Friday, August 14, 2009

Misi Berakhir!

Pemergian Allahyarham Asri Ibrahim vokalis nasyid Rabbani amat mengejutkan kita semua. Kematian menjemputnya ketika memegang mikrofon dalam sesi rakaman Program Syahadah di Angkasapuri di akibatkan serangan jantung. Bulan lepas kita juga dikejutkan dengan pemergian insan seni Yasmin Ahmad juga secara mengejut kerana diserang strok ketika membentang kertas kerja di TV3.


Pemergian mereka yang masyhur dan dikenali ramai ini amat dirasai oleh kita semua yang terlibat secara langsung atau tidak langsung dengan mereka. Mereka berdua memeperjuangkan dua aliran seni yang berbeza yang memberi impak kepada pemikiran dan kehidupan Islam di Malaysia.


Apa yang perlu kita renungkan ialah bahawa pemergian mereka berdua adalah merupakan peringatan dan iktibar yang amat bernilai kepada kita semua. Walaupun seseorangi insan itu amat di sayangi dan disanjungi, tetapi tempoh kehidupan mereka masih ditangan Allah. Begitu juga faktor umur juga bukan jaminan untuk kita tidak dipanggil oleh Allah Taala.


Disini Allah ingin memperingatkan kepada kita bahawa walaupun apa pun yang kita lakukan di dunia ini untuk kelangsungan hidup, kita mesti ingat bahawa nyawa dan kehidupan kita ini telah ditetapkan oleh Allah taala. Apa yang perlu kita lakukan ialah sentiasa bersedia setiap masa dan ketika menunggu saat panggilan Allah.


Kehidupan di dunia ini adalah ibarat satu misi kerja yang penting yang telah dipertanggungjawabkan oleh Allah kepada kita. Perincian misi telah diberi oleh Allah taala dengan lengkap iaitu al Quraan dan Sunnah. Kemudahan yang telah disediakan disepanjang misi ini amat banyak tidak terhitung. Cuma tempoh misi setiap orang adalah berbeza dan menjadi rahsia Allah. Allah berhak menarik misi kehidupan seseorang itu dan memanggilnya kembali kepangkuannya bila-bila masa yang dia kehendaki tanpa tolak ansur lagi.


Apabila semua manusia dikumpulkan di akhirat nanti semua manusia akan dinilai di beri gred mengikut sejauh mana misi kehidupan di dunia dulu. Mereka yang berjaya akan diberi anugrah dan penghargaan syurga. Manakala mereka yang gagal melaksanakan misi yang telah ditetapkan malah engkar kepada misi yang telah ditetapkan akan di hukum. Hukuman Allah di akhirat nanti adalah amat berat. Tiada lagi peluang menyesali pelanggaran kepada misi Allah.


Marilah kita sama-sama merenung dan muhasabah diri kita sejauh manakah kita telah jalankan misi kehidupan ini sebagaimana yang dikehendaki oleh Allah. Apakah tindakan kita apabila Allah telah memanggil kita dari misi sedangkan ini kita masih belum lakukan apa-apa. Atau lebih parah lagi kita masih belum dapat memahami lagi apakah sebenarnya misi kita di dunia ini atau apa yang kita sepatutnya lakukan .Kita banyak menghabiskan umur kita untuk misi peribadi yang bersifat kepentingan dunia daripada melaksanakan misi sebenar yang dikehendaki oleh Allah.


Sesungguhnya pemberhentian misi kehidupan dua orang selebriti ini dari dua latar belakang yang berbeza dan dipanggil serta merta mengadap Allah Taala adalah merupakan satu peringatan yang besar kepada kita agar kita tidak alpa dengan misi sebenar hidup kita.


Ya Allah hentikan misi (matikan) kami dalam keadaan yang baik dan jangan hentikan misi (matikan) kami kembali dalam keadaan yang tidak baik.


Alfaatihah dan doa kepada Allahyarham Asri Ibrahim dan Yasmin Ahmad Allahyarhamha. Kamu berdua sudah pergi dan kami juga akan menyusul kemudian.


Di sinilah tempat mereka yang ditamatkan misi kehidupan memulangkan kembali jasad yang dipinjam, kita disunatkanmenziarahi tempat ini guna untuk mengingatkan diri bahawa misi hidup kita juga akan ditamatkan bila-bila masa!

2 comments:

Zamri said...

salam..

komentar yg baik trhdp isu ini.. tahniah

abamuaz said...

Amat bimbang misi kehidupan ini diberhentikan secara tiba2.. banyak lagi belum beres...