Ketika solat subuh pagi ini Imam membaca surah al-Sajdah. Sememangnya di sunatkan membaca surah al-Sajdah ketika solat subuh pada hari jumaat. Antara ayat yang di dalam surah ini yang boleh kita renungiialah ayat 12:
ولو ترى إذ المجرمون ناكسوا رءوسهم عندربهم ربنا أبصرنا وسمعنا فارجعنا نعمل صالحا إنا موقنون
dan (sungguh ngeri) sekiranya Engkau melihat ketika orang-orang Yang berdosa itu menundukkan kepalanya di hadapan Tuhan mereka (dalam keadaan malu dan hina, sambil merayu): "Wahai Tuhan kami, Kami telah melihat dan mendengar Dengan sejelas-jelasnya (akan Segala Yang Kami ingkari dahulu); maka kembalikanlah Kami ke dunia supaya Kami mengerjakan amal-amal Yang baik; Sesungguhnya Kami sekarang telah yakin".
Allah Taala telah memberi gambaran kepada kita bagaimana keadaan mereka yang engkar kepada perintah Allah dan rasulnya ketika hidup di dunia dahulu. Ketika dihadapkan kepada Allah dan telah diputuskan bahawa mereka telah bersalah kerana telah mementingkan pandangan mereka sendiri sahaja dan mengenepikan perintah dan larangan Allah yang telah terkandung dalam al-Quran malah engkar dan memandang sinis pengajaran yang telah di bawa oleh nabi Muhammad.
Ketika di dunia dahulu seluruh hidupnya hanya diabadikan untuk kepentingan diri sahaja. Apa yang dirasakan betul pada mereka, akan dilakukan walaupun bercanggah dengan ketetapan dan panduan yang telah ditetapkan oleh Allah. Pelanggaran kepada perintah Allah dilakukan tanpa rasa takut dan bersalah. Malah mereka telah menghina dan memperkecilkan golongan yang sentiasa memberi peringatan tentang perintah Allah dan rasulnya dengan anggapan kolot, mundur dan ketinggalan zaman.
Sekarang, ketika sudah dibangkitkan semula dan tunjukkan kembali kelakuan buruk mereka semasa hidup di dunia dahulu. Mereka telah dibuktikan bersalah dan diperlihatkan kepada mereka azab neraka yang sedang menunggu barulah mereka tunduk dan merayu kepada Allah . Sekarang mereka sudah dapat melihat dengan jelas kebodohan mereka engkar kepada Allah dan rasulnya.
Mereka merayu agar di kembali semula ke dunia untuk diberi peluang kedua menjalankan kehidupan. Sekarang mereka sudah betul-betul yakin kerana dapat melihat dengan mata dan mendengar sendiri keadaan sebenar hari akhirat terdapat ganjaran dan balasan yang dulunya tidak diyakini.
Tetapi malangnya nasib mereka ibarat nasi sudah menjadi bubur. Peluang yang diberikan oleh Allah kepada manusia hanya sekali sahaja. Mustahil ianya diberi peluang kali kedua. Allah maha adil dan maha bijaksana. Allah telah memberi peluang cukup kepada manusia dengan umur yang panjang. Allah telah mengutuskan Rasulnya untuk memberikan peringatan tentang wujudnya hari penilaian di akhirat di mana keseluruhan hidup mereka akan dinilai baik dan buruk seterusnya diberi balasan. Allah telah bekalkan al-Quran sebagai panduan yang lengkap untuk dirujuk. Allah juga anugerahkan akal fikiran dan minda kepada manusia untuk membuat pertimbangan dan menilai secara kritis dan kreatif sesuatu perkara. Tetapi kenapa ini semua tidak digunakan untuk memahami kehidupan di dunia dan tujuannya. Malah jika diberi peringatan tentang akhirat hanya dianggap kolot dan sinis.
Jadi, kita sebagai umat Islam perlu mengambil langkah berjaga-jaga dari sekarang dengan sentiasa bersedia untuk dinilai di akhirat nanti. Sehingga kini, Berapa banyakkah masa dalam kehidupan kita seharian digunakan sepenuhnya agar selaras dengan tuntutan Allah taala. Adakah cukup hanya dengan sekadar solat 5 waktu yang dilakukan hanya 10 minit setiap kali solat. Adakah dalam masa 24 jam sehari, masa yang diperuntukan untuk taat kepada Allah tak sampai satu jam pun. Manakala baki 23 jam lagi digunakan untuk kepentingan diri semata-mata.
Adakah dengan cara itu kita akan selamat di akhirat nanti.. bagaimana kita hendak mengadap Allah nanti dengan amalan yang amat sedikit. Kemungkinan besar kitalah yang digambarkan oleh Allah dalam ayat 12 surah al-sajdah ini. Semua ini mungkin jika kita menilai kembali kehidupan kita. Semoga kita tidak tergolong dalam ini. Sesal dahulu pendapatan sesal kemudian tidak berguna.
No comments:
Post a Comment