Thursday, July 09, 2009

SABDA JUNJUNGAN : Hati penentu Amalan

وَعَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ عَبْدُالرَّحْمَنِ بنِ صَخْرٍ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ قَالَ: قَالَ رَسُولُ الله : "إِنَّ اللهَ تَعَالَى لا يَنْظُرُ إِلَى أَجْسَامِكُمْ, وْلا إِلَى صُوَرِكُمْ وَلَكِنْ يَنْظُرُ إِلَى قُلُوبِكُمْ وَأَعْمَالِكُمْ

رواه مسلم

Mafhumnya: Dari Abi Hurairah, Abdur Rahman bin Sakhr r.a berkata Rasulullah s.a.w telah bersabda: "Sesungguhnya Allah tidak memandang kepada susuk tubuh badan kamu, Dia juga tidak memandang rupa paras dan penampilan kamu. Akan tetapi Allah memandang kepada hati dan amalan kamu" Hadis diriwayatkan oleh Muslim

PENGAJARAN YANG DAPAT DIAMBIL DARI HADIS

Antara pengajaran yang boleh diambil dari hadis di atas amatlah banyak diantaranya ialah:

1. Ganjaran pahala keatas amalan atau aktiviti muslim bergantung kepada apa yang terdetik di hati daripada perasaan ikhlas dan niat yang baik. Amalan yang baik tidak disertakan dengan niat atau berniat bukan kerana Allah adalah sia-sia dan tidak ada ganjaran yang dijanjikan oleh Allah. Tetapi amalan yang haram tidak boleh dihalalkan dengan niat yang baik seperti perbuatan mencuri tidak menjadi halal walaupun dilakukan dengan niat baik ingin membantu orang miskin.


2. Umat Islam dituntut mengambil berat tentang hati dan membetulkan objektif dan tujuan serta membersihkannya dari segala sifat-sifat tercela yang dimurkai Allah. Hati yang selalu dibiarkan dan tidak didik dengan ikhlas kepada Allah akan selalu cenderung kepada sifat mazmumah seperti riak, sombong, takbur dan sebagainya. Malahan lebih teruk lagi apabila keadaan ini tidak lagi dianggap salah atau berdosa.


3. Mengambil berat tentang membersihkan hati diutamakan daripada amalan anggota kerana amalan hati dapat menentukan segala nilai ibadat dalam Islam. Walau banyak mana sekalipun amal ibadat dan kebajikan dibuat tetapi hati tidak selaras dengan kehendak Allah seperti tidak ikhlas dan sebagainya amalannya akan sia-sia. Amalan yang sedikit tetapi ikhlas kerana Allah adalah sangat tinggi nilainya di sisi Allah.


4. Boleh jadi amalan seseorang manusia itu baik tetapi niatnya rosak. Tetapi kita sebagai manusia biasa hendaklah mengambil pendirian dari segi zahir atau luaran sahaja. Apabila amalan seseorang itu baik pada zahirnya itulah yang kita terima dan jangan dipertikaikan. Kesahihan amalan sesorang atau keikhlasannya hendaklah kita serahkan kepada Allah Taala kerana hanya Dia sajalah yang maha mengetahui apa yang tersembunyi.

Wednesday, July 08, 2009

BIMBINGAN ILAHI: Emas penuh dunia


Sesungguhnya mereka yang kufur dan mereka mati dalam kekufurannya, Maka tidak akan diterima dari seseorang diantara mereka emas yang memenuhi bumi, walaupun dia ingin menebus diri mereka dengan emas (yang sebanyak) itu. Mereka semua akan mendapat azab yang sangat pedih dan tidak ada sesiapa yang akan menolong mereka.

Surah Aal Imran ayat 91

Di dalam suasana kehidupan dunia hari ini di mana ramai manusia mengejar kehidupan dunia. Malah sudah menjadi adat dan budaya masyarakat kita mengukur kemuliaan dan kehebatan seseorang itu dengan nilai harta benda. Sesiapa yang memiliki banyak harta akan dihormati dan disegani. Manakala sesiapa yang tidak mempunyai banyak harta tidak di rai dan dimuliakan.


Di dalam ayat 91 surah Aali Imran ini Allah menerangkan kepada kita bahawa sesiapa yang kufur dan engkar kepada Allah sedangkan kehidupan mereka amat berjaya di atas dunia ini. Malah kejayaan dan kekayaannya di gambarkan sebagai memiliki emas memenuhi muka bumi bukan sekadar wang berjuta-juta dollar di bank. Orang yang paling kaya di atas muka bumi ini pun hanya memiliki harta yang masih boleh dikira dengan angka. Bill gates yang telah diisytiharkan sebagai manusia paling kaya di dunia bagi tahun 2009 pun hanya memiliki USD40 ribu juta sahaja. Kekayaannya ini masih belum cukup untuk memenuhi sebuah kampung dengan emas atau mungkin sebuah rumah pun tidak!

Bill gates telah di isytiharkan sebagai manusia paling kaya bagi tahun 2009


Allah menyebut tentang nasib orang yang engkar kepadanya dan tidak mengaku kekuasaan dan ketuanan Allah dan mereka berterusan hidup di dunia ini dalam keadaan sedemikian sehinggalah mereka meninggal dunia. Mereka ini jika tidak menerima Islam sebagai agama atau tidak mengaku ketuanan Allah kekayaan mereka ini tidak mampu untuk menebus kesalahan mereka. Allah menegaskan walaupun memiliki emas memenuhi bumi pun Allah tidak akan menerimanya.


Mereka yang engkar ini walaupuu mereka kaya dan di pandang mulia di atas muka bumi ini akan di azab dan di siksa oleh Allah dengan azab yang sangat pedih. Tiada sesiapa pun yang akan membantu dan memberi pertolongan kepada mereka di akhirat nanti.

Di dalam kehidupan seharian kita ini pun kita dapat lihat bahawa penilaian masyarakat Islam sendiri agak terpesong dari apa yang sepatutnya. Sudah menjadi lumrah bahawa mereka yang kaya dan memiliki harta yang banyak di hormati dan disegani oleh setiap lapisan masyarakat berbanding dengan mereka yang menjadikan Islam sebagai pegangan hidup seharian. Mereka yang menjaga syariat Islam biasanya di pandang remeh, kolot, tidak berfikiran kehadapan. Bahkan ada yang berpandangan orang Islam yang kaya adalah mereka yang patut dicontohi dan diteladani walaupun kehidupan mereka tak selaras dengan garis panduan yang telah diberikan oleh Allah.


Marilah kita sama-sama mendidik diri kita dan juga ahli masyarakat kita agar memperkuatkan tunjang akidah kita bahawa kehidupan di dunia ini adalah sementara. Kehidupan di Akhirat adalah merupakan kehidupan yang sebenar yang abadi. Harta kekayaan di dunia ini hanyalah sekadar perhiasan untuk menyenangkan mata memandang. Apa yang paling bernilai di sisi Allah di Akhirat nanti ialah Keimanan dan ketaqwaan. Pahala adalah merupakan indicator atau kayu ukur untuk mengukur untuk memperjelaskan kiraan tahap ketaqwaan kepada Allah.

Tuesday, July 07, 2009

SABDA JUNJUNGAN: SETIAP AMALAN BAIK ADALAH PAHALA

عن أبي ذر رضي الله عنه فال: قال لي النبي صلى الله عليه وسلم (( لاَ تَحْقِرَنَّ مِنَ الْمَعْرُوفِ شَيْئًا وَلَوْ أَنْ تَلْقَى أَخَاكَ بِوَجْهٍ طَلِيقٍ)) رواه مسلم

Mafhum Hadis:

Dari Abu Zar radhiallahu anhu dia telah dengar Rasulullah bersabda : Jangan kamu menghina perkara atau perbuatan-perbuatan baik walaupun ianya sekadar bersua dengan saudara kamu dengan wajah ceria. Riwayat Muslim

PENGAJARAN HADIS

Pengajaran yang boleh diambil dari Hadis ini ialah :

  1. Jangan kita menghina atau memandang remeh apa saja perbuatan atau perlakuan selagimana ianya bertujuan untuk kebaikan.

  1. Disunatkan kita mesra dengan orang lain tak kira siapa dan membuat sesuatu yang boleh menggembirakan hati mereka kerana ia dapat merapatkan lagi persaudaraan antara muslimin.

  1. Apa saja perbuatan baik yang boleh menjuruskan kebaikan dan bersifat boleh memberi faedah dan kepentingan bersama adalah disunatkan dan mendapat ganjaran pahala di sisi Allah.

  1. Sifat peramah dan manis muka adalah sifat orang Islam yang dianjurkan oleh Nabi kita. Sifat ini menunjukkan peribadi yang mulia dan dapat menarik orang lain agar lebih rapat dengan kita dan seterusnya dapat menerima mesej dakwah.

  1. Sentiasa manis muka dan menghadiahkan senyuman perlu selalu diamalkan apabila berjumpa dengan sesiapa sahaja tak kita kita kenal atau pun tidak, Islam atau bukan malah sebagai pendakwah kita mesti orang yang memulakan teguran atau perbualan.

  1. Sentiasa bertanya atau menawarkan bantuan kepada sesiapa yang kita lihat buntu terhadap sesuatu atau tercari-cari tempat bertanya dan sebagainya kita hendaklah cepat-cepat menyapa dan cuba menghulurkan bantuan yang perlu.

  1. Pastikan kita adalah orang yang memulakan sapaan atau perkenalan dalam setiap pertemua kerana Islam menganjurkan umatnya banyak mengenali saudara seislam yang lain.

Bimbingan Ilahi : Bangunlah sebelum subuh



Mereka yang sentiasa berdoa : Wahai Tuhan kami, Sesungguhnya kami Telah beriman, ampunilah segala dosa kami dan peliharalah kami dari siksa neraka,"
Mereka juga orang-orang yang sabar, yang benar, yang tetap taat, yang menafkahkan hartanya (di jalan Allah), dan yang memohon ampun di waktu sahur



Apabila kita menekuni ayat 16 dan 17 surah Al Imran ini kita dapat lihat bagaimana Allah mencirikan sifat-sifat orang beriman yang soleh. Sememangnya dalam al Quraan Allah telah banyak mencirikan sifat-sifat orang beriman yang soleh ini yang perlu diterapkan dalam setiap individu Islam. Sifat-sifat yang disebut di dalam ayat ini ialah:
1. Mereka yang sentiasa berdoa kepada Allah
- Menegaskan keimanan kepada Allah
- Memohon diampunkan dosa-dosa
- Memohon perlindungan dari azab neraka Allah.

2. Sentiasa sabar setiap masa
3. Sentiasa membenarkan (menerima) semua perintah Allah dan rasul
4. Sentiasa taat kepada Perintah Allah dan Rasul
5. Suka membelanjakan harta untuk kepentingan Islam dengan ikhlas
6. Sentiasa bagun awal pada waktu sahur iaitu satu jam sebelum subuh untuk Qiamullail bermunajat memohon ampun pada Allah

Sebagai seorang Islam yang mengaku beriman kepada Allah, rasul dan hari akhirat kita hendak berusaha untuk menerapkan ciri-ciri kehambaan yang Allah telah gariskan ini. Allah lah yang telah mencipta kita dia telah menerangkan kehendaknya. Sebagai hamba Allah yang yakin dengan kehidupan di akhirat perlu berusaha sedaya upaya untuk memiliki sifat-sifat yang telah disarankan ini agar kita akan mendapat keredhaan Allah dunia dan akhirat.

Walaupun kita sentiasa sibuk dengan urusan seharian, kita hendaklah berusaha untuk mengatur dan mengurus masa kita setiap hari agar kehidupan harian kita selaras dengan panduan yang telah diberikan oleh Allah Taala.

Dalam setiap doa yang kita panjatkan kepada Allah kita hendaklah sentiasa merendah diri kita kepada Allah dengan mengakui kesalahan yang telah dilakukan dan memohon keampunan darinya. Memohon keampunan itu adalah tanda kita merendah diri dengan mengakui kita banyak berdosa dengan Allah.

Mereka yang tidak pernah memohon ampun adalah mereka yang ego dan sombong dengan Allah Taala. Mereka yang tidak merasai kekuasaan dan kehebatan Allah merasakan tidak perlu untuk memohon ampun dan meminta dijauhkan dari siksa neraka.

Di antara rutin harian yang perlu terapkan dalam diri kita ialah bangun awal pada setiap pagi iaitu pada waktu sahur. Waktu ini adalah dalam sekitar satu jam sebelum subuh. Pada waktu inilah bermunajatlah kepada Allah meminta ampun atas segala kesalahan kita yang dilakukan di siang hari, membaca dan mentadabbur Al Quran.

Tapi yang berlaku kepada kita semua ialah kita amat liat untuk bangun pada waktu pagi sehinggakan untuk solat subuh berjemaah pun kita tidak mampu untuk mengerah tenaga. Apatah lagi untuk bangun awal bermunajat kepada Allah dan menjadi kekasih Allah yang sanggup mengenepikan nikmat tidur demi cinta kepada Allah.
Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz adalah di antara mereka yang beristiqamah dalam berqiamullail

Marilah kita sama-sama mengatur jadual harian kita dengan berusaha mengurus kerja kita dengan baik dan tersusun agar kita dapat tidur lebih awal. Tidur awal akan lebih memudahkan kita untuk bangun sebelum subuh seterusnya menjalankan tanggungjawab kita sebagai hamba Allah yang bertaqwa. insya Allah.

Sunday, July 05, 2009

Kejahilan Kita, Anak-anak Mangsanya

Ketika merayau-rayau ke alam siber saya terjumpa dengan artikel ini. Situasi yaang dialami penulis adlah sama dengan situasi yang dihadapi oleh saya. Malang sungguh umat Islam di Malaysia. Kita sepatutnya mendidik Anak-anak agar biasa dengan ibadah, tapi apa yang berlaku kerana kurang memahami sunnah kita sendiri telah merosakkan agama Islam itu sendiri. Wallahuaklam.

Bukan sekali saya berhadapan dengan situasi ini. Anak lelaki saya yang berusia 9 tahun yang bersembahyang di sebelah saya di saf pertama atau kedua akan diminta ke belakang. Sebenarnya saf paling belakang bersama kanak-kanak yang lain.

“Putus saf”, itulah kata mereka. Seringkali juga saya meminta anak lelaki saya kekal di tempatnya. Seusai solat, ekor mata orang yang tidak bersetuju dengan tindakan saya akan tajam merenung.

Saya faham dia tidak setuju tetapi dia tidak berani bersuara. Kalau dia bersuara, saya akan jelaskan duduk perkara yang sebenarnya.

Anak-anak memang wajar dibiasakan untuk ke masjid. Mereka perlu difahamkan bahawa masjid bukan untuk ‘orang pencen’. Tetapi masjid kita rata-ratanya tidak mesra kanak-kanak. Bacalah saja pelbagai amaran terhadap kanak-kanak di masjid. Peraturan untuk mereka di masjid kadang-kadang setanding peraturan untuk banduan di penjara.

Membawa anak-anak ke masjid menyamai ajaran nabi. Baginda membawa dua cucunda baginda, Hasan dan Husain ke masjid. Kadang-kadang baginda memanjangkan solat kerana Hasan dan Husain berada di atas belakangnya yang mulia itu.

Memang ada sumber sunnah yang menyebutkan bahawa di masjid nabi, saf kanak-kanak lelaki di belakang saf lelaki dewasa dan saf wanita di belakang saf kanak-kanak lelaki.

Nabi juga mengajarkan supaya orang yang di belakang baginda di dalam solat ialah lelaki yang baligh dan cerdik supaya baginda dapat diingatkan sekiranya terlupa atau digantikan sekiranya perlu.

Namun itu tidak bermakna kanak-kanak boleh dinafikan daripada berada di celah-celah orang dewasa di saf yang hadapan. Lebih-lebih lagi sekiranya mereka datang lebih awal ke masjid.

Masjid adalah rumah Allah, sesiapa sahaja berhak mengunjunginya. Sesiapa yang mengunjunginya dikira tetamu Allah. Layanan Allah kepada hambanya yang mengunjunginya adalah sama rata. Sesiapa yang datang awal dialah yang berhak berada di hadapan walau pun dia adalah kanak-kanak.

Bahkan nabi melarang kita menyuruh orang lain mundur dan kita mengambil tempatnya. Sama halnya, dengan menyuruh kanak-kanak mundur ke belakang dan kita mengambil tempatnya. Itu juga boleh menjadikannya membenci masjid dan orang yang datang ke masjid.

Arahan nabi supaya orang lelaki dewasa berada di belakang baginda dalam saf solat bukan untuk meminggirkan kanak-kanak tetapi untuk menggalakkan orang dewasa supaya datang awal ke masjid dan mengambil saf hadapan.

Nabi tidak pernah meminggirkan kanak-kanak. Baginda bersolat di rumah Abi Talhah dengan Anas dan seorang anak yatim lain di belakang baginda. Ummu Sulaim pula di belakang kedua-dua anak-anak itu. Baginda juga bersolat dengan Ibnu Abbas yang masih anak-anak dan berdiri di sebelah kanannya.

Justeru, kalau nabi tidak meminggirkan kanak-kanak, mengapa orang dewasa hari ini yang ke masjid meminggirkan kanak-kanak? Kanak-kanak diletakkan di belakang sekali, berhampiran pintu keluar. Mereka berada sesama mereka. Bising.

Oh ya, kanak-kanak itu belum berkhatan. Jangan salahkan mereka atau pinggirkan mereka kerana belum berkhatan, tetapi ajarilah mereka cara bersuci dengan betul sekiranya belum berkhatan. Apa masalahnya kalau tidak berkhatan?

Tidak boleh menyentuh mereka dalam solat, batal. Adakah bersentuh dengan anak-anak yang belum berkhatan ketika solat membatalkan solat? Jawabnya, tidak kerana anak-anak itu bukan najis. Menyentuh kanak-kanak belum berkhatan bukan menyentuh najis.

Kita susah hati dengan kanak-kanak bising pada hari Jumaat ketika solat. Bukan salah mereka tetapi salah kita yang sudah tua ini. Kita rasa kita lebih pandai dari kanak-kanak pada hal kita sebenarnya bongkak dengan ketuaan kita.

Apa salahnya, kita masukkan mereka di celah-celah kita saf orang dewasa. Berkhatan atau tidak berkhatan, jangan ditanya lagi. Tidak batal solat bersentuh dengan anak-anak yang belum berkhatan dalam solat. Berapa kali mahu diulang? Tak percaya juga, cari kitab fiqh dan baca. Kalau tak tahu baca itu salah kita. Mengapa kesalahan kita dibebankan ke atas bahu anak-anak?

Apabila mereka berada bersama kita, di celah-celah kita orang dewasa, sekurang-kurangnya mereka akan lebih berdisiplin dan mungkin tidak akan bising lagi pada hari Jumaat.

Kepada orang Pas, kita tidak perlu tunggu Umno kalah pilihanraya untuk lakukan ini. Kepada orang Umno anda juga tak perlu tunggu kerajaan perpaduan untuk amalkan ini semua. Untuk DAP, MCA dan MIC, sorry anda semua tidak termasuk dalam topik ini.

Sayang, kalau orang politik kita tidak mampu melakukan perubahan sekecil ini.
Dikirim Oleh Zolkharnain Abidin

PERMULAAN DAKWAH RASULULLAH

Setelah dilantik menjadi Nabi dan Rasul dengan turunnya wahyu di gua hira', Rasulullah telah memulakan dakwahnya. Baginda telah menyeru kaumnya meninggalkan perbuatan menyembah berhala dan menyembah Allah yang maha kuasa. Tetapi Rasulullah telah memulakan dakwahnya dengan cara rahsia atau dengan kata lain dengan cara sembunyi-sembunyi. Rasulullah mengambil langkah ini kerana bimbang berlakunya kejutan kepada kaum quraish yang terkenal dengan taasub dan fanatik kepada berhala sembahan mereka. Rasulullah tidak menyebut dakwahnya ketika majlis umum bersama kaum Quraish tetapi mengemukakan dakwahnya kepada kaum kerabat terdekat dan juga kepada mereka yang telah dikenali yang difikirkan dapat menerima seruan dakwahnya.

Mereka yang paling awal memeluk Islam ialah :

1. Khadijah binti Khuwailid, isteri Rasulullah.
2. Ali bin Abi Talib (kanak-kanak pertama)
3. Zaid bin Harithah
4. Abu Bakar bin Abi Qahafah
5. Uthman bin Affan
6. Zubair bin Al Awwam
7. Abdur Rahman bin Auf
8. Saad bin Abi Waqqas

Mereka semua ini menerima tarbiyah dan bimbingan dari Nabi secara rahsia. Jika mereka hendak melakukan ibadat mereka akan pergi kepinggir Kota Mekah yang terlindung dari pandangan orang arab Mekah.

Apabila bilangan mereka yang telah memeluk Islam menjangkau tiga puluh orang meliputi lelaki dan perempuan, Rasulullah telah memilih rumah Al Arqam bin Abi Al Arqam sebagai tempat berkumpul. Di rumah inilah Rasulullah telah menjalankan bimbingan dan kuliah berkaitan dengan agama Islam. Di dalam tempoh tersebut hasil dakwah Rasulullah telah mencapai bilangan lebih kurang 40 orang lelaki dan perempuan yang telah memeluk Islam. Mereka yang memeluk Islam ini adalah dari golongan fakir miskin, hamba dan mereka yang tidak berkepentingan dari kaum Quraish.

KESIMPULAN DAN PENGAJARAN


Dakwah Rasulullah secara tersembunyi dan rahsia.
Rasulullah telah menjalankan dakwahnya pada peringkat permulaan secara rahsia bukan bermakna Rasulullah takut dan gerun kepada kaum kafir Quraish. Bahkan Rasulullah sangat yakin kepada Allah yang telah memberikan tanggungjawab dakwah dan Allah juga berkuasa menjaganya dari gangguan jahat manusia. Kalaulah Rasulullah melaungkan dakwah secara terbuka pastinya kaum quraish akan terkejut dan akan mengambil tindakan yang boleh membinasakan Nabi.
Akan tetapi Allah telah mengilhamkan kepada Nabi agar berdakwah secara rahsia agar tidak menimbulkan kejutan yang ketara kepada masyarakat Quraish. Bahkan Rasulullah menujukan dakwah kepada kaum kerabat dan kepada mereka yang telah diyakini boleh menerima agama Allah.

Perjalanan dakwah Rasulullah ini bertujuan mengajar pada pendakwah Islam terkemudian tentang cara berdakwah yang berkesan mengikut keadaan semasa. Keadaan dengan mengambil kira keadaan sekeliling yang boleh memberi kesan buruk kepada pendakwah dan Islam itu sendiri.

Pendakwah juga perlu menggunakan pemikiran waras dan bersifat analitikal untuk mencapai sasaran dakwah dan objektif yang telah dirancang. Sesorang pendakwah tidak boleh hanya bertawakkal kepada Allah semata-mata dalam membuat sesuatu tindakan tanpa berfikir apakah kesan yang akan berlaku dengan tindakan yang telah dilakukan. Sebagai contoh terdapat pendakwah yang ingin mengebom gereja dan kepentingan orang kafir dengan anggapan dapat menyekat mereka daripada menganggu orang Islam. Tindakan ini sebenarnya bertentangan dengan Islam dan memberi tanggapan buruk kepada Islam sebagai agama yang ganas dan melulu dalam setiap tindakan. Contohilah Rasulullah.


Berpandukan sirah Rasulullah ini para pendakwah bolehlah mengambil iktibar :

1. Menggunakan pelbagai cara untuk mencapai objektif dakwah yang fleksibel dan bukan hanya tertumpu dengan satu cara sahaja. Sebagai contoh dalam membimbing sahabat untuk sembahyang berjemaah di masjid. Banyak cara yang boleh dipakai antaranya yang asas memberitahu fadhilat sembahyang berjemaah di masjid. Menjemputnya setiap kali hendak kemasjid, sentiasa mendampinginya seperti bersukan bersama, makan bersama agar dapat mengakrabkan hati. Apabila hati dah akrab mudah menerima pandangan dan nasihat.

2. Kreatif dalam mencipta perkara-perkara dan suasana yang baru yang boleh menarik perhatian.

3. Seorang pendakwah hendaklah selalu manis muka dan selalu senyum. Apabila kita mengajukan sesuatu nasihat atau yang berbentuk arahan, orang lebih mudah mematuhinya apabila kita mengeluarkannya dalam keadaan manis muka berbandingkan dengan keadaan yang serius dan muka yang masam.

4. Perasaan kasih sayang dan bertanggung jawab perlu diterapkan dalam diri semasa menyampaikan sesuatu. Elakkan daripada menggunakan nada menyindir atau memperlekehkan sahabat yang lain.

5. Menunjukkan contoh yang baik kepada orang lain. Sebagai contoh seseorangnya sentiasa memperingatkan orang lain tentang kepentingan sembahyang di masjid jemaah dan penting menjaga masa tetapi dalam masa yang sama selalu lewat ke masjid.

**Artikel ini adalah adaptasi Kitab Sirah Nabawiyyah oleh Dr Said Ramadhan Al Buti sebagai bahan perbincangan dalam program Halaqah dan Rakan Iman di Sandakan

KEPENTINGAN SIRAH NABI DALAM MEMAHAMI ISLAM

Rujukan : Fikh Sirah oleh Said Ramadhan Al buti

Tujuan kita mempelajari Sirah Nabi adalah bukan sekadar untuk mengetahui kejadian-kejadian bersejarah yang telah dilalui oleh nabi kita Muhammad sebagaimana kita mempelajari teks-teks sejarah lain.

Di sana terdapat tujuan-tujuan yang lebih penting untuk kita mempelajari sirah Rasululullah. Apabila menghayati sirah nabi, seseorang islam itu akan lebih memahami hakikat Islam. Ini kerana hakikat Islam itu sendiri keseluruhannya terkandung dalam keperibadian Rasulullah dan seluruh perjalanan hidupnya.


Kaabah sedang dicuci


Di antara objektif utama kita menghayati sirah Rasululullah boleh disimpulkan seperti berikut:

1. Memahami syakhsiah peribadi Nabi Muhammmad SAW melalui riwayat hidupnya dan suasana yang dialami dalam hidupnya. Dengan menghayati syakhsiah dan kehidupan ini dapat menguatkan keyakinan kita bahawa Nabi Muhammad bukan sahaja pintar di kalangan kaumnya bahkan telah di bantu oleh bantuan wahyu yang telah diturunkan kepadanya dari sisi Allah yang maha kuasa.

2. Supaya manusia seluruhnya dapat menjadikan Nabi sebagai suri tauladan ataupun role model yang paling utama dalam setiap aspek kehidupan. Menjadikan kehidupan rasul sebagai ikutan tanpa ragu dan syak. Kalaulah manusia mencari seseorang yang boleh menjadi role model lengkap dalam setiap aspek kehidupan, mereka tidak akan menjumpainya melainkan ianya wujud dalam diri nabi Muhammad. Oleh sebab itulah Allah telah menyifatkan baginda sebagai Qudwah hasanah (contoh tauladan) bagi seluruh manusia sebagaimana firman Allah dalam surah Al Ahzab ayat ke 21:

لَقَدْ كَانَ لَكُمْ فِي رَسُولِ اللَّهِ أُسْوَةٌ حَسَنَةٌ لِمَنْ كَانَ يَرْجُو اللَّهَ وَالْيَوْمَ الْآخِرَ وَذَكَرَ اللَّهَ كَثِيرًا
Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta ia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang)

3. Penghayatan Sirah Nabi memudahkan kita memahami dan menghayati kandungan kitab suci (al-Quran) dan dapat merasai kemanisan dan kehendak al-Quran. Ini kerana terdapat banyak ayat-ayat al-Quran yang menceritakan kejadian dan peristiwa yang telah dialami oleh Rasulullah dan bagaimana Rasulullah menghadapinya.

4. Seorang Muslim dapat mengumpul sebanyak mungkin maklumat yang tepat berkaitan dengan pengetahuan islam. Maklumat dan pengetahuan ini meliputi setiap aspek yang berkaitan aqidah, hukum hakam, akhlak dan seebagainya.

5. Menjadi contoh tauladan yang paling baik kepada pendidik dan juga pendakwah Islam dalam mendidik dan menyebarkan dakwah kepada manusia. Rasulullah adalah seorang guru, pemberi nasihat dan pendidik yang tak kenal erti jemu.Baginda telah mencuba pelbagai cara yang berkesan untuk menyampaikan dakwahnya.

Sesungguhnya kehidupan Rasulullah seluruhnya adalah role model atau pun suri tauladan yang perlu kita sanjung.

1. Baginda adalah merupakan contoh yang jelas sebagai seorang remaja dan pemuda yang baik dan berakhlak mulia sehinggalah beliau digelar al amin di kalangan kaumnya.

2. Pendakwah atau pendidik yang paling cemerlang dalam menyeru umat manusia kepada Allah Taala dengan menggunakan konsep hikmah dan mauizah hasanah (peringatan dengan cara yang baik).

3. Seorang yang tidak pernah putus asa dalam dakwahnya. Telah mencuba pelbagai cara dan jalan untuk menyampaikan risalahnya.

4. Seorang ketua negara yang memegang kuasa politik yang paling tinggi. Mentadbir setiap urusan politik dengan penuh hikmah dan kebijaksanaan.

5. Seorang suami misali dalam pergaulan dengan keluarga.

6. Seorang ayah yang pengasih yang teliti dalam membezakan hak dan kewajipan bagi setiap isteri dan anak-anak.

7. Seorang ketua perang yang mahir dan penuh dedikasi.

8. Sebagai seorang muslim yang teliti dan adil dalam beribadat kepada Allah, bergaul dan bergurau dengan keluarga dan sahabat-sahabatnya.

Tidak syak lagi bahawa sesungguhnya pengahayatan Sirah Nabi adalah merupakan sesuatu yang amat penting bagi mengangkat martabat manusia dengan menjadikan contoh tauladan dan ikutan oleh pelbagai lapisan masyarakat. Kita sebagai seorang muslim diwajibkan untuk menyanjung dan mencotohi Rasulullah dalam setiap perlakuan kita seharian kerana akhlak Nabi adalah merupakan akhlak Islam. Dengan mengamalkan akhlak Nabi inilah dapat menjamin kesejahteran hidup manusia di dunia dan juga di akhirat.

Janganlah kita menjadikan orang lain sebagai contoh ikutan dalam kehidupan kita seharian. Malah lebih teruk penyakit yang melanda umat islam hari ini ialah menyanjung ahlil fussak (orang yang banyak buat maksiat pada Allah) sebagai role model dan ikutan. Bahkan mereka langsung lupa kepada junjungan besar Nabi Muhamad sallallahu alaihi wasallam.

**Artikel ini adalah adaptasi Kitab Sirah Nabawiyyah oleh Dr Said Ramadhan Al Buti sebagai bahan perbincangan dalam program Halaqah dan Rakan Iman di Sandakan

TAKUT KEPADA ALLAH

Adakah kita benar-benar takut kepada Allah? Soalan ini hendaklah kita selalu ulang dalam diri kita. Marilah kita bermonolog atau becakap dengan diri sendiri tentang hubungan kita dengan Allah swt.

Apakah bukti kita ada perasaan takut dan gerun kepada Allah? Adakah sebelum melakukan sesuatu perkara kita terfikir adakah apa yang aku akan buat ini Allah suka atau tidak? Adakah ianya selaras dengan kehendak Allah atau bercanggah? Kalaulah setiap perbuatan dan aktiviti kita dilakukan selepas kita padankan dengan kehendak dan perintah Allah. Insya Allah kita akan tergolong di dalam golongan hamba Allah yang sentiasa takutkan Allah.

Takut dan gerun kepada Allah adalah merupakan atu sifat yang amat susah hendak ditanam didalam jiwa kita. Ramai orang boleh bercakap bahawa dia takutkan Allah tetapi perlakuan dan aktiviti seharian menunjukkan dia tidak takut kepada Allah bahkan kadang-kadang perlakuannya seolah-olah tidak ingatkan Allah swt.

Sudah semestinya kita sebagai seorang Islam perlu tanamkan rasa takut, gerun atau terhutang budi kepada Allah. Dengan cara ini sajalah kita dapat menuju keredhaan Allah swt.



Ingatlah kita semua bahawa siapakah kita ini kalau nak dibandingkan dengan rahmat yang Allah beri kepada kita. Allah telah memberi segalanya kepada kita bermula dari tubuh badan, alam sekeliling yang menyokong kehidupan kita seperti udara, air, matahari, makanan dan sebagainya. Ini semua Allah beri secara percuma kepada kita tanpa sebarang bayaran atau balasan.

Cuma satu saja permintaan Allah iaitu taat dan patuh kepadanya atau dengan kata lain beribadat kepadanya sebagaimana firman Allah:

وما خلقت الجن والإنس إلا ليعبدون
Tidaklah aku jadikan manusia ini melainkan untuk beribadat kepada Ku

Kalaulah Allah itu suka merajuk dan kedekut seperti manusia nescaya Allah akan segera menarik nikmatnya dari kita, bila kita ingkar kepada arahan dan perintahnya. Diberi madu dibalas dengan tuba!! Itulah sikap manusia

Tetapi Allah maha pemurah dan penyayang masih lagi memberi peluang kepada manusia untuk bertaubat..

KEWUJUDAN ALLAH SEBAGAI PENCIPTA

Artikel ini adalah merupakan artikel lama yang telah ditulis untuk buletin Pendidikan Islam SMK Elopura, Sandakan. Seingat saya artikel ini ada tiga siri tetapi dua lagi saya tak ingat dimana saya simpan. Artikel ini telah ditulis dengan bahasa yang mudah agar ia lebih senang difahami oleh pelajar-pelajar sekolah. Malah apa yang menarik ada beberapa pelajar bukan Islam mengumpul buletin Pendidikan Islam ini sebagai koleksi peribadi.


SIRI PENGHAYATAN ISLAM


Sekarang ini bilangan orang Islam sangat ramai melebihi satu ribu juta orang di seluruh dunia. Tetapi kenapa orang Islam tidak menjadi dominan dan dapat mencorak kehidupan dunia. Malah kita lihat seolah-olah orang Islam sentiasa dipengaruhi dan dicorak oleh orang bukan Islam. Ini berlaku kerana ramai orang Islam sekarang ni hanya sekadar Islam pada nama dan tidak pada penghayatan. Bahkan terdapat sesetengah orang yang tak memahami apa hakikat Islam yang sebenarnya. Mereka beragama Islam sekadar mengikut agama ibubapa sahaja. Ini yang dapat kita lihat di sekiling kita hari ini, ramai orang Islam mudah terpengaruh dan menerima sesuatu perkara, fahaman, pakaian dan cara hidup dari luar walaupun ianya bercanggah dengan agama Islam.

Insya Allah bermula di siri ini Suara Taqwa akan cuba menerangkan sedikit sebanyak konsep agama Islam agar ianya lebih mudah difahami dan dihayati oleh semua lapisan warga SMK Elopura.


KEWUJUDAN ALLAH SEBAGAI PENCIPTA


Apabila kita lihat disekeliling kita, banyak perkakasan dan alat kemudahan telah kita guna. Ambil contoh pen, adakah pen itu wujud sendiri dengan banyaknya. Adakah buku-buku yang kita baca telah lama wujud dan dijumpai dimana-mana? Begitu juga kereta, kapal terbang, dapur, televisyen dan apa saja yang kita gunakan dalam kehidupan seharian. Adakah semua peralatan ini terjadi dengan sendirinya. Kalau ada seseorang mengatakan bahawa barang-barang tersebut adalah semulajadi hanyak diambil didalam hutan atau didalam bumi. Bolehkah kita menerimanya? Mungkin kita akan anggap orang yang berpandangan sedemikian sebagai gila atau tidak betul.

Ini kerana kita telah mengetahui bahawa barang-barang tersebut ada orang yang mereka cipta dan membuatnya. Barang tersebut dikeluarkan di kilang-kilang dan dipasarkan untuk kegunaan manusia. Semua barang yang direka cipta itu ada tujuannya. Tidak kita jumpa manusia membuat sesuatu barang tanpa faedah. Paling kurang pun ianya untuk tontonan dan kepuasan diri.

Apabila kita melihat barang-barang atau peralatan tadi, kita dapat bayangkan pembuatnya yang bijaksana dan mempunyai kepandaian yang tidak ada pada orang lain. Alangkah hebatnya orang yang mencipta kapal terbang. Besi yang begitu berat boleh terbang di angkasaraya! .

Kita merasa kagum dengan manusia yang dapat mencipta perkara-perkara pelik. Tapi pernah kita rasa bahawa kita sebagai manusia ini sebagai makhluk yang pelik dan mempunyai pelbagai keistimewaan. Manusia boleh melakukan apa saja bahkan manusia jugalah yang dapat mereka dan membuat barang-barang yang hebat dan pelik tadi. Begitu juga kalau kita lihat alam di sekitar kita. Binatang-binatang yang pelbagai jenis dapat membiak dengan baik dengan mempunyai pelbagai kelebihan masing-masing. Lihat sistem bumi yang cantik tersusun dengan pusingan bumi menjadi siang dan malam dalam tempoh 24 jam tak pernah lebih dan terkurang. Banyak lagi unsur-unsur alam lain yang boleh kita renungkan. Adakah ini semua wujud dengan sendiri tanpa sesiapa yang mereka ciptanya?

Kalau kita lihat sebatang pen, mustahil ianya wujud dengan sendiri dengan fungsinya yang tersendiri diguna untuk menulis dengan pelbagai warna dakwat. Ada orang yang membuatnya. Alam ini yang lebih canggih ini bolehkah ianya kebetulan wujud dengan keistimewaan begitu rupa dan ianya tak pernah pula rosak. Inilah yang perlu kita selalu renung dan fikir. Sudah tentu ada seseorang yang menciptanya dan orang itu mestilah orang maha bijaksana. Kita sebagai orang Islam percayabahawa pencipta alam ini dan juga manusia ini adalah Allah Taala yang Maha Kuasa dan Maha Bijaksana.

Persoalannya, adakah Allah jadikan alam ini dan juga manusia ini sia-sia dengan tanpa tujuan? Adakah manusia juga mencipta alatan dan barang-barang tanpa tujuan? Kenapa manusia mencipta kereta? Peti sejuk? Pensil dan sebagainya? Apakah tujuan utama Allah jadikan manusia dan alam ini dan apakah yang dia mahu? . Jumpa lagi di keluaran akan datang.

Friday, June 26, 2009

ISTERI BERGAJI TINGGI MENINGKAT

Itulah antara tajuk Berita Harian hari ini yang boleh kita renungkan bersama. Mungkin ada di kalangan kita yang gembira mendengar berita ini terutama golongan wanita. Tetapi marilah kita sama-sama melihat fenomena ini dari aspek Islam. Sila baca berita penuh di sini.



Pensyarah Jabatan Pengajian Dakwah dan Kepimpinan, Fakulti Pengajian Islam Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Dr Zulkiple Abd Ghani, berkata fenomena itu dijangka terus meningkat kerana lebih ramai pelajar perempuan menuntut di universiti atau kolej.

"Statistik kemasukan sesi Julai 2008 menunjukkan 243,378 pelajar perempuan memasuki IPTA berbanding 159,631 lelaki.

Berdasarkan statistik ini sudah semestilah golongan wanita akan mengisi jawatan dan pekerjaan yang lebih baik dari golongan lelaki.

Sudah ada suara-suara yang mengatakan kita perlu membuat perubahan kehidupan sosial selaras dengan arus kemodenan. Kaum lelaki mengurus rumahtangga dan Isteri keluar bekerja mencari nafkah keluarga. Sudah banyak perbincangan yang telah di adakan untuk menjurus kearah itu.

Pernahkah kita fikir adakah keadaan ini betul dan selaras dengan fitrah kejadian manusia yang telah diciptakan oleh Allah. Sebagai orang beriman kita wajib merujuk kepada manual atau panduan yang Allah berikan kepada kita.

Kita sudah mengetahui konsep pembahagian tugas dan peranan yang telah diterangkan dengan jelas dalam al Quran dan Sunnah. Kaum lelaki Allah telah ciptakan untuk memimpin dan memegang tangungjawab keatas kaum wanita. Al Quraan juga telah menetapkan konsep nafkah dan tanggungjawab ini dalam banyak ayat-ayatnya sehinggakan kaum lelaki mewarisi harta dua kali ganda dari kaum wanita kerana tanggungjawabnya yang banyak.

Apa yang berlaku sekarang ialah dalam kita melaung-laungkan slogan kembali kepada Islam, kita terlupa bahawa kita telah cuba mengubah sunnatullah iaitu pembahagian peranan dan tanggungjawab yang Allah tetapkan kepada kaum lelaki dan perempuan.

Adakah kita lebih bijak dari Allah yang telah mencipta manusia dan alam ini dengan mengatakan bahawa lelaki perlu berubah dan menerima hakikat bahawa wanita sudah menguasai banyak aspek dalam kehidupan. Gerakan Islam sendiri dilihat tidak dapat melawan arus ini dengan mengambil jalan asimilasi dan cuba menyesuaikan diri dengan arus semasa.

Pelanggaran kepada Sunnatullah dan fitrah kejadian manusia mendatangkan kesan yang amat buruk kepada kehidupan manusia itu sendiri. Di Malaysia ini kadang-kadang timbul persoalan. Islam sudah semakin di hayati. Banyak perubahan sudah berlaku. Syiar Islam semakin hebat. Masjid begitu makmur!Bahkan gerakan Islam pun sudah dapat sedikit kuasa politik. Tetapi kenapa kehidupan semakin tidak aman! Kecurian berlaku di mana-mana. Ragut berleluasa bahkan beraneka masalah sosial berlaku. Maksiat sudah menjadi kebiasaan malah keruntuhan rumahtangga juga sudah melanda golongan agamawan!.

Kenapa ini berlaku? Mungkin kerana kita hanya menganggap menegakkan Islam islam itu hanya pada politk dan undang-undang sahaja.. marilah kita sama-sama fikir

Membina Hubungan

Peristiwa satu

Pagi tadi ketika saya mengisi minyak di stesyen minyak Shell Seksyen 7 Kota Damansara tiba-tiba ..

“Assalamualaikum ustaz, Apa khabar?”

“Waalaikumussalam, alhamdulillah, Wah! Pergi kerja dengan motor besar begini bagus ni.. senang”

saya menjawab sambil menilik motor motor besarnya tetapi apa yang menjadi kelemahan saya iala saya tak dapat menyembunyi raut wajah terkejut saya. Ya lah saya tak cam siapa yang menegur saya dengan memakai topi keledar dan kaca mata hitam.

“Ustaz cam saya tak?, saya jemaah surau Ar Rafik”

Masya Allah, selepas mengimbau sekali lagi wajahnya barulah saya dapat cam sahabat ini. Malam tu kami berbual panjang pasal situasi di sabah, patutlah dia tegur saya dengan nada mesra macam dah biasa. Malam itu sahabat saya ni memakai jubah dan kopiah putih, tapi pagi ni naik motor berkuasa tinggi yang harganya lebih mahal dari kereta, bertopi kaledar dan berkaca mata hitam.

Peristiwa dua

Selepas solat jumaat di Masjid Kota Damansara saya dan anak saya bergegas meneruni tangga untuk balik tiba-tiba..

“Assalamualaikum Ustaz Abdullah! Ustaz tinggal di sini ke?”
“Waalaikumussalam. Ya. ha.ah saya tinggal sini di Seksyen 7” jawab saya tapi sekali lagi secara tak sedar saya tak dapat menyembunyi rasa terkejut.

“Saya ahli jemaah Surau Taman Desa Ria, Ustaz datang ceramah minggu lepas”

“Oh! Minta maaf, saya tak perasan tadi”

Masya Allah, dalam diam saya memarahi diri saya kerana tidak dapat mengingati orang yang telah berbual mesra dengan saya sebelum ini.

Peristiwa tiga

Sabtu lepas saya sekeluarga hadir di Kejohanan Bola sepak dan bola jaring Pasti peringkat kebangsaan di UNISEL. Ketika saya sedang berdiri di luar khemah kontijen Pasti Sabah tiba-tiba saya terpandang tiga orang memekai tshirt hijau dan topi 'cap' melintas di hadapan saya. Saya terpandang salah seorang daripadanya macam saya kenal dan pernah jumpa malah bersembang. Saya berfikir siapa ya?.

Menyedari ada mata yang merenung lantas dia mengangkat tangan kepada saya dan mengangguk kepala sambil tersenyum. Masya Allah! Baru saya perasan, Ust Nasruddin Tantawi rupanya, Ketua Pemuda Pas yang baru! Terus saya melambai tangan memanggilnya ke Khemah Kontinjen Sabah .


Ini adalah antara kelemahan ketara saya dalam membina hubungan. Saya lambat untuk mengingati wajah apatah lagi nama-nama orang yang baru dikenali. Bahkan nama-nama mereka sudah lama dikenali juga amat susah untuk diingati semula.

Ini adalah merupakan satu kelemahan yang mesti diatasi lebih-lebih lagi mereka yang ingin melibatkan diri dalam dakwah dan politik. Mengingati nama dan mengecam wajah adalah penting dalam membina hubungan sosial. Apa perasaan kita bila kita menegur seseorang yang kita kenali, tiba-tiba teguran kita disambut dingin malah dia tak ingat siapa kita! Begitu juga orang lain.

Pengasas Ikhwan Muslimin, Hassan Al Banna adalah seorang yang cepat mesra dengan mengingati nama dan wajah mereka yang pernah bersua dengannya. Bahkan dia dapat mengingat nama dan mengecam wajah dengan melihat kad pengenalan seseorang. Ini adalah antara resepi kejayaan dakwah Ihkwan Muslimin.

Bagi mereka yang ingin menjadi pendakwah perlu melatih diri untuk membina hubungan dengan setiap lapisan masyarakat sebagai mad'u. Kadang-kadang apa yang kita lihat segelintir dari kalangan kita masih tidak menguasai kemahiran ini. Akibatnya dakwah islam tidak berjalan dengan lancar dan masih tidak bersifat mesra alam.

Saturday, May 30, 2009

SELUAR PANJANG!

Satu hari tahun 1986

“ Abdullah! Penolong kanan mahu jumpa kamu kat biliknya” Beritahu cikgu Bahasa Melayu sejurus sebelum keluar dari kelas.

“ Kenapa cikgu?”
“ Tak tahulah saya kenapa, kamu pergilah sekarang”

Fikiran aku mencongak ini mesti kes pakai seluar panjang ni. Semenjak aku berpindah balik ke sekolah ini dari SK Mentuan, Kota Bharu aku masih kekal memakai seluar panjang sebagaimana di sekolah lama. Tetapi undang-undang Sekolah ini mewajibkan semua murid lelaki berseluar pendek, tidak dibenarkan sama sekali memakai seluar panjang atas alasan mahu mendisiplinkan murid. Dari mana datangnya undang-undang ini dan siapa pula yang buat tak diketahui. Apa yang saya tahu banyak sekolah yang membenarkan muridnya memakai seluar panjang. Malah kat kedai pun berlambak dijual seluar panjang untuk sekolah rendah. Lagi pun semua orang tahun menutup aurat ni wajib dalam Islam, sepatutnya ia dilatih menutup aurat dari sekolah rendah lagi.

Tok! Tok!

“ Masuk!”
“ Assalamuaikum cikgu”

“Hah Abdullah! Mari sini, Cikgu dah berbincang dengan guru besar bahawa kat sekolah ini tak boleh pakai seluar panjang sebab ia melanggar undang-undang”

“ Tapi cikgu kenapa sekolah lain boleh pakai” Pandai pulak aku menjawab, entah dari mana keberanian aku datang. Semua orang takut dengan penolong kanan ni terutama pada misainya.

“ Itu undang-undang sekolah ini, kamu belajar di sekolah ini, jadi kena ikutlah undang-undang sekolah ini”

“ kenapa kita tak ubah undang-undang sekolah ini biar sama dengan sekolah lain?” aku dah sedikit gugup.

“ Kalau kamu nak pakai jugak seluar panjang kamu pindah ke sekolah lain lah, saya boleh buat surat pindah”

“ Tapi... apa salah pakai seluar panjang lagi pun kita orang Islam wajib tutup aurat, itu undang-undang tuhan” aku teringat cakap ummi begitu.

BANG!!

Terlompat aku, terkejut, bila meja besar menjadi mangsa hentakan tangan penolong kananku ini. Mukanya kelihatan marah.

“ Pandai kamu bercakap ya, mesti ibu bapa kamu yang ajar kamu begini”
“ Kamu kena pindah sekolah”
“ Bagitahu ayah kamu datang ambil surat pindah, cari sekolah yang boleh pakai seluar panjang”
“ Kamu boleh keluar sekarang”

Aku terkejut amat sangat, perasaan berbaur-baur, rasa nak menangis pun ada, sedih pun ada. Besar sangatkah kesalahan aku. Aku bukan mencuri, bukan merosakkan harta sekolah, aku tak calar kereta cikgu, aku tak tidur dalam kelas.

Kesalahan aku hanya...
pakai seluar panjang.
kerana tutup aurat
mahu ikut ajaran Islam
mahu ikut sunnah Nabi

Tetapi aku di halau... nak buang sekolah macam penjenayah.

Ya. mungkin aku penjenayah kerana tak tunduk kepada undang-undang manusia..
Tapi aku menjunjung perintah Allah dan rasul.

Paling sedih ialah Ustaz aku sendiri yang amat aku segani pun tidak menyokong seluar panjang ini

“ Abdullah! Tak payah lah pakai seluar panjang, pakai je seluar pendek yang biasa tu”
“ Nanti kalau dibenarkan pakai seluar panjang, nanti ada pula yang akan minta pakai kain pelikat ke sekolah”

Semenjak hari itu entah kenapa aku hilang hormat pada Ustaz ini, kenapa dia pulak cakap begitu. Sepanjang isu ini berlaku di sekolah, aku amat mengharap sokongan dari dia.

“ Ah! Harapkan pagar, pagar makan padi” itulah rumusan aku pada masa itu walaupun umur masa itu 10 tahun.

Aku terpaksa mengalah kerana sekolah yang membenarkan muridnya pakai seluar panjang itu terletak di bandar Pasir Putih. Keluarga aku orang miskin tak ada belanja besar untuk berulang alik ke sekolah. Yang jauh. Tetapi kami sekeluarga telah berpuashati kerana telah berusaha. Bagi kami orang yang menghalang itulah yang akan menanggung dosa saya dan semua murid yang secara terpaksa mendedah aurat.

Tapi kami tidak mengalah, setahun selepas itu ketika aku berada dalam darjah 5, datang idea memorandum. Aku mula mengumpul tanda tangan seramai mungkin murid-murid yang bersetuju untuk menutuip aurat. Banyak juga tanda tangan yang berjaya dikumpul mencecah ratusan tandatangan. Macam-macam bentuk tandatangan yang ada. Bentuk bola, kapal terbang, durian, pisau, pistol, bunga dan macam-macam lagi. Maklumlah budak-budak kecil pun saya minta reka tandatangan sendiri. Ramai juga yang baru mengenal apa itu tandatangan. Sekurang-kurangnya ini juga satu proses belajar bagi mereka.

Halangannya si Ustaz lagi!
“ Buat apa kumpul tandatangan. Pakaian yang dah sedia ada dah bagus. Budak-budak kecik tak berdosa sebab belum baligh” Binawe punya ustaz.

Almarhumlah saya punya memorandum ditongsampahkan.

Tahun seterusnya 1988..

Saya kumpul lagi tandatangan murid-murid yang takut kepada siksa neraka Allah dan berazam mahu tutup aurat. Tandatangan semakin mudah dikumpulkan tanpa banyak karenah. Tapi kali ini bukan untuk diserahkan pada pihak sekolah. Bimbang nanti penuh tong sampah dengan tandatangan murid-murid berhati mulia itu. Kali ini kami bawakan kepada PIBG dalam mesyuarat tahunannya.

Alhamdulillah! Diluluskan tapi untuk tahun seterusnyalah 1989! tapi sebagai pilihan sahaja, tidak wajib. Itu sudah kira OK. Aku dah habis darjah 6, tak merasalah memakai seluar panjang biru.

Ibu memujuk: “Tak apa, kita dah buat benda baik, Allah dah ampunkan kita, kita akan dapat ganjaran pahala sesiapa yang memakai seluar menutup aurat. Itu hasil perjuangan kita.”

Pesan Rasulullah:

((من سن سنة حسنة في الإسلام؛ فله أجرها وأجر من عمل بها إلى يوم القيامة ...))
Sesiapa yang melakukan perkara baik dalam Islam, Baginya pahala dan pahala mereka mereka yang mengamalkannya sehingga hari kiamat.

Allah maha besar! Tahun 1989 adalah tahun yang amat menggembirakan hati aku dan keluarga. Hampir separuh pelajar lelaki memilih untuk menutup aurat! Malah sedikit demi sedikit perubahan berlaku dan sesiapa yang tak menutup aurat merasa tak selesa. Beberapa tahun selepas itu pakaian menutup aurat sudah menjadi pakaian rasmi sekolah!

Thursday, May 28, 2009

CUTI DALAM CUTI

Cuti semester kedua universiti selama dua bulan hanya berbaki sebulan lagi. Begitu cepat rasanya ia berlalu. Memang bertuah mendapat rezeki Allah dengan biasiswa latihan Kementerian Pendidikan. Tetapi biasiswa ini adalah merupakan amanah yang telah diberikan oleh rakyat Malaysia kepada pemegangnya agar meningkatkan profesioanal diri demi untuk berkhidmat kepada negara.


Pemegang biasiswa sarjana Kementerian Pendidikan mendapat keistimewaan berikut:

a. Cuti selama 24 bulan

b. Gaji penuh berjalan seperti biasa dengan kenaikan tahunan.

c. Yuran pengajian dibayar sepenuhnya.

d. Elaun belajar RM900 sebulan

e. Elaun keluarga RM360 sebulan

f. Elaun buku RM900 sepanjang kursus.

g. Elaun peralatan RM750

h. Elaun disertasi (tesis) tak ingat berapa.


Belajar di peringkat master ini tidaklah sesibuk pengajian peringkat PHD. Pemegang biasiswa diwajibkan untuk mengambil mode coursework dan disertasi (kelas dan kajian) ini bermakna kami semua wajib hadir ke kuliah mengikut matapelajaran yang disenaraikan. Bagi di Universiti Malaya pelajar Master perlu mendaftar sebanyak 18 jam kredit matapelajaran dengan 9 jam kredit setiap semester dan 18 jam untuk disertasi. Jadi setiap semester kami hanya terdapat 3 matapelajaran sahaja dengan menghadiri 9 jam kuliah. Biasanya hari kuliah ialah 2 atau 3 hari sahaja. Baki hari yang lain itu bolehlah berehat.


Sekarang adalah cuti semester dua selama dua bulan mei dan jun. Kuliah akan bermula 5 julai nanti. Dua bulan ini adalah cuti penuh yang sepatutnya diisi dengan perkara yang berfaedah. Kadang-kadang terasa cuti belajar ini adalah cuti berehat yang panjang untuk bersama keluarga.


Cuti yang panjang ini sepatutnya digunakan sebanyak mungkin untuk meningkatkan keupayaan diri dalam pelbagai bidang terumatama dalam bidang pengajian Bahasa Arab. Sepatutnya juga masa ini digunakan sepenuhnya untuk menigkatkan keupayaan bahasa Inggeris yang sememangnya sangat lemah. Buku-buku tersusun di rak menuggu untuk dibelek-belek dan difahami. Tapi sebulan berlalu tanpa dimanafaatkan sepenuhnya. Tiada apa yang boleh dibanggakan... hanya sibuk dengan urusan keluarga dan anak-anak yang tak pernah kesudahan.


Sedangkan Rasulullah sudah berpesan kepada kita bahawa penggunaan masa secara optima adalah amat penting. Firman Allah dalam surah al Asr:


والعصر إن الإنسان لفي خسر. إلا الذين ءامنوا وعملوا الصالحات. وتواصوا بالحق وتواصوا بالصبر

Demi Masa sesungguh manusia berada dalam kerugian. Melaikan mereka yang beriman dan melakukan amal baik (bermanfaat dunia akhirat). Sentiasa menyampaikan kebenaran dan sentiasa menyampaikannya dengan sabar.


Rasulullah juga telah menyebut:

نعمتان مغبون فيهما كثير من الناس الصحة والفراغ

Dua nikmat yang manusia biasanya tidak diguna dengan baik kesihatan dan masa lapang.


Rasulullah bersabda lagi :

اغتنم خمسا قبل خمس: فراغك قبل شغلك، شبابك قبل هرمك، غناك قبل فقرك، صحتك قبل مرضك، حياتك قبل موتك.

Rebutlah lima perkara sebelum datangnya lima perkara: Masa lapang kamu sebelum datangnya waktu sibuk, waktu muda kamu sebelum kamu tua, waktu kaya sebelum jatuh miskin, waktu sihat sebelum jatuh sakit, waktu hidup sebelum mati.


Inilah peringatan yang Allah dan rasulnya telah berikan kepada kita semua orang Islam. Tetapi malangnya kita semua tidak ada kekuatan untuk melaksanakannya dalam diri kita apatah lagi dalam masyarakat Islam.


Saya berazam kepada diri saya bahawa disepanjang cuti yang anugerahkan ini akan digunakan sepenuhnya untuk menguasai ilmu pengetahuan dan meningkatkan tahap prefesioanal diri demi untuk meneruskan perjuangan yang masih amat jauh ini.


Antara yang menjadi fokus saya ialah:

a. Memperkuatkan lagi penguasaan bahasa Arab melalui pembacaan, penulisan dan percakapan.

b. Menguasai Bahasa Ingeris pembacaan, penulisan dan pertuturan.

c. Kemahiran menulis yang pelbagai, akademik, bebas dan kreatif.

d. Kemahiran pengucapan awam dan kemahiran komunikasi dengan pelbagai lapisan masyarakat.

e. Mentelaah buku ilmiah sekurang-kurangnya dua buah buku seminggu.


Semoga Allah memberi kekuatan kepada saya untuk merancang dan melaksanakannya seterusnya mencapai sasaran yang telah digariskan. Amin..

Wednesday, May 27, 2009

Malu dapat pahala

Malam tadi saya datang solat isyak agak awal di Surau Seksyen 7. Surau ini bertaraf masjid, ruangnya amat luas dan diadakan solat jumaat. Kuliah maghrib malam ini disampaikan oleh ustaz yang tersohor di Kota Damansara.

Bila pintu surau yang sentiasa tertutup untuk menjaga suhu penghawa dingin itu dibuka, ramai pulak ahli jemaah duduk bersila dengan khusyuk dekat pintu. Nak melintas di depan mereka rasa sopan pulak tapi terpaksa juga melanggar adat kesopanan sebab mereka tak mengamalkan adab sopan! Duduk dipintu surau menghalang pintu masuk! Ini bertentangan dengan amalan Islam.

Tidak kah kita ingat Hadis Rasulullah ?

إياكم والجلوس في الطرقات
Jauhkan diri kamu dari duduk di jalan-jalan


Lagi Ajaib! Surau yang luas itu lengang di bahagian hadapannnya. Yang ada di sana ialah Ustaz pengkuliah di mejanya. Pendengarnya nun di sana sayup mata memandang di belakang dan di dindiing-dinding dan tiang-tiang. Menyandar belakang santai mendengar kuliah. Mereka seolah membiarkan jin-jin mendapat pahala majlis ilmu di saf-saf pertama dan cukuplah kita semua manusia mendapat hujung-hujung.

Mungkin kita lupa Pesan Allah untuk kita :

فاستبقوا الخيرات
Berlumbalah kamu untuk mendapat kebaikan

Di dalam solat pun umat Islam diajar untuk berusaha untuk mendapat saf pertama malah Rasulullah telah bersabda kalaulah manusia betapa besarnya ganjaran pahala solat di saf pertama pastinya mereka akan mendapatnyanya walaupun terpaksa mengundi.


لو يعلم الناس ما في النداء والصف الأول ثم لم يجدوا إلا أن يستهموا عليه لاستهموا

Kalaulah manusia tahu pahala ganjaran azan dan saf pertama kemudian mereka tidak akan mendapatkannya melainkan dengan cara mengundi pastinya mereka akan mengadakan undian.

Tapi hakikatnya kita umat Islam yang sudah agak baik ibadatnya, sudah istiqamah dengan solat jemaah dan kuliah-kuliah agama masih lagi belum dapat mengamalkan hadis Rasulullah yang semudah ini. Kita nampaknya amat takut untuk sembahyang di saf pertama dan kadang-kadang berlaku tolak menolak kerana tak mahu naik ke saf pertama. Di dialam kuliah-kuliah adalah lebih parah semakin luas masjid dan surau semakin jauhlah jarak para jemaah dengan pengkuliah.

Marilah kita sama-sama buat perubahan sikap. Marilah kita junjung aspirasi Rasulullah yang telah mengajar kita disiplin ilmu dan ketamadunan dengan berusaha untuk menuntut ilmu dan mengamalkannya.

Sunday, May 24, 2009

Kanak-kanak membatalkan pahala saf solat?

Jumaat minggu ini saya dan Muaz datang awal sedikit ke Masjid untuk solat jumaat bagi mendapat tempat dibahagian tepi masjid. Sudah berapa kali kami ditegur kerana solat di bahagian tengah dengan umur muaz yang dikira belum sampai tahap baligh yang dikatakan boleh merosakkan saf solat jemaah seterusnya menguragkan pahala para jemaah. Entah darimana hukum ini diambil tak pernah pula diketahui. Setiap hari jumaat sebelum ini saya berkeras tak mahu berganjak sehinggakan AJK tertinggi sendiri datang berjumpa dan memebri teguran. Katanya kalau tak mahu berpisah dengan anak carilah tempat dihujung saf!. Malam dibuat pengumuman lagi dengan pembesar suara bahawa kanak-kanak belum baling tak boleh berada dalam saf kerana boleh memutuskan saf! Masya Allah alangkah besarnya bidaah ini!

Setelah berbincang dengan beberapa orang ahli jemaah saya mengambil keputusan untuk tidak menimbulkan ketegangan.
“ AJK masjid sini susah nak bincang, keras kepala” sungut sorang jemaah
“ Ramai dah orang cuba tapi tak jalan” sahut yang lain
“ Ha ‘ah. Ustaz dari JAWI pun mereka tak benarkan kuliah”

Sepanjang saya menghadiri kuliah di masjid ini memang saya perhatikan ustaz-ustaz cukup berhati-hati menerangkan sesuatu pandangan yang agak baru dengan amat lembut sekali. Walaupun begitu pernah satu ketika ditanya juga soalan yang menggambarkan tahap para jemaah malah AJK masjid ini.

“ sahkan solat seseorang itu jika dia tidak duduk istirahah sebelum qiam dari sujud rakaat pertama?
“ Solat sah sebab ia bukan rukun, itu hanya sunat sahaja” jawab Ustaz muda itu.
“ Tapi ada orang cakap tak sah! Macamana tu ustaz?
“ Itu orang kata, tapi kalau ikut hukum solat itu sah sebab itu bukan rukun solat yang mana kalau ditinggalkan menyebabkan solat batal” sambung ustaz lagi
“ Ya lah, tapi kenapa ada orang kata solat tak sah pulak” sambut penyoal menunjukkan rasa tak puas hati.

Berpeluh ustaz muda nak menjawab akhirnya…
“ kita kena ikut hukum bukannya kata-kata orang”

Itulah apa yang berlaku, tetapi orang macam ini walaupun mendatangkan masalah kepada masjid tetapi mereka cukup komitmen dalam hal lain. Solat jamaah tak pernah tinggal, kebersihan masjid dijaga dengan rapi. Selalu dia lah yang menyapu sampah dan membersihkan tandas, tutup lampu, kipas dan tingkap. Apa-apa pun dia adalah ahli jemaah, masalahnya mesti ditangani dengan hikmah. Saya mengambil keputusan untuk menanggauhkan pembetulan tentang saf kanak-kanak tadi sehingga tiba masanya yang sesuai.

Ya, sekarang ramai yang ingin kembali kepada agama dan ingin memberi sumbangan untuk agama islam tetapi kerana kefahaman islam yang masih kurang menyebabkan timbullah perkara sebegini.

Masih banyak perkara lain yang perlu menjadi keutamaan dalam masalah solat ini. Masjid ini berhampiran dengan sekolah rendah dan menengah. Nah berapa ramai pelajar-pelajar Islam yang tak berkesempatan untuk solat Jumaat kerana mengutamakan persekolahan. Bayangkan sekolah sesi petang bermula jam 2 sedangkan solat jumaat selesai sekitar 2.15 petang bahkan kalau ada khatib yang bersemangat jam 2.30 baru selesai.

Murid-murid sekolah ini kalau kemasjid untuk solat dihalau dengan alasan masih kecil dan merosakkan pahala solat jemaah. Dimana mereka mahu solat? Di atas lantai depan masjid, ditepi jalan? Masjid memang sesak. Jadi jalan selamat ialah tak payah datang solat sebab jam 2 pun dah masuk kelas!

Pening kepala bila kita bawa berbincang.

“tak apa menuntut ilmu wajib, mesti diutamakan”
“ Budak-budak tu masih kecil, belum baligh, Allah maafkan”
“ nanti besar nanti bolehlah mereka solat jumaat”

Ya Allah! Kenapa teruk sangat kefahaman islam kita semua. Ini pandangan mereka yang istiqamah dengan solat jemaah di masjid. Apatah lagi kalau yang tak pernah kenal dengan tangga masjid dan mereka hanya solat di ketika ada kelapangan sahaja.

Kita tidak sedar dalam diam kita telah mengenepikan perintah Rasulullah atau tidak keterlaluan untuk dikatakan bahawa kita telah memperkecilkan Rasulullah yang telah bersabda:

مروا أولادكم بالصلاة وهم أبناء سبع سنين واضربوهم عليها وهم أبناء عشر سنين وفرقوا بينهم في المضاجع


Suruhlah (ajarkanlah) anak-anak kamu solat ketika mereka berumur tujuh tahun dan pukullah mereka jika enggan solat ketika umur mencapai sepuluh tahun. Dan pisahkan tempat tidur mereka antara lelaki dan perempuan.

Sebenarnya dalam banyak hal dalam kehidupan seharian kita, kita berpandangan dan bertindak seolah-olah kita lebih bijak dari Rasulullah malah kita rasa lebih bijak dari Allah taala yang mencipta langit dan bumi ini.

Tuesday, October 21, 2008

Pengajaran Surah al Muddassir

1. Wahai orang Yang berselimut!
2. bangunlah serta berilah peringatan dan amaran (kepada umat manusia).
3. dan Tuhanmu, maka ucaplah dan ingatlah kebesaranNya!
4. dan pakaianmu, maka hendaklah Engkau bersihkan.
5. dan Segala kejahatan, maka hendaklah Engkau jauhi.
6. dan janganlah Engkau memberi (sesuatu, Dengan tujuan hendak) mendapat lebih banyak daripadanya.
7. dan bagi (menjalankan perintah) Tuhanmu, maka hendaklah Engkau bersabar (terhadap tentangan musuh)!

Perbincangan pada malam ini adalah tentang surah al Muddassir yang merupakan surah yang menjadi watikah pelantikan Nabi Muhammad sebagai Rasul. Selepas turunnya wahyu ini Nabi Muhammad wajib menyampaikan ajaran Islam kepada masyarakat sekeliling. Inilah sebenarnya asas Ajaran Islam iaitu menyampaikan ada dari dari tuhan kepada manusia.

Ayat pertama
Allah menyeru Nabi Muhammad sebagai orang yang berselimut. Ini Kerana baginda masih lagi takut dan gerun dengan apa yang telah berlaku dengan kejadian wahyu yang pertama yang Jibril telah datang kepada baginda dalam keadaan yang menakutkan.

Ayat kedua
Allah telah memerintahkan nabi Muhammad agar bangun dan beri peringatan kepada masyarakat tentang Islam. Allah adalah tuhan yang telah menciptakan segalanya dan yang wajib diperhambahan diri dan wajib di taati segala perintahnya dan ditinggalkan segala larangannya. Rasululullah juga diperintahkan untuk memberi peringatan tentang azab neraka di akhirat bagi sesiapa yang engkar dan menolak ajaran Islam.

Ayat ketiga
Allah telah memerintahkan agar manusia mengagungkan Allah dalam apa jua aspek kehidupan. Hanya Allah yang dipuji dan dipuja setiap masa. Kata-kata Allah adalah benar dan tepat, tidak boleh didolak dalik lagi. Manusia di kira engkar jiga lebih mengagungkan orang lain lebih dari Allah. Siapakah yang lebih hebat dari Allah sehingga ianya dipuja dan dipuji melebihi Allah Taala. Allah telah memberi kita kehidupan yang amat indah ini, anggota badan yang amat sempurna, emosi dan perasaan amat tinggi dan pelbagai lagi. Selayaknyalah Allah dipuji dan dipuja kerana tanpa Allah kita tak akan dapat merasa ini semua. Orang lain yang kita puji dan puja sebagai contoh orang yang berkuasa dan berpangkat, apakah jasa mereka kepada manusia? Inilah perintah Allah yang terpaksa nabi bawa mengagongkan tuhan dan mengenepikan ketuanan manusa. Inilah sebab utama Abu Jahal dan penguasa Mekah sangat melenting dengan Rasulullah.

Ayat keempat
Sebagai seorang Islam yang beriman yang akan membawa wadah Islam, wajib bagi mereka untuk memastikan kebersihan pakaian dan tempat tinggal kerana kebersihana adalah satu tanda maruah tinggi dan ciri ketamadunan manusia. Bagaimana kita hendak memimpin manusia sedangkan kehidupan dan penampilan masih kotor dan menjijikkan. Disinilah dalil utama Islam mementingkan kebersihan.

Ayat kelima
Apa saja unsur yang negatif yang tidak mengundang apa-apa keuntugan hendaklah dijauhi. Hindarilah perkara-perkara yang menjadi sebab kemurkaan Allah yang menyebabkan kita layak menerima azab di Akhirat nanti.
Ayat keenam
Sebagai Orang Islam hendaklah mengingati bahawa hendaklah ikhlas dalam kehidupan. Jangan membuat sesuatu perkara dan mengarapkan balasan dan layana yang lebih baik. Jangan meletakkan harapan kepada manusia. Setiap perkara yang baik, Allah yang akan membalasnya.

Ayat ketujuh
Hendaklah kita bersabar kerana tuhan. Bersabar melaksanakan perintah Allah. Bersabar menyebarkan dakwah Islam. Bersabar membimbing masyarakat untuk memahami Islam. Sudah menjadi hukum alam bahawa penyebaran Islam akan mendapat tentangan dan cabaran. Ia perlu dihadapi dengan sabar dan itulah kunci kejaayaan

Projek Rakan iman

Selepas melihat betapa pelajar-pelajar KPLI memerlukan bimbingan tentang agama sedangkan peruntuk masa yang ditetapkan untuk mereka adalah terhad daya telah mengambil inisiatif untuk membuat satu projek yang saya namakan RAKAN IMAN.

Rakan iman ini adalah salah satu program untuk memberi bimbingan kepada pelajar yang boleh disimpulkan sebagaimana berikut:
1. Bimbingan bacaan Al Quran seterusnya cuba untuk memahaminya
2. mengelakkan rasa malu dan sanggup ditegur.
3. Melatih diri untuk cuba memperbetulkan keadaan.
4. bercakap tentang agama dengan jelas dan mudah difahami.
5. Cuba memberi pandangan dan idea yang jelas dan bernas agar mudah diterima ramai.
6. Menimbulkan rasa cinta kepada ilmu agama
7. dan macam-macam lagi lah.

Saya berharap program ini sedikit sebanyak boleh membantu pelajar untuk membina kekuatan diri sebelum terjun kemedan kerja yang sememangnya lebih mencabar.

AHLAN KPLI

Tahun ini kelas KPLI agak lewat dimulakan iaitu di semester kedua pengajian. Ini kerana kami Pensyarah JAPIM amat sibuk pada semester pertama dengan praktikum pelajar KPLI jQAF yang begitu ramai berbanding dengan bilangan pensyarah yang sedikit. Pihak pengurusan mengambil jalan dengan menangguhkan semua kuliah Pendidikan Islam sebanyak 15 jam ke semester kedua.

Hal ini telah disuarakan oleh beberapa pelajar tentang kelewatan Kuliah Pendidikan Islam dan itulah kekangannya. Kami pihak pensyarah meminta maaf atas masalah ini.

Kesannya ialah sangat besar keatas interaksi dengan pelajar. Sukatan yang merangkumi 15 jam kredit agak berat untuk di habiskan dalam tempoh 5 minggu. Apa yang perlu diketahui pelajar KPLI ni walaupun sudah lepasan Universiti mereka ini masih banyak perkara yang belum diketahui berkaitan dengan agama Islam. Malah kalau disemak setiap individu tentang kefahaman mereka tentang solat adalah menyedihkan.

Hanya berapa orang pelajar yang solat 5 waktu sehari semalam, rata-ratanya mereka solat ketika lapang sahaja dan ketika senang. Belum tanya tentang Al Quran, apabila diminta untuk membaca Al Quran atau menghafal surah-surah pendek mengikut sukatan yang telah ditetapkan barulah timbul kesedaran kepada mereka bahawa betapa hinanya mereka yang tidak tahu membaca Al Quran.

Kepada pelajar pelajar KPLI ingatlah bahawa anda adalah bakal guru yang akan mendidik anak bangsa dan juga anak-anak kita sediri. Adakah patut anda yang hendak melatih anak-anak untuk berdisiplin dan hidup sebagai orang yang berguna dan berjasa? Sedangkan anda sendiri tidak berdisiplin dan tidak boleh mengawal diri?

Tepuk dada tanya iman.

Thursday, October 02, 2008

SELAMAT HARI AIDILFITRI 1429

Selamat datang Syawal 1429.
Kami sekeluarga Abdullah Hamzah, Azian Ariffin, Muaz, Ziad, Aufa, Alya dan Uwais mengucapkan selamat Hari Raya Aidilfitri, Maaf Zahir batin. dengan ucapan
تقبل الله منا ومنكم تقبل يا كريم
كل عام وانتم بألف خير

"Semoga Allah menerima semua amalan dari kita dan dari anda semua"
"Sepanjang tahun anda dalam kebaikan"

Semoga Syawal tahun ini memberi rahmat dan keberkatan kepada kita. Kami Beraya di Sandaka.Menginap di Palm Garden Inn, Bandar indah. Alhamdulillah bilik selesa untuk kami bertujuh.

Kami solat raya di Masjid Taman Fajar. Solat Hari Raya bermula jam 8 pagi lewat setengah jam dari tempat lain untuk memberi peluang para jemaah menunaikan zakat fitrah di saat akhir. Solat dipimpin oleh Ust Shahran dan khatib oleh ust Fazli Azizuddin.

Penerangan tentan Solat oleh ust Kamarudin yang begitu komited membimbing para jemaah di Taman Fajar. Telah banyak perubahan yang telah beliau lakukan. Semoga Allah merahmati masyarakat taman Fajar.