Saturday, August 08, 2026

SELAMAT DATANG, AISHAH AL-HUMAIRA

Saya perlu menyelesaikan banyak perkara dalam tempoh seminggu sebelum memulakan praktikum di SMK Petaling. Antaranya ialah urusan pendaftaran kelahiran dan nama bayi kenit kami. 


Minggu pertama selepas kelahiran Aishah memang sangat sibuk. Dalam keadaan isteri masih dalam tempoh berpantang dan anak pula masih dirawat di hospital, saya terpaksa membahagikan masa sebaik mungkin.

Setiap pagi, saya perlu menguruskan keperluan isteri. Antaranya menyediakan keperluan untuk bertungku serta mengambil dan menghantar tukang urut. Dalam masa yang sama, saya juga perlu membuat persediaan untuk praktikum yang akan bermula pada minggu berikutnya.

Namun, sesibuk mana pun, satu perkara yang tidak pernah saya tinggalkan ialah melawat bayi kenit saya di Hospital Kajang.

Setiap hari saya akan datang menyantuninya. Saya menggosok dan mengurut perlahan seluruh tubuhnya dengan minyak zaitun sebagaimana yang diajar oleh jururawat. Tubuh itu terlalu kecil. Kulitnya pula masih merah kemerahan.

Selepas tiga hari, barulah saya membawa isteri ke hospital untuk melihat sendiri anak yang dilahirkannya.

Itulah kali pertama seorang ibu dapat menatap bayi yang keluar daripada rahimnya beberapa hari sebelumnya.

Saya masih dapat membayangkan wajah isteri ketika melihat anak kami di dalam inkubator. Sayu sekali.

Tubuhnya kecil. Kulitnya merah kemerahan. Dia pula sering menangis seolah-olah sedang berjuang dengan seluruh kudrat kecilnya untuk terus hidup.

Barangkali kerana itulah isteri saya mencadangkan satu nama.

“Abang, kita namakan dia Aishah.”

Saya memandang isteri.

“Aishah?”

“Ya. Aishah membawa maksud yang hidup.”

Saya terdiam seketika.

Nama itu terasa begitu dekat dengan keadaan anak kami. Di hadapan mata kami ialah seorang bayi yang lahir terlalu awal, dengan berat tidak sampai satu kilogram, sedang berjuang untuk meneruskan kehidupannya.

Seolah-olah nama itu sendiri menjadi sebuah doa:

Hiduplah, wahai anak. Teruskanlah hidup.

Kemudian isteri mencadangkan satu lagi nama untuk digandingkan dengannya.

Al-Humaira.”

Nama itu mengingatkan kepada ungkapan al-Humaira’ (الْحُمَيْرَاءُ), yang dikaitkan dengan warna kemerah-merahan. Ketika itu, kulit bayi kecil kami memang kelihatan merah kemerahan.

Saya tersenyum.

Aishah al-Humaira.

Indah bunyinya.

Lebih daripada itu, nama tersebut seakan-akan menggambarkan dirinya pada saat itu — seorang bayi kecil kemerah-merahan yang sedang berjuang untuk hidup.

Saya tersenyum mendengarnya. Nama ini juga mempunyai sejarahnya tersendiri.

Gelaran al-Humaira’ (الْحُمَيْرَاءُ) begitu masyhur dikaitkan dengan Ummul Mukminin Sayidatina Aishah RA, isteri yang sangat dicintai oleh Rasulullah SAW. Perkataan Humaira’ berasal daripada kata yang merujuk kepada warna kemerah-merahan dan digunakan sebagai ungkapan lembut atau panggilan mesra.

Gelaran itu terasa sangat dekat dengan keadaan bayi kami ketika itu.

Tubuhnya terlalu kecil dan kulitnya pula merah kemerahan kerana dilahirkan terlalu awal.

Saya memandang sekali lagi tubuh kecil di dalam inkubator itu.

Aishah al-Humaira.

Nama Aishah mengingatkan kami kepada kehidupan.

Al-Humaira pula menggambarkan keadaan fizikalnya ketika pertama kali kami menatapnya, di samping mengingatkan kami kepada Sayidatina Aishah RA, Ummul Mukminin yang terkenal dengan kecerdasan, keluasan ilmu dan kedudukannya yang istimewa di sisi Rasulullah SAW.

Dalam hati saya terdetik, mudah-mudahan nama itu bukan sekadar nama.

Semoga dia hidup.

Semoga dia membesar.

Dan semoga suatu hari nanti dia menjadi wanita yang mencintai ilmu dan agama sebagaimana Sayidatina Aishah RA.

Pada asalnya, saya mempunyai prinsip tersendiri dalam memberikan nama anak. Saya lebih suka nama tunggal — pendek, mudah dan tidak berangkai panjang.

Tetapi kali ini saya mengalah.

Cadangan itu datang daripada ibunya sendiri. Lebih-lebih lagi, nama tersebut terasa begitu sesuai dengan keadaan anak kami.

Akhirnya kami sepakat.

Selamat datang ke dunia, Aishah al-Humaira.

Semoga nama itu menjadi doa sepanjang hidupmu.

Allah SWT mengajar kita supaya memohon dikurniakan keluarga dan zuriat yang menjadi penyejuk mata:

رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

“Wahai Tuhan kami, kurniakanlah kepada kami daripada isteri-isteri kami dan zuriat keturunan kami perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang bertakwa.”
— Surah al-Furqan: 74

Ketika itu saya belum memikirkan sejauh itu. Saya cuma seorang ayah muda yang berharap anak kecilnya terus bertahan dan membesar seperti bayi-bayi lain.

Selepas nama diputuskan, tibalah satu lagi urusan yang perlu diselesaikan — mendaftarkan kelahirannya secara rasmi.

Beberapa dokumen penting telah disediakan oleh isteri saya. Ini merupakan kali pertama dalam hidup saya menguruskan pendaftaran kelahiran seorang anak. Saya pun tidak begitu arif tentang prosedurnya.

Saya mengambil keputusan untuk mendaftarkan Aishah di pejabat Jabatan Pendaftaran Negara di Kajang kerana lokasinya berdekatan dengan Hospital Kajang.

Pejabat JPN ketika itu terletak di tepi jalan di kawasan Sungai Chua, laluan yang hampir setiap hari saya gunakan untuk ke hospital.

Rancangan saya mudah.

Saya akan singgah sebentar di pejabat pendaftaran, menyerahkan dokumen yang diperlukan, mendapatkan sijil kelahiran Aishah, kemudian meneruskan perjalanan ke hospital untuk melawatnya.

Saya menyangka ia hanyalah satu urusan rutin.

Daftar nama.

Dapatkan sijil kelahiran.

Selesai.

Namun saya tidak pernah menyangka bahawa urusan yang saya fikir begitu mudah itu akan membawa kepada satu kejutan yang langsung tidak pernah terlintas dalam fikiran saya.

Nama yang kami pilih sudah ada — Aishah al-Humaira.

Tetapi apabila tiba pada bahagian nama bapanya, timbul satu perkara yang benar-benar membuatkan saya terpinga-pinga...

No comments: