Namun keadaan fizikalnya masih belum sebaik yang kami
harapkan.
Kulitnya masih sangat nipis dan kelihatan seakan-akan
lutsinar. Di beberapa bahagian, kulitnya menggelupas dan terdapat radang
terutama pada bahagian sendi. Tubuh kecil itu masih terlalu rapuh untuk
berhadapan dengan dunia yang sepatutnya belum lagi dihuni olehnya.
Melalui branula yang dipasang pada tubuhnya, pelbagai ubat
dan cecair dimasukkan. Kadang-kadang apabila cecair ubat yang sedikit berwarna
dialirkan, saya seperti dapat melihat alirannya melalui kulit Aishah yang
sangat nipis itu.
Sayu hati melihatnya.
Aishah juga kerap menangis. Mulutnya terbuka luas seperti
bayi lain yang sedang menangis, tetapi tiada suara yang keluar. Saya hanya
dapat melihat riak wajahnya. Saya tahu dia sedang menangis, tetapi saya tidak
dapat mendengar tangisannya.
Setiap kali bertanya kepada kakak jururawat tentang
keadaannya, mereka akan cuba menenangkan saya.
“Insya-Allah, okey tu.”
Itulah antara jawapan yang sering diberikan kepada saya.
Mungkin mereka tidak mahu saya terlalu risau. Mungkin juga mereka sudah terlalu
biasa berhadapan dengan ibu bapa yang datang ke NICU dengan seribu satu
kebimbangan.
Suatu hari, ketika saya datang melawat, saya diminta
berjumpa dengan doktor.
Saya berjalan ke meja doktor di bahagian hadapan wad. Doktor
yang menemui saya itu ialah doktor yang sama yang pernah memberikan penerangan
kepada saya ketika Aishah mula-mula dimasukkan ke wad dahulu.
Wajahnya kali ini kelihatan lebih serius.
“Keadaan anak encik tidak begitu baik. Tidak sebagaimana
yang kita harapkan,” katanya perlahan.
Saya hanya memandang wajahnya.
“Maksud doktor?” tanya saya, cuba mendapatkan kepastian.
“Banyak organnya masih belum stabil. Kami harap dia dapat
bertahan. Kami akan pantau keadaannya dengan lebih rapi daripada biasa.”
Saya terdiam.
Entah apa yang mahu ditanya lagi. Saya bukan doktor. Saya
tidak memahami segala istilah perubatan. Apa yang saya faham hanyalah satu —
keadaan anak saya tidak begitu baik.
Kemudian doktor itu berkata sesuatu yang benar-benar melekat
dalam ingatan saya.
“Harap encik dan isteri banyak bersabar dan berdoa kepada
Allah.”
Dia berhenti seketika sebelum menyambung.
“Saya yakin Allah Maha Mengetahui dan Maha Bijaksana. Apa
sahaja yang berlaku nanti, itulah yang terbaik untuk anak encik dan untuk encik
suami isteri.”
Saya hanya mampu mengangguk.
Ada rasa sebak yang sukar digambarkan ketika mendengar
kata-kata itu keluar daripada mulut seorang doktor. Dia bukan sekadar bercakap
tentang ubat, rawatan dan keadaan organ Aishah. Dia mengingatkan saya tentang
Allah.
Doktor muda itu pada pandangan saya seorang yang kuat
pegangan agamanya. Sejak awal lagi, tutur katanya banyak bersandar kepada
Allah. Janggutnya nipis dan terkemas rapi. Entah mengapa, penampilannya dan
tutur katanya memberi ketenangan kepada saya.
Seolah-olah selepas segala ikhtiar manusia dilakukan, dia
mahu mengingatkan saya bahawa ada satu perkara yang tidak berada dalam tangan
doktor, jururawat atau sesiapa pun.
Takdir.
Dan takdir itu berada dalam pengetahuan Allah.
Dalam perjalanan pulang, kata-kata doktor itu terus bermain
dalam fikiran saya.
Banyakkan sabar. Banyakkan berdoa. Serahkan kepada Allah.
Sampai di rumah, saya memberitahu isteri tentang keadaan
Aishah. Tidak banyak yang mampu kami lakukan. Kami hanya mampu berdoa. Kami
telah menyerahkan anak kecil itu kepada doktor dan jururawat untuk dirawat,
tetapi hakikatnya kami sedang menyerahkannya kepada Allah.
Keesokan harinya saya datang lagi ke hospital.
Sebaik menghampiri inkubator Aishah, saya terkejut melihat
keadaannya.
Ada branula baharu dipasang pada pahanya. Satu lagi dipasang
pada bahagian kepalanya untuk menyalurkan ubat dan cecair yang diperlukan.
Itulah kali pertama dalam hidup saya melihat branula dipasang pada kepala
seorang bayi.
Kepalanya terpaksa disendal dan distabilkan dengan bantal
kecil serta pita pelekat supaya tidak banyak bergerak. Setiap kali Aishah cuba
menggerakkan kepalanya, wajahnya berubah seperti sedang menahan kesakitan.
Mulutnya terbuka.
Dia seperti meraung.
Tetapi sekali lagi, tiada suara yang kedengaran.
Saya hanya mampu berdiri memandang.
Tubuhnya pula kelihatan sedikit mengembang dan sembap.
Pelbagai cecair dan ubat sedang dimasukkan ke dalam tubuh kecil yang beratnya
baru sedikit melebihi satu kilogram itu.
“Dia perlukan semua ubat ini. Jadi kami terpaksa beri
semuanya serentak,” terang kakak jururawat kepada saya.
Saya mengangguk perlahan.
Tidak ada apa lagi yang mampu saya lakukan.
Saya tidak mampu mengambil alih kesakitannya.
Saya tidak mampu menggantikan tubuh kecil itu dengan tubuh
saya.
Saya juga tidak mampu menentukan sama ada esok saya masih
akan melihatnya di dalam inkubator itu atau sebaliknya.
Yang saya mampu hanyalah berdoa dan bermunajat kepada Allah.
Ketika itulah kata-kata doktor semalam terasa semakin dalam
maknanya.
Serahkan kepada Allah.
Allah SWT berfirman:
وَمَن يَتَوَكَّلْ عَلَى ٱللَّهِ
فَهُوَ حَسْبُهُ
“Dan sesiapa yang bertawakal kepada Allah, maka Allah
cukuplah baginya.”
(Surah al-Talaq, 65:3)
Saya mula belajar bahawa tawakal bukan bererti kita berhenti
berusaha. Doktor terus merawat. Jururawat terus memantau. Ubat terus diberikan.
Kami pula terus datang, menyentuh, membelai dan mendoakan Aishah.
Tetapi selepas segala usaha dilakukan, ada satu sempadan
yang manusia tidak mampu melangkahinya.
Di situlah tawakal bermula. Saya cuma tahu satu perkara.
Allah lebih mengetahui keadaan anak kecil ini daripada saya.
Allah lebih menyayanginya daripada saya. Allah mengetahui apa yang sedang
berlaku di dalam tubuhnya yang kecil itu, sedangkan saya hanya mampu melihat
dari luar inkubator.
Maka kepada siapa lagi saya mahu menyerahkan Aishah kalau
bukan kepada-Nya?

No comments:
Post a Comment