Ketika membelek akhbar harakah terkini saya terpandang satu iklan jualan air bacaan Yasin. Air ini di jual dalam bentuk beberapa produk berdasarkan nama-nama tertentu yang salah satunya ialah merupakan air zam-zam yang dibacakan dengan Surah Yasin.
Sudah menjadi lumrah masyarakat Islam di Malaysia amat teruja dengan Surah Yasin sehinggakan ianya menjadi bacaan di mana-mana majlis tanpa mengira peristiwa. Jika si kaya ingin membuat kebajikan, mereka akan mecetak surah-surah Yasin dan diedarkan ke masjid dan surau.
Pernah saya menghadiri sesi penerangan salah sebuah Syarikat perniagaan yang cuba membawa wadah Islam di Malaysia. Salah satu usaha mereka ialah membuka ladang ternakan ayam yang betul-betul bercirikan Islam. Di samping memastikan ayam itu dibesarkan dengan makanan dan proses yang terjamin halal, penceramah memberitahu bahawa ayam-ayam itu juga diperdengarkan bacaan yasin malah akan diberi minum air yasin untuk mendapat keberkatan!
Adakah sebegitu sekali tuntutan Islam?
Saya tidak mahu membincangkan tentang kelebihan surah Yasin dengan mengemukakan hujah hadis Rasulullah dan juga pandangan para ulamak tetapi ingin mengemukakan tentang kemurnian sebenar agama Islam itu sendiri.
Allah taala yang maha bijaksana telah menurunkan al-quran kepada nabi Muhammad sebagai panduan kepada semua manusia dalam 114 surah dibahagikan kepada 30 juzuk. Al-Quran adalah mukjizat utama Rasulullah. Al-Quran sebagai mukjizat masih lagi tidak difahami oleh masyarakat Islam secara lebih jelas. Bahasa lebih mudah untuk menggambarkan al-Quran ialah ia adalah buku ajaib yang diturunkan oleh Allah kepada manusia. Semua isinya mengandungi keajaiban bukannya hanya semata-mata surah Yasin.
Kalaulah surah Yasin itu mempunyai kekeramatan dan kehebatan sebagaimana di dakwa kenapa Allah turunkan surah yang lain memadailah surah Yasin sahaja. Apa yang diperhatikan sekarang ialah umat Islam di Malaysia di momokkan dengan kehebatan surah Yasin sehinggakan surah-surah lain dipandang sepi. Ini sebenarnya secara halus menafikan mukjizat al-Quran itu sendiri malah menafikan kebijaksanaan Allah yang menurunkan al-Quraan sebanyak 114 surah.
Pada pandangan masyarakat Islam di Malaysia, keajaiban al-Quran hanya pada bacaannya yang mendatangkan keberkatan. Paling tidak pun di baca untuk mendapat pahala yang di janjikan oleh Allah satu ayat sepuluh pahala. Ayat-ayat al-Quran hanya dilihat berguna untuk rawatan dan mengalau jin dan iblis. Hal ini tidak hanya membelenggu pemikiran masyarakat awam bahkan juga melanda golongan agamawan yang dilihat masih banyak menggunakan pendekatan al-Quran dari aspek keberkatan semata-mata.
Keadaan ini sebenarnya perlu difikirkan secara serius oleh kita semua untuk mengembalikan Islam balik kepada kedudukannya yang asal. Kita perlu mengambalikan fungsi asal al-Quran yang perlu dibaca untuk difahami dan seterusnya dijadikan asas untuk mencorak kehidupan manusia seluruhnya.
Cerita Salasilah
2 months ago
1 comment:
Subhanallah, dahsyat tu!
Terima kasih atas info, pertama kali dengar ayam diberi minum air Yaasin.
Lepas ni kalau tak sekurang-kurangnya hafal yaasin, teruklah manusia.
Post a Comment