Di kampung, kami berjiran dengan sebuah keluarga yang agak besar. Haji Yasin dan Makcik som dan anaknya seramai 10 orang a mendiami rumah yang sederhana besar. Kami mengenali Makcik Som sebagai seorang yang peramah di samping suaminya Haji Yasin seorang yang baik hati. Begitu juga anak-anak mereka yang ramai itu ada sebaya umur dengan saya menjadi teman sepermainan setiap hari.
Di samping membuat kerja kampung berkebun dan menoreh getah Haji Yasin juga adalah penggiat Jamaah Tabligh. Hampir setiap bulan dia akan keluar untuk menjalankan kerja dakwahnya. Apa yang kami tahu setiap bulan dia akan keluar kawasan selama tiga hari dan dalam setahun ada masanya kami tidak melihatnya hampir sebulan. Kata anak-anaknya, ayah mereka keluar berdakwah selama 40 hari.
Satu ketika heboh satu kampung bahawa Haji Yasin ini telah berkahwin lagi. Tetapi itu hanya sekadar cerita yang menjadi buah mulut orang kampung. Tak terdengar pula di telinga saya tentang perang besar antara Haji Yasin dan Makcik Som.
Haji Yasin telah membina sebuah rumah untuk isteri mudanya di hujung kampung. Tempat itu agak terpecil dan tidak ada rumah yang berjiran dengannya.
Suatu petang Makcik som bertandang kerumah kami membawa anak bongsunya. Kami berbual-bual di beranda sambil minum petang. Sedang kami rancak berbual kami melihat Amran anak makcik Som yang hampir sebaya dengan saya menaiki motosikal melintas di hadapan rumah kami.
“Amran! Mari sini sekejap” Makcik Som memanggil anaknya.
“Ya mak! Apa apa?” Amran membelok masuk kehalaman rumah kami dan mematikan enjin motosikalnya.
“Tolong pergi ambil Makcik Esah kamu tu bawa balik kerumah. Ayah kamu keluar lagi, dia kata dia nak keluar 40 hari” Makcik som memberitahu Amran.
“Baik lah Mak! Nanti saya ambil” Jawab Amran sambil menghidupkan enjin motosikal dan terus memecut pergi.
Sambil memandang Amran yang memecut motosikalnya menuju kerumah ibu tirinya saya bertanya kepada Makcik Som:
“Pak Haji pesan suruh pergi ambil ke Makcik Esah tu?”
“Tidak, dia tak pesan apa-apa pun. Cuma Makcik bimbang keselamatan Makcik Esah tu tinggal seorang diri dengan anak kecilnya tu. Bahaya. Nanti jadi apa-apa berlaku, tak ada siapa yang tahu.” Jawab makcik Som sambil mematahkan biskut untuk disuapkan kemulut anak kecilnya.
Jawapan Makcik Som menyebabkan saya semakin berminat untuk saya bertanya lagi.
“Makcik Som tak apa-apa masalah ke Makcik Esah datang tinggal sama-sama. Ya la, kat rumah Makcik Som tu ramai dah anak-anak.”
“Setakat ini ok je. Anak-anak makcik pun tak kesah. Mereka pun suka, tak perlu buat banyak kerja sebab Makcik Esah tu rajin orangnya. Jarang duduk diam. Kami pun kadang-kadang macam dan berjanji. Kalau saya memasak, dia akan cuci pakaian, kemas rumah. Kalau dia memasak saya pula akan cuci pakaian dan kemas rumah. Ringanlah sikit beban, tak lah kena buat semua kerja. Anak-anak pun, kami sama-sama jaga. Anak kecilnya tu, rapat dengan saya” Terang Makcik Som dengan panjang lebar.
“Eh! Baiknya kalau begitu, jarang saya dengar begitu hidup bermadu ni. Langsung tak ada khilaf ke .. masam muka ke?” Saya bertanya penuh minat.
“Khilaf !.. ada, tapi tak lah besar.. tak boleh ambil hati sangat. Kalau dilayan perasaan kita bukannya selesai masalah pun. Nanti kita juga yang sakit hati, kita juga yang susah.. Jangan difikirkan sangat soal khilaf-khilaf tu buat serabut je. Fikir yang baik-baik je, baru senang hati.”
“Baguslah begitu Makcik Som. Tapi Makcik Esah tu muda sangat lagi, Makcik Som tak kenen- kenen ke. Ya lah…”
Belum sempat saya habis bercakap, Makcik Som memotong cakap saya..
“Alah… Makcik ni dah tua.. tak larat dah nak melahirkan anak… biarlah pak haji tu lepaskan hajatnya dengan makcik esah tu.. yang penting dia tak sakitkan hati saya.. Kalau dia tak adil ke.. tak betul ke.. biar tuhan yang balas.. makcik tak kuasa..”
Makcik Som menghabiskan baki goreng pisang di tangannya dan mengirup air tehnya yang sudah sejuk itu sampai habis.
“Makcik Som nak balik lah.. nak kemas-kemas rumah sikit . Nanti sekejap lagi Si Esah nak sampai. Nampaknya Amran dan si Rosli tu kena tidur kat ruang tamulah sebulan ni..”
Makcik Som memimpin tangan bongsunya turun dari rumah saya. Terfikir di benak saya. Amat jarang kita dapati orang yang sebaik hati Makcik Som. Mungkin di sebalik ceritanya yang positif itu tak mustahil banyak juga pengalaman pahit hidup bermadu. Tetapi sikapnya yang optimis itu membuatkan hidupnya bahagia dan ceria walaupun hidup bermadu.
Ya, kehidupan ini tidak semua indah. Sikap kitalah yang menentukan keindahan dan kebahagiaan kehidupan. Begitu jugalah dalam kehidupan berumahtangga. Sikap sentiasa melihat aspek positif dan menyisihkan aspek negatif akan menyuburkan jiwa yang optimis. Insya Allah hidup kita akan bahagia.
No comments:
Post a Comment