Monday, August 24, 2026

BUKAN SEKADAR SAMPUL

 Saya dan isteri hanya mengambil cuti sehari daripada latihan praktikum di sekolah. Itulah hari kami menguruskan jenazah Aishah. Keesokan harinya, kami kembali ke sekolah seperti biasa. Saya kembali sebagai guru pelatih dan isteri juga meneruskan praktikum seperti sebelumnya. Hidup perlu diteruskan. Cuma pagi itu terasa sedikit berbeza. 

Selama lebih sebulan, kehidupan kami seakan-akan berputar antara sekolah dan hospital. Selesai sahaja urusan di sekolah, kami akan bergegas ke Kajang untuk melihat Aishah. Ada kalanya kami pulang lewat malam dalam keadaan tubuh yang sangat letih.

Kini rutin itu sudah tiada. Tidak perlu lagi berkejar ke hospital. Tidak perlu lagi berdiri di sisi inkubator. Tidak perlu lagi memandang monitor dan wayar-wayar yang berselirat pada tubuh kecil Aishah.

Jadual kehidupan kami tiba-tiba menjadi lebih lapang. Namun hati terasa lebih kosong. Ingatan terhadap Aishah masih sangat kuat. Baru sehari sebelumnya kami mengiringi jasad kecil itu ke tempat persemadiannya. Hari ini saya kembali ke sekolah dan cuba menjalani kehidupan seperti biasa. Saya tahu semuanya telah menjadi ketentuan Allah. Hidup mesti diteruskan.

Sebaik sahaja saya masuk ke bilik guru, beberapa orang guru datang mendapatkan saya.

“Ustaz, macam mana keadaan sekarang?”

“Takziah, ustaz.”

“Sabar ya, ustaz.”

Seorang demi seorang bertanya khabar dan mengucapkan takziah atas pemergian Aishah. Saya hanya mampu tersenyum dan mengucapkan terima kasih.

Meja saya ketika itu berdekatan dengan meja seorang guru berbangsa India. Di sebelahnya pula seorang guru berbangsa Cina. Mereka berdua sangat mesra dengan saya. Kami sering berbual dan berkongsi cerita sepanjang saya menjalani praktikum di situ.

Pada hari itu, wajah mereka juga kelihatan sedih.

Kisah Aishah bukan lagi asing bagi guru-guru di sekolah tersebut. Mereka mengetahui bagaimana saya dan isteri berulang-alik ke hospital hampir setiap hari. Mereka bertanya perkembangan Aishah dari semasa ke semasa dan mengetahui bahawa bayi kecil kami sedang berjuang untuk hidup.

Kini perjuangan itu telah berakhir.

Kebanyakan guru sesi petang ketika itu jauh lebih berusia daripada saya. Saya masih muda dan hanya seorang guru pelatih yang sedang mengenali dunia pendidikan. Dalam banyak keadaan, saya memandang mereka seperti ibu dan ayah sendiri.

Suasana bilik guru pula sangat harmoni.

Guru Melayu, Cina dan India duduk bersama. Kami berbual, bergurau dan saling membantu. Perbezaan bangsa tidak pernah membuatkan saya terasa tersisih.

Bagi saya, pengalaman itu sebenarnya sesuatu yang baharu.

Saya berasal dari Kelantan dan mendapat pendidikan di sekolah agama. Dalam kehidupan saya sebelum itu, peluang untuk bergaul secara dekat dengan masyarakat Cina agak terbatas, apatah lagi dengan masyarakat India.

Praktikum membuka dunia baharu kepada saya.

Saya mula mengenali mereka bukan sekadar sebagai “orang Cina” atau “orang India”, tetapi sebagai Cikgu Chin, Cikgu Devi dan rakan-rakan sekerja yang setiap hari duduk bersama saya, makan bersama, berbual tentang murid, keluarga dan kehidupan.

Saya mula mengenali manusia di sebalik perbezaan bangsa. Mereka baik. Mereka mesra. Dan ketika saya sedang berduka, mereka menunjukkan bahawa mereka juga turut merasakan kesedihan kami.

Pada hari itu, Cikgu Chin (bukan nama sebenar) datang menghampiri saya.

“Ustaz, kami ada buat kutipan sedikit untuk ustaz dan isteri.”

Saya memandangnya.

“Kami semua simpati dengan apa yang menimpa ustaz.”

Kemudian beliau memanggil Cikgu Fadil (bukan nama sebenar) seorang guru Matematik yang ketika itu yang berperanan sebagai bendahari kepada  guru-guru sesi petang. Di tangannya ada sebuah sampul.

Guru-guru yang berada di bilik guru ketika itu turut memberikan perhatian. Ada yang berdiri bersama ketika sampul tersebut diserahkan kepada saya.

Sumbangan ini kami semua kumpulkan untuk meringankan beban ustaz dan isteri. Tanda simpati kami semua,” kata Cikgu Devi.

Saya terdiam seketika. Sampul itu saya sambut dan pegang erat. Saya benar-benar terharu. Bukan semata-mata kerana wang yang berada di dalamnya, tetapi kerana saya tahu wang itu dikumpulkan oleh rakan-rakan guru daripada pelbagai bangsa dan agama.

Mereka tidak mempunyai pertalian darah dengan saya. Saya juga hanya guru pelatih yang berada di sekolah itu untuk beberapa bulan. Tetapi kesedihan saya menjadi kesedihan mereka.

“Sebenarnya anak saya dirawat di hospital kerajaan,” saya cuba menjelaskan selepas mengucapkan terima kasih.

“Kos rawatannya sangat rendah. Dalam seratus lebih sahaja untuk sepanjang sebulan setengah. Jumlah duit yang cikgu-cikgu beri ini banyak sangat.”

Saya benar-benar berasa serba salah untuk menerimanya. Kemudiannya saya kira jumlah hampir seribu ringgit.

Ustaz simpanlah duit itu. Gunakan untuk keperluan ustaz dan isteri.”

Seorang lagi guru menyambung:

“Kami semua doakan ustaz dan isteri tabah. Semoga dapat teruskan praktikum dengan baik dan cemerlang.”

Ucapan takziah, simpati dan kata-kata semangat datang bertubi-tubi.

Saya hanya mampu mengucapkan terima kasih.

Ketika memegang sampul itu, saya mula memahami sesuatu yang mungkin tidak pernah saya pelajari di dalam bilik kuliah. Pelajaran tentang kehidupan yang hanya dapat dipelajari apabila kita sendiri melaluinya.

Selama ini saya mengetahui bahawa manusia diciptakan berbangsa-bangsa. Saya pernah membaca ayat al-Quran mengenainya. Saya juga pernah belajar bahawa Islam mengajar kita supaya berlaku baik dan adil kepada manusia.

Tetapi pada hari itu, saya bukan sekadar membacanya. Saya mengalaminya.

Allah SWT berfirman:

يَا أَيُّهَا النَّاسُ إِنَّا خَلَقْنَاكُم مِّن ذَكَرٍ وَأُنثَىٰ وَجَعَلْنَاكُمْ شُعُوبًا وَقَبَائِلَ لِتَعَارَفُوا ۚ إِنَّ أَكْرَمَكُمْ عِندَ اللَّهِ أَتْقَاكُمْ ۚ إِنَّ اللَّهَ عَلِيمٌ خَبِيرٌ

“Wahai manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu daripada seorang lelaki dan seorang perempuan, kemudian Kami jadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku agar kamu saling mengenali. Sesungguhnya yang paling mulia antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertakwa. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mendalam Pengetahuan-Nya.” (Surah al-Hujurat, 49:13)

لِتَعَارَفُوا — supaya kamu saling mengenali.

Sebelum ini saya tidak pernah bersama dan bergaul dan berurusan dengan bangsa india dan cina. Praktikum memberikan peluang itu kepada saya. Dan pemergian Aishah menjadikan pelajaran tersebut jauh lebih mendalam.

Saya belajar bahawa di sebalik perbezaan warna kulit, bahasa dan agama, manusia tetap mempunyai hati. Mereka tahu bersimpati. Mereka tahu merasakan kesedihan orang lain.Mereka tahu menghulurkan tangan ketika orang lain berada dalam kesusahan.

Islam sendiri tidak melarang kita menghargai kebaikan manusia yang berbeza agama. Allah SWT berfirman:

لَا يَنْهَاكُمُ اللَّهُ عَنِ الَّذِينَ لَمْ يُقَاتِلُوكُمْ فِي الدِّينِ وَلَمْ يُخْرِجُوكُم مِّن دِيَارِكُمْ أَن تَبَرُّوهُمْ وَتُقْسِطُوا إِلَيْهِمْ ۚ إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الْمُقْسِطِينَ

“Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan berlaku adil terhadap orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana agama dan tidak mengusir kamu dari kampung halaman kamu. Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil.”

(Surah al-Mumtahanah, 60:8)

Ayat ini semakin saya fahami maknanya apabila mengenang kembali peristiwa tersebut. Menjadi seorang Muslim yang teguh dengan agamanya tidak bermaksud kita kehilangan kemampuan untuk melihat dan menghargai kebaikan pada orang lain. Malah Islam mendidik kita supaya menjadi manusia yang adil. Kebaikan tetap kebaikan, walaupun datang daripada orang yang berbeza bangsa dan agama daripada kita.

Sampul yang saya terima pada hari itu mungkin kelihatan seperti perkara kecil. Wang di dalamnya juga sudah lama habis digunakan. Namun makna sampul itu masih kekal dalam ingatan saya sehingga hari ini. Kebaikan rupanya tidak mengenal bangsa. Belas ihsan mampu menemukan hati manusia walaupun kita berbeza.

No comments: