Monday, January 25, 2010

Mereka lebih baik dari kambing!



“Saya rasa masalah pelajar asrama ni boleh diatasi jika kita buatkan usrah untuk mereka kita didik mereka secara usrah. Rasanya dengan cara kuliah agama ni tak makan saman budak-budak ni semua

Itu cadangan saya ketika kami berbual-bual dikantin semasa rehat tetang masalah pelajar asrama. Kenakalan pelajar asrama semakin menjadi-jadi tak kira pelajar aspura dan aspuri. Inisiatif kuliah maghrib dan kem ibadah seolah tidak boleh merawat masalah mereka.

Budak-budak ni ni memang tak boleh nak ubah dah sikap mereka. Tak berubah dah.. jaga kambing lagi baik”. Rawan sejawatan kami menyampuk sambil membelek-belek mee goreng mencari udang sesat.

Mesti ada jalan nak ubah mereka. Tak kan mereka lebih teruk dari kambing”.

Ustaz cubalah kami nak tengok”.

Wah! Itulah cabaran yang diberikan oleh seorang guru kepada saya untuk mengubah sikap pelajar asrama SMK Elopura. Memang memeritkan! Kuliah maghrib hanya di hadiri oleh tak sampai 20 orang pelajar asrama walaupun ianya sudah diwajibkan. 15 minit selepas waktu maghrib hanya tak sampai 5 orang yang sudah bersedia untuk solat. Ramai yag masih berbual-bual dan membuat hal masing-masing di asrama. Malah ada yang sanggup melompat ikut tingkap bila dijemput untuk solat berjemaah.

Apa yang menjadi inspirasi saya ialah hadis Rasulullah SAW.: “Setiap anak dilahirkan dalak keadaan fitrah. Ibubapanya lah yang akan mencorak kehidupan anak tadi samada sebagai yahudi, nasrani atau majusi

Walaupun saya bukan ibu bapa mereka tetapi pelajar ini semua masih umur mereka masih muda dan fitrah mereka masih bersih dan segar. Di antara fitrah kejadian manusia ialah mereka telah di ciptak oleh Allah boleh dibentuk untuk menjadi apa saja.

Rasulullah juga berpesan:

الناس معادن

Manusia itu ibarat logam

Ya. Allah telah mencipta manusia dengan segala pesediaan semulajadi yang sedia ada dalam diri mereka. Hanya menunggu untuk dibentuk. Malah analogi Rasulullah bahasa manusia ini ibarat logam yang boleh dibentuk dengan apa saja bentuk yang di kehendaki. Lihatlah besi jika dibiarkan akan berkarat tak berguna, malah boleh mendatangkan penyakit juga terluka kerananya. Tetapi besi itu jika dimanfaatkan, ditempa mengikut kehendak kita semuanya boleh dihasilkan. Ianya boleh dijadikan pelbagai benda yang boleh dimanfaatkan. Boleh dibuat pisau, senapang, kereta malah kapal terbang yang membelah awan walaupun ianya berat.

Itu besi yang keras, inikan pula manusia, makhluk yang paling sempurna ciptaannya dari kalangan makhluk Allah. Mereka boleh diasuh dan dididik menjadi manusia yang berguna. Itulah tugas utama manusia sebagai khalifah iaitu mengurus manusia agar menjadi makhluk yang berguna dan taat kepada Allah.

Dengan semangat ini saya mula mengumpulkan beberapa orang pelajar yang dilihat berminat dengan aktiviti surau untuk membina satu kumpulan yang saya namakan sebagai RAKAN IMAN. Kami sama-sama berjanji untuk berjumpa hanya satu jam seminggu lepas isyak setiap hari selasa untuk sama-sama berbincang bagaimana cara untuk mendidik diri mendekati Allah taala yang telah banyak berjasa kepada kehidupan kami.

Walaupun bilangan ahli tidak ramai dengan hanya 5 orang bermodulkan tadarus al Quran dan perbincangan berkaitan intipati islam dalam kehidupan, ianya amat bermakna. Sedikit demi sedikit perancangan dibuat untuk membimbing rakan seasrama agar sama-sama dapat membimbing diri mereka mendekati Allah agar kehidupan ini mendapat rahmat dan keberkatan.

Ahli rakan iman bertambah ramai. Pelajar-pelajar semakin ramai menjinakkan diri mereka dengan aktiviti surau. Akhlak-akhlak pelajar semakin bertambah baik berbanding dahulu.

Selepas 5 tahun berlalu seolah sudah menjadi budaya bahawa sesiapa yang tak sempat solat berjemaah maghrib dan isyak di surau akan merasa bersalah dan malu dengan sendirinya. Itulah hasil rahmat kesabaran dan kesungguhan ahli rakan iman dalam menjalan kerja mereka.

Terbukti manusia boleh berubah dan terbukti manusia lebih baik dari kambing.


No comments: