Di kampung kami ada seorang makcik yang kami panggil namanya dengan makcik Minah. Kami amat mengenalinya kerana dia membuka kedai runcit dirumahnya yang berhampiran dengan sekolah. Apa yang kami kenali tentang makcik minah ini ialah dia amat garang dan bermulut celupar sehingga sebahagian kami memanggilnya makcik lazer. Kalau kami ke kedainya bertanya macam-macam dan mencari barang yang tak ada dijual dikedainya kami dihalau dan marahi begitu sahaja.
Kami tidak hairan kenapa dia bersikap kasar walaupun dengan kanak-kanak kerana dia tidak mempunyai anak. Kami dengar desas desus cerita orang kampung bahawa makcik ni Mandul dan tidak boleh melahirkan anak. Biasanya orang yang tidak mempunyai anak agak kekok untuk menunjukkan kasih sayang kepada kanak-kanak.
Kadang-kadang terdengar juga cerita-cerita tentang pertengkaran antara makcik Minah dengan suami. Tapi apa yang mengejutkan kami sekampung ialah dia membenarkan suaminya kahwin lain dan sanggup bermadu dan apa yang diketahui proses perkahwinan suaminya itu lancar tanpa masalah. Hal ini agak menghairankan kami memandangkan Makcik Minah bukan orang yang kuat agama pun. Pasal aurat, bukan dia ambil kesah apatah lagi mulutnya itu bukannya ada insuran.
Selepas beberapa tahun ketika saya belajar sekolah menengah, saya singgah di kedai Makcik Minah ini untuk membeli sesuatu. Saya dapati Makcik Minah sudah banyak berubah. Cakapnya mesra dan lembut. Dia bertanya khabar tentang saya dan keluarga malah kami berkesempatan berbual tentang hal-hal lain. Semasa perbualan kami saya melihat kanak-kanak keluar masuk ke kedainya untuk membeli makanan dan gula-gula. Mereka dilayan dengan baik sekali oleh Makcik Minah dan tergambar perasaan kasih sayang di wajahnya.
Tiba-tiba Makcik Minah memanggil nama seorang perempuan. Kedengaran suara menjawab: “Ya mak! Ada apa?”
Seorang kanak-kanak berusia kira-kira 7 tahun masuk ke kedai dan mendekati kami. Makcik Minah mengusap-usap kepala kanak-kanak perempuan itu dengan penuh kasih sayang.
Saya terkejut. Sejak bila Makcik Minah ini mempunyai anak. Setahu saya di ni tak ada anak atau dengan kata lain mandul. Hal ini tidak menjadi rahsia lagi dikalangan orang kampung.
“tak tau pulak saya Makcik Minah ada anak gadis cantik ni!” Saya melahirkan rasa kehiaranan.
“Ini anak saya lah. Anak mak. Kira anak saya jugalah walaupun anak tiri. Saya yang bela dia ni” Makcik Minah menjawab kemusykilan saya.
(Di sesetengah tempat di kelantan perkataan mak atau ibu di pakai untuk sebagai ganti istilah madu)
“Oh! Begitu. Nak pulak mak dia (madu) bagi pada makcik untuk jaga anak dia ni?” Saya menunjukkan minat untuk mengetahui lebih lanjut.
“Hmm. Kami dah janji dulu, masa ayah dia nak kawin lain. Saya bagi syarat, boleh kawin lain tetapi ada syaratnya. Anak pertama yang lahir dari isteri dia tu kena bagi saya dulu. Nanti anak kedua baru dia boleh bela. Nanti anak ketiga nanti bagi saya balik. Kira macam selang seli begitu. Jadi yang ini anak pertama kami lah”.
Terang Makcik Minah sambil membelai anak kecil tadi. Saya agak tertarik kerana dia menggunakan istilah ‘kami’ ketika bercerita tentang suami dan madunya.
“Baiknya hati makcik benarkan pakcik kawin lain dan idea pembahagian anak ini pun menarik. Tak pernah saya dengar begini. Biasanya kalau tak dapat melahirkan anak, orang akan cari anak angkat sebagai ganti”. Saya semakin berminat mencungkil pandangan Makcik Minah.
“Lah! Makcik dah tua. Kalau mintak cerai pun, tak selesai masalah. Siapa nak kawin dengan makcik kalau orang dah tau begini. Bukan selesai masalah pun. Makcik tak mau ambil anak angkat. Banyak tak bagus. Kita tak tau asal usul dia dari mana. Nanti silap hari bulan dapat anak angkat dari baka tak bagus. Jenuh kita nak menjaganya. Kalau jenis baik pun, kalau dah besar panjang nanti, dia akan cari keluarga dia jugak. Apa kita nak kata. Mereka ada hak nak balik pada keluarga mereka. Kasih sayang tak sama lah.. Kalau ini.. anak tiri.. anak mak..kita dah tau siapa ibu dia, salsilah keluarga dah tentu. Ayah dia suami kita, bukan orang lain pun. Jadi kita bela anak tiri, anak suami kita. Mak dia pun selalu datang tengok anak dia ni. Saya pun kadang-kadang pergi kerumah dia. Tak ada masalah. Kira macam keluarga sendirilah. Senang nak urus. Tuan imam kita tu pun cakap tak timbul lagi masalah mahram ke.. aurat ke.. dalam rumah, bukan macam ambil anak angkat.”
Panjang penerangan Makcik Minah kali ini. Tapi penerangannya ini telah merubah sama sekali pandangan saya kepada makcik Minah yang saya kenal sebelum ini sebagai garang, bengis dan mulut lazer. Nah! rupanya nun di lubuk hatinya ada satu prinsip yang murni yang sememangnya telah diajarkan oleh Islam. Dia melihat poligami sebagai jalan keluar dan sanggup bertolak ansur dalam banyak hal. Inilah yang tidak difahami oleh sebahagian masyarakat Islam malah oleh sesetengah pihak agamawan sendiri.
Sebelum saya minta diri saya bertanya satu lagi soalan yang menarik pada makcik Minah: “tak ada masalah ke hidup bermadu ni? Tak ada perang besar ke?.
Sambil menimbang gandum dan mengukir senyum Makcik Minah menjawab:
“Mana ada rumah tangga tak perang Lah! Suami isteri tak bermadu pun melayang pinggang mangkuk jugak, inikan pula hidup bermadu.. macam-macamlah karut marutnya. Apa yang penting cara kita selesaikan masalah. Banyak bertolak ansur. Kalau setiap orang nak menang. Cari siapa salah, siapa betul, tak akan selesai lah. Siapa yang salah, biarkan tuhan tentukan dan hukum di akhirat.. dia lebih tahu”.
Senang hati saya mendengar pandangan Makcik Minah. Saya rasa amat bertuah mendengar semacam kuliah agama tentang kehidupan dari seorang Makcik yang asalnya saya hanya anggap sebagai orang yang tak endah pasal agama. Tapi siapa sangka. Itulah dunia. Jika agama dijadikan panduan kehidupan, ketenangan dan kebahagiaan pastinya menjadi imbalan.
Cerita Salasilah
2 months ago
No comments:
Post a Comment