Friday, August 07, 2009

al Baqarah 1-5 : Siapakah yang dapat bimbingan Allah

1] الٓمٓ
Alif, Laam, Miim. Hanya Allah yang mengetahui rahsia susuran huruf akronim ini.

[2] ذَٰلِكَ ٱلْكِتَٰبُ لَا رَيْبَ ۛ فِيهِ ۛ هُدًۭى لِّلْمُتَّقِينَ
Kitab Al-Quran ini, tidak ada sebarang syak padanya (tentang datangnya dari Allah dan tentang sempurnanya); ia pula menjadi petunjuk bagi orang-orang yang (hendak) bertaqwa;

Kitab al Quran adalah merupakan panduan utama yang mesti dirujuk kerana ianya telah diturunkan oleh Allah tuhan yang telah mencipta langit, bumi dan seluruh isinya. Al Quran adalah panduan yang tepat dan tidak boleh diragui lagi kerana ianya adalah amat sempurna datang dari Allah yang maha tahu dan pakar dalam semua hal. Al Quran ini akan menjadi petunjuk dan rujukan kepada mereka yang bertaqwa iaitu orang yang sentiasa berhati-hati melakukan sebarang aktiviti harian agarnya ianya tidak melanggar perintah Allah dan sentiasa mematuhi perintahnya.

[3] ٱلَّذِينَ يُؤْمِنُونَ بِٱلْغَيْبِ وَيُقِيمُونَ ٱلصَّلَوٰةَ وَمِمَّا رَزَقْنَٰهُمْ يُنفِقُونَ
Iaitu orang-orang yang beriman kepada perkara-perkara yang ghaib, dan mendirikan (mengerjakan) sembahyang serta membelanjakan (mendermakan) sebahagian dari rezeki yang Kami berikan kepada mereka.

Mereka yang bertaqwa tadi juga adalah merupakan orang yang beriman yang meyakini perkara-perkara ghaib yang telah di sebut dalam al Quran dan dibawa oleh nabi Muhammad SAW. Perkara-perkara ghaib ini tetap diyakini sepenuh hati walaupun ianya tidak dapat dilihat dengan mata kasar dan tidak dapat dihuraikan dengan lojik akal mausia. Perkara-perkara ghaib ini ialah apa yang melibatkan rukun iman seperti keimanan kepada kewujudan Allah dan kuasanya yang maha hebat dan juga wujudnya hari alam akhirat sebagai alam pembalasan dan apa sahaja yang terdapat dalam alam tersebut. Sifat orang beriman ini lagi ialah sentiasa mengerjakan solat dengan cara yang paling berkualiti, ikhlas kepada Allah, meliputi rukun, syarat dan adab-adabnya seterusnya solat itu dihayati sebagaimana yang digariskan oleh Allah dan rasulnya. Mereka juga sentiasa membelanjakan hartanya sebagaimana yang telah diperintahkan oleh Allah dan menggunakannya untuk kepentingan Islam dan masyarakat. Mereka ini memandang bahawa semua harta yang dipunyai itu adalah harta Allah dan tidak berhak itu disimpan begitu sahaja bahkan ia mesti digunakan untuk kepentingan Islam dan masyarakat. Sifat mengumpul dan menyimpan harta dan merasa tenang dengan banyaknya harta adalah merupakan bukan sifat orang yang beriman.


[4] وَٱلَّذِينَ يُؤْمِنُونَ بِمَآ أُنزِلَ إِلَيْكَ وَمَآ أُنزِلَ مِن قَبْلِكَ وَبِٱلْءَاخِرَةِ هُمْ يُوقِنُونَ
Dan juga orang-orang yang beriman kepada Kitab "Al-Quran" yang diturunkan kepadamu (Wahai Muhammad), dan Kitab-kitab yang diturunkan dahulu daripadamu, serta mereka yakin akan (adanya) hari akhirat (dengan sepenuhnya).

Mereka yang beriman ini juga amat yakin dengan apa sahaja yang telah diturunkan oleh Allah taala meliputi panduan-panduan dan syariat-syariat termasuk apa yang telah diturunkan kepada nabi-nabi terdahulu. Pada masa yang sama mereka ini amat yakin dengan kewujudan hari akhirat dimana semua manusia yang pernah hidup dimuka bumi akan dikumpulkan, diaudit segala aktiviti mereka di dunia dan dinilai seterusnya diberi ganjaran yang sesuai samaada syurga atau neraka. Kehidupan di Akhirat adalah merupakan kehidupan yang kekal abadi.


[5] أُو۟لَٰٓئِكَ عَلَىٰ هُدًۭى مِّن رَّبِّهِمْ ۖ وَأُو۟لَٰٓئِكَ هُمُ ٱلْمُفْلِحُونَ
Mereka itulah yang tetap mendapat petunjuk dari Tuhan mereka, dan merekalah orang-orang yang berjaya.

Mereka yang beriman dan mempunyai bersikap sebagaimana yang digariskan oleh tadi akan sentiasa mendapat petunjuk dan bimbingan Allah dalam menjalani kehidupannya. Sikap-sikap yang telah dihuraikan tadi adalah merupakan prasyarat untuk mendapat kejayaan yang diiktiraf oleh Allah. Apa yang perlu kita fahami ialah untuk mendapat bimbingan dan hidayah Allah kita mestilah berusaha untuk menerapkan sifat atau sikap yang telah disebutkan oleh Allah dalam ayat-ayat diatas.

Apabila kita melihat ada dikalangan kita yang sentiasa berhati-hati dalam kehidupan mereka dalam membuat sebarang keputusan demi untuk meneliti keselarasan dengan kehendak Allah, Sentiasa menjaga solat dan apa saya yang berkaitan dengannya, Amat pemurah membelanjakan harta mereka demi untuk Islam dan masyarakat dan sentiasa menjadikan kehidupan akhirat sebagai visi kehidupan mereka. Mereka inilah yang telah berada dalam hidayah Allah dan berada dilandasan yang betul. Kita mestilah berusaha untuk merapati dan bergaul dengan mereka bukannya menjauhkan diri dari mereka dengan anggapa mereka ini kolot dan tidak ada wawasan hidup.

No comments: