Tuesday, August 04, 2026

ISTERI BERSALIN SELEPAS 6 BULAN KAHWIN

 12 Julai 2000.

Jam baru menunjukkan sekitar 5.00 pagi.


Pintu bilik asrama saya diketuk bertalu-talu sehingga mengejutkan saya daripada tidur. Nama saya dipanggil berkali-kali dengan nada cemas.

Saya membuka pintu dalam keadaan mamai. Malam sebelumnya saya tidur agak lewat kerana sibuk mengemas Dewan Besar selepas Majlis Perpisahan Ustaz Khalil. Kebetulan saya menjadi pengarah majlis tersebut. Badan masih letih, mata pula masih berat untuk dibuka.

Sebaik sahaja pintu dibuka, seorang rakan terus berkata tanpa sempat saya bertanya apa-apa.

"Bini demo nak beranak! Cepat bawa dia ke hospital!"

Saya terpaku.

"Nak beranak apa? Baru mengandung enam bulan!"

Saya menjawab dengan nada terkejut.

Rakan saya hanya mengangkat bahu.

"Aku pun tak tahu. Aku cuma disuruh bagitahu demo. Asrama perempuan telefon tadi. Demo pergi cepat ke Blok C."

Rupa-rupanya dia baru menerima panggilan daripada asrama perempuan yang meminta saya dikejutkan segera. Ketika itu telefon bimbit masih merupakan barang mewah. Tidak ramai yang mampu memilikinya. Dialah antara segelintir rakan yang mempunyai telefon bimbit, sebab itulah panggilan kecemasan dibuat kepadanya.

Tanpa berlengah saya terus menyarung pakaian, mengambil kunci kereta dan memaklumkan kepada rakan sebilik bahawa saya perlu keluar segera.

Ketika itu saya baru sahaja membeli sebuah Proton Saga Megavalve sebagai persediaan menjalani praktikum yang akan bermula pada minggu berikutnya.

Sepanjang perjalanan menuju ke asrama perempuan, fikiran saya benar-benar bercelaru.

Mana mungkin isteri saya hendak melahirkan anak sedangkan kandungannya baru berusia enam bulan?

Mengikut perkiraan kami, tarikh bersalin masih beberapa bulan lagi. Malah kami merancang bayi itu akan lahir selepas saya selesai menjalani praktikum.

Semakin hampir saya ke Blok C, semakin kuat debaran di dada.

Sesampainya di sana, beberapa orang pelajar sudah menunggu saya. Mereka terus membawa saya naik ke tingkat tiga menuju ke bilik isteri.

Apabila pintu bilik dibuka, saya melihat isteri sedang ditenangkan oleh seorang ustazah yang juga merupakan warden asrama.

Beliau memandang saya lalu berkata dengan tenang tetapi tegas,

"Isteri awak perlu dibawa ke hospital sekarang. Dia sudah menunjukkan tanda-tanda hendak bersalin."

Saya benar-benar kehilangan kata-kata.

Bagaimana mungkin perkara ini boleh berlaku?

Usia kandungan baru mencecah enam bulan.

Seribu satu kemungkinan buruk mula bermain dalam fikiran saya.

Bagaimana jika bayi lahir terlalu awal?

Bagaimana jika berlaku sesuatu kepada isteri?

Bagaimana jika kedua-duanya tidak dapat diselamatkan?

Semakin saya berfikir, semakin saya rasa takut.

Namun pada saat itulah saya belajar bahawa seorang mukmin tidak boleh membiarkan sangkaan buruk menguasai hati. Apa yang mampu saya lakukan hanyalah berikhtiar bersungguh-sungguh, kemudian menyerahkan segala keputusan kepada Allah SWT.

Saya teringat firman Allah:

﴿وَمَن يَتَوَكَّلْ عَلَى اللَّهِ فَهُوَ حَسْبُهُ﴾

"Dan sesiapa yang bertawakal kepada Allah, maka Allah akan mencukupkan keperluannya."

(Surah at-Talaq: 3)

Saya menarik nafas panjang.

"Ya Allah... Engkaulah tempat aku bergantung harap."

Saya memimpin isteri keluar dari bilik dan menuruni tangga perlahan-lahan. Setiap anak tangga terasa begitu panjang. Saya terfikir untuk mendukungnya, tetapi bimbang keadaan menjadi lebih berbahaya.

Sebaik sahaja masuk ke dalam kereta, saya bertanya kepada ustazah,

"Hospital mana yang paling dekat?"

"Hospital Kajang."

Masalahnya saya langsung tidak tahu jalan ke sana.

Walaupun ustazah menerangkan arah beberapa kali, saya tetap tidak dapat membayangkan laluannya. Maklumlah, ketika itu saya masih belum biasa dengan bandar Kajang.

Melihat saya yang benar-benar kebingungan, ustazah membuat satu keputusan yang sehingga hari ini tidak pernah saya lupakan.

Beliau sanggup menemani kami ke Hospital Kajang semata-mata untuk menunjukkan jalan.

Beliau bimbang saya tersesat sedangkan isteri saya semakin kerap mengalami kontraksi dan mungkin akan melahirkan bayi pada bila-bila masa.

Alhamdulillah.

Ustazah benar-benar cekap menunjukkan arah.

"Terus... belok kiri... selepas lampu isyarat belok kanan..."

Saya hanya mengikut setiap arahannya.

Ketika itu waktu Subuh masih belum masuk. Jalan raya masih lengang. Tiada kesesakan lalu lintas. Dengan izin Allah, perjalanan kami menjadi begitu lancar.

Saya amat menghargai bantuan Ustazah, warden Blok asrama isteri saya. Ustazah itu sebenarnya tidak mempunyai kewajipan untuk menemani kami. Namun kerana rasa tanggungjawab dan kasih sayang kepada anak didiknya, beliau sanggup mengorbankan masa dan keselesaannya demi memastikan kami sampai ke hospital dengan selamat.

Benarlah sabda Rasulullah SAW:

«وَاللَّهُ فِي عَوْنِ الْعَبْدِ مَا كَانَ الْعَبْدُ فِي عَوْنِ أَخِيهِ»

"Allah akan sentiasa menolong seorang hamba selagi dia menolong saudaranya."

(Riwayat Muslim, no. 2699)

Sehingga hari ini saya masih mendoakan agar Allah membalas segala kebaikan ustazah tersebut dengan sebaik-baik ganjaran. Mungkin pada pandangannya apa yang dilakukan itu hanyalah bantuan yang kecil. Namun bagi saya yang sedang berhadapan detik paling cemas dalam hidup, bantuan itu amat besar nilainya dan tidak mungkin saya lupakan sampai bila-bila.

Sebaik tiba di Hospital Kajang, saya terus memandu menuju ke bahagian wad bersalin berpandukan papan tanda yang disediakan.

Ustazah memimpin isteri saya masuk ke dalam hospital, manakala saya mencari tempat meletakkan kereta.

Apabila saya sampai semula di hadapan wad bersalin, ustazah memaklumkan bahawa isteri saya telah dibawa masuk ke bilik pemeriksaan.

Saya memandang beliau dengan penuh rasa terhutang budi.

"Ustazah nak balik ke maktab macam mana? Nanti saya hantar."

Beliau tersenyum lalu menjawab,

"Tak mengapa. Suami saya akan datang ambil. Saya sudah telefon dia tadi. Awak uruskan isteri awak. Sekarang dia lebih perlukan awak."

Kata-kata itu sedikit sebanyak menenangkan hati saya.

Namun sebagai seorang suami yang bakal menjadi ayah buat kali pertama, hati saya masih dipenuhi kegelisahan.

Tambahan pula kandungan isteri baru berusia enam bulan.

Saya hanya mampu duduk di kerusi di luar wad bersalin sambil beristighfar dan berdoa tanpa henti.

Dalam hati saya hanya mengulang-ulang doa,

"Ya Allah... selamatkanlah isteriku. Selamatkanlah anakku. Permudahkanlah segala urusan kami."

Minit demi minit berlalu begitu perlahan.

Setiap kali pintu wad terbuka, jantung saya berdegup kencang.

Tiba-tiba...

Pintu bilik bersalin terbuka.

Seorang jururawat keluar lalu memanggil nama saya...

No comments: