Friday, August 21, 2009

Tahniah Editor Sinar Harian!

Membaca akhbar Sinar Harian semalam khamis menyebabkan hati saya berbunga gembira. Sememangnya apabila saya membelek mana-mana akhabar ruangan editor sudah menjadi kewajipan untuk dibaca. Ruangan ini bagi saya adalah merupakan gambaran penting kepada arus akhbar itu sendiri.


Ruang editor pada hari khamis bertajuk Ramai Tak Kisah Solat Jumaat ditulis oleh Maslina Ismail, Editor Edisi Terengganu. Beliau berbicara tentang ibadat solat jumaat dalam realiti Malaysia. Apa yang ditulis itu amat tepat tentang pengabaian solat Jumaat oleh ramai umat Islam. Memang tidak dinafikan bahawa solat jumaat masih menjadi syiar Islam di Malaysia dengan masjid dilimpahi dengan kaum muslimin yang menunaikan tanggungjawabnya tetapi masih ramai mereka yang tidak mengendahkan kewajipan solat jumaat ini.

Sebagai muslimah, editor ini berpeluang untuk melihat lebih dekat pengabaian solat ini dikalangan umat Islam dan ini sudah menjadi barah dikalangan masyarakat kita lebih-lebih lagi hari jumaat dijadikan hari bekeja rasmi yang menjadikan umat Islam lebih sibuk dengan urusan lain.


Apa yang disebut oleh Editor ini tentang kurangnya ibu bapa membimbing anak-anak untuk solat jumaat amat menyentuh hati saya. Pengalaman saya semenjak bekerja di negeri yang hari jumaat adalah hari bekerja menyebabkan saya rasa tersepit dalam menunaikan tanggungjawab sebagai seorang Islam.


Hari jumaat yang sepatutnya menjadi hari besar dalam Islam telah menjadi hari yang tiada nilai agama di sisi umat Islam. Solat jumaat tidak dapat dijalankan dengan tenang dan selesa. Boleh dikatakan semua muslimin datang untuk bersolat dengan tergesa-gesa dan apabila selesai solat tergesa-gesa keluar untuk kembali bekerja. Malah khutbah jumaat terpaksa diringkaskan untuk disesuaikan dengan tuntutan kerja.


Saya yang terlibat dalam bidang pendidikan juga melihat pelanggaran kepada syariah Islam secara terbuka dengan dengan jadual waktu persekolahan yang amat merimaskan. Waktu persekolahan tamat setengah jam sebelum solat bagi sesi pagi sementara bagi sesi petang bermula seawal jam 2! Sedangkan kadangkala solat jumaat selesai jam 2.15 petang! Dimana ruang untuk kita umat Islam mengerjakan kewajipan solat. Pihak sekolah tidak mengambil tindakan kepada pelajar yang terlewat kerana mengerjakan solat tetapi secara tersirat solat jumaat seoalah-olah tidak di alu-alukan.


Pernah berlaku kepada anak saya sendiri yang terlepas hampir dua waktu pelajaran gara-gara solat jumaat agak panjang dari kebiasaan. Bila kita melihat taburan pelajar lelaki yang solat jumaat adalah amat sedikit. Pelajar sekelas dengan anak saya hanya dua orang pelajar sahaja yang sanggup menebalkan muka untuk lewat ke sekolah setiap hari jumaat manakala baki hampir 20 orang pelajar lebih suka memilih jalan senang dengan tidak solat jumaat. Bagaimana dengan kelas lain dan bagaimana dengan situasi-situasi di sekolah lain yang berjauhan dengan masjid?


Saya bersyukur kerana rumah saya berdekatan dengan masjid dan begitu juga sekolah. Kerjaya saya juga memberi peluang kepada saya untuk membawa anak saya kemasjid untuk solat jumaat bersama dan kemudian menghantarnya ke sekolah. Bagaiamana umat Islam yang lain, yang bekerja jauh dari rumah yang tidak memungkinkannya memastikan anaknya untuk solat jumaat. Begitu juga pelajar yang menaiki bas sekolah perlu menaiki bas seawal sejam sebelum sekolah bermula. Bagaimana mereka ini solat jumaat.


Apabila kita melihat kepada pekerja awam dan swasta, mereka juga tidak mempunyai peluang yang terbuka untuk menunaikan solat jumaat. Malah sering kita dengar ada majikan yang tidak membenarkan pekerja kemasjid untuk solat jumaat kerana boleh mengurangkan pengeluaran. Kalau ada pelepasan pun mereka terpaksa berkejar kemasjid yang jaraknya agak jauh dari tempat kerja. Bagaiman mereka hendak pergi ke masjid dan pulang kembali ke tempat kerja mengikut masa yang telah ditetapkan? Itu belum dikira waktu untuk makan tengah hari dan sebagainya.


Inilah yang dihadapi oleh umat Islam di Malaysia apabila pemimpin kita tidak menjadikan Islam sebagai asas menentukan dasar negara. Sudah jelas dan terang di dalam al Quran dan as Sunnah menjelaskan tentang betapa besarnya hari jumaat dalam Islam. Umat Islam lelaki diwajibkan berkumpul untuk mendengar pengisian dan peringatan demi meningkatkan keimanan kepada Allah agar dapat memimpin keluarga dengan baik. Tetapi manusia yang merasakan mereka lebih bijak dengan mengatakan ekonomi lebih utama dan hari jumaat tidak diharamkan bekerja!


Dalam satu kuliah maghrib, saya pernah membincangkan tentang amalan hari jumaat dan menyentuh sedikit tentang ruang lebih selesa untuk mengamalkan ajaran Islam jika di jadikan sebagai cuti umum. Seorang ahli jemaah masjid mengemukakan pandangan yang dipetik dari seorang ulamak negara kita yang menghuraikan ayat ke 9 surah al Jumuah yang mengatakan boleh bekerja hari jumaat bahkan ianya digalakkan kerana dalam Islam tiada istilah cuti dalam seminggu!


Masya Allah! Inilah kecelaruan yang timbul jika ada golongan yang cuba menguraikan ayat al Quran ataupun hukum Islam untuk mengiayakan tindakan manusia terutama pemerintah. Siapakah yang lebih utama, Allah atau atau manusia? Kita sebagai muslim perlu memilih samaada berusaha merealisasikan pandangan manusia atau pandangan Allah. Kedua-duany adalah mungkin tetapi akibatnya berbeza.


Berbalik kepada tugas kita sebagai seorang Islam yang wajib melaksanakan konsep amal makruf dan nahi mungkar saya memuji Maslina Ismail yang menggunakan kerjayanya untuk menyuntik inspirasi Islam kepada masyarakat. Ramai yang menulis berinspirasikan Islam tetapi di dalam akhabar dan majalah Islam yang pembacanya adalah terhad. Apa yang biasa kita lihat editor-editor akhabar perdana lebih memilih untuk mengenengahkan inspirasi pemimpin berbading dengan inspirasi Allah dan Rasul!


Tahniah Maslina.. . Islam amat memerlukan editor seperti anda Teruskan perjuangan. Sesungguhnya Allah, Rasulnya dan orang-orang beriman akan menjadi saksi. Pastinya di akhirat nanti Allah akan menilai kerja ini sebagai amat besar di sisinya..

1 comment:

bayu pagi said...

Ramai juga yang datang ke masjid dengan pakaian baju melayu yang lengkap tetapi tidak solat, sebaliknya tunggu sebaik sahaja imam memberi salam, terus mencapai motor dan pulang... agaknya datang untuk mengabui mata ibubapa...