Saturday, August 15, 2026

HARAPAN DAN DOA DENGAN RM10

“Hari ini encik perlu temani anak lama sikit.”

Pesanan itu dituturkan oleh Kak Jururawat sebaik sahaja saya menyapanya ketika melangkah masuk ke wad NICU. Wajahnya kelihatan serius. Dia menatap saya seketika. 

Saya hanya mengangguk.

“Ya.”

Kemudian saya terus menuju ke tempat biasa, ke inkubator Aishah.

Namun, Aishah tiada di situ.

Saya berhenti dan memandang sekeliling. Mata saya mencari-cari inkubator Aishah. Melihat saya terpinga-pinga, Kak Jururawat tadi menunjukkan tangannya ke arah satu sudut berhampiran meja jururawat.

Di situlah saya melihat sebuah inkubator.

Aishah berada di dalamnya.

“Kami letakkan Aishah dekat sini. Senang kami pantau,” jelas Kak Jururawat. “Kalau ada apa-apa, doktor dan jururawat boleh bertindak cepat.”

Hati saya mula terasa tidak sedap.

Saya menghampiri inkubator itu.

Ya Allah…

Aishah kelihatan lain daripada biasa.

Badannya semakin kembang. Mukanya kelihatan sembab. Dia tidak lagi menangis seperti selalu. Pernafasannya juga sudah perlu dibantu dengan mesin.

Lama saya berdiri memandangnya.

Sayu hati melihat anak sekecil itu diuji dengan kesakitan yang begitu berat. Saya mahu menyentuhnya seperti biasa, mengusap dan mengurut tubuh kecilnya sebagaimana yang diajar oleh jururawat sebelum ini.

Tetapi kali ini saya tidak mampu berbuat demikian.

Tubuh kecil itu sudah dipenuhi pelbagai wayar dan tiub yang berselirat. Saya hanya mampu berdiri di sisi inkubator dan memandangnya.

Mulut saya terkumat-kamit berdoa.

“Ya Allah… bantulah anakku. Permudahkanlah urusannya. Berikanlah yang terbaik untuk Aishah.”

Entah berapa lama saya berdiri di situ.

Apabila masuk waktu Maghrib, saya meninggalkan wad seketika untuk ke surau hospital. Selesai solat, saya tidak terus bangun. Saya duduk termenung dan bertafakur.

Fikiran saya hanya kepada Aishah.

Tiba-tiba bahu saya dicuit seseorang.

Saya menoleh.

Seorang lelaki separuh abad berdiri di sebelah saya. Kemejanya kelihatan lusuh. Wajahnya tampak letih. Dia memandang saya dengan penuh pengharapan.

“Boleh bantu saya sikit? Saya tak ada duit nak makan. Dari pagi saya belum makan.”

Saya terdiam.

Tangan saya menyentuh dompet.

Saya cuba mengingat-ingat jumlah wang yang ada. Kalau tidak silap, hanya RM15 sahaja yang tinggal. Saya sendiri belum makan malam. Wang itulah yang ada dalam simpanan saya untuk perjalanan pulang nanti. Walaupun kereta sudah ada petrol dan wang tol sudah tersedia, saya tetap terfikir kalau-kalau berlaku sesuatu kecemasan dalam perjalanan.

Saya membuka dompet.

Benar.

Hanya RM15.

Saya memandang lelaki itu sekali lagi.

Entah mengapa, saya tidak sampai hati untuk menolaknya.

Saya menarik keluar sekeping not RM10 lalu menghulurkannya kepadanya.

“Ambillah.”

Kini hanya tinggal sekeping not RM5 berwarna hijau di dalam dompet.

Tak apalah…

Saya memujuk hati sendiri.

Petrol sudah ada. Duit tol pun sudah tersedia. Makan malam nanti boleh makan di rumah. Lelaki ini lebih memerlukan.

Saya teringat satu sifat mulia yang disebut oleh Allah dalam al-Quran  īthār, iaitu mendahulukan keperluan orang lain walaupun diri sendiri turut memerlukan.

Allah SWT memuji golongan Ansar:

وَيُؤْثِرُونَ عَلَىٰ أَنفُسِهِمْ وَلَوْ كَانَ بِهِمْ خَصَاصَةٌ

Maksudnya: “Dan mereka mengutamakan orang lain daripada diri mereka sendiri, sekalipun mereka juga dalam keadaan memerlukan.”
(Surah al-Hashr: 9)

Tentulah pemberian RM10 saya terlalu kecil untuk dibandingkan dengan pengorbanan besar kaum Ansar. Saya cuma melihat seorang lelaki yang lapar, sedangkan saya masih boleh pulang dan makan di rumah.

Dia lebih memerlukannya daripada saya.

Kemudian terlintas satu harapan kecil dalam hati.

Mudah-mudahan dengan sebab saya membantu orang yang sedang lapar ini, Allah memandang belas kepada kami. Mudah-mudahan Allah permudahkan urusan Aishah.

Saya tidak tahu siapa lelaki itu. Saya juga tidak tahu benar atau tidak segala yang diceritakannya.

Tetapi pada saat itu saya hanya mahu berbuat sesuatu yang baik.

Saya sudah tidak mampu melakukan apa-apa untuk Aishah. Saya bukan doktor yang boleh merawatnya. Saya bukan jururawat yang boleh mengendalikan mesin-mesin yang sedang membantunya bernafas.

Saya hanyalah seorang ayah yang sedang berdiri di luar NICU, membawa hati yang penuh harapan kepada Allah.

Selepas solat Isyak, saya berdoa panjang.

Saya memohon agar Allah menjaga Aishah. Saya memohon agar Allah memberikan kekuatan kepadanya. Saya memohon agar apa sahaja ketentuan-Nya nanti adalah ketentuan yang terbaik buat anak kecil kami.

Selesai solat, saya kembali ke NICU.

Saya berdiri lagi di sisi inkubator Aishah sehingga hampir jam 10 malam.

Saya tidak mengusapnya.

Saya tidak mengurutnya.

Saya juga tidak mampu berbuat apa-apa.

Saya hanya berdiri dan menatap sekujur tubuh kecil itu yang dikelilingi wayar dan mesin.

Sesekali bibir saya bergerak perlahan, berdoa.

Itulah sahaja yang mampu dilakukan oleh seorang ayah pada malam itu.

Ketika akhirnya saya melangkah keluar dari hospital dan memandu pulang, suasana malam terasa begitu panjang. Seperti hari-hari sebelumnya, alunan nasyid daripada album Rindu nyanyian Hijjaz menemani perjalanan saya.

Namun malam itu, setiap bait yang kedengaran terasa berbeza.

Di sebalik alunan nasyid itu, hati saya tidak pernah berhenti berdoa.

“Ya Allah, aku serahkan Aishah kepada-Mu. Aku sudah tidak mampu berbuat apa-apa. Engkau lebih mengetahui apa yang terbaik untuknya. Maka lakukanlah yang terbaik untuk Aishah.”

Kereta terus bergerak membelah malam.

Dan doa seorang ayah terus mengiringi perjalanan pulang.

 

No comments: