Tahun 2010 ini 4 orang anak saya telah menjejak kaki ke alam persekolahan. Dua orang di sekolah rendah dan dua orang di pra sekolah PASTI. Alam persekolhan adalah amat menyeronokan bagi anak-anak sehingga siang malam mereka bertanya bila akan ke sekolah disamping tidur malam mendakap beg dan kasut baru.
Mempunyai anak yang ramai dan rapat amat mencabar bagi ibu bapa. Bagi perbelanjaan persolahan tahun baru ini kami sendiri telah membelanjakan lebih RM2000 meliputi pakaian, peralatan dan yuran. Itu tidak termasuk duit poket dan tambang bas. Ia amat mencabar poket ibu bapa yang tinggal di bandar yang mana segala perbelanjaan adalah tinggi.
Tetapi anak-anak adalah amanah Allah yang telah dipertanggungjawabkan kepada kita. Ianya adalah anugerah Allah kepada kita sebagai perhiasan yang menyenangkan mata dan jiwa. Pada masa yang sama ianya berbentuk tanggungjawab yang perlu dilaksanakan dan diuruskan sebagaimana garis panduan yang telah ditetapkan oleh tuannya iaitu Allah Taala.
Harta dan rezeki yang dibelanjakan untuk kehidupan anak-anak telah ditentukan oleh Allah. Walaupun secara langsung ianya dilihat keluar dari poket ibu bapa yang sekali imbas dilihat boleh mengurangkan harta. Tetapi harta yang dibelanjakan ini akan diganti oleh Allah Taala dalam bentuk lain seperti ketenangan jiwa, kasih sayang dan sebagainya. Apa yang lebih penting ialah perbelanjaan tadi dikira mendapat pahala kerana menjalankan tugas menjaga amanah Allah.
Mempunyai anak yang ramai memang bahagia walaupun terpaksa banyak bersabar dengan perlbagai karenah mereka. Apa yang lebih mencabar lagi ialah melaksanakan panduan Rasulullah :
“Setiap anak dilahirkan dalam keadaan suci bersih. Ibubapanya lah yang akan mencorak pemikiran dan cara hidupnya sebagai Yahudi, Kristian atau majusi”
Ketiga-tiga corak aqidah ini yang telah diingatkan oleh Rasulullah wajib dihindarkan dari anak-anak kita. Pastinya tanggungjawab kita ialah mencorak pemikiran anak kita dengan aqidah Islam dan berupaya menjalankan kehidupan dibumi ini sebagaimana yang dikehandaki Oleh Allah dan Rasulnya.
Pastikan pemikiran anak kita diwarnai dengan corak Islam seterusnya dapat menjalankan tugas khalifah mengurus kehidupan di dunia ini sebagaimana yang digariskan oleh Allah Taala. Cukuplah kita membiarkan bumi ini dikuasai oleh mereka yang engkar kepada Allah dan Rasulnya…
No comments:
Post a Comment