Tuesday, August 11, 2009

Buta al Quran


Nancy! Sekarang giliran kamu, sila baca surah al Fiil!”


Nancy hanya tunduk tanpa bersuara.


“Tak mengapa, boleh lihat al Quraan kalau tak ingat”


Nancy masih membatukan diri. Rakan-rakan sekelas semunya berpandangan sesama sendiri. Memang sudah menjadi kaedah pengajaran saya bagi pelajar KPLI perlu mambaca ayat-ayat lazim dan menghafalnya untuk menjadi asas bacaan solat.


“Kamu uzur ke Nancy?”

“Tidak”


Juga telah menjadi amalan saya setiap pelajar mesti membaca al Quraan walaupun perempuan yang keuzuran dengan mengambil kira pandangan-pandangan ulamak. Masa yang diperuntukkan untuk mendidik bakal guru agar menjadi muslim yang sempurna hanya 2 jam seminggu. Pandangan ini terpaksa diambil apabila dilaraskan dengan kepentingan semasa, lagi pun ianya hukum fikah yang masih terbuka untuk perbincangan.


Seorang pelajar perempuan menghulurkan al Quran yang sudah tertera Surah al Fiil. Si gadis manis Nancy bakal guru ini masih diam.

Nancy! Apa masalah kamu?”


Dia mengangkat muka sambil mengesat air matanya. Rupanya dia menangis.


“Saya tak pandai baca al Quraan. Langsung tak boleh baca. Saya malu ustaz”

Nancy sudah mula sebak dan mula teresak-esak.


Saya hanya mampu menarik nafas panjang. Rakan-rakan sekelas semua tunduk. Saya hanya mampu berkata:

Allah telah menganugerahkan akal fikiran dan kebijaksanaan kepada kita, Allah akan menyoal kita di akhirat nanti kenapa kita tidak mampu untuk membaca ayat-ayatnya sedangkan kita berjaya menggunakan akal kita untuk membaca pelbagai bahan bacaan lain dan berjaya mencapai kejayaan di dunia ini”


Ya, Nancy si gadis manis bakal guru ini berumur 28 tahun mendapat ijazah Sarjana Muda dari sebuah Universiti di Malaysia tetapi malangnya tidak mampu untuk membaca al Quraan malah boleh digelar buta al Quraan kerana masih tidak mengenal beberapa huruf al Quraan. Dia yang lahir dari keluarga Islam, hidup dengan masyarakat Islam tetapi islam masih jauh dari jiwanya.


Dia amat menyesal dan ingin berubah. Nasihat saya kepadanya :

Kamu tidak boleh mengubah diri kamu dengan hanya menangis, bermula hari ini buat perubahan pada diri kamu. Anggaplah diri kamu sangat hina selagi kamu tidak mampu untuk membaca al Quraan. Apa jawapan yang kamu akan berikan kepada Allah di Akhirat nanti jika kamu mengadapnya dengan keadaan masih tidak mampu untuk menutur kalimah suci sedangkan berjaya menggunakan akal anugerah Allah untuk mendapat Ijazah!”


Saya telah memberi tanggungjawab kepada seorang rakan sekelasnya untuk mengajarnya membaca al Quraan dengan menggunakan kaedah Iqra yang telah dibekalkan. Saya tetapkannya agar dapat mencari ruang dalam kesibukan tugas harian untuk mempelajari al Quraan ini sebanyak 3 kali sehari.


Di dalam kita sibuk membasmi buta huruf, nun masih ada disana umat Islam yang masih buta al Quran. Masih ramai yang tak mengenal huruf walaupun sudah dewasa dan mendapat Ijazah. Setiap tahun saya akan berhadapan dengan 2 atau 3 kes sebegini. Ini bakal guru sudah tinggi pencapaian akademik dan pemikirannnya. Bagaimana dengan masyarakat Islam diluar sana?


Kita sebagai hamba Allah perlulah mencari jalan keluar untuk menyelesaikan masalah ini. Walaupun sudah banyak perancangan sudah dilaksanakan terutama projek j-QAF yang memberi tumpuan kepada pelajar-pelajar sekolah, bagaimana dengan dengan golongan remaja dan dewasa yang sudah melepasi alam pendidikan. Apa yang kita boleh lakukan?



*Nancy adalah nama samaran bagi nama sebenar yang amat indah

4 comments:

Noorsyahida said...

salam alayk ustaz..
rasanya, bukan seorang dua sahaja mengalami 'buta AQ' ni, tapi masih ramai lagi umat Islam Malaysia khususnya.. intitusi pendidikan memang perlu memainkan peranan yang penting.. namun, sokongan dari ibu bapa dalam praktikal di rumah sangat berkurangan.. benarlah, kita boleh mendidik anak-anak menerusi j-QAF, tapi untuk si dewasa?
alangkah indahnya jika semua guru bersifat murabbi... mendidik merentasi subjek....

abamuaz said...

Ya.. Kita perlu berusaha menggarap dakwah bersepadu..

Unknown said...

Saya juga buta al-Quran.
Boleh membaca tapi tidak memahami dan menghayati maksudnya melainkan terpaksa menggunakan tafsir..

Ayuh, gerakkan sesuatu utk tujuan ini..

abamuaz said...

Memang tidak dinafikan ramai umat Islam sudah celik dalam pembacaan al Quran tetapi masih buta dalam memahaminya... Mari kita sama2 kerahkan idea kita bagaimana al quraan ini berjaya mengetuk pintu hati kita semua