Wednesday, May 05, 2010

Pengabaian Undang-undang dibimbing sejak kecil?


Kita amat bersimpati dengan apa yang berlaku kepada remaja yang mati tertembak kerana kesilapan pihak polis dalam menjalankan tugas. Polis dilihat telah melanggar etika kerja dan tidak mematuhi prosedur penggunaan senjata api (SOP) sehingga menyebab kematian secara salah. Masyarakat umum dilihat lebih menyalahkan pihak polis dalam hal ini dan mungkin terlupa beberapa aspek lain yang juga menjadi pencetus kepada peristiwa tersebut.

Sebenarnya kita perlu melihat secara adil untuk mengadili sesuatu kes agar semua pihak mendapat keadilan dan tindakan yang diambil dapat menyelesaikan masalah dan juga membendung punca masalah tersebut.

Melihat kepada masyarakat Malaysia umumnya dan juga masyarakat Melayu Islam secara khusus kita dapat melihat peranan ibu bapa dalam menjalankan tanggungjawab sosial amat menyedihkan. Ibu bapa Masyarakat Melayu Islam kurang mengambil berat tentang bimbingan nilai Islam dan moral kepada anak-anak.

Anak-anak kecil telah tidak dibimbing untuk mematuhi peraturan dan undang-undang. Ibu bapa membenarkan anak-anak menaiki motosikal tanpa lesen, Bahkan kadang-kadang mendapat galakan ibu bapa dengan alasan agar dapat berdikari. Umur 16 tahun yang telah ditetapkan oleh kerajaan untuk memiliki lesen adalah sesuai agar seseroang pemandu itu dapat mengendalikan motosikal dengan baik tanpa membahayakan diri sendiri dan orang lain. Apa yang menyedihkan lagi ialah penggunaan topi keledar juga diabaikan. Sudah menjadi kebiasaan kita melihat remaja-remaja tidak memakai topi keledar ketika menunggang motosikal. Ibu bapa tak ambil tahu apatah lagi memberi nasihat. Kalau dipakai pun hanya kerana bimbang di saman polis bukannya untuk keselamatan nyawa.

Begitu juga dengan pemanduan kereta yang telah dihadkan umur 18 tahun sebagai layak untuk memandu. Berapa ramai ibu bapa yang mematuhi undang-undang ini? Kita melihat amat ramai remaja-remaja kita dibenarkan oleh ibu bapa belajar memandu sebelum mencapai tahap umur yang sebenar. Adakah kita merasa bahawa undang-undang sedia ada menyusahkan kita? Langsung kita mengabaikannya dan pada masa yang sama secara tidak sedar membimbing anak kita mengengkari undang-undang!

Sesuatu yang agak menyedihkan dalam budaya masyarakat Melayu Islam kita ialah kebebasan anak-anak remaja untuk keluar pada waktu malam. Budaya ini seoalah sudah diterima ramai dan tidak menjadi kesalahan lagi. Remaja lelaki dan perempuan bebas keluar waktu malam untuk melakukan aktiviti mereka dengan sesiapa sahaja tanpa dipersoalkan oleh ibu bapa. Malah kadang-kadang segelintir ibu bapa menganggap kebebasan itu adalah tanda kasih mereka kepada anak-anak! Di Barat, ibu bapa yang membenarkan anak-anak di bawah umur 18 tahun keluar selepas jam 10 malam akan di denda dan diberi kaunseling, kenapa tidak di Malaysia?

Islam sebagai agama yang memberi panduan kehidupan telah menggariskan dengan jelas aspek ini. Istilah mumayyiz dan baligh adalah sempadan umur untuk menetapkan tanggungjawab dan hukum. Sempadan umur ini bukan semata-semata melibatkan hukum fekah bahkan juga dalam melibatkan soal sosial dan perundangan. Justeru, penetapan had umur dalam soal kelayakan memandu kenderaan juga adalah berdasarkan hukum hakam yang melibatkan halal dan haram. Masakan tidak? Kenderaan yang dikendali oleh mereka yang tidak layak sememangnya membahayakan nyawa pemandu dan juga nyawa orang lain. Menjaga nyawa adalah merupakan teras asas agama Islam itu sendiri.

Begitu juga soal tanggungjawab ibu bapa mendidik anak-anak mematuhi peraturan dan undang-undang. Islam menganjurkan anak-anak dididik mematuhi peraturan dan undang-undang seawal tujuh tahun dan mesti dikenakan tindakan apabila pelanggaran peraturan jika berumur sepuluh. Walaupun sempadan umur tersebut melibatkan solat, tetapi ia melibatkan sikap dan disiplin individu. Allah telah menegaskan bahawa solat itu boleh mencegah pelanggaran peraturan dan undang-undang. Fahsya’ dan mungkar ialah pelanggaran peraturan dan undang-undang Allah dan khalifah pengurus kehidupan manusia.

Allah telah menetapkan malam adalah untuk berehat dan bersama bersama keluarga. Dalam surah al-naba; Allah menyebut Allah telah menciptakan waktu siang yang cerah itu untuk manusia menjalankan kehidupan dan malam itu dibaratkan pakaian memberi maksud untuk berehat dan diam bersama keluarga. Tetapi manusia merasa lebih bijak dan memilih untuk mengubah fitrah kejadian Allah. Waktu malam juga mahu dijadikan kehidupan. Ramai bebas keluar begitu sahaja malah anak-anak remaja pun di biarkan untuk keluar mencari kehidupan di malam hari bersama-kawan yang belum tentu fi’il perangainya.

Pelanggaran manhaj kehidupan inilah antara penyebab keboborokan yang berlaku dalam masyarakat kita. Gejalam arak, zina, judi, rempit, ragut, pecah rumah, samun, buang anak dan sebagainya adalah merupakan implikasi kepada pelanggaran kepada fitrah agama Islam itu sendiri. Inilah juga mungkin faktor penyebab peristiwa yang berlaku di Shah Alam itu.

Apa yang menyedihkan kita ialah pelanggaran kepada fitrah kehidupan dan kegagalan memahami al-Din sebagai cara hidup ini juga bukan hanya melanda masyarakat awam, bahkan ia juga secara tidak sedar melanda golongan pejuang Islam. Masih ada yang mengatakan undang-undang kerajaan sekarang bukan undang-undang Islam jadi tidak termasuk dalam soal halal haram. Memandu motosikal dan kereta tak ada lesen, tak pakai topi keledar tak berdosa sebab tidak ada dalam nas dan mana-mana hukum fikh. Tidak kah mendedahkan diri kepada kecederaan dan kematian itu satu dosa? Malah apa hukum mengganggu lalu lintas dan membahayakan keselamatan orang lain?

Jadi tidak hairanlah jika kita melihat pelanggaran kepada undang-undang lalu lintas yang dianggap undang-undang sivil ini amat berleluasa. Malah kita melihat mereka yang berkobar-kobar memperjuangkan syariat Islam itu sendiri dengan rasa tidak berdosa menyokong budaya pelanggaran peraturan dan undang-undang ini. Malah ia menggunakan alasan agama!

Apa pandangan anda?

No comments: