Mungkin apabila ditanya oleh seseorang tak kira sama ada Islam atau bukan Islam sudah menjadi kebiasaan kita untuk mengatakan bahawa Islam itu ialah sembahyang, puasa, zakat dan haji. Jawapan yang diberi biasanya mengabaikan rukun yang pertama iaitu ikrar keyakinan dan ketaatan pada Allah dan Rasul. Sememangnya Islam hanya banyak di lihat dari aspek ibadah semata-mata dengan memencilkan aspek aqidah dan akhlak.
Tetapi apabila kita melihat sejarah Islam dan juga menekuni kembali al-Quran kita akan dapati risalah Islam ini diperkenalkan denangan cara yang beza. Rasulullah, ketika memulakan dakwah menyeru sahabat terdekat dan kaum keluarga seterusnya masyarakat Quraish Mekah, baginda memulakan dengan memperkenalkan Allah taala sebagai Allah maha kuasa yang telah mencipta seluruh alam dan juga manusia. Baginda juga menyeru manusia agar patuh dan taat kepada Allah. Baginda juga mengingatkan tentang wujudnya hari akhirat dimana semua manusia akan dibangkitkan dan dihadapkan dihadapan Allah.
Jaafar bin Abi talib menjawab apabila ditanya oleh Raja Habsyah tentang apa yang dibawa oleh nabi Muhammad:
“Rasulullah meminta kami menghambakan diri kepada Allah yang satu dan tidak mendambakan diri kepada yang lain (syirik), berdoa dan bergantung harap (solat) kepadanya, bercakap benar, menunaikan tanggungjawab, berbuat baik dengan jiran, merapatkan hubungan persaudaraan (silaturrahim), menahan diri dari melakukan perkara haram dan menghormati perempuan yang baik”
Di dalam al-quran banyak sekali ayat-ayat Allah yang menerangkan konsep mudah aqidah Islam di antaranya ialah ayat 2 dan 3 surah Yunus :
Sesungguhnya Tuhan Kamu ialah Allah yang menjadikan langit dan bumi enam masa kemudian Ia bersemayam di atas Aras, mentadbirkan segala urusan. Tidak ada sesiapa pun yang dapat memberi syafaat melainkan sesudah diizinkanNya. (Yang bersifat demikian) itulah Allah, Tuhan (yang memelihara dan mentadbirkan keadaan) kamu; maka tunduklah dan taatlah kamu kepada perintahNya; patutlah kamu - setelah mengetahui kenyataan yang tersebut - tidak mahu mengingatiNya?
KepadaNyalah kembalinya kamu semua, sebagai janji Allah yang benar. Sesungguhnya Dialah yang memulakan kejadian sekalian makhluk, kemudian Ia mengembalikannya (hidup semula sesudah matinya), untuk membalas orang-orang yang beriman dan beramal salih dengan adil; dan orang-orang yang kafir pula, disediakan bagi mereka minuman dari air panas yang menggelegak, dan azab yang tidak terperi sakitnya, disebabkan mereka ingkar dan berlaku kufur.
Allah ialah tuhan kamu yang telah mencipta langit dan bumi. Dialah telah mengurus dan mentadbir segalanya. Tidak ada seorang pun yang boleh memberi bantuan atau pertolongan kepada kamu melainkan dengan keizinannya. Itulah sebenarnya tuhan kamu, dambakan diri kamu kepadanya. Ingatlah hal ini jangan kamu lupakan.
Kamu semua akan dihidupkan kembali dan dihadapkan kepada Allah. Janji Allah itu benar. Allah yang mencipta seluruh kehidupan dan dia mampu menghidupkan manusia selepa mati untuk memberi ganjaran kepada mereka yang beriman dan melakukan amalan baik dengan penuh keadilan. Mereka yang engkar kepada perintah Allah akan dimasukkan ke dalam neraka dan diberi minum air yang amat panas menggelegak. Mereka akan disiksa dengan azabnya kerana keengkaran mereka ketika hidup di dunia dahulu.
Inilah manhaj yang digunakan oleh Rasulullah dalam memperkenalkan Islam. Mengenal Allah dan memperhambakan diri padanya dan menerangkan tentang hakikat sebenar kehidupan dunia dan akhirat. Tetapi sayangnya apa yang berlaku selepas hampir dua kurun, kita hanya memperkenalkan agama Islam sebagai agama ibadat yang hanya berkaitan dengan solat, puasa, zakat, haji dan sebagainya tanpa memahami konsep sebenar di sebaliknya.
Tidak hairanlah hari ini jika kita melihat ramai orang Islam yang amat lemah akhlaknya, ramai yang kuat agama dan banyak ibadahnya hanya mementingkan diri sendiri kurang rasa prihatin terhadap masyarakat sekeliling. Apa yang difikirkan adalah kesempurnaan ibadahnya semata-mata langsung sanggup menggadai akhlak dan maruah demi mempertahankan remeh temeh persoalan ibadah. Kerosakan akhlak dan integriti umat Islam ditahap yang lemah walaupun kita lihat melihat islam semakin diamalkan. Masjid yang menjadi tumpuan untuk solat dan mengingati Allah pada masa yang sama menjadi tempat pengkhianatan kepada Allah. Cubalah anda sengaja cuaikan talifon bimbit atau dompet anda di sana, tidak mustahil anda akan kecewa.
Pada masa ini Islam masih gagal dipersembah kepada masyarakat sebagai penyelesai masalah dan membawa rahmat dan keamanan. Islam tidak bersalah. Kitalah sebenarnya yang gagal memahami insprasi islam itu sendiri.
Marilah kita sama mengembalikan roh asal agama Islam yang diturunkan oleh Allah taala. Marilah kita sama-sama telusuri kembali sunnah Rasulullah dalam membimbing manusia mengenali Allah dan memperhambakan diri kepadanya. Insya Allah pastinya Islam itu akan menjadi agama yang membawa rahmat ke seluruh kehidupan di muka bumi ini.
Cerita Salasilah
2 months ago
No comments:
Post a Comment