dengan jauh di luar kota.  Dia akan masak untuk kami. Kami  pun sebenarnya tak berani keluar sendirian.  Kalau keluar kami pun tak pasti dapat masuk kembali tanpa sesat.

Kami hanya berehat sambil berbual-bual   menikmati suasana kota lama Zaman Umayyah.


Saturday, December 28, 2024

SYIRIA 3 : DITIPU SEBELUM DITIPU

 Antara pesanan rakan rakan kami yang telah sampai ke Syiria ialah agar kami berhati-hati agar tidak ditipu.

“Kamu akan ditipu sebelum ditipu. Hati-hatilah”.

Kami berempat tidak putus-putus berdoa agar musafir kali ini berjalan dengan lancar dan tidak ditimpa apa-apa musibah. Kami akan berhati-hati agar tidak ditipu oleh mereka yang ingin ambil kesempatan terhadap kami yang naif tentang selok belok Syirian yang amat asing bagi kami.


Ammu Yazan, pemandu teksi kami menurunkan kami di satu tempat yang dia bagitahu kami boleh ambil teksi untuk ke destinasi kami seterusnya di bandar lama Damsyik. Stesen teksi merentas negera berada ditempat lain. Beliau meminta saya mengambil teksi berwarna kuning kalau tak silap agar boleh bawa kami ke tempat yang dituju.

Setelah turun kami berempat menuju ke stesen teksi dan mengambil satu teksi untuk bandar lama Damsyik. Saya menunjukkan alamat yang telah diberi oleh ayah Solahuddin. Tertera di situ Bab al Tumah. Pemandu teksi itu bersetuju dan meminta kami menaiki teksinya sudah tersedia.

Pemandu teksi kami ini teramatlah mesra yang saya namakan sebagai Ammu Mahmood. Memang saya pun berapa ingat namanya. Sudah menjadi tabiat saya bila bercakap dengan arab akan bertanya nama dulu untuk memudahkan komunikasi. Tapi nama pemandu ini saya tak pasti sebab peristiwa ini sudah amat lama. Jadi saya namakan saja sebagai Ammu Mahmood.

Setelah dia mengetahui kami dari Malaysia dan beragama Islam Ammu Mahmood amat gembira kerana katanya dapat berkhidmat kepada saudara semuslim. Dia memuji akhlak orang Malaysia yang katanya amat baik…

“Ahlal insan fi al dunya. Wallahi antum atyab al nas fi al aalam”.

(Insan paling elok di dunia. Demi Allah! kamu semua manusia yang paling baik di seluruh alam)

Memang bangsa Arab ini suka memuji dan bermuka-muka. Istilah yang kami guna ialah ‘mujamalah’. Arab memang juara bab ‘mujamalah’ ini. Kalau ingin mudah berurusan dengan Arab, kami orang Malaysia mesti menguasai ilmu mujalamah.

Ammu Mahmood menasihati kami agar berhati-hati sepanjang berada si Syiria. Katanya orang di Syiria ini nampak lembut dan baik hati, namun belum tentu ikhlas. Ramainya yang mempunyai niat yang tidak baik dan ambil kesempatan kepada warga asing. Macam kami orang Malaysia dan beragama Islam dikira sebagai ikhwan ( saudara) pun mereka sanggup ambil kesempatan.

Kami hanya mendengar bebelan nasihat dari Ammu Mahmood yang tak berhenti-henti. Kami hanya menyampuk “Na’am… syukran” ( ya.. terima kasih) itu saja. Mata saya melihat sekeliling jalan jalan sekitar bandar Dimasyq. Memang klasik bandar ini. Jauh beza dengan bandar-bandar di Jordan.

Ammu Mahmood tak berhenti menasihati kami. Katanya jika masuk ke restoran ingin makan, kami mesti tanya dulu harga makanan sebelum makan. Jika tidak, selepas makan mereka boleh letak harga tinggi dan oleh kerana sudah selesai makan kami dah terpaksa bayar berapa saja yang mereka minta. Begitu juga bila naik teksi, mesti bertanya kadar tambang dahulu.

Ah.. kami pun tak tanya dulu berapa tambang teksi Ammu Mahmood ni.

“Ammu Mahmood… saya pun masih belum tanya berapa tambang teksi ni ke Bab al Tumah. Berapa harganya”. Saya mencelah nasihat Ammu Mahmood bertanya harga tambang kami.

“Wallah.. (Demi Allah).. Kamu ni saudara saya seagama, jangan takut.. harga tambang istimewa insya Allah”. Jamin Ammu Mahmood sambil tersenyum dan meneruskan nasihatnya.

Kami semua lega mendengar jaminan Ammu Mahmood.

Seingat saya jarak perjalanan kami menaiki teksi tidak terlalu jauh, sekita 15 minit saya. Oleh kerana Celoteh nasihat Ammu Mahmood yang bertali arus menyebabkan kami tak terasa  jarak sebenar. Apa yang kami sedar kami sudah sampai di hadapan pintu gerbang besar ‘Bab al Tumah’. Saya bertanya kadar tambang kepada Ammu Mahmood.

“Berikan saya hanya 100,000 lira sajalah sebagai harga saudara semuslim”.

Kepala aku ligat mengira. Pening juga membuat congakan. USD100 bersamaan JD83 ketika itu. Semasa di Mafraq saya hanya tukar JD20 je kadalam lira Syiria dapat dalam 300 ribu lebih begitu saya tidak ingat tukaran sebenar. Cuma congakan yang saya buat tambang 100 ribu lira tu amat mahal dengan jarak perjalan kami yang singkat.

“Ammu.. tambang ni tinggi. Boleh kurang lagi kah..?”

“Tidak saudara ku. Harga tu sudah murah. Tidak boleh rendah dari itu. Zalim untuk saya”.

Saya masih tidak puas hati. Saya mendesak  agar dikurangkan sedikit sekitar 50 ribu atau 70 ribu. Ammu Mahmood berkeras dan sudah mula marah.. dia sudah naik suara memarahi kami. Saya minta 3 rakan saya turun dahulu dari kereta. Saya masih lagi cuba berunding. Tapi tidak berjaya. Kebetulan saya ada wang kertas 50 ribu lira saya hulurkan pada Ammu Mahmood.

Saya tidak boleh terima. Harga tambang ini zalim untuk saya. Kamu tidak kasihan pada saya. Kamu sanggup menzalimi saya yang telah banyak menasihati kamu”. Ammu Mahmood menolak duit itu dengan marah.

Saya turun dari kereta dan meletakkan duit tadi di atas kusyen. Saya sudah nekad. Akal waras saya hanya mempu mengatakan bahawa tambang 100 ribu lira itu adalah mahal.

“Hanya ini yang kami boleh bagi. Ambillah. Terima kasih atas nasihat Ammu. Barakallahufik”.

Terus saya tutup pintu kereta dan Ammu Mahmood memecut kereta terus pergi. Terlintas juga di hati ini. Ya Allah ampunkan dosa saya  kalaulah saya telah menzalimi dia. Kalau dia betul harga tadi saya mendoakan agar Allah permudahkan urusan dia dan murahkan rezeki dia selepas ini.

Malamnya ketika makan saya bercerita kepada Solahuddin peristiwa teksi tadi. Saya bercerita dengan rasa sedikit riak kerana beranggapan selamat dari ditipu.

“Berapa Lah bayar tambang tadi?” tanya Solahuddin.

Setelah dia mendapat tahu saya telah bayar sebanyak 50 ribu lira untuk tambang teksi, Dia ketawa berdekah-dekah. Begitu juga rakan serumahnya. Rupanya harga sebenar tambang teksi dari bandar ke Bab al Tumah tu hanya 20 ribu lira sahaja.

Memang sah kami sudah ditipu sebelum ditipu. Kami semua ketawa beramai-ramai sambil makan malam.

Sunday, December 22, 2024

SYIRIA 2 : HAFIZ SI SINGA SAMBUT KAMI SEPANJANG JALAN

 Dapat je pasport kami mencari pemandu teksi di café. Dia tiada di sana. Dia pun sudah hilang sabar menunggu kami lebih 3 jam. Puas kami mencari dia di sekitar café dan bangunan imigresen. Baru sahaja kesabaran kami terubat bila dapat memegang pasport di tangan. Sekarang kami terpaksa sabar lagi menunggu pemandu kami yang melayan perasaannya entah di mana.

Kami menunggu di tepi kereta ‘serfis’ sambil berbual-bual tentang rancangan kami  di Damasyq nanti. Saya  membawa amanah  berupa wang belanja untuk Salahhuddin, orang sekampung saya di Gertak Kechupu.  Ayahnya telah menitipkan wang belanja  dua kali setahun untuk Salahuddin.   Dia adalah satu-satunya pelajar Malaysia  dibawah tajaan KPM yang masih bertahan di Dimasyq. Manakala yang lain sudah  balik menyambung pengajian di Malaysia  kerana tidak berjaya menghabiskan pengajian. 


Tidak berapa lama kami menunggu pemandu teksi datang.

“Yallah naruhhh. Taakharna kathiran al  yaum..”

(Jom kita gerak. Kita dah terlambat hari ini). Waktu seingat saya dah tengah hari hampir waktu Zohor.

Kami semua segera memasuki teksi. Saya duduk di sebelah pemandu sebagai ketua rombongan.
Bila kami masuk je  ke bahagian Syiria . Pekan atau bandar pertama kami tempuh ialah kalau tak silap saya ialah Dar’aa.  Saya terasa seperti masuk  ke bandar Golok dari sempadan Rantau Panjang.

Suasana amat berbeza dalam banyak perkara.   Paling ketara ialah   motorsikal yang banyak memenuhi jalan   kiri dan kanan jalan. Motosikal pula jenis model lama yang tak pernah kami tengok. Di Jordan tidak ada motosikal. Memang tidak pernah nampaklah rasanya. Suasana bunyi  motosikal di  Pekan Dar’a amat mengujakan kami.

Pemandu teksi memberitahu kami perjalan mengambil masa hampir 2 jam dengan jarak  sekitar 150km. Bila kami kami sudah mula  masuk ke Jalan utama ke Dimasyq , kami  lihat gambar  pemimpin Syiria Hafiz al Asad di gantung di setiap tiang letrik sepanjang jalan. Di kawasan yang tiada penempatan dan tiada tiang letrik gambar-gambar tersebut digantung di tiang-tiang khas.

“Wah.. kita di sambut oleh Hafiz al Asad sepanjang jalan. Banyaknya gambarnya”. Luah saya kepada pemandu teksi.

“Kamu akan tengok lagi  banyak beribu-ribu gambar  Hafiz al Asad bila sampai di  Dimasyq  nanti. Tak larat kamu nak tengok”. Ujar pemandu teksi.

Kami melayan perasaan kami sepanjang perjalanan. Tak banyak pemandangan yang menarik. Suasananya hanya sama seperti di Jordan. Bezanya gambar Hafiz Al Asad  di sepanjang jalan. Terfikir juga, tidak muak kah rakyat Syiria melihat gambar yang sama saja sepanjang jalan. Rakan-rakan saya yang lain di belakang sudah nyenyak melayan tidur. Keletihan menunggu pasport di sempadan tadi.

Sedang saya mengelamun hampir tertidur, Pemandu teksi tiba-tiba bersauara.

“Syuff.. alal jabal alal yamin….” (Tengok tu atas bukit sebelah kanan).

Wah… saya lihat gambar Hafiz al Asad amat besar memenuhi sebelah bukit menyambut kami dengan senyumannya yang  tersendiri. Kalau tak silap gambar tadi terhasil dari susunan batu- bata yang menzahirkan gambar Presiden Syirian yang amat dipuja oleh rakyatnya. Entah banyak manalah kos bajet yang dibelanjakan oleh kerajaan Syiria demi untuk projek gambar presiden mereka ini.

Pemandu teksi memberitahu bahawa gambar-gambar ini semua adalah untuk menyambut tetamu yang melalui jalan ini dari sempadan Syiria Jordan. Di bandar Dimasyq nanti akan banyak lagi gambar-gambar presiden Syiria dan banyak juga patung-patung beliau yang diukir khas. Di setiap sekolah wajib ada patung Hafiz al Asad separuh badan  terletak di hadapan pejabat hadapan tapak perhimpunan. Setiap pagi semua pelajar akan menyanyi lagi memuji Hafiz al Asad sebagai tanda terima kasih kepada presiden mereka.

“Kamu di Dimasyq nanti dan di seluruh Syiria jangan sebut perkara yang tidak baik tentang presiden syiria ni. Pujian kena selalu keluar dari lidah kamu. Kalau tidak kamu semua dalam bahaya”. Nasihat pemandu teksi.

“Ini dah lebih ni.. terlampau berlebih-lebihan mengagongkan pemimpin dan jadi macam taraf tuhan”. Ujar saya tidak bersetuju.

“Bersetuju atau tidak. Itulah hakikatnya negara ini. Kamu di sini perlu suaikan diri dengan keadaan di sini. Itulah nasihat saya. Keadaan negara ini berbeza dari Jordan. Tengok lah tadi kamu  lama tertahan tak di cop pasport sebab kamu tak bagi rasuah”. Panjang pemandu teksi menasihati kami.

Aku mengucapkan terima kasih atas nasihat Ammu Yazan, pemandu teksi kami. Aku melayan pemandangan kiri dan kanan jalan, sementara kawan saya di belakang melayan tidur mereka.

Wednesday, December 18, 2024

SYIRIA 1 : SABAR DEMI KOTA DIMASYQ

“lissa ba’d. Syuwaiyya”.

(Belum lagi, sikit lagi). Itulah jawapan pegawai imigresen di sempadan sebelah Syiria bila kami tanya tentang pasport kami sudah selesai di cop atau tidak. Di imigresen sebelah sempadan Jordan langsung tiada masalah. Hulur pasport terus cop dan siap diucap ‘maassalaamah’.

Kami dari Jordan memasuk Syiria  melalui sempadan bandar al Ramtha di sebelah Jordan. Bila tiba di bahagian Imigresen Syiria, pemandu kami memakirkan teksinya dan meminta kami ke sebuah bangunan. Dia memberitahu kami agar mencarinya di café bila selesai nanti. 


Saya, Yusof, Zahari dan Ust Farid Ravi menyerahkan pasport kami ke kaunter imigresen. Kami nampak pegawai tu ambil pasport dan membeleknya kemudia  meletaknya di tepi sahaja. Tapi kami lihat jika orang lain yang datang dia belek dan terus cop. Pasport kami di letak begitu sahaja.

Bila kami tanya, jawapannya  belum lagi dan minta kami tunggu sekejap. Lepas sejam kami bertanya lagi. Diberi jawapan yang sama. Macam-macam kami meneka apa masalah kami sehigga ditahan begitu. Kami teringat cerita rakan-rakan yang juga sudah mencuba untuk masuk Syiria ada juga yang disidai begini dan hujungnya tak boleh masuk. Terpaksa berpatah balik. Kami berdoa agar ianya tidak berlaku kepada kami.

Setelah hampir dua jam kami menunggu dan melihat orang lain pelbagai bangsa keluar masuk tanpa ada apa-apa masalah. Kami lihat Arab dari pelbagai negara, orang barat pun mudah saja urusan mereka. Ada juga kami bertanya mereka dari mana. Ada dari Sweden, Belgium dan macam-macam lagi. Mereka hanya pelancong biasa dan tiada masalah. Apa masalah yang berlaku kepada kami sehingga ambil masa yang lama. Kami juga tidak dipanggil untuk diberitahu apa masalah kami.

Lepas dua jam kami bertanya lagi.

“Keif jawazna? Syuu musykilah”

“Bagaimana dengan pasport kami. Apa masalah?”. Kami sudah letih menunggu. Pemandu teksi sudah berapa kali datang mencari kami. Sudah berapa cawan teh yang dia dah minum sementara menunggu kami. Teringat juga kisah ada rakan kami yang kena sidai sampai hampir satu hari dan akhirnya terpaksa berpatah balik.

Kami hanya mampu berdoa. Segala macam doa kami baca agar urusan kami dipermudahkan oleh Allah. Saya menjenguk ke kaunter. Pasport kami masih ada di situ. Tidak dibawa kemana-mana pun. Saya hanya melihat wajah kelat pegawai imigresen. Berapa kali kami keluar masuk ke kawasan kaunter. Di fikiran kami terlintas pelbagai andaian. Mungkin kami antara yang terpaksa berpatah balik.

Kami hanya mampu bersabar. Kami teringat ada 90 ayat al Quran menyebut perkataan sabar. Allah amat suka orang yang sabar sebagaimana ayat 146 Surah al Imran

وَاللّٰهُ يُحِبُّ الصّٰبِرِيْنَ

Allah mencintai orang-orang yang sabar'.

Ayat ini yang menjadi penyejuk hati kami. Saya juga tidak putus-putus membaca ayat seribu dinar menyerahkan segara urusan kepada Allah.


{2}……dan sesiapa yang bertakwa kepada Allah (dengan mengerjakan suruhanNya dan meninggalkan laranganNya), nescaya Allah akan mengadakan baginya jalan keluar (dari segala perkara yang menyusahkannya),

{3} Serta memberinya rezeki dari jalan yang tidak terlintas di hatinya dan (Ingatlah), sesiapa berserah diri bulat-bulat kepada Allah, maka Allah cukuplah baginya (untuk menolong dan menyelamatkannya). Sesungguhnya Allah tetap melakukan segala perkara yang dikehendakiNya. Allah telahpun menentukan kadar dan masa bagi berlakunya tiap-tiap sesuatu.

 

Setelah lebih 3 jam menunggu, saya minta rakan saya Ust Farid pergi bertanya ke kaunter apa nasib pasport kami. Saya lihat dia berbual-bual dengan pegawai imigresen. Kemudianya kami mendegar bunyi pasport kami dicop. Ustaz Farid mengambil pasport dan menggangkat tinggi menunjukkan kepada kami.

“Alhamdulillah..” hanya itu yang keluar dari mulut kami. Kami memanjatkan kesyukuran pada Allah. Akhirnya  kami dapat masuk ke bumi Syiria. Bumi Khalifah Umayyah, bumi ulamak besar. Tergambar di mata kami wajah al Sheik Wahbah al Zuhailiy, Dr Said Ramadhan al Buty dan juga ulamak lain yang kami akan ziarah nanti.


Tuesday, December 17, 2024

USTAZ TAK YAKIN KAH DENGAN REZEKI ALLAH?

 Saya tersentak mendengar pertanyaan yang  amat jujur dan berterus terang Pakcik Ngadiman (Bukan nama Sebenar).  Saya terdiam sambil terseyum sumbing memandang  Pakcik Ngadiman yang  sedang menyandar di dinding kedai gunting  di tepian sawah.

Saya bertemu Pakcik Ngadiman ini ketika singgah untuk bergunting rambut di sebuah kedai gunting tepi sawah   di Kuala Selangor. Pada tahun 2012  , kami pensyarah-pensyarah IPG KPI perlu menyelia praktikum guru-guru jQAF  di seluruh pelusuk negeri Selangor.  Saya perlu menyelia bebrapa orang guru di sekitar Kuala  Selangor dan  juga Sekinchan. 

Hari tersebut , saya menyelia dua orang guru jQAF. Satu di sesi pagi dan satu guru lagi   untuk sesi petang di sekolah lain. Selepas penyeliaan sesi pagi selesai saya   mengisi masa terluang untuk mengunting rambut sebelum sesi penyeliaan seterusnya pada jam 3 petang.

Kebetulan ada  sebuah  kedai gunting rambut yang beroperasi di sebuah pondok kecil di tepi  sawah. Saya singgah  dan sudah ada seorang pelanggan sedang menunggu. Pemandangan di sekeliling pondok itu amat indah dan mendamaikan dengan sawah padi nun sejauh mata memandang.

Tiba-tiba masuk seroang pakcik dalam lingkungan  umur 60an memberi salam  dan duduk di sebelah saya. Dia ni  amat peramah dan  dia mengenali tukang gunting dan juga pelanggan lain.  Melihat saya orang  baru yang dia tidak  kenali dia mula bertanya kepada saya:

“Eh  encik dari mana tak pernah nampak. Nama siapa?”.

“Saya  Abdullah,  dari bangi datang ke sini menyelia praktikum guru jQAF.”  Saya menjawab sambil mengukir senym perkenalan.

“Ohh.. pensyarah ya.. saya Ngadiman, jadi.. Ustaz dari MPI lah ya. Dulu anak saya ada belajar situ. Buat KPLI juga.. sekarang   mengajar si Sungai Buloh.”

“Masya Allah .. bagus tu.. anak pakcik pun guru agama juga.”

Ya.. anak saya ramai yang jadi guru, Sekarang ada seorang lagi sedang belajar di UPSI. Tapi bidang  Geografi. Dua tahun lagi habislah”.  Pakcik  Ngadiman  bercerita sambil membelek-belek jam tangannya.

Kemudian  dia bertany a lagi.
“Sebelum mengajar di MPI ustaz bertugas di mana?”

Saya bercerita kisah  kerjaya saya di sabah. Bermula di Sandakan dan kemudian di IPG Tawau selama setahun setengah.

“Pakcik ada seorang anak di Tawau. Doktor di Hospital Tawau, lama dah juga dia di sana. Dalam tiga tahun dah rasanya.”

Saya semakin kagum dengan Pakcik ini. Dia kelihatannya  bukan orang berpelajaran. Pakaiannya hanya sebagaimana orang kampung biasa. Anaknya ramai berpelajaran  tinggi. Saya semakin ingin tahu lebih lanjut tentang Pakcik Ngadiman ini.

“Berapa orang anak Pakcik? Ramai  belajar tinggi pula.”

Anak pakcik tak ramai. 12 orang ja.. Cuma ramai lebih kurang umur. Ada sebaya”.

“Hah ramainya juga 12 tu ada pula yang sebaya.. bagaimana tu?” Perasaan ingin tahu semakin membuak.

“Pakcik ada 3 Isteri, 12 Orang ana saya tu.. 9 orang anak tiri. Anak saya 3 orang ja”. Bersahaja Pakcik Ngadiman bercerita.

Masya Allah, hebatlah pakcik ni. Jarang  orang sekarang ada 3 isteri. Kalau dua tu biasa lah. Pakcik kerja apa? Bukan senang nak jaga tiga keluarga besar ni”.

“Ala.. kerja biasa.. Pengawal keselamatan dekat Kilang proses padi”.

Saya terkejut dan rasa tercabar. Pengawal keselamatan boleh kawin 3 isteri. Bagaimana lah dia boleh menyara keluarganya. Pendidikan anak-anaknya pun bukan calang-calang.  Doktor perubatan, guru dan ada penjawat awam lain. Saya bertanya kepadanya apakah rahsia dan petuanya untuk menyara keluarganya yang besar itu.

“Alhamdulillah.. Pakcik yakin pada rezeki Allah. Pakcik kahwin pun ikhlas kerana Allah.. Semua 3 orang isteri pakcik tu janda sudah ramai anak. Mereka perlu pembelaan dan kasih sayang. Hanya itu yang pakcik mampu bantu. Bila dah kawin kami kongsi rezeki apa yang ada. Alhamdulillah. Allah luaskan rezeki pakcik sekeluarga. Seorang isteri pakcik buka kedai makan kecil. Seorang buat kueh. Seorang  lagi jual goreng pisang. Bolehlah menampung hidup kami sekeluarga. Anak-anak tiri saya tu perlu belaian kasih sayang. Perlu seorang ayah yang menjaganya. Itulah yang saya mampu buat.”. Panjang lebar cerita Pakcik Ngadiman…

Sekarang tiba giliran saya untuk menggunting rambut. Hanya tinggal kami bertiga di kedai itu. Yang lain sudah selesai.  Sambil rambut saya digunting kami meneruskan perbualan.

“Saya kagum dengan pakcik. Saya yang bekerja kerajaan ni pun rasa terbeban nak sara anak saya yang 7 orang .. tapi Pakcik boleh menyara 3 isteri dan 12 anak.”

“Laa. Ustaz.. Rezeki ni kan Allah bagi. Dia yang aturkan. Ustaz tak yakinkah dengan rezeki Allah..?”

Saya melihat dari cermin besar didepan saya, Pakcik Ngadiman tersenyum seolah memperli saya.

Allah.. Saya terasa hari ini Allah menegur saya yang tentang rezeki dan kehidupan. Ya.. kita yakin Allah yang menentu dan memberi rezeki kepada sesiapa sahaja. Kita hanya perlu berusaha.  Cuma kadang-kadang hati kita ini terpengaruh dengan kiraan duniawi hingga lupa pemberi rezeki yang sebenar.

Pakcik Ngadiman hanya seorang pengawal keselamatan, tapi dia mempunyai tahap keikhlasan dan keyakinan yang sangat tinggi pada Allah.. melebihi keyakinan saya sendiri. Saya rasa keikhlasan inilah yang memberi keberkatan kepada kehidupannya sekeluarga.

Kita bagaimana? Nak kawin lebih dari satu. Mahu, tapi mahu yang muda. Tidak yakin pula dengan rezeki. Nampaknya Iman dan hati ini masih banyak yang perlu dibaiki.. Hari itu saya belajar sesuatu dari Pakcik Ngadiman.

Monday, December 16, 2024

DALAM KESUSAHAN ADA KESENANGAN

 “Ustaz jangan jual kereta ustaz tu, dia sangat baik, tak susahkan tuan dia”..

Itu kata-kata pertama mekanik yang saya hubungi apabila saya mengadu tentang masalah yang berlaku pada kereta saya semasa pulang berhari raya korban beberapa tahun yang lepas.

Ini kali pertama dalam sejarah balik kampung untuk berhari raya kami semua mengharungi perjalanan 20 jam untuk sampai ke kampung kami di Pasir Puteh, Kelantan. Bertolak dari Bangi pukul 3 pagi sabtu dan kami sampai di Pasir Puteh pada jam 11 malam Ahad. Hampir 20 jam perjalanan dengan mengharungi kesesakan jalan yang tak masuk akal di Merapoh selama 6 jam untuk jarak 11km. 


Sepanjang kesesakan itu, banyak kereta yang membuat hal tersadai ditepi jalan. Banyak juga berlaku kemalangan kecil terlanggar kereta hadapan disebabkan pemandu yang keletihan dan mengantuk. Risau juga kereta kami bermasalah nanti sebagaimana kereta lain. Maklumlah kereta Starex Royal dah mencecah umur 8 tahun. Saya tak putus-putus berdoa agar kami selamat sampai ke kampung halaman dengan selamat. Namun, ketika 30 km sebelum sampai ke destinasi, lampu kecil amaran ESP berkelip dan seterusnya menyala sepanjang perjalanan. lampu ini katanya memberi amaran apabila kereta mengalami masalah. Hati hanya mampu berdoa agar kami sempat sampai ke destinasi.

Kalau betul-betul dia buat hal sebelum sampai ke destinasi, saya tak dapat gambarkan bagaimana nak uruskan keluarga besar saya yang terdiri dari 10 orang. Tak kira lagi barang-barang persiapan hari raya yang bukan sedikit. Kereta dah mula terasa kurang prestasinya dengan pecutan semakin kurang. Tapi alhamdulillah sempat sampai  dan dipakirkan dihujung halaman rumah.

Pagi esok iaitu pada pagi hari raya, kereta Starex langsung tak boleh bergerak. Ke empat-empat tayar telah dipegang kemas  oleh brek. Pam brek rosak. Ketika ini lah saya menelefon kawan saya mekanik Hyundai. Tetapi pada hari raya aidilfitri ini apa yang boleh dibuat, semua orang mahu bersama keluarga. Ketika inilah abang mekanik ni menasihati saya agar bersyukur pada Allah kerana telah memberi kesenangan pada saya dengan tidak menguji saya dengan kerosakan kereta di Merapoh sana.

Allah... sememangnya tidak dapat digambarkan jika   kerosakan itu berlaku di sana.  Memang kita terasa susah dengan kesusahan dan musibah yang menimpa, Namun musibah kecil itu adalah lebih ringan dari musibah lain yang  lebih berat  yang mungkin boleh menimpa kita.  Puji dan syukur pada Allah atas musibah kecil ini.


Sunday, December 15, 2024

RAKAN AL QURAN BANTU HERMAN CELIK AL QURAN

 Program rakan iman pada awalnya  adalah bebas terbuka kepada pelajar yang berminat. Namun saya mewajibkan kepada beberapa orang pimpinan pelajar yang tinggal di asrama. Bilangan ahli program rakan iman sekitar   16 orang sahaja untuk tahun pertama.

Pada tahun kedua, saya mengambil keputusan untuk mewajibkan pelajar tingkatan 6 untuk menyertai program rakan iman. Ini kerana pelajar tingkatan  6  adalah merupakan abang senior yang menjadi ketua dan pimpinan di asrama. Mereka akan menjadi contoh kepada adik-adik di asrama.  

Keputusan ini menyebabkan bilangan ahli rakan iman utama menjadi besar sehingga mencecah 30 orang atau lebih . Segmen pertama  perjalanan rakan iman ialah  tadarus al Quran . Oleh kerana bilangan ahli rakan iman  amat ramai, saya menghadkan setiap orang akan membaca dua ayat atau lebih kurang  dua baris.

Sebelum ini, segmen tadarus amat lancar setiapa pelajar membaca separuh muka surat seorang. Namun, apabila pelajar tingtakan 6 diwajibkan,  segmen tadarus menjadi amat lambat. Terdapat beberapa orang pelajar tidak mampu membaca al Quran dengan baik. Bahkan ada seorang pelajar bernama Herman (bukan nama sebenar) langsung tidak boleh membaca al Quran. Huruf -huruf Arab pun dia tidak dapat bezakan. Bila tiba gilirannya untuk membaca al Quran  saya meminta rakan sebelahnya membaca sambil diikuti oleh Herman.  Begitulah halnya selama 2 kali program rakan Iman.

Saya telah   mengambil  inisiatif membuat program kecil yang saya namakan rakan al Quran.  Pelajar tingkatan 6 yang tidak boleh membaca al Quran  dengan baik akan  dipasangkan dengan  pelajar yang mahir . Seingat saya hanya ada lebih kurang 5 orang saja yang   perlu di bimbingan termasuk Herman.

Saya cuba sedaya upaya membuat pasangan bimbingan dari pelajar tingkatan 6 juga agar setara. Jika mereka dipasangkan dengan adik-adik  yang lebih kecil mungkin mereka berasa malu dan  bimbingan akan  terbantut.

Saya memberi kebebasan untuk memilih pasangan  rakan al Quran. Herman telah memilih seorang pelajar tingkatan 4, Ilham (bukan nama sebenar) untuk menjadi pembimbingnya. Begitu juga pelajar yang lain.

“Ustaz! Aku sudah pilih Ilham yang akan ajar aku al Quran”. Herman memberitahu saya pilihannya.

“Eh, dia pelajar tingkatan 4, pangkat adik untuk kamu. Kamu selesakah? Saya risau kamu malu ja”. Aku bertanya untuk mendapat kepastian. 

“Ok bah ustaz. Aku tak ada apa-apa. Aku malu tak pandai baca al Quran. Aku tak malu belajar dengan siapa siapa saja. Janji aku pandai”. Tegas Herman.

Saya telah memberi panduan kepada pembimbing agar membuat bimbingan bacaan sekurang-kurang dua kali sehari. Sekali di waktu pagi sejurus selepas solat subuh dan malam selepas solat isyak. Bagi mereka yang sudah pandai membaca, cukup sekadar membaca satu lembar sahaja.

Hanya Herman yang terpaksa menggunakan  memulakan  dengan buku Iqra 1. Manakala yang lain  hanya perlu bimbingan bacaan  untuk pembacaan yang lebih lancar sahaja. Mereka memulakan dengan surat al Baqarah. 

Apa yang saya perhatikan ialah semangat Herman. Saya melihat dia dan Ilham amat rapat. Setiap kali lepas solat Zohor saya akan nampak Ilham  akan membimbing Herman membaca Iqra.  Sejurus selepas solat mereka kan duduk bersama. Herman langsung tidak malu dan tidak kekok walaupun dilihat oleh pelajar-pelajar lain bahawa dia masih membaca Iqra. Seolah perasaan malu sudah tiada baginya.

 

Manakala bagi pelajar lain,  saya tidak nampak kelibat mereka, namun dari laporan pembimbing , mereka mengikut panduan yang saya sediakan iaitu lepas subuh dan lepas isyak. Apa yang saya tahu bacaan mereka sudah semakin baik. 

Begitu juga dengan Herman. Dia menyelesaikan satu buku Iqra hanya dalam satu minggu sahaja.  Selepas sebulan setengah dia sudah hampir selesai buku Iqra 6. Masya Allah saya tidak  terfikir dia begitu cepat belajar. Selepas  dua bulan Herman sudah mampu baca al Quran sendiri dan  saya minta  Ilham mula memperbutkan tajwid.

Saya kagum dengan semangat Herman ini yang  bersemangat untuk belajar membaca al Quran dan  mampu membaca al Quran hanya dalam tempoh  dua bulan. Selepas dua bulan, segmen tadarus al Quran untuk program rakan iman kembali lancar. Tiada lagi pelajar pelajar yang membaca al Quran tersangkut-sangkut.

Saya  selalu berpesan kepada pelajar agar wajib memastikan diri mampu membaca al Quran.  Fadhilatnya cukup besar. Setiap huruf akan diberi 10 pahala. Bayangkan kalau dia membaca satu muka surat al Quran. Berapa huruf yang  sudah dibaca. Jika bacaannya tersangkut-sangkut kerana sedang belajar  dia memperoleh pahala dua kali ganda.

Amat rugi bagi sesiapa yang tidak boleh membaca al Quran. Amat rugi. Itulah yang saya tekankan kepada pelajar. Bagi yang sudah pandai carilah dan rebutlah peluang mengajar dan membimbing orang lain membaca al Quran. Nabi berpesan bahawa orang yang paling baik ialah orang yang mempelajari al Quran dan  berusaha mengajarnya kepada orang lain.

Pesan saya lagi. Ambil  lah peluang bimbing adik-adik dirumah baca al Quran. Ambillah peluang bimbing rakan-rakan dikampung baca  al Quran  kerana jika mereka pandai membaca hasil bimbingan anda. Anda akan dapat pahala  mereka membaca al Quran sepanjang hayatnya. Semakin ramai yang anda ajar semakin banyaklah pahala yang anda dapat.


Saturday, December 14, 2024

GENSET PENYELAMAT BAHASA ARAB

“alaaa… mati lagi karan”

“balik-balik mati saja karan ni. Kacau betul”.

Itulah antara luahan kekecewaan pelajar bila bekalan letrik terputus ketika PdP Bahasa Arab sedang berlangsung untuk kelas 3 A. Manakan tidak, tengah seronok menonton kartun Arab dan membuat aktiviti, tiba tiba bekalan letrik terputus.

Saya agak kecewa apabila  kelas 3A yang    saya ajar telah ditempatkan di bangunan kayu di sebelah dewan makan. Kelas ini  jauh dan terpencil dan  dibina dengan kayu. Bangunannya juga telah usang dan ada beberapa keping lantai dah tertanggal. Silap hari bulan ada pelajar yang akan terperosok  kaki  ke lantai tersebut. 

Rupanya ada hikmah tersendiri  kelas itu 3A ditempatkan di bangunan ini.   Sumber letrik di kawasan SMKE masih tidak     stabil. Setiap hari pastinya ada masa bekalan letrik akan terputus.  Adakalanya sampai lima hingga enam kali sehari. Walaupun ia berlaku sekejap dalam tempoh 5 hingga 10 minit ia tetap mengganggu keselesaan dan tumpuan PdP. Adakalanya boleh berlanjutan hingga sejam.

Pengajaran bahasa Arab saya setiap kali akan menggunakan Laptol dan Projektor LCD. Isu letrik ini  sememangnya  mengganggu proses pengajaran saya. Sudah banyak kali pengajaran terencat  lantaran bekalan letrik terputus ketika PdP sedang berjalan. Bahan dan juga latihan yang saya gunakan banyak menggunakan LCD yang dipancar terus ke papan putih di hadapan kelas.

“Ustaz! Bagus  ustaz guna  genset   untuk guna karan”. Cadang seorang pelajar.

“Genset sekolah ada bah ustaz. Cuba tanya sama cikgu Saharil.. dia tahu tu.. dulu dia ada pakai”. Sampuk seorang pelajar.

Setelah bertanya kepada pihak  pentadbiran memang betul sekolah memang memiliki sebuah genset kecil yang  menggunakan petrol . Genset ini adalah ringkasan kepad generator letrik. Biasanya digunakan untuk perkhemahan unit berunifom. Cuma tiada bekalan petrol. 

“Genset ada. Cuma ustaz kena beli petrol sendiri lah”. Terang juruteknik sekolah.

Saya telah membuat   persetujuan dengan juruteknik tersebut untuk meminjam  genset  2 kali seminggu untuk kelas bahasa Arab di blok kayu.    Kebetulan dua kelas saya adalah selepas waktu rehat.  Pada waktu rehat  ketua kelas dan rakannya akan menggambil genset dalam stor dan diletakkan di bawah kelas. Walaupun bekalan letrik masih belum terputus genset tetapi di sediakan dari awal. Saya membeli stok minyak petrol dan disikan dalam tong minyak pelincir kereta saya.

Alhamdulillah amat bermanfaat. Boleh dikatakan dalam seminggu ada sekali genset ini amat membantu. Genset kami letak agak jauh sedikit dari kelas kerana ia mengeluarkan bunyi yang kuat boleh mengganggu PdP. Pelajar telah meletak di bawah  lantai paling hujung kelas kosong  untuk mengurangkan bunyi.

Ada beberapa orang pelajar yang sudah ditugaskan untuk menguruskan genset dan mereka cukup mahir  membuat kerja mereka. Bila  letirk terputus ketika PdP sedang berjalan dan LCD sudah mati, mereka  akan terus bergegas menghidupkan genset dan menarik sumber letrik  terus disambungkan  ke LCD. Kurang 3 minit PdP boleh disambung semula.

Inilah kelebihan kelas di blok kayu yang agak jauh terpencil dan kelas sebelah pula kosong. Kalaulah kelas 3A di bangunan utama dan juga ditingkat atas, genset ini boleh mengganggu pengajaran di kelas sebelah. Bunyi gensetni  memang tak boleh bincang. Bingit telinga mendengarnya.  Maklumlah jenis model lama.

Begitulah cabaran kami mengajar di Sabah. Walaupun SMK Elopura bertaraf sekolah bestari  dan banyak dibekalkan kemudahan komputer dan LCD namun ia tidak dapat berfungsi dengan baik kerana isu gangguan letrik. Banyak juga peralatan ICT yang rosak kerana isu letrik ini.

Namun guru-guru SMKE sudah lali dengan isu ini dan mereka tetap menjalan amanah mengajar seperti biasa walaupaun terpaksa hangat badan tanpa kipas.

Semoga Allah memberikati usaha gigih warga pendidik SMKE.


Thursday, December 12, 2024

BOLEHKAH SAYA NAK SERTAI KUMPULAN NASYID?

 Setiap tahun,  acara sambutan   hari  kelahiran baginda rasul di sambut dengan meriah di SMKE. Antara  acara yang di adakan ialah pertandingan nasyid bertemakan  ‘Rasulullah’. Pertandingan di buka kepada kategori pelajar lelaki dan perempuan.  

 

Acara ini adalah yang paling meriah berbanding bacaan sajak, persembahan pentomin  dan drama.

Ada beberapa orang pelajar non muslim datang  berjumpa saya meminta izin untuk  menyertai pertandingan nasyid. 


 

Ustaz! Boleh kah aku dengan kawan  ku ini nak join kumpulan nasyid  puji rasulullah”. Tanya Jackei ingin mendapat kepastian.

 

“Kenapa tak boleh?”

 

“kawan-kawan cakap aku tak boleh masuk sebab pertandingan ini hanya untuk pelajar muslim saja”.

“Saya ok saja.  Saya rasa beliau (ayah) kamu yang  tak benarkan. Sebab  lagu ni nasyid memuji nabi Muhammad”.

 

“Ah.. Beliau (ayah) aku ok ja.. dia tak kesah sangat. Lagi pun aku suka bah.. nasyid puji rasul ni”.

 

Memang rezeki mereka kumpulan nasyid yang di sertai oleh dua pelajar non muslim ini menang tempat pertama. Jadi mereka perlu buat persembahan pada hari penutup yang dihadiri oleh pengetua.


“Eh.. tu macam si Jackei.. non Muslim pun ikut bernasyid jugakah ustaz”. Tanya pengetua bila dia perasan ada pelajar non Muslim.

 

“Mereka beria-ia minta e nak masuk cikgu.. jadi saya bagi saja. Tak apa kan?”.

 “Boleh.. tiada masalah”.

 

Memang Jackei bersemangat mengalunkan  lagu ‘Ya Rasulallah’.. memang sedap suaranya.  Rakannya seorang lagi memetik gitar bersama rakan lain di belakang.

 

Alhamdulillah. Kemeriahan sambutan hari kelahiran Rasul  menjadi satu acara yang meriah untuk pelajar asrama. Terima kasih kepada guru-guru yang memberi sumbangan untuk pembelian hadiah bagi  pemenang setiap acara   di samping duit tabung Pendidikan Islam yang sedia.

 

Program ini   diharapkan dapat menyuburkan lagi cinta kepada Rasulullah yang telah  banyak berkorban membawa agama Islam bagi menyelamatkan umat manusia dari  kesesatan kepada    keimanan kepada Allah.

 

Kalau rakan agama kristian, mereka sentiasa menyebut bahawa Jesus atau Yesus  datang membawa rahmat menyelamatkan manusia.  Kita sebagai muslim lebih-lebih lagi perlu menobatkan nabi Muhammad adalah Rasul terakhir utusan Allah  adalah penyelamat sebenar  manusia. Hanya sesiapa yang  beriman pada Allah dan  menerima Nabi Muhammad sebagai rasulNya sahaja akan  diterima oleh Allah dan  berjaya masuk syurga di akhirat nanti. Itulah yang ditegaskan oleh  saya kepada pelajar.


Wednesday, December 11, 2024

URUS CARA MELEPAS MARAH DAN GERAM

 Dalam mesyuarat aset semalam, pegawai yang bertanggung jawab tentang pemyelenggaraan telah membuat laporan tentang kerosakan yang telah dilakukan oleh pihak luar yang menggunakan kemudahan IPG KPI. Kali ini kerosakan dilakukan oleh pelajar-pelajar rabgi yang melepaskan kemarahan kerana kalah dalam perlawanan. 


Saya nak laporkan beberapa pintu tandas tercabut ditendang oleh pelajar ragbi yang menggunakan kemudahan padang IPG. Kami ingatkan mereka ni pelajar sekolah rendah tidaklah seganas pelajar sebelum ini dari sekolah menengah. Rupanya sama sahaja.”

“Lepas je perlawanan, ada je pihak yang kalah akan melepaskan kemarahan dengan menendang pintu tandas. Sepak barang-barang kotorkan tandas.”

Ini antara masalah yang kita hadapi sekarang. Masih ramai yang masih belum mampu menghayati semangat kesukanan dan mengawal emosi dan marah setiap kali kalah dalam perlawanan. Perkara ini sudah banyak kali berlaku apabila pihak luar menggunakan kemudahan di IPG KPI.

Alhamdulillah perkara sebegini tidak berlaku kepada pelajar-pelajar IPG KPI. Pelajar-pelajar di sini sudah  matang  dan mempunyai kafahaman yang jelas tentang semangat kesukanan. Meraka dapat mengawal emosi dan kemarahan  jika  gagal atau kalah dalam pertandingan.

Dalam  Isu ini kita sebagai warga pendidik perlu memikirkan bagaimana kaedah untuk mendidik diri dan juga masyarakat untuk mengawal emosi dan marah dalam apa jua situasi.   Kita perlu mendidik  diri untuk sabar,  berfikir secara waras dan menyalurkan kemarahan dengan cara yang betul seterusnya menyelesaikan masalah dengan baik.

Dalam al Quran ada menyebut tentang kisah nabi Musa yang amat marah kepada abangnya Nabi Harun  dengan memegang  kepala dan janggutnya.  Allah mengabadikan kisah ini  dengan merakamkan dialog antara mereka berdua dalam surah Taha ayat 94.

﴿ قَالَ يَا ابْنَ أُمَّ لَا تَأْخُذْ بِلِحْيَتِي وَلَا بِرَأْسِي ۖ إِنِّي خَشِيتُ أَن تَقُولَ فَرَّقْتَ بَيْنَ بَنِي إِسْرَائِيلَ وَلَمْ تَرْقُبْ قَوْلِي﴾

Nabi Harun menjawab: "Wahai anak ibuku! Janganlah engkau meragut janggutku dan janganlah menarik (rambut) kepalaku. Sesungguhnya aku takut bahawa engkau akan berkata kepadaku: ` Engkau telah memecah-belahkan kaum Bani lsrail sesama sendiri, dan engkau tidak berhati-hati mengambil berat pesananku! ' "

Selepas Nabi Musa mendengar mendengar nasihat abangnya Nabi Harun, Nabi Musa lebih tenang dan mengalihkan kemarahan kepada tempat yang sebenarnya iaitu Samiri. Kemarahan yang melulu boleh memburukkan keadaan dan menimbulkan masalah yang lain lebih besar.

Pelajar ragbi marah kerana pasukannya kalah dalam perlawanan dan melepaskan kemarahan dengan menendang pintu tandas hingga tercabut. Ini telah merosakkan kemudahan sedia ada yang memerlukan kos baik pulih yang bukan sedikit. Jika mereka sendiri membayar pampasan atas kerosakan kerugian tetap berlaku, sedangkan kerosakan itu tidak sepatutnya berlaku dan boleh dielakkan.

Kita perlu mendidik diri kita mengawal kemaharahan. Ingatlah pesan nabi dalam satu hadith yang masyhur yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA:

أَنَّ رَجُلاً، قَالَ لِلنَّبِيِّ صلى الله عليه وسلم أَوْصِنِي‏.‏ قَالَ ‏"‏ لاَ تَغْضَبْ ‏"‏‏.‏ فَرَدَّدَ مِرَارًا، قَالَ ‏"‏ لاَ تَغْضَبْ

Maksudnya: Seorang pemuda meminta nasihat daripada Nabi SAW, dan Nabi bersabda: Janganlah kamu menuruti amarah. Dia mengulangi pertanyaannya, dan Nabi mengulanginya sebanyak tiga kali. Sahih al-Bukhari (6116)

 

Nabi SAW juga pernah bersabda:

لَيْسَ الشَّدِيدُ بِالصُّرَعَةِ إِنَّمَا الشَّدِيدُ الَّذِي يَمْلِكُ نَفْسَهُ عِنْدَ الْغَضَبِ

Maksudnya: Seorang yang kuat itu bukanlah yang handal bergusti; seorang yang kuat ialah orang yang mampu mengawal dirinya sewaktu sedang marah. Sahih al-Bukhari (6114) dan Sahih Muslim (260

Nabi telah mengajar kita bagaimana mengawal kemarahan antaranya ialah :

 

1.       Duduk jika sedang berdiri, berbaring jika sedang duduk

إِذَا غَضِبَ أَحَدُكُمْ وَهُوَ قَائِمٌ فَلْيَجْلِسْ فَإِنْ ذَهَبَ عَنْهُ الْغَضَبُ وَإِلاَّ فَلْيَضْطَجِعْ

Maksudnya: Apabila salah seorang daripada kamu marah sewaktu sedang berdiri, hendaklah dia duduk. Jika kemarahannya hilang, maka itu baik. Jika tidak, hendaklah dia berbaring.

2.       Mengambil wudhu

إِنَّ الْغَضَبَ مِنَ الشَّيْطَانِ وَإِنَّ الشَّيْطَانَ خُلِقَ مِنَ النَّارِ وَإِنَّمَا تُطْفَأُ النَّارُ بِالْمَاءِ فَإِذَا غَضِبَ أَحَدُكُمْ فَلْيَتَوَضَّأْ

Maksudnya: Sesungguhnya kemarahan itu datang daripada syaitan, dan syaitan itu dicipta daripada apI, dan api hanya dapat dipadamkan dengan air. Maka jika salah seorang daripada kalian berasa marah, hendaklah dia berwudhu.

3.       Mengelak daripada membuat  keputusan yang besar

لاَ يَحْكُمْ أَحَدٌ بَيْنَ اثْنَيْنِ وَهُوَ غَضْبَانُ

Maksudnya: Tidak boleh seseorang itu menghakimi antara dua orang dalam keadaan marah.

Mafhum hadith tidak terhad dalam urusan pengadilan hakim di mahkaham, tapi ia juga terpakai dalam keadaan-keadaan lain yang memerlukan penetapan keputusan yang kritikal, terutamanya jika melibatkan urusan orang ramai. Ambil sedikit masa untuk menenangkan diri sebelum mengambil sebarang keputusan.

4.       Diam

إِذَا غَضِبَ أَحَدُكُمْ فَلْيَسْكُتْ

Maksudnya: Apabila salah seorang daripada kamu berasa marah, hendaklah dia diam.

Berdiam diri sewaktu marah adalah lebih baik, kerana dalam keadaan marah, perkataan-perkataan yang diungkapkan berkemungkinan akan mengguris perasaan orang lain dan mungkin memberi ancaman kepada diri sendiri.

Marilah kita sama-sama kawal emosi dan kemarahan kita dan juga mendidik masyarakat menguruskan marah, geram dan tak puas hati dengan cara yang betul dan berhemah.

Tuesday, December 10, 2024

SANDAKAN MENDIDIK JIWA DEKAT PADA ALLAH

 Pertama kali saya memijak kaki di Sandakan ialah pada 7 Febuari 2001. Saya dan isteri diJemput oleh Pengetua SMKA Sandakan di Lapangan terbang Sandakan. Kami  menumpang tidur di rumahnya selama dua malam di rumah pengetua. Kemudian menumpang di rumah bapa sepupu saya di Taman Lucky beberapa minggu. Menyewa rumah pertama kami di Taman Pertama, sebuah rumah semi D yang amat selesa. Kemudian berpindah lagi ke Taman Fajar dan terus di sana beberapa tahun sehingga saya berpindah ke Tawau. 

Di Taman Fajar ada sebuah surau di tengah-tengah taman. Solat waktu berjalan seperti biasa. Namun tiada imam khusus atau jawatankuasa rasmi pengurusan yang menyusun operasi. Hanya agihan tugas secara lisan sahaja. Jarak rumah saya ke SMK Elopura hanya 9 km mengambil masa 15 minit perjalanan. Tidak lah begitu jauh untuk saya berulang alik pada waktu siang untuk bertugas dan waktu malam untuk bersama pelajar di Surau sekolah.

Sepanjang saya berada di Sandakan, saya teringat pesan guru-guru saya ketika di Jordan dulu agar berperanan menyambung kerja Nabi Muhammad di mana saja saya berada. Dr Qahtan al Duriy yang menjemput khusus saya kerumahnya semata-mata ingin memberi amanat terakhir sebelum pulang dan juga Dr Bahjat al Habashineh yang menyuntik semangat dakwah dalam diri.

 

Saya menyahut seruan dan nasihat guru saya dengan memikir beberapa usaha yang telah saya lakukan sepanjang saya berada di Sandakan. Antaranya ialah:

1.       Membantu pihak surau al Fajr menyusun organisasi dan membuat jadual imam dan bilal.

2.       Memakmurkan surau dengan membuat pelbagai aktiviti seperti kuliah maghrib.

3.       Kuliah Dhuha setiap Ahad untuk masyarakat sekitar.

4.       Membaca surah pilihan pada malam jumaat dengan mengekalkan bacaan surah Yasin sekali sebulan di awal bulan.

5.       Ibadah Korban anjuran Surau.

6.       Kuliah maghrib di beberapa masjid dan surau sekitar (tanpa saguhati)

7.       Edaran buletin dakwah setiap minggu dari rumah kerumah dijalankan oleh rakan tabligh.

8.       Mengubah budaya tahlil dilakukan selepas solat isyak berbanding sebelum ini dilakukan selepas solat maghrib sehingga surau dan masjid ditinggalkan tanpa solat berjemaah.

9.       Program halaqah bacaan al Quran dan hadis secara mingguan dari rumah ke rumah.

10.   Edaran risalah mengenal Islam kepada kepada kejiranan bukan islam dijalankan oleh rakan tabligh.

 

Semoga usaha saya yang kerdil ini boleh menjadi pemberat timbalan amalan baik saya di akhirat nanti.   Saya harap Allah menerima segala usaha saya. Hanya itu yang saya mampu lakukan. Saya berserah kepada Allah untuk memberi hidayah dan Taufiq. Saya hanya mampu berserah dan bertawakkal kepada Allah. Sesungguhnya Allah telah berfirman dalam Surah Hud ayat 88:

 

 إِنْ أُرِيدُ إِلَّا الْإِصْلَاحَ مَا اسْتَطَعْتُ ۚ وَمَا تَوْفِيقِي إِلَّا بِاللَّهِ ۚ عَلَيْهِ تَوَكَّلْتُ وَإِلَيْهِ أُنِيبُ

Aku hanya bertujuan hendak memperbaiki sedaya upayaku; dan tiadalah aku akan beroleh taufik untuk menjayakannya melainkan dengan pertolongan Allah. Kepada Allah jualah aku berserah diri dan kepadaNyalah aku kembali.

Monday, December 09, 2024

KEMPEN MEMBUGAR IMAN DI SMKE

 Kali pertama saya mendengar nama SMK Elopura (Bestari) adalah ketika menerima surat penempatan sekolah  ketika kami di hotel  di Kota Kinabali. Saya di tempatkan di SMK Elopuran (B) dan isteri saya di SMKA Sandakan.  Pada awalnya cuak juga apabila mendapat sekolah yang berasingan. Sudah terbayang di fikiran akan timbul  beberapa halangan  untuk menyusun kehidupan seharian nanti.



Rupanya SMKE dan SMKA Sandakan hanya bersebelahan . Hanya pagar yang memisahkan antara dua sekolah ini. SMKE adalah sebuah sekolah harian dan  merupakan sebuah sekolah terpilih untuk projek BESTARI di peringkat kebangsaan. Banyak kelebihan disekolah ini dari aspek kelengkapan IT   pada masa itu berbanding dengan sekolah lain.

Banyak kenangan  saya di sekolah ini. Sekolah ini lah yan g berjaya menyedarkan diri saya tentang  mulianya kerjaya guru. Pada asalnya saya hanya sekadar ingin bekerja untuk menghabiskan  kontrak KPM kerana menghantar saya belajar di Jordan dengan biasiswa. Selepas beberapa peristiwa yang saya alami saya dapat melihat bahawa hikmah dan kebijaksaan Allah yang telah mengatur perjalanan hidup saya.  Tidak semestinya yang kita suka itu baik dan tidak semestinya yang kita benci  itu buruk.

Sepanjang saya berkhidmat di SMK Elopura banyak inisiatif dan program yang saya rancang dan terancang sebenarnya dilakukan .Inisiatif ini saya boleh namakan sebagai PROJEK MEMBUGAR IMAN. Itu semua adalah aturan Allah.

Antara inisiatif  saya ialah:

1.       Rakan iman

2.       Taqwim solat

3.       Buletin al manhal

4.       Penubuhan Persatuan PERISA

5.       Peringatan 5 Minit pagi Isnin

6.       Kem bestari solat

7.       Kuliah santai hari minggu

8.       Kuliah muslimat hari Jumaat.

9.       Kempen Derma Darah

10.   Kaunter Daftar Tabung haji.

11.   Pelajar Aspuri Solat Jumaat.

12.   Qiam 10 malam terakhir Ramadan di Masjid.

13.   Rutin bacaan Al-Mathurat.

14.   Kem bestari solat.

15.   Projek Zakat potongan gaji.

 Saya teringat pesan guru-guru saya semasa belajar di Jordan dahulu agar menyambung kerja menyampaikan Islam kepada semua sahaja. Jadilah dari kalangan mereka yang menyambung kerja nabi. Saya ingin menyambut serian ini.  Firman Allah  dalam surah al Imran ayat 104:

﴿ وَلْتَكُن مِّنكُمْ أُمَّةٌ يَدْعُونَ إِلَى الْخَيْرِ وَيَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَيَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنكَرِ ۚ وَأُولَٰئِكَ هُمُ الْمُفْلِحُونَ﴾

Dan hendaklah ada di antara kamu satu puak yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan (mengembangkan Islam), dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, serta melarang daripada segala yang salah (buruk dan keji). Dan mereka yang bersifat demikian ialah orang-orang yang berjaya.

Saya ingin mengambil inspirasi dari Pesan baginda rasul :

من سن في الإسلام سنة حسنة كان له أجرها وأجر من عمل بها من بعده لا ينقص ذلك من أجورهم شيئ

Sesiapa yang memulakan amalan  yang baik dalam Islam, maka baginya pahalanya dan pahala orang yang mengamalkannya selepasnya, tanpa mengurangi sedikitpun dari pahala mereka.

 

Nabi juga berpesan mengingatkan kita:

من دلَّ على خير، فله أجر فاعله" رواه مسلم

Sesiapa  yang menunjukkan kepada kebaikan, maka dia akan mendapat pahala seperti pelakunya."


Inilah antara yang menjadi  inspirasi saya sepanjang saya bertugas di SMKE. Alhamdulillah projek ini antara dilihat banyak memberi memberi diri kesan kepada diri saya dan juga warga SMK Elopura. Tempoh Perkhidmatan saya di SMKE dari 7 Feb 2001 hingga 15 April 2007 amat bermakna dan memberi kesan kepada kerjaya saya dan kehidupan saya. Saya telah mengenal orang-orang baik yang telah banyak membimbing saya dalam kerjaya sebagai guru dan juga sebagai hamba Allah.