Saturday, May 30, 2009

SELUAR PANJANG!

Satu hari tahun 1986

“ Abdullah! Penolong kanan mahu jumpa kamu kat biliknya” Beritahu cikgu Bahasa Melayu sejurus sebelum keluar dari kelas.

“ Kenapa cikgu?”
“ Tak tahulah saya kenapa, kamu pergilah sekarang”

Fikiran aku mencongak ini mesti kes pakai seluar panjang ni. Semenjak aku berpindah balik ke sekolah ini dari SK Mentuan, Kota Bharu aku masih kekal memakai seluar panjang sebagaimana di sekolah lama. Tetapi undang-undang Sekolah ini mewajibkan semua murid lelaki berseluar pendek, tidak dibenarkan sama sekali memakai seluar panjang atas alasan mahu mendisiplinkan murid. Dari mana datangnya undang-undang ini dan siapa pula yang buat tak diketahui. Apa yang saya tahu banyak sekolah yang membenarkan muridnya memakai seluar panjang. Malah kat kedai pun berlambak dijual seluar panjang untuk sekolah rendah. Lagi pun semua orang tahun menutup aurat ni wajib dalam Islam, sepatutnya ia dilatih menutup aurat dari sekolah rendah lagi.

Tok! Tok!

“ Masuk!”
“ Assalamuaikum cikgu”

“Hah Abdullah! Mari sini, Cikgu dah berbincang dengan guru besar bahawa kat sekolah ini tak boleh pakai seluar panjang sebab ia melanggar undang-undang”

“ Tapi cikgu kenapa sekolah lain boleh pakai” Pandai pulak aku menjawab, entah dari mana keberanian aku datang. Semua orang takut dengan penolong kanan ni terutama pada misainya.

“ Itu undang-undang sekolah ini, kamu belajar di sekolah ini, jadi kena ikutlah undang-undang sekolah ini”

“ kenapa kita tak ubah undang-undang sekolah ini biar sama dengan sekolah lain?” aku dah sedikit gugup.

“ Kalau kamu nak pakai jugak seluar panjang kamu pindah ke sekolah lain lah, saya boleh buat surat pindah”

“ Tapi... apa salah pakai seluar panjang lagi pun kita orang Islam wajib tutup aurat, itu undang-undang tuhan” aku teringat cakap ummi begitu.

BANG!!

Terlompat aku, terkejut, bila meja besar menjadi mangsa hentakan tangan penolong kananku ini. Mukanya kelihatan marah.

“ Pandai kamu bercakap ya, mesti ibu bapa kamu yang ajar kamu begini”
“ Kamu kena pindah sekolah”
“ Bagitahu ayah kamu datang ambil surat pindah, cari sekolah yang boleh pakai seluar panjang”
“ Kamu boleh keluar sekarang”

Aku terkejut amat sangat, perasaan berbaur-baur, rasa nak menangis pun ada, sedih pun ada. Besar sangatkah kesalahan aku. Aku bukan mencuri, bukan merosakkan harta sekolah, aku tak calar kereta cikgu, aku tak tidur dalam kelas.

Kesalahan aku hanya...
pakai seluar panjang.
kerana tutup aurat
mahu ikut ajaran Islam
mahu ikut sunnah Nabi

Tetapi aku di halau... nak buang sekolah macam penjenayah.

Ya. mungkin aku penjenayah kerana tak tunduk kepada undang-undang manusia..
Tapi aku menjunjung perintah Allah dan rasul.

Paling sedih ialah Ustaz aku sendiri yang amat aku segani pun tidak menyokong seluar panjang ini

“ Abdullah! Tak payah lah pakai seluar panjang, pakai je seluar pendek yang biasa tu”
“ Nanti kalau dibenarkan pakai seluar panjang, nanti ada pula yang akan minta pakai kain pelikat ke sekolah”

Semenjak hari itu entah kenapa aku hilang hormat pada Ustaz ini, kenapa dia pulak cakap begitu. Sepanjang isu ini berlaku di sekolah, aku amat mengharap sokongan dari dia.

“ Ah! Harapkan pagar, pagar makan padi” itulah rumusan aku pada masa itu walaupun umur masa itu 10 tahun.

Aku terpaksa mengalah kerana sekolah yang membenarkan muridnya pakai seluar panjang itu terletak di bandar Pasir Putih. Keluarga aku orang miskin tak ada belanja besar untuk berulang alik ke sekolah. Yang jauh. Tetapi kami sekeluarga telah berpuashati kerana telah berusaha. Bagi kami orang yang menghalang itulah yang akan menanggung dosa saya dan semua murid yang secara terpaksa mendedah aurat.

Tapi kami tidak mengalah, setahun selepas itu ketika aku berada dalam darjah 5, datang idea memorandum. Aku mula mengumpul tanda tangan seramai mungkin murid-murid yang bersetuju untuk menutuip aurat. Banyak juga tanda tangan yang berjaya dikumpul mencecah ratusan tandatangan. Macam-macam bentuk tandatangan yang ada. Bentuk bola, kapal terbang, durian, pisau, pistol, bunga dan macam-macam lagi. Maklumlah budak-budak kecil pun saya minta reka tandatangan sendiri. Ramai juga yang baru mengenal apa itu tandatangan. Sekurang-kurangnya ini juga satu proses belajar bagi mereka.

Halangannya si Ustaz lagi!
“ Buat apa kumpul tandatangan. Pakaian yang dah sedia ada dah bagus. Budak-budak kecik tak berdosa sebab belum baligh” Binawe punya ustaz.

Almarhumlah saya punya memorandum ditongsampahkan.

Tahun seterusnya 1988..

Saya kumpul lagi tandatangan murid-murid yang takut kepada siksa neraka Allah dan berazam mahu tutup aurat. Tandatangan semakin mudah dikumpulkan tanpa banyak karenah. Tapi kali ini bukan untuk diserahkan pada pihak sekolah. Bimbang nanti penuh tong sampah dengan tandatangan murid-murid berhati mulia itu. Kali ini kami bawakan kepada PIBG dalam mesyuarat tahunannya.

Alhamdulillah! Diluluskan tapi untuk tahun seterusnyalah 1989! tapi sebagai pilihan sahaja, tidak wajib. Itu sudah kira OK. Aku dah habis darjah 6, tak merasalah memakai seluar panjang biru.

Ibu memujuk: “Tak apa, kita dah buat benda baik, Allah dah ampunkan kita, kita akan dapat ganjaran pahala sesiapa yang memakai seluar menutup aurat. Itu hasil perjuangan kita.”

Pesan Rasulullah:

((من سن سنة حسنة في الإسلام؛ فله أجرها وأجر من عمل بها إلى يوم القيامة ...))
Sesiapa yang melakukan perkara baik dalam Islam, Baginya pahala dan pahala mereka mereka yang mengamalkannya sehingga hari kiamat.

Allah maha besar! Tahun 1989 adalah tahun yang amat menggembirakan hati aku dan keluarga. Hampir separuh pelajar lelaki memilih untuk menutup aurat! Malah sedikit demi sedikit perubahan berlaku dan sesiapa yang tak menutup aurat merasa tak selesa. Beberapa tahun selepas itu pakaian menutup aurat sudah menjadi pakaian rasmi sekolah!

No comments: