Wednesday, August 19, 2009

Memadailah dengan Maskahwin


Akil Hayy dan Waheeda telah selamat diijab kabulkan menjadi pasangan suami isteri yang sah. Perkahwinan mereka ini dibayangi dengan isu yang sensasi pergolakan rumahtangga selebriti nasyid dakwah ini dan ada dikalangan masyarakat memandang sinis kepada Akil Hayy yang selama ini membawa imej islam dan juga Waheeda yang telah berjaya mengubah sedikit sebanyak arus perkembangan hiburan kearah yang lebih islamik.


Apa yang menarik perhatian kita ialah perkahwinan mereka ini telah meneroka satu jalan yang baik yang perlu kita fikirkan. Perkahwinan mereka hanya memadai dengan maskahwin sebanyak RM80 dan senakhah al Quran dianggap sebagai hantaran. Walaupun mereka adalah artis yang terkenal dan mempunyai kemampuan kewangan, mereka telah mencuba untuk menunjuk contoh perkahwinan yang sebenarnya yang digariskan oleh Islam.


Syariah Islam berasaskan kemudahan. Setiap syariah atau peraturan yang telah digariskan oleh Islam ianya bersifat mudah untuk dilaksanakan termasuk dalam hal perkahwinan. Cuma kita sendiri mejadikan Islam itu susah untuk diamalkan. Apabila kita melihat kepada proses perkahwinan yang digariskan dalam Islam kos perkahwinan adalah amat sedikit malah mahar yang wajib itu digalakkan agar sederhana dan di Rasulullah menyebut perkahwinan yang paling berkat ialah perkahwinan yang maharnya sedikit.


أقلهن مهراً أكثرهن بركة

Paling sedikit mahar mereka adalahmerupakan paling barakah


Amalan perkahwinan di Malaysia agak simplistik jika kita nilai dari segi kepatuhan kepada Sunnah Rasulullah. Mahar perkahwinan telah ditetapkan majlis agama negeri dengan nilai yang rendah serendah RM20 dengan dengan hebahan demi mengikut Sunnah Rasulullah. Tetapi pada masa yang sama budaya dalam masyarakat kita menyanggah kesucian Islam dengan mencipta istilah wang hantaran yang dilihat wajib disediakan oleh pihak lelaki. Wang hantaran ini lah yang melambung tinggi diletakkan mengikut taraf pengantin perempuan malah ianya menjadi pengukur status keluarga pengantin itu sendiri. Bahkan pernah kita dikejutkan berita perkahwinan yang mana wang hantarannya yang mencecah ratusan ribu ringgit tetapi perkahwinan itu tidak berpanjangan kerana sudah kehilangan barakah yang disebut oleh Rasulullah tadi.


Sesungguhnya apa yang diterokai oleh Akil Hayy dan Waheeda itu patut dijadikan contoh ikutan dalam masyarakat kita kerana ianya selaras dengan ajaran Islam. Kita sudah dibebani dengan masalah yang melanda masyarakat Islam kerana perkahwinan itu disusahkan dan dirumitkan oleh kita sendiri. Ramai yang terpaksa menangguhkan perkahwinan kerana tidak mempunyai belanja yang cukup mengikut kehendak budaya kita. Bahkan kalau diperhatikan secara halus ramai dikalangan kita umat islam lebih senang melihat maksiat muda-mudi yang berkahwin ini daripada memudahkan proses perkahwinan. Mungkin kita malu untuk mengadakan majlis perkahwinan secara kecil kecilan dan proses akad nikah tanpa wang hantaran dengan memadai maskahwin yang telah ditetapkan.


Mungkin ada mengatakan bahawa memudahkan proses perkahwinan tidak semestinya dapat menghindarkan gejala sosial malah boleh menyebabkan masalah rumahtangga semakin meningkat lantaran kemampuan kewangan rendah. Dalam hal ini kita perlu kembali kepada aqidah kita dimana apabila membuat sesuatu perkara ikhlas kepada Allah dan mengikut apa yang digariskan oleh Allah dan Rasulnya pastinya Allah akan memberi jalan keluar. Masalah besar kita umat Islam ialah krisis keyakinan kepada perintah Allah dan rasulnya.


وَمَن يَتَّقِ اللَّهَ يَجۡعَل لَّهُ مَخۡرَجًا

Sesiapa yang bertaqwa kepada Allah pastinya Allah akan berikan kepadanya jalan keluar (menyelesaikan masalah) Surah at Talaq ayat 2.


Ayuh marilah kita kembali menghayati Islam yang sebenar..

No comments: