Tahun ini adalah tahun yang amat Istimewa bagi kita semua kerana kedua tahun baru Hijrah dan Masihi dimulakan dengan hari Jumaat iaitu hari yang mulia bagi agama Islam. Apa yang menarik perhatian saya ialah hari jumaat bagi awal tahun ini adalah merupakan cuti umum bagi semua jabatan kerajaan dan swasta.
Pada hari jumaat cuti tahun baru saya dan anak-anak datang 5 minit sebelum masuk waktu zohor ke masjid. Kami terkejut kerana semua tempat dalam masjid telah penuh dengan para jemaah. Biasanya kalau datang hampir waktu zohor pun masih boleh masuk saf pertama tetapi hari ini bukan lagi terlepas saf petama, kami langsung tak dapat masuk ke dalam masjid kerana telah dipenuhi oleh para jemaah yang melimpah ruah. Kami terpaksa solat di bawah masjid ditepi longkang. Kami terkejut kenapa manusia begitu ramai dengan orang tua, remaja, kanak-kanak berbondong-bondong memasuki masjid yang sudah tidak ada ruang lagi untuk di duduki.
Pada hari jumaat yang lain tidak sebegini. Azan berkumandang pun masjid masih kosong dan masih berpulang untuk mendapat tempat di saf pertama atau boleh memilih dimana tempat yang kita mahu. Golongan remaja tidak seramai ini apatah lagi kanak-kanak amat sedikit bilangan mereka.
Ini adalah rahmat bila umat Islam bercuti pada hari Jumaat. masyarakat Islam mempunyai masa yang lapang untuk melaksanakan ibadah dengan tenang. Nampaknya dengan cuti hari jumaat umat Islam bersiap untuk solat jumaat dengan lebih baik dan datang awal kemasjid. Malah apabila selesai solat jumaat para jemaah tidak berlaku kekalutan dipintu masjid sebagaimana hari jumaat yang lain pada hari bekerja.
Islam telah menetapkan bahawa hari Jumaat adalah penghulu hari dalam seminggu yang mana dianggap sebagai hari raya bagi seminggu. Pada hari Jumaat terdapat kelebihan-kelebihan tertentu berbanding dengan hari yang lain. Tapi sayangnya Negara kita ini tidak menganggap hari jumaat sebagai hari Istimewa yang berhak untuk mendapat cuti umum bahkan pemimpin kita lebih memandang hari ahad itu lebih istimewa untuk berehat dan bergembira bersama keluarga.
Apabila hari jumaat djadikan hari bekerja ibadat solat Jumaat yang wajib itu dilakukan secara tergesa-gesa dan banyak pihak yang menghadapai kesulitan. Berapa ramai umat Islam yang tidak dapat menunaikan solat jumaat gara-gara masalah kesempitan masa dan kekangan dari pihak majikan.
Kalau hari jumaat ini dijadikan cuti umum masalah yang dihadapi oleh umat Islam ini boleh diselesaikan. Ibadah jumaat boleh dijalankan dengan tenang dan penuh penghayatan. Imam boleh membaca khutbah dengan tenang dan memilih topik yang sesuai dan tidak lagi menghambat masa. Para jemaah pun dapat menghayati khutbah dengan baik, tidak keletihan dan tertidur. Pekerja kerajaan dan swasta tak perlu lagi berkejar kemasjid dan berkejar pulang kepejabat. Pelajar-pelajar tak perlu ponteng jumaat gara-gara kelas petang yang bermula lebih awal. Semua urusan agama dan hubungan dengan tuhan akan menjadi lebih mudah.
Tetapi realitinya ialah kehidupan kita semua masih lagi mementingkan perkara dunia dari kepentingan akhirat dan menjunjung perintah Allah. Bahkan saya masih teringat hujah seorang ustaz yang mengatakan tidak haram bekerja hari jumaat dan kita tidak perlu jadikan ianya sebagai cuti umum. Katanya kerja hari jumaat lebih baik kerana keberkatan dan pahala yang lebih. Kalau hari jumaat dijadikan cuti umum terlepaslah peluang kelebihan pahala tadi…
Apa pandangan anda? Anda setuju dengan ustaz itu…?
Cerita Salasilah
2 months ago
No comments:
Post a Comment