Monday, August 10, 2009

Manfaatkan Masa Tentukan Kejayaan


Puji dan Syukur kepada Allah Tuhan yang telah mencipta dan menguruskan seluruh alam. Selawat dan salam kepada junjungan besar nabi Muhammad SAW yang telah berjuang mengeluarkan manusia daripada kesesatan kepada sinar hidayah.

Sesungguhnya hidup ini seluruhnya adalah ujian. Kita sentiasa di uji dan diperhatikan setiap masa. Segala gerak geri kita diperhatikan dan dicatit untuk dinilai di akhirat nanti. Masa yang diberikan amat suntuk dan kita tidak mempunyai masa untuk berehat apatah lagi untuk bergembira dan bersuka ria. Surah Al Asr selalu menjadi petunjuk kepada kita tentang nisbah kegunaan masa. Allah menggambarkan kepada kita bahawa semua manusia tidak berjaya memanfaatkan masa secara optima.


Mereka yang paling beruntung yang disebut oleh Allah ialah orang yang beriman kepada Allah dan mengbdikan dirinya sepenuh masa melakukan amal solah atau amalan yang selaras dengan kehendak Allah dengan harapan untuk mendapat keredhaanNya.


Hanya mereka yang beriman dan sentiasa mengingati Allah dan mengharapkan keredhaanNya sahajalah yang akan berjaya mendapat rahmat Allah di akhirat nanti. Kejayaan manusia dinilai di akhirat bukannya di dunia kerana sehebat manapun kejayaan di dunia jika tidak mendapat keredhaan Allah kejayaan itu tidak bernilai.


Ramai dikalangan kita umat Islam masih leka dengan hakikat kehidupan yang sebenar. Kita masih mengejar kejayaan dunia dengan meninggalkan atau mengabaikan kejayaan akhirat. Sedangkan sebenarnya boleh menggabungkan kedua-duanya dengan mencapai kejayaan dunia dan juga kejayaan akhirat.


Jadi marilah kita manfaatkan saki baki masa yang ada ini untuk berusaha mengerah tenaga dan fikiran untuk meraih kejayaan di dunia dan di akhirat. Di dunia kita hidup selesa di akhirat bahagia kekal abadi Inysa Allah..


No comments: