Friday, April 30, 2010

Kasi lelaki itu!

Cadangan mengkasi lelaki yang tak bertanggungjawab sehingga sanggup membuang anak adalah cadangan yang nakal. Cadangan ini telah dikemukan oleh salah seorang senator Dewan Negara dalam persidangannya kelmarin.

Melihat gelagat manusia kadang-kadang agak melucukan. Apabila ada segolongan bersuara tentang kalam ilahi dan panduan yang telah disediakan pencipta untuk mengatasi masalah manusia, ramai di kalangan pembuat dasar memandang sepi malah mencebik muka. Langsung tidak cuba untuk merenung dan berfikir hikmah disebaliknya. Tetapi pada masa yang sama cuba mencadangkan cadangan yang nakal yang belum tentu boleh merungkai masalah.

Jawapan Menteri Wanita, keluarga dan masyarakat amat baik dan lebih lunak dengan mengatakan bahawa tindakan itu tidak adil kerana tidak semua kaum bapa mengabaikan anak-anak. Malah kecurangan kaum bapa itu sendiri timbul dari penyimpangan masyarakat
kita yang tidak lagi mementingkan tanggungjawab dalam mendidik anak-anak. Sikap penting diri sendiri dan mengejar harta dunia menyebabkan proses mendidik dan memberi kasih sayang kepada anak-anak telah diswastakan kepada pembantu rumah, taman asuhan, sekolah dan masyarakat. Gejala ini sudah menjadi lumrah budaya masyarakat kita tanpa mengira latar belakang kehidupan dan pendidikan.

Penyelesaian lain perlu dicari untuk menyelesaikan masalah hilangnya nilai kemanusiaan di kalangan kita. Tiada siapa yang lebih tahu tentang selok belok ciptaan manusia melainkan Allah Taala. Golongan agamawan yang lebih memahami titah firman Allah ini perlu lebih giat berusaha untuk memberi penerangan dan bimbingan yang sepatutnya. Mereka perlu lebih kedepan dalam memberi cadangan dan jalan penyelesaian bukannya hanya sekadar mengulas, mengkritik, menyindir dan menghukum.


Ambillah langkah proaktif terjun kedalam arus perdana masyarakat. Selami masalah mereka dan fahami cabaran yang merintang. Didik dan bimbinglah keterlanjuran masyarakat. Siramilah mereka dengan hikmah kalam kebesaran Allah dan rahmatnya. Sesungguhnya Allah itu maha pengampun lagi maha pengasih.

No comments: