Friday, August 21, 2009

Tahniah Editor Sinar Harian!

Membaca akhbar Sinar Harian semalam khamis menyebabkan hati saya berbunga gembira. Sememangnya apabila saya membelek mana-mana akhabar ruangan editor sudah menjadi kewajipan untuk dibaca. Ruangan ini bagi saya adalah merupakan gambaran penting kepada arus akhbar itu sendiri.


Ruang editor pada hari khamis bertajuk Ramai Tak Kisah Solat Jumaat ditulis oleh Maslina Ismail, Editor Edisi Terengganu. Beliau berbicara tentang ibadat solat jumaat dalam realiti Malaysia. Apa yang ditulis itu amat tepat tentang pengabaian solat Jumaat oleh ramai umat Islam. Memang tidak dinafikan bahawa solat jumaat masih menjadi syiar Islam di Malaysia dengan masjid dilimpahi dengan kaum muslimin yang menunaikan tanggungjawabnya tetapi masih ramai mereka yang tidak mengendahkan kewajipan solat jumaat ini.

Sebagai muslimah, editor ini berpeluang untuk melihat lebih dekat pengabaian solat ini dikalangan umat Islam dan ini sudah menjadi barah dikalangan masyarakat kita lebih-lebih lagi hari jumaat dijadikan hari bekeja rasmi yang menjadikan umat Islam lebih sibuk dengan urusan lain.


Apa yang disebut oleh Editor ini tentang kurangnya ibu bapa membimbing anak-anak untuk solat jumaat amat menyentuh hati saya. Pengalaman saya semenjak bekerja di negeri yang hari jumaat adalah hari bekerja menyebabkan saya rasa tersepit dalam menunaikan tanggungjawab sebagai seorang Islam.


Hari jumaat yang sepatutnya menjadi hari besar dalam Islam telah menjadi hari yang tiada nilai agama di sisi umat Islam. Solat jumaat tidak dapat dijalankan dengan tenang dan selesa. Boleh dikatakan semua muslimin datang untuk bersolat dengan tergesa-gesa dan apabila selesai solat tergesa-gesa keluar untuk kembali bekerja. Malah khutbah jumaat terpaksa diringkaskan untuk disesuaikan dengan tuntutan kerja.


Saya yang terlibat dalam bidang pendidikan juga melihat pelanggaran kepada syariah Islam secara terbuka dengan dengan jadual waktu persekolahan yang amat merimaskan. Waktu persekolahan tamat setengah jam sebelum solat bagi sesi pagi sementara bagi sesi petang bermula seawal jam 2! Sedangkan kadangkala solat jumaat selesai jam 2.15 petang! Dimana ruang untuk kita umat Islam mengerjakan kewajipan solat. Pihak sekolah tidak mengambil tindakan kepada pelajar yang terlewat kerana mengerjakan solat tetapi secara tersirat solat jumaat seoalah-olah tidak di alu-alukan.


Pernah berlaku kepada anak saya sendiri yang terlepas hampir dua waktu pelajaran gara-gara solat jumaat agak panjang dari kebiasaan. Bila kita melihat taburan pelajar lelaki yang solat jumaat adalah amat sedikit. Pelajar sekelas dengan anak saya hanya dua orang pelajar sahaja yang sanggup menebalkan muka untuk lewat ke sekolah setiap hari jumaat manakala baki hampir 20 orang pelajar lebih suka memilih jalan senang dengan tidak solat jumaat. Bagaimana dengan kelas lain dan bagaimana dengan situasi-situasi di sekolah lain yang berjauhan dengan masjid?


Saya bersyukur kerana rumah saya berdekatan dengan masjid dan begitu juga sekolah. Kerjaya saya juga memberi peluang kepada saya untuk membawa anak saya kemasjid untuk solat jumaat bersama dan kemudian menghantarnya ke sekolah. Bagaiamana umat Islam yang lain, yang bekerja jauh dari rumah yang tidak memungkinkannya memastikan anaknya untuk solat jumaat. Begitu juga pelajar yang menaiki bas sekolah perlu menaiki bas seawal sejam sebelum sekolah bermula. Bagaimana mereka ini solat jumaat.


Apabila kita melihat kepada pekerja awam dan swasta, mereka juga tidak mempunyai peluang yang terbuka untuk menunaikan solat jumaat. Malah sering kita dengar ada majikan yang tidak membenarkan pekerja kemasjid untuk solat jumaat kerana boleh mengurangkan pengeluaran. Kalau ada pelepasan pun mereka terpaksa berkejar kemasjid yang jaraknya agak jauh dari tempat kerja. Bagaiman mereka hendak pergi ke masjid dan pulang kembali ke tempat kerja mengikut masa yang telah ditetapkan? Itu belum dikira waktu untuk makan tengah hari dan sebagainya.


Inilah yang dihadapi oleh umat Islam di Malaysia apabila pemimpin kita tidak menjadikan Islam sebagai asas menentukan dasar negara. Sudah jelas dan terang di dalam al Quran dan as Sunnah menjelaskan tentang betapa besarnya hari jumaat dalam Islam. Umat Islam lelaki diwajibkan berkumpul untuk mendengar pengisian dan peringatan demi meningkatkan keimanan kepada Allah agar dapat memimpin keluarga dengan baik. Tetapi manusia yang merasakan mereka lebih bijak dengan mengatakan ekonomi lebih utama dan hari jumaat tidak diharamkan bekerja!


Dalam satu kuliah maghrib, saya pernah membincangkan tentang amalan hari jumaat dan menyentuh sedikit tentang ruang lebih selesa untuk mengamalkan ajaran Islam jika di jadikan sebagai cuti umum. Seorang ahli jemaah masjid mengemukakan pandangan yang dipetik dari seorang ulamak negara kita yang menghuraikan ayat ke 9 surah al Jumuah yang mengatakan boleh bekerja hari jumaat bahkan ianya digalakkan kerana dalam Islam tiada istilah cuti dalam seminggu!


Masya Allah! Inilah kecelaruan yang timbul jika ada golongan yang cuba menguraikan ayat al Quran ataupun hukum Islam untuk mengiayakan tindakan manusia terutama pemerintah. Siapakah yang lebih utama, Allah atau atau manusia? Kita sebagai muslim perlu memilih samaada berusaha merealisasikan pandangan manusia atau pandangan Allah. Kedua-duany adalah mungkin tetapi akibatnya berbeza.


Berbalik kepada tugas kita sebagai seorang Islam yang wajib melaksanakan konsep amal makruf dan nahi mungkar saya memuji Maslina Ismail yang menggunakan kerjayanya untuk menyuntik inspirasi Islam kepada masyarakat. Ramai yang menulis berinspirasikan Islam tetapi di dalam akhabar dan majalah Islam yang pembacanya adalah terhad. Apa yang biasa kita lihat editor-editor akhabar perdana lebih memilih untuk mengenengahkan inspirasi pemimpin berbading dengan inspirasi Allah dan Rasul!


Tahniah Maslina.. . Islam amat memerlukan editor seperti anda Teruskan perjuangan. Sesungguhnya Allah, Rasulnya dan orang-orang beriman akan menjadi saksi. Pastinya di akhirat nanti Allah akan menilai kerja ini sebagai amat besar di sisinya..

Thursday, August 20, 2009

Pilih Neraka atau Syurga


Antara komponen aqidah Islam ialah mempercayai dengan yakin tentang wujudnya hari Akhirat atau hari pembalasan. Semua manusia yang pernah merasai kehidupan di atas muka bumi ini akan dibangkitkan semula untuk di semak segala aktiviti mereka ketika di dunia dahulu adakah ianya selaras dengan panduan Allah Taala atau tidak.

Mereka yang telah berjaya mematuhi panduan Allah akan diberi ganjaran syurga iaitu kehidupan yang penuh nikmat yang tidak terbatas dan tidak pernah digambarkan oleh akal manusia. Manakala mereka yang gagal mematuhi panduan Allah dalam melakukan sebarang aktiviti di dunia dengan hanya mengikut rasa hati dan perasaan mereka semata-mata akan dihukum oleh Allah dengan diberikan kehidupan yang amat azab dan siksa yang tidak pernah digambarkan oleh akal manusia. Tempat azab siksa ini disebut sebagai neraka.

Jadi apa yang perlu kita ingat ialah, Allah telah memeberi peringatan yang cukup banyak di dalam al Quraan dan juga diterangkan oleh Nabi kita Muhammad SAW tentang Syurga dan Neraka. Sesiapa yang menyelaraskan setiap aktiviti kehidupan harian samaada pemikiran, percakapan dan tindakan selaras dengan panduan Allah pastinya akan mendapat balasan syurga. Sesiapa yang hidupnya tidak mengendahkan panduan Allah dalam menyelaraskan aktiviti harian samaada pemikiran, percakapan dan tindakan pastinya tidak dibiarkan oleh Allah begitu sahaja di akhirat nanti. Allah yang maha adil pastinya akan menguhukum mereka ini dengan azab neraka.

Berbalik kepada urusan seharian hidup kita ini yang menjadi penilaian utama Allah untuk diberi ganjaran Syurga atau neraka. Kita mestilah memastikan bahawa setiap aktiviti kita tidak kiralah pemikiran, percakapan dan tindakan hendaklah selaras dengan perintah Allah dan Rasulnya. Perintah ini dihuraikan dengan lengkap di dalam al Quran dan Sunnah.

Apa yang kita lihat hari ini ialah kurangnya perihatin kita umat Islam tentang konsep pembalasan syurga dan neraka. Malah ada juga yang berpandangan sinis jika terdapat para ulamak yang memberi penekanan terhadap pembalasan di akhirat tentang syurga dan neraka lebih-lebih lagi jika ia berkaitan dengan politik dan pentadbiran.

Apabila disebut setiap aktiviti dan tindakan yang dilakukan akan dinilai baik dan buruk mengikut penilaian Allah terutama dalam menentukan dasar pemerintahan dan pemilihan pemimpin akan wujudlah mereka yang melenting. Hujah mereka ialah balasan syurga dan neraka ialah hak Allah!. Itu tidak dinafikan memang hak Allah tetapi setiap perbuatan kita dalam membuat sesuatu pilihan, unsur kepatuhan kepada Allah di ambil kira.

Setiap pilihan yang dilakukan oleh manusia ia hanya ada dua kemungkinan samaada menjurus ke neraka atau syurga. Ini dapat dinilai dengan penilaian aqidah iaitu ketaqwaan dan keikhlasan. Setiap pilihan yang dibuat berdasarkan panduan Allah insya Allah pemilihan itu akan menjurus kepada syurga dan jika sebaliknya ia menjurus ke neraka.

Inilah yang perlu kita risaukan. Adakah penilaian kita selaras dengan panduan Allah. Adakah setiap hari kita menjalankan kehidupan ini selaras dengan pemikiran, pecakapan dan tindakan yang di kehendaki oleh Allah? Bagaimana kita memastikan bahawa kita jalan syurga atau neraka? Dalam hal ini, apa yang perlu kita lakukan ialah dengan merujuk kepada para ulamak yang ikhlas dalam memperjuangkan agama Allah. Ramai ulamak yang lebih berminat dalam perbincangan hukum fekah dan kurang menyentuh tentang aqidah. Mereka ini kadangkala tersilap langkah dalam memberi pandangan dan lebih menyedihkan ianya diperlihatkan bercanggah pandangan dengan ulamak yang ingin menjadikan dakwah islam lebih menyeluruh.


Jadi persoalan yang perlu sentiasa difikiran kita ialah Syurga dan neraka adalah merupakan pilihan manusia itu sendiri. Setiap aktiviti kita samaada pemikiran, percakapan mahupun tindakan semuanya akan dinilai oleh Allah untuk melayakkan kita mendapat balasa syurga atau neraka. Tidak ada di sana aktiviti yang tidak menjadi penilaian Allah. Allah maha adil dan tidak sekali-kali melayan mereka yang mengabaikan panduannya sama dengan mereka yang sentiasa berfikir dan berjuang untuk mendapat keredhaannya.

Selamat memilih SYURGA atau NERAKA

Wednesday, August 19, 2009

Memadailah dengan Maskahwin


Akil Hayy dan Waheeda telah selamat diijab kabulkan menjadi pasangan suami isteri yang sah. Perkahwinan mereka ini dibayangi dengan isu yang sensasi pergolakan rumahtangga selebriti nasyid dakwah ini dan ada dikalangan masyarakat memandang sinis kepada Akil Hayy yang selama ini membawa imej islam dan juga Waheeda yang telah berjaya mengubah sedikit sebanyak arus perkembangan hiburan kearah yang lebih islamik.


Apa yang menarik perhatian kita ialah perkahwinan mereka ini telah meneroka satu jalan yang baik yang perlu kita fikirkan. Perkahwinan mereka hanya memadai dengan maskahwin sebanyak RM80 dan senakhah al Quran dianggap sebagai hantaran. Walaupun mereka adalah artis yang terkenal dan mempunyai kemampuan kewangan, mereka telah mencuba untuk menunjuk contoh perkahwinan yang sebenarnya yang digariskan oleh Islam.


Syariah Islam berasaskan kemudahan. Setiap syariah atau peraturan yang telah digariskan oleh Islam ianya bersifat mudah untuk dilaksanakan termasuk dalam hal perkahwinan. Cuma kita sendiri mejadikan Islam itu susah untuk diamalkan. Apabila kita melihat kepada proses perkahwinan yang digariskan dalam Islam kos perkahwinan adalah amat sedikit malah mahar yang wajib itu digalakkan agar sederhana dan di Rasulullah menyebut perkahwinan yang paling berkat ialah perkahwinan yang maharnya sedikit.


أقلهن مهراً أكثرهن بركة

Paling sedikit mahar mereka adalahmerupakan paling barakah


Amalan perkahwinan di Malaysia agak simplistik jika kita nilai dari segi kepatuhan kepada Sunnah Rasulullah. Mahar perkahwinan telah ditetapkan majlis agama negeri dengan nilai yang rendah serendah RM20 dengan dengan hebahan demi mengikut Sunnah Rasulullah. Tetapi pada masa yang sama budaya dalam masyarakat kita menyanggah kesucian Islam dengan mencipta istilah wang hantaran yang dilihat wajib disediakan oleh pihak lelaki. Wang hantaran ini lah yang melambung tinggi diletakkan mengikut taraf pengantin perempuan malah ianya menjadi pengukur status keluarga pengantin itu sendiri. Bahkan pernah kita dikejutkan berita perkahwinan yang mana wang hantarannya yang mencecah ratusan ribu ringgit tetapi perkahwinan itu tidak berpanjangan kerana sudah kehilangan barakah yang disebut oleh Rasulullah tadi.


Sesungguhnya apa yang diterokai oleh Akil Hayy dan Waheeda itu patut dijadikan contoh ikutan dalam masyarakat kita kerana ianya selaras dengan ajaran Islam. Kita sudah dibebani dengan masalah yang melanda masyarakat Islam kerana perkahwinan itu disusahkan dan dirumitkan oleh kita sendiri. Ramai yang terpaksa menangguhkan perkahwinan kerana tidak mempunyai belanja yang cukup mengikut kehendak budaya kita. Bahkan kalau diperhatikan secara halus ramai dikalangan kita umat islam lebih senang melihat maksiat muda-mudi yang berkahwin ini daripada memudahkan proses perkahwinan. Mungkin kita malu untuk mengadakan majlis perkahwinan secara kecil kecilan dan proses akad nikah tanpa wang hantaran dengan memadai maskahwin yang telah ditetapkan.


Mungkin ada mengatakan bahawa memudahkan proses perkahwinan tidak semestinya dapat menghindarkan gejala sosial malah boleh menyebabkan masalah rumahtangga semakin meningkat lantaran kemampuan kewangan rendah. Dalam hal ini kita perlu kembali kepada aqidah kita dimana apabila membuat sesuatu perkara ikhlas kepada Allah dan mengikut apa yang digariskan oleh Allah dan Rasulnya pastinya Allah akan memberi jalan keluar. Masalah besar kita umat Islam ialah krisis keyakinan kepada perintah Allah dan rasulnya.


وَمَن يَتَّقِ اللَّهَ يَجۡعَل لَّهُ مَخۡرَجًا

Sesiapa yang bertaqwa kepada Allah pastinya Allah akan berikan kepadanya jalan keluar (menyelesaikan masalah) Surah at Talaq ayat 2.


Ayuh marilah kita kembali menghayati Islam yang sebenar..

Friday, August 14, 2009

Misi Berakhir!

Pemergian Allahyarham Asri Ibrahim vokalis nasyid Rabbani amat mengejutkan kita semua. Kematian menjemputnya ketika memegang mikrofon dalam sesi rakaman Program Syahadah di Angkasapuri di akibatkan serangan jantung. Bulan lepas kita juga dikejutkan dengan pemergian insan seni Yasmin Ahmad juga secara mengejut kerana diserang strok ketika membentang kertas kerja di TV3.


Pemergian mereka yang masyhur dan dikenali ramai ini amat dirasai oleh kita semua yang terlibat secara langsung atau tidak langsung dengan mereka. Mereka berdua memeperjuangkan dua aliran seni yang berbeza yang memberi impak kepada pemikiran dan kehidupan Islam di Malaysia.


Apa yang perlu kita renungkan ialah bahawa pemergian mereka berdua adalah merupakan peringatan dan iktibar yang amat bernilai kepada kita semua. Walaupun seseorangi insan itu amat di sayangi dan disanjungi, tetapi tempoh kehidupan mereka masih ditangan Allah. Begitu juga faktor umur juga bukan jaminan untuk kita tidak dipanggil oleh Allah Taala.


Disini Allah ingin memperingatkan kepada kita bahawa walaupun apa pun yang kita lakukan di dunia ini untuk kelangsungan hidup, kita mesti ingat bahawa nyawa dan kehidupan kita ini telah ditetapkan oleh Allah taala. Apa yang perlu kita lakukan ialah sentiasa bersedia setiap masa dan ketika menunggu saat panggilan Allah.


Kehidupan di dunia ini adalah ibarat satu misi kerja yang penting yang telah dipertanggungjawabkan oleh Allah kepada kita. Perincian misi telah diberi oleh Allah taala dengan lengkap iaitu al Quraan dan Sunnah. Kemudahan yang telah disediakan disepanjang misi ini amat banyak tidak terhitung. Cuma tempoh misi setiap orang adalah berbeza dan menjadi rahsia Allah. Allah berhak menarik misi kehidupan seseorang itu dan memanggilnya kembali kepangkuannya bila-bila masa yang dia kehendaki tanpa tolak ansur lagi.


Apabila semua manusia dikumpulkan di akhirat nanti semua manusia akan dinilai di beri gred mengikut sejauh mana misi kehidupan di dunia dulu. Mereka yang berjaya akan diberi anugrah dan penghargaan syurga. Manakala mereka yang gagal melaksanakan misi yang telah ditetapkan malah engkar kepada misi yang telah ditetapkan akan di hukum. Hukuman Allah di akhirat nanti adalah amat berat. Tiada lagi peluang menyesali pelanggaran kepada misi Allah.


Marilah kita sama-sama merenung dan muhasabah diri kita sejauh manakah kita telah jalankan misi kehidupan ini sebagaimana yang dikehendaki oleh Allah. Apakah tindakan kita apabila Allah telah memanggil kita dari misi sedangkan ini kita masih belum lakukan apa-apa. Atau lebih parah lagi kita masih belum dapat memahami lagi apakah sebenarnya misi kita di dunia ini atau apa yang kita sepatutnya lakukan .Kita banyak menghabiskan umur kita untuk misi peribadi yang bersifat kepentingan dunia daripada melaksanakan misi sebenar yang dikehendaki oleh Allah.


Sesungguhnya pemberhentian misi kehidupan dua orang selebriti ini dari dua latar belakang yang berbeza dan dipanggil serta merta mengadap Allah Taala adalah merupakan satu peringatan yang besar kepada kita agar kita tidak alpa dengan misi sebenar hidup kita.


Ya Allah hentikan misi (matikan) kami dalam keadaan yang baik dan jangan hentikan misi (matikan) kami kembali dalam keadaan yang tidak baik.


Alfaatihah dan doa kepada Allahyarham Asri Ibrahim dan Yasmin Ahmad Allahyarhamha. Kamu berdua sudah pergi dan kami juga akan menyusul kemudian.


Di sinilah tempat mereka yang ditamatkan misi kehidupan memulangkan kembali jasad yang dipinjam, kita disunatkanmenziarahi tempat ini guna untuk mengingatkan diri bahawa misi hidup kita juga akan ditamatkan bila-bila masa!

Tuesday, August 11, 2009

Buta al Quran


Nancy! Sekarang giliran kamu, sila baca surah al Fiil!”


Nancy hanya tunduk tanpa bersuara.


“Tak mengapa, boleh lihat al Quraan kalau tak ingat”


Nancy masih membatukan diri. Rakan-rakan sekelas semunya berpandangan sesama sendiri. Memang sudah menjadi kaedah pengajaran saya bagi pelajar KPLI perlu mambaca ayat-ayat lazim dan menghafalnya untuk menjadi asas bacaan solat.


“Kamu uzur ke Nancy?”

“Tidak”


Juga telah menjadi amalan saya setiap pelajar mesti membaca al Quraan walaupun perempuan yang keuzuran dengan mengambil kira pandangan-pandangan ulamak. Masa yang diperuntukkan untuk mendidik bakal guru agar menjadi muslim yang sempurna hanya 2 jam seminggu. Pandangan ini terpaksa diambil apabila dilaraskan dengan kepentingan semasa, lagi pun ianya hukum fikah yang masih terbuka untuk perbincangan.


Seorang pelajar perempuan menghulurkan al Quran yang sudah tertera Surah al Fiil. Si gadis manis Nancy bakal guru ini masih diam.

Nancy! Apa masalah kamu?”


Dia mengangkat muka sambil mengesat air matanya. Rupanya dia menangis.


“Saya tak pandai baca al Quraan. Langsung tak boleh baca. Saya malu ustaz”

Nancy sudah mula sebak dan mula teresak-esak.


Saya hanya mampu menarik nafas panjang. Rakan-rakan sekelas semua tunduk. Saya hanya mampu berkata:

Allah telah menganugerahkan akal fikiran dan kebijaksanaan kepada kita, Allah akan menyoal kita di akhirat nanti kenapa kita tidak mampu untuk membaca ayat-ayatnya sedangkan kita berjaya menggunakan akal kita untuk membaca pelbagai bahan bacaan lain dan berjaya mencapai kejayaan di dunia ini”


Ya, Nancy si gadis manis bakal guru ini berumur 28 tahun mendapat ijazah Sarjana Muda dari sebuah Universiti di Malaysia tetapi malangnya tidak mampu untuk membaca al Quraan malah boleh digelar buta al Quraan kerana masih tidak mengenal beberapa huruf al Quraan. Dia yang lahir dari keluarga Islam, hidup dengan masyarakat Islam tetapi islam masih jauh dari jiwanya.


Dia amat menyesal dan ingin berubah. Nasihat saya kepadanya :

Kamu tidak boleh mengubah diri kamu dengan hanya menangis, bermula hari ini buat perubahan pada diri kamu. Anggaplah diri kamu sangat hina selagi kamu tidak mampu untuk membaca al Quraan. Apa jawapan yang kamu akan berikan kepada Allah di Akhirat nanti jika kamu mengadapnya dengan keadaan masih tidak mampu untuk menutur kalimah suci sedangkan berjaya menggunakan akal anugerah Allah untuk mendapat Ijazah!”


Saya telah memberi tanggungjawab kepada seorang rakan sekelasnya untuk mengajarnya membaca al Quraan dengan menggunakan kaedah Iqra yang telah dibekalkan. Saya tetapkannya agar dapat mencari ruang dalam kesibukan tugas harian untuk mempelajari al Quraan ini sebanyak 3 kali sehari.


Di dalam kita sibuk membasmi buta huruf, nun masih ada disana umat Islam yang masih buta al Quran. Masih ramai yang tak mengenal huruf walaupun sudah dewasa dan mendapat Ijazah. Setiap tahun saya akan berhadapan dengan 2 atau 3 kes sebegini. Ini bakal guru sudah tinggi pencapaian akademik dan pemikirannnya. Bagaimana dengan masyarakat Islam diluar sana?


Kita sebagai hamba Allah perlulah mencari jalan keluar untuk menyelesaikan masalah ini. Walaupun sudah banyak perancangan sudah dilaksanakan terutama projek j-QAF yang memberi tumpuan kepada pelajar-pelajar sekolah, bagaimana dengan dengan golongan remaja dan dewasa yang sudah melepasi alam pendidikan. Apa yang kita boleh lakukan?



*Nancy adalah nama samaran bagi nama sebenar yang amat indah

Monday, August 10, 2009

Manfaatkan Masa Tentukan Kejayaan


Puji dan Syukur kepada Allah Tuhan yang telah mencipta dan menguruskan seluruh alam. Selawat dan salam kepada junjungan besar nabi Muhammad SAW yang telah berjuang mengeluarkan manusia daripada kesesatan kepada sinar hidayah.

Sesungguhnya hidup ini seluruhnya adalah ujian. Kita sentiasa di uji dan diperhatikan setiap masa. Segala gerak geri kita diperhatikan dan dicatit untuk dinilai di akhirat nanti. Masa yang diberikan amat suntuk dan kita tidak mempunyai masa untuk berehat apatah lagi untuk bergembira dan bersuka ria. Surah Al Asr selalu menjadi petunjuk kepada kita tentang nisbah kegunaan masa. Allah menggambarkan kepada kita bahawa semua manusia tidak berjaya memanfaatkan masa secara optima.


Mereka yang paling beruntung yang disebut oleh Allah ialah orang yang beriman kepada Allah dan mengbdikan dirinya sepenuh masa melakukan amal solah atau amalan yang selaras dengan kehendak Allah dengan harapan untuk mendapat keredhaanNya.


Hanya mereka yang beriman dan sentiasa mengingati Allah dan mengharapkan keredhaanNya sahajalah yang akan berjaya mendapat rahmat Allah di akhirat nanti. Kejayaan manusia dinilai di akhirat bukannya di dunia kerana sehebat manapun kejayaan di dunia jika tidak mendapat keredhaan Allah kejayaan itu tidak bernilai.


Ramai dikalangan kita umat Islam masih leka dengan hakikat kehidupan yang sebenar. Kita masih mengejar kejayaan dunia dengan meninggalkan atau mengabaikan kejayaan akhirat. Sedangkan sebenarnya boleh menggabungkan kedua-duanya dengan mencapai kejayaan dunia dan juga kejayaan akhirat.


Jadi marilah kita manfaatkan saki baki masa yang ada ini untuk berusaha mengerah tenaga dan fikiran untuk meraih kejayaan di dunia dan di akhirat. Di dunia kita hidup selesa di akhirat bahagia kekal abadi Inysa Allah..


Sunday, August 09, 2009

Dr Yusof al Qardawi vs Sayyid Qutb

Membaca artikel tentang Dr Qardawi mengulas idea ‘al-hakimiah dan al-jahiliyyah’ yang dibawa oleh Asy Syahid Sayyid Qutb rahimahullah boleh membukakan minda kita tentang perjuangan gerakan Islam. Walaupun isu al hakimiyyah dan jahiliyyah ini telah lama di sentuh oleh Dr Yusof Qardawi tetapi dilihat masih ramai dikalangan pejuang Islam kita masih lagi kabur dalam isu ini.

‘Al-hakimiyyah’ atau Kuasa mutlak Allah dalam memutuskan pemerintahan adalah benar dan ditegaskan oleh ramai ulamak. Tetapi konsep ‘al jahiliyyah’ ini dilihat oleh Dr Yusuf al Qardawi telah menyebabkan Sayyid Qutb tersasar dari aqidah ahlu sunnah wal jamaah. Sayyid Qutb memandang bahawa mereka yang tidak mengangkat Allah di tempat sebenar sebagai tuhan selaras dengan konsep ‘La ilaaha illallah’ dikira termasuk dalam istilah jahiliyyah yang mengengkari ketuhanan Allah. Walaupun Sayyid Qutb tidak menyebut secara jelas istilah kafir atau mengkafir mereka yang tidak menggunakan syariah Allah dalam pemerintahan tetapi penerangannya dalam buku ‘Petunjuk sepanjang Jalan’ dan di juzu’-juzu’ akhir Zafsir zilalalil quraan menunjukkan bahawa seolah-olah beliau menjurus kearah itu.

Walaupun ramai dikalangan ulamak dan juga pendokong gerakan Islam memahami konsep jahiliyyah yang dibawa oleh Sayyid Qutb hanya sekadar kiasan atau perumpamaan tetapi secara tidak langsung ia juga telah memberi kesan kepada pejuang-pejuang Islam selepasnya yang memahami dari aspek aqidah. Natijahnya dilihat terdapat gerakan Islam yang agak radikal dalam pertembungan mereka dengan pemerintah yang tidak melaksanakan syariat Allah.

Dr Yusof Qardawi menyebut bahawa apa yang dibawa oleh Sayyid Qutb ini terkeluar dari Manhaj Ikwan Muslimin yang di gariskan oleh Imam al Banna. Ini berlaku mungkin kerana Sayyid Qutb sendiri tidak melalui proses tarbiah Ikhwan dan dilihat hanya mengkagumi Imam al Banna sahaja. Pandangan-pandangan ini ditulis ketika beliau dipenjara dan ianya bersifat pandangan peribadi kerana ianya tidak dibincangkan ulamak-ulamak mahupun pengegarak ikhwan sendiri.

Kita sebagai pejuang Islam moden perlulah berusaha untuk menambahkan ilmu pengetahuan untuk memecah kebuntuan pemikiran ummat Islam agar dapat menyelesaikan masalah ummat dengan mengemukakan idea-idea baru yang segar dan ampuh dalam melaksanakan visi Islam ‘Amar Makruf Nahi Mungkar’.

Saturday, August 08, 2009

Falsafah!



Semester ini saya mengambil matapelajarangBahasa Arab dan Ilmu-ilmu Islam dibimbing oleh Prof Salahuddin Muhammad Shamsuddin An Nadawi. Beliau banyak bercerita tentang falsafah terutama tentang kejadian manusia dan kehebatan ilmu pengetahuan.


Dia mengemukakan teori roh dan apa yang berkaitan dengannya. Apakah jauhar kehidupan manusia dan juga permasalahan qadak dan qadar yang menjadi pertikaian umat Islam di zaman Umawi yang menyebabkan lahir puak-puak seperti muktazila, murjiah, qadariah dan sebagainya.



Prof solah mencadangkan saya agar membaca sebuah kitab ‘al-Kitab wal Quran’ karangan Muhammad Shahrur untuk membuka pemikiran tentang falsafah dengan sedikit olahan manhaj baru yang lebih moden. Penulis ini memang menjadi kontrovesi di negara arab dan buku-bukunya ditolak oleh ramai para umalak dan juga cendikiawan moden. Antara pemikiran yang dibawa oleh buku ini ialah Nabi Adam bukanlah manusia pertama dimuka bumi ini, malah Nabi Adam sediri tidak digolongkan dikalangan Nabi atau Rasul!



Beliau cuba membuat tafsiran semula al Quran dengan menggunakan manhaj turath bahasa Arab dengan membawa pandangan Ibnu Faris dan Ibn Jinni dan cuba dihadamkan dengan ilmu sains moden. Dalam beberapa topik seperti proses kejadian alam sejagat dan falsafahnya, ideanya agak menarik dan boleh lihat sebagai pemikiran baru.



Tetapi apabila ia menggunakan manhaj yang sama dalam menguraikan proses hukum syariat samada yang berkaitan dengan ibadat, pemerintahan, kekeluargaan dan sebagainya ia dilihat amat janggal dan bercanggah dengan arus pemikiran umat Islam kini. Walaupun ia mengatakan kupasan ini adalah sebagai rintis kepada fekah moden dan selari dengan tuntutan semasa ianya amat diragui. Beliau dalam menghuraikan tatacara pemahaman ilmu feqah banyak meletakkan kesalahan kepada ulamak-ulamak terdahulu dalam mengeluarkan hukum-hakam seolah-olah ulamak-ulamak besar dahulu tidak cermat dan tidak bijak dalam memahami nas-nas al Quran dan hadis-hadis.



Sehinggakan dikatakan bahawa dalam satu seminar bahawa Muhammad Shahrur ini membuat perbandingan antara ketokohan antara Gorge Bush dan Saidina Usman bin Affan! Dan ia memperincikan kehebatan moral dan kepimpinan George Bush mengatasi Saidina Usman bin Affan. Adakah orang sebegini jernih pemikirannya atau sudah dikeruhi oleh kotoran-kotoran luar yang perlu kita nilai semula pemikirannya..



Jadi nasihat Prof Solah an Nadawi.. “banyaklah membaca buku-buku falsafah pemikiran, tetapi dengan hati-hati…” Manusia di angkat darjat dan kehebatannya dengan ilmu dan dengan ilmu jugalah manusia boleh kufur dengan Allah…

Friday, August 07, 2009

al Baqarah 1-5 : Siapakah yang dapat bimbingan Allah

1] الٓمٓ
Alif, Laam, Miim. Hanya Allah yang mengetahui rahsia susuran huruf akronim ini.

[2] ذَٰلِكَ ٱلْكِتَٰبُ لَا رَيْبَ ۛ فِيهِ ۛ هُدًۭى لِّلْمُتَّقِينَ
Kitab Al-Quran ini, tidak ada sebarang syak padanya (tentang datangnya dari Allah dan tentang sempurnanya); ia pula menjadi petunjuk bagi orang-orang yang (hendak) bertaqwa;

Kitab al Quran adalah merupakan panduan utama yang mesti dirujuk kerana ianya telah diturunkan oleh Allah tuhan yang telah mencipta langit, bumi dan seluruh isinya. Al Quran adalah panduan yang tepat dan tidak boleh diragui lagi kerana ianya adalah amat sempurna datang dari Allah yang maha tahu dan pakar dalam semua hal. Al Quran ini akan menjadi petunjuk dan rujukan kepada mereka yang bertaqwa iaitu orang yang sentiasa berhati-hati melakukan sebarang aktiviti harian agarnya ianya tidak melanggar perintah Allah dan sentiasa mematuhi perintahnya.

[3] ٱلَّذِينَ يُؤْمِنُونَ بِٱلْغَيْبِ وَيُقِيمُونَ ٱلصَّلَوٰةَ وَمِمَّا رَزَقْنَٰهُمْ يُنفِقُونَ
Iaitu orang-orang yang beriman kepada perkara-perkara yang ghaib, dan mendirikan (mengerjakan) sembahyang serta membelanjakan (mendermakan) sebahagian dari rezeki yang Kami berikan kepada mereka.

Mereka yang bertaqwa tadi juga adalah merupakan orang yang beriman yang meyakini perkara-perkara ghaib yang telah di sebut dalam al Quran dan dibawa oleh nabi Muhammad SAW. Perkara-perkara ghaib ini tetap diyakini sepenuh hati walaupun ianya tidak dapat dilihat dengan mata kasar dan tidak dapat dihuraikan dengan lojik akal mausia. Perkara-perkara ghaib ini ialah apa yang melibatkan rukun iman seperti keimanan kepada kewujudan Allah dan kuasanya yang maha hebat dan juga wujudnya hari alam akhirat sebagai alam pembalasan dan apa sahaja yang terdapat dalam alam tersebut. Sifat orang beriman ini lagi ialah sentiasa mengerjakan solat dengan cara yang paling berkualiti, ikhlas kepada Allah, meliputi rukun, syarat dan adab-adabnya seterusnya solat itu dihayati sebagaimana yang digariskan oleh Allah dan rasulnya. Mereka juga sentiasa membelanjakan hartanya sebagaimana yang telah diperintahkan oleh Allah dan menggunakannya untuk kepentingan Islam dan masyarakat. Mereka ini memandang bahawa semua harta yang dipunyai itu adalah harta Allah dan tidak berhak itu disimpan begitu sahaja bahkan ia mesti digunakan untuk kepentingan Islam dan masyarakat. Sifat mengumpul dan menyimpan harta dan merasa tenang dengan banyaknya harta adalah merupakan bukan sifat orang yang beriman.


[4] وَٱلَّذِينَ يُؤْمِنُونَ بِمَآ أُنزِلَ إِلَيْكَ وَمَآ أُنزِلَ مِن قَبْلِكَ وَبِٱلْءَاخِرَةِ هُمْ يُوقِنُونَ
Dan juga orang-orang yang beriman kepada Kitab "Al-Quran" yang diturunkan kepadamu (Wahai Muhammad), dan Kitab-kitab yang diturunkan dahulu daripadamu, serta mereka yakin akan (adanya) hari akhirat (dengan sepenuhnya).

Mereka yang beriman ini juga amat yakin dengan apa sahaja yang telah diturunkan oleh Allah taala meliputi panduan-panduan dan syariat-syariat termasuk apa yang telah diturunkan kepada nabi-nabi terdahulu. Pada masa yang sama mereka ini amat yakin dengan kewujudan hari akhirat dimana semua manusia yang pernah hidup dimuka bumi akan dikumpulkan, diaudit segala aktiviti mereka di dunia dan dinilai seterusnya diberi ganjaran yang sesuai samaada syurga atau neraka. Kehidupan di Akhirat adalah merupakan kehidupan yang kekal abadi.


[5] أُو۟لَٰٓئِكَ عَلَىٰ هُدًۭى مِّن رَّبِّهِمْ ۖ وَأُو۟لَٰٓئِكَ هُمُ ٱلْمُفْلِحُونَ
Mereka itulah yang tetap mendapat petunjuk dari Tuhan mereka, dan merekalah orang-orang yang berjaya.

Mereka yang beriman dan mempunyai bersikap sebagaimana yang digariskan oleh tadi akan sentiasa mendapat petunjuk dan bimbingan Allah dalam menjalani kehidupannya. Sikap-sikap yang telah dihuraikan tadi adalah merupakan prasyarat untuk mendapat kejayaan yang diiktiraf oleh Allah. Apa yang perlu kita fahami ialah untuk mendapat bimbingan dan hidayah Allah kita mestilah berusaha untuk menerapkan sifat atau sikap yang telah disebutkan oleh Allah dalam ayat-ayat diatas.

Apabila kita melihat ada dikalangan kita yang sentiasa berhati-hati dalam kehidupan mereka dalam membuat sebarang keputusan demi untuk meneliti keselarasan dengan kehendak Allah, Sentiasa menjaga solat dan apa saya yang berkaitan dengannya, Amat pemurah membelanjakan harta mereka demi untuk Islam dan masyarakat dan sentiasa menjadikan kehidupan akhirat sebagai visi kehidupan mereka. Mereka inilah yang telah berada dalam hidayah Allah dan berada dilandasan yang betul. Kita mestilah berusaha untuk merapati dan bergaul dengan mereka bukannya menjauhkan diri dari mereka dengan anggapa mereka ini kolot dan tidak ada wawasan hidup.

Thursday, August 06, 2009

Poligami Bukan Hanya Berkongsi Kasih!

Minggu ini kita di paparkan dengan berita Global Ikhwan Sdn. Bhd telah melancarkan kelab poligami. Objekti utama penubuhan kelab ini adalah sebagai usaha untuk mendedahkan kepada masyarakat bahawa berpoligami adalah sesuatu yang indah dan mengelakkan daripada berlakunya perzinaan.

Apa yang perlu kita ingat ialah poligami adalah merupakan sesuatu yang dibenarkan dalam Islam. Malah ianya di telah disyariatkan sebagai salah satu jalan keluar bagi terhadap masalah yang dihadapi dalam masyarakat. Hikmah pensyariatan poligami sudah banyak dibincangkan oleh pelbagai pihak.


Masyarakat Islam di Malaysia telah menghadapi banyak cabaran yang kadang-kadang dilihat semakin mencengkam dan buntu cara penyelesaiannya. Masalah Ibu tunggal, Anak dara lanjut usia, anak-anak terbiar, gejala bohjan bohsia dan pelbagai lagi masalah akhlak. Maka banyaklah cadangan cara penyelesaian yang dicadangkan dan dipraktikkan tetapi malangnya ianya tidak merawat keadaan.


Persatuan Ibu tunggal, kempen perempuan berdikari yang intinya berkisar pada perempuna boleh hidup tanpa lelaki dan lebih malang lagi kempen prejudis yang banyak meletakkan masalah kepada kaum lelaki. Memanglah diakui di zaman amat ramai kaum lelaki yang tidak bertanggungjawab malah kadang kala orang bergama pun boleh disangsikan sikap mereka berdasarkan apa yang berlaku.


Sebagai renugan yang perlu kita perhalusi ialah setiap masalah yang timbul diatas muka bumi ialah hasil daripada sikap dan perbuatan manusia sendiri. Inilah aqidah yang mesti kita pegang. Masalah yang dihadapi oleh umat Islam sekarang adalah merupakan hasil daripada penyimpangan kehidupan kita yang jauh dari mengambil panduan Allah.


Masalah sosial yang meruncing dalam masyarakat Islam sekarang mungkin boleh diselesaikan dengan cara poligami yang telah dikemukakan oleh Allah dalam al Quran. Masalah ibu tunggal dan ardartu contohnya tidak mudah diselesaikan dengan hanya motivasi dan bimbingan berdikari. Sejauh mana penyelesaian ini memberi kesan kerana ianya tidak selari dengan fitrah kejadian manusia yang diciptakan oleh Allah mempunyai dua jantina yang saling memerlukan antara satu sama lain.


Seorang wanita diciptakan oleh Allah mempunyai kelebihan tersendiri dan disana juga ada kekurangan yang booleh dilengkapi oleh seorang lelaki. Seorang ibu tunggal memerlukan peranan seorang lelaki dalam menguruskan rumah tangga dan anak-anak. Memang ada yang membawa contoh bahawa ramai ibu tunggal berjaya mengemudi keluarga tanpa kehadiran lelaki, tetapi berapa kerat? Adakah ianya meliputi semua ibu tunggal. Tidak semua ibu tunggal mempunyai kekuatan dan semangat seperti itu.


Begitu juga dengan masalah andartu yang dilihat semakin subur dan biasanya penyelesaian yang diberikan ialah bersabar atas ujian yaang diberikan oleh Allah. Status andartu adalah ujian dan hati berusaha dilunakkan dengan ayat-ayat al Quran kesabaran, pengajaran-pengajaran sunnah. Tetapi ianya tidak memberi penawar kepada semuanya.


Apa yang lebih pelik kita lihat wujudnya kempen perempuan berdikari yang membawa fahaman hidup lebih indah tanpa lelaki dan punca kebahagian ialah kerjaya dan harta. Adakah ini bersesuaian dengan fitrah kejadian manusia?


Marilah kita sama-sama merendahkan diri kepada Allah dan melihat kepada panduan Allah tanpa prejudis dengan cuba mencari positif kepada poligami yang telah dicadangkan oleh Allah sebagai jalan keluar.


Apa salahnya kita mengenepikan kepentingan diri dengan berkongsi kasih sayang dengan orang lain yang memerlukan. Apa salahnya kita berkongsi keperluan yang telah kita perolehi dari seorang lelaki dengan saudara seislam kita yang lain. Cuba kita renungkan bagaimana perasaan seorang ibu tunggal yang kebuntuan mengurus rumah tangga kerana kematian suami dan tiba-tiba datang seorang lelaki menawarkan bantuan perlindungan emosi, rohani dan kewangan. Ramai lelaki yang diberikan nikmat harta dan kekayaan. Adakah harta itu untuk dirinya dan isterinya yang satu itu sahaja. Kenapa tidak dikongsikan dengan ibu-ibu tunggal yang memerlukan? Kekayaannya itu boleh membantunya mengurus rumah tangga dan kebajikan anak-anaknya yang yatim. Atau kita rasa sudah memadai dengan bantuan RM100 atau RM1000 untuk kehidupan mereka sepanjang hayat?


Ketepikan prejudis dan sangka buruk! Seterusnya jika lelaki tersebut mengurus rumahtangganya sebagaimana garis panduan yang diberikan oleh Allah. Alangkah indahnya.


Andartu juga boleh dikurangkan jika akhlak Islam di hayati iaitu “mengambil berat tentang masalah yang dihadapi oleh sesama Islam” dan sanggup mengenepikan kepentingan peribadi demi kepentingan sejagat. Kita mestilah mendidik jiwa kita berkongsi kasih dengan orang lain kerana kasih manusia bukan hakiki yang abadi adalah kasih Allah taala. Jikalau kesedaran ini dapat dipupuk pastinya tidak akan timbul lambakan andartu. Malah kita sepatutnya gembira kerana semua umat Islam dapat merasai nikmat kasih sayang ini walaupun terpaksa berkongsi.


Berkongsi kasih sayang ini adalah merupakan satu ujian yang telah diberikan oleh Allah kepada kita semua yang amat susah untuk diamalkan. Walaupun ada diantara kita yang amat bersemangat ingin memperjuangkan Islam malah sentiasa melaungkan slogan ‘Islam adalah penyelesaian’ tetapi jika di utarakan isu ini akan terus menikus dan menyepi.


Kita melaungkan hadis Rasulullah ‘tidak akan masuk syurga jika seseorang itu dapat tidur sedangkan jirannya sedang kebuluran’. Tetapi kita boleh tidur senyum bangga sedangkan saudara seislam kebulur kasih sayang malah kita melenting bila mereka yang kebuluran tadi menyimpang mencari kasih yang hilang. Lalu di kuliahkan pula dengan tajuk ujian dan kesabaran atau langsung dihukum dengan kata-kata yang memedihkan hati dan jiwa!. Itukan akhlak Islam?


Ya.. kita mesti akui bahawa kitalah yang menyebabkan kebobrokan masalah masyarakat dan kita cuba selesaikannya dengan emosi bukannya dengan bimbingan Allah tuhan yang mencinta manusia dan seluruh alam. Semoga kita semua diberkati Allah.

Wednesday, August 05, 2009

Umat Islam tak Berminat menjadi Khalifah!



Kuliah maghrib malam tadi di D’Rimba berkisar kepada Pesanan Allah dari Surah al A’raf ayat 54.



Sesungguhnya Tuhan kamu ialah Allah yang Telah menciptakan langit dan bumi dalam enam masa, lalu dia bersemayam di atas 'Arsy. dia menutupkan malam kepada siang yang mengikutinya dengan cepat, dan (diciptakan-Nya pula) matahari, bulan dan bintang-bintang (masing-masing) tunduk kepada perintah-Nya. Ingatlah, menciptakan dan memerintah hanyalah hak Allah. Maha Suci Allah, Tuhan semesta alam.


Di dalam ayat ini Allah Taala bercerita tentang diri dan kehebatannya. Allah, tuhan kepada manusia juga telah mencipta langit dan bumi melelui enam peringkat yang utama. Kemudian apabila semuanya sudah siap dan selesai Allah telah memulakan perjalanan alam ini lalu berlakulah fenomena malam dan siang dengan lancar tanpa sebarang masalah. Allah juga telah mencipta Matahari, bulan dan bintang-bintang yang mana makhluk ini semua berjalan mengikut program yang telah ditetapkan oleh Allah. Lihatlah! Semua kejadian yang wujud di alam maya ini adalah ciptaan Allah dan dialah telah memprogramkan yang mewujudkan sistem perjalanannya. Maha suci, maha hebat Allah tuhan yang mengurus seluruh alam maya ini.


Masalah yang menimpa kita umat Islam sekarang ialah tidak mampu berfikir dan tidak ada kemahuan untuk berfikir. Lebih-lebih lagi berfikir tentang perkara yang bersifat berat dan kompleks seperti tentang ilmu astronomi. Pemikiran dalam bidang ini diserah kepada mereka yang kita katakan sebagai orang kafir yang dilaknat oleh Allah taala. Malah ada sesetengah dari kalangan kita menyifatkan bahawa pengajian ilmu astronomi ini adalah bidang keduniaan yang merugikan masa kita yang lebih baik diperuntukkan untuk mendalami agama Islam. Adakah kita tidak sedar bahawa ayat 54 surah al A’raf ini memberi panduan kepada kita bahawa cara untuk mengenal Allah dan memahami kekuasaanya ialah dengan berusaha memahami kejadian langit, bumi, fenomena kejadian malam dan siang, matahari, bulan dan bintang-bintang.


Allah ingin menggambarkan kepada kita bawa semua unsur-unsur alam yang besar dan hebat itu adalah ciptaannya dan ianya di jalankan atau di operasikan atau di “running” kan dengan menggunakan perisian atau program yang telah ditetapkan oleh Allah. Bumi, langit, matahari, bulan dan bintang-bintang ini tidak sekali-kali akan berkeluar dari arahan yang telah diprogramkan. Lihatlah semuanya bergerak tepat pada masanya. Pergerakan bumi, matahari, bulan dan bintang ini boleh dikaji sehinggakan boleh dibuat jadual pergerakannya tanpa ragu lagi. Bagaimana kita boleh mengukur masa? Kerana matahari sentiasa patuh pada program Allah. Hanya dengan sedikit kefahaman tentang sistem inilah yang membolehkan NASA menghantar misi ke angkasa lepas! Setelit-setelit baoleh dilancarkan dan diatur sebegitu rupa untuk mengurus kehidupan manusia.


Bayangkan kalau matahari engkar pada program Allah, memancar cahaya lebih sedikit dari program asalnya necaya kita semua akan mati terbaakar atau dia mengurangkan sedikit bakaranya pastinya suhu dunia jatuh dan kita semua mati beku!


Begitu juga bumi, kalau berperangai seperti manusia yang selalu engkar, tak menepati masa dengan perusing agak lambat dari program asal. Bagaimana manusia nak mulakan kehidupan kerana jam 8 pagi masih gelap atau bumi melambatkan sedikit peredarannya mengelilingi matahari bagaimana kita nak mengira bulan dan tahun? Mungkin akan berlaku setahun 430 hari atau 500 hari bebeza setiap tahun. Tidak dapat kita bayangkan bagaimana huru haranya kehidupan manusia jika langit, bumi, matahari, bulan dan bintang ini tidak mengikut program yang ditetapkan oleh Allah. Hakikatnya ialah mereka ini semua akan patuh pada program Allah ini sehingga hari kiamat tidak perlu kita gusarkan.


Apa yang patut gusar ialah kenapa manusia, makhluk yang kecil lagi hina ini begitu sombong tidak mahu mengkut program yang telah ditetapkan oleh Allah dalam menjalani kehidupan di atas muka bumi ini. Allah telah tetapkan program bahawa manusia mesti solat 5 kali sehari pada waktu tertentu. Adakah ia dipatuhi? Allah telah menetapkan batasan halal dan haram, boleh buat dan tidak boleh. Manusia hanya memandang sepi sahaja.


Masalah yang berlaku disekeliling kita ini adalah hasil daripada pelanggaran sistem dan program yang telah ditetapkan oleh Allah. Semua program dan sistem ini telah dijelas dan diterangkan di dalam al Quraan yang diturunkan oleh Allah kepada kita semua. Program dan sistem kehidupan ini boleh difahami dengan lebih jelas lagi dengan mengkaji kejadian langit, bumi, bulan, bintang dan sebagainya.


Kita umat Islam gagal dalam menerajui kehidupan diatas muka bumi ini sedangkan inilah tanggungjawab kita sebagai khalifah. Sebab utama yang kita boleh rumuskan di sini ialah kita tidak menggunakan akal kita dalam memahami selok belok kejadian alam dan memanfaatnya dalam kehidupan. Secara lebih mudah boleh dirumuskan bahawa ilmu astronomi, geologi, boilogi dan semua jenis disiplin ilmu yang ada di dunia ini adalah merupakan ilmu Allah yang wajib kita tekuni sebagai hamba Allah dan khalifah.


Menyampingkan ilmu-ilmu ini kerana menganggap ilmu agama lebih utama lalu membiarkan mereka yang kufur menekuni dan meneladaninya telah menyebabkan secara tidak langsung kita telah menyerahkan tugas khalifah kepada mereka-mereka yang tidak mengenal Allah. Kita hanya lebih senang menghafal-hafal ayat-ayat suci dan menyelidiki barakahnya daripada mengerahkan akal fikiran mencungkil rahsia disebaliknya. Apakah jawapan yang kita akan berikan kepada Allah diakhirat nanti kerana mengabaikan amanah yang telah berikan kepada kita ini.


Ingatlah bahawa kehidupan di dunia ini semua mengikut program dan sistem yang telah ditetapkan oleh Allah. Sesiapa rajin dia akan berjaya sesiapa yang malas dia akan gagal itulah hidup dunia. Hanyak di akhirat nanti layanan akan berbeza diantara mukmin dan engkar.. Marilah sama-sama kita berubah…….



Cuba perhatikan apa saiz bumi jika dibandingkan dengan objek lain di alam Maya ini


Jadi tidak pelik bahawa Allah memandang bumi sebagai tidak ada nilai padanya