Thursday, May 06, 2010

Meyakini Alam Ghaib Satu Kemestian!

Teras utama aqidah Islam ialah yakin kepada alam ghaib. Alam ghaib adalah alam yang tidak dapat dilihat, dirasai di tanggap oleh akal fikiran manusia. Apabila disebut tentang alam ghaib akan tergambar dalam kotak pemikiran masyarakat kita ialah alam jin dan syaitan atau alam makhluk halus dan bunian.

Keyakinan kepada alam ghaib ini adalah merupakan syarat utama yang ditetapkan oleh Allah untuk melayakkan seseorang mendapat pangkat taqwa. Ini di tegaskan oleh Allah dalam surah al-Baqarah ayat ke 3 dan beberapa tempat dalam ayat yang lain. Rukun Iman itu sendiri adalah merupakan keseluruhnya melibatkan keyakinan kepada alam ghaib.

Keimanan seseorang muslim mestilah berteraskan keyakinan kepada unsur-unsur ghaib seperti meyakini kewujudan Allah dengan segala kehebatan dan kebesarannya. Allah tidak boleh dilihat dan tidak boleh di gambarkan keadaan sifatnya oleh akal manusia. Begitu juga keyakinan wujudnya malaikat yang diciptakan oleh Allah untuk menjalankan tugas-tugas tertentu. Kewujudan malaikat ini tidak pernah dilihat oleh manusia melainkan ketika menyerupai bentuk manusia dalam peristiwa tertentu yang amat jarang berlaku. Malah ia tidak pernah dapat dibukti kewujudannya dengan melalui kajian emperikal sains.

Setiap muslim wajib yakin kepada panduan Allah yang diturunkan oleh Allah secara bertulis atau bentuk lisan yang kemudiannya di tulis. Walaupun panduan Allah ini dapat didengari dengan telinga dan dapat dibaca dengan menggunakan penglihatan tetapi kepercayaan kepada kebenarannya adalah dari Allah itu yang menuntut keyakinan yang tidak berbelah bagi. Panduan ini wajib digunapakai dalam pengurusan harian kehidupan manusia.

Keyakinan kepada wujudnya utusan Allah di dunia ini yang dinamakan sebagai rasul adalah merupakan perkara ghaib yang ke empat perlu di yakini. Bahkan keyakinan kepada utusan Allah ini adalah penentu kepada keimanan dan keislaman seseorang. Wakil Allah yang hanya dari kalangan manusia biasa dan kriteria dan watikah perlantikannya adalah ditetapkan oleh Allah. Tugas utusan ini adalah untuk menyampaikan hasrat Allah kepada manusia dan menerangkan kedudukan sebenar kehidupan manusia yang akan berakhir di alam akhirat.

Semua utusan Allah membawa misi yang sama iaitu wajib mendaulatkan Allah dalam semua urusan kehidupan dan bersedia untuk hari akhirat sebagai tempat sebenar kehidupan manusia. Hari akhirat inilah alam sebenar untuk manusia hidup. Kehidupan di sana akan ditetapkan berdasarkan merit yang telah dicapai oleh manusia dalam tempoh ujian pendek kehidupan di dunia. Bagi mereka yang telah mematuhi arahan dan panduan (al-Quran) dalam menghadapi ujian akan mendapat merit yang tinggi melayakkan mereka mendapat ganjaran syurga iaitu kehidupan abadi yang penuh nikmat. Tetapi malang bagi mereka yang tidak mematuhi panduan dan arahan ujian, sudah tentu jawapan dan praktikal mereka tidak selaras dengan kehendak sebenar ujian. Mana mungkin seseorang itu boleh lulus dan mendapat merit yang tinggi jika secara jelas dan terang melanggar arahan soalan! Kegagalan ini akan mendapat hukuman yang berat di akhirat dengan mendapat azab neraka yang berkekalan.

Perkara ghaib yang terakhir ialah keyakinan kepada qada’ dan qadar yang telah ditetapkan oleh Allah dalam pengurusan alam ini. Projek alam semesta dan kehidupan manusia ini adalah merupakan projek yang maha besar dijalankan oleh Allah dengan perancangan yang teliti. Semua ini mempunyai sistem sendiri yang telah ditetapkan oleh Allah. Ini lah yang dinamakan fitrah kejadian dan Allah tidak sesekali dengan mengubah sistem alam semesta. Allah telah menetapkan perjalanan alam semesta ini dan seluruh kehidupan di dalamnya berdasarkan program yang telah siap ditetapkan. Ini telah termaktub di pusat pentadbiran alam semesta di lauh Mahfuz. Cuma setiap muslim mesti yakin bahawa ketetapan Allah ini terbahagi kepada dua bahagian. Ada yang langsung tidak boleh diubah oleh manusia dan yang kedua diberi peluang kepada manusia untuk memilih dan berusaha. Pilihan dan usaha ini mestilah berdasarkan kepada ketetapan asas yang pertama tadi. Sebagai contoh yang mudah ialah begini. Allah telah menetapkan badan memerlukan makanan dan minuman atau unsur yang berkaitan dengannya untuk mendapat tenaga. Manusia di beri pilihan untuk makan atau tidak. Jika tidak makan bererti tiada tenaga. Tetapi perlu diingatkan pilihan ini juga memerlukan izin Allah berdasarkan kebijaksanaan Allah. Banyak tempat dalam al-Quran Allah menyebut bahawa keimanan dan kekufuran adalah pilihan manusia sendiri begitu juga dengan syurga dan neraka. Cuma syarat untuk mendapat keimanan dan syurga itu adalah ketetapan yang perlu dipatuhi. Ingatlah bahawa Allah itu maha adil. Jika manusia telah memenuhi syarat atau ketetapan untuk mendapat keimanan, pasti Allah memberinya. Tetapi malangnya konsep qadar qadar inilah yang tidak difahami oleh manusia malah mereka tidak berusaha untuk cuba memahami.

Agama Islam adalah agama fitrah yang telah disediakah oleh pencipta alam semesta. Akal manusia tidak mampu untuk berfikir lebih dari kemampuan yang telah ditetapkan oleh Allah jauh sekali untuk mencapai tahap kebijaksanaan Allah taala. Memahami konsep kehidupan ini adalah merupakan pemahaman kepada alam ghaib itu sendiri yang menjadi teras utama kehidupan manusia. Alam ghaib ini hanya boleh difahami dengan betul melainkan melalui panduan yang telah dibekalkan oleh pencipta alam semesta ini.

Fahami alam ghaib sebelum terlambat! Berusahalah! Tentukan pilihan anda sebelum terlambat. Tempoh ujian sedang berjalan dan masanya akan tamat bila-bila masa!

Wednesday, May 05, 2010

Pengabaian Undang-undang dibimbing sejak kecil?


Kita amat bersimpati dengan apa yang berlaku kepada remaja yang mati tertembak kerana kesilapan pihak polis dalam menjalankan tugas. Polis dilihat telah melanggar etika kerja dan tidak mematuhi prosedur penggunaan senjata api (SOP) sehingga menyebab kematian secara salah. Masyarakat umum dilihat lebih menyalahkan pihak polis dalam hal ini dan mungkin terlupa beberapa aspek lain yang juga menjadi pencetus kepada peristiwa tersebut.

Sebenarnya kita perlu melihat secara adil untuk mengadili sesuatu kes agar semua pihak mendapat keadilan dan tindakan yang diambil dapat menyelesaikan masalah dan juga membendung punca masalah tersebut.

Melihat kepada masyarakat Malaysia umumnya dan juga masyarakat Melayu Islam secara khusus kita dapat melihat peranan ibu bapa dalam menjalankan tanggungjawab sosial amat menyedihkan. Ibu bapa Masyarakat Melayu Islam kurang mengambil berat tentang bimbingan nilai Islam dan moral kepada anak-anak.

Anak-anak kecil telah tidak dibimbing untuk mematuhi peraturan dan undang-undang. Ibu bapa membenarkan anak-anak menaiki motosikal tanpa lesen, Bahkan kadang-kadang mendapat galakan ibu bapa dengan alasan agar dapat berdikari. Umur 16 tahun yang telah ditetapkan oleh kerajaan untuk memiliki lesen adalah sesuai agar seseroang pemandu itu dapat mengendalikan motosikal dengan baik tanpa membahayakan diri sendiri dan orang lain. Apa yang menyedihkan lagi ialah penggunaan topi keledar juga diabaikan. Sudah menjadi kebiasaan kita melihat remaja-remaja tidak memakai topi keledar ketika menunggang motosikal. Ibu bapa tak ambil tahu apatah lagi memberi nasihat. Kalau dipakai pun hanya kerana bimbang di saman polis bukannya untuk keselamatan nyawa.

Begitu juga dengan pemanduan kereta yang telah dihadkan umur 18 tahun sebagai layak untuk memandu. Berapa ramai ibu bapa yang mematuhi undang-undang ini? Kita melihat amat ramai remaja-remaja kita dibenarkan oleh ibu bapa belajar memandu sebelum mencapai tahap umur yang sebenar. Adakah kita merasa bahawa undang-undang sedia ada menyusahkan kita? Langsung kita mengabaikannya dan pada masa yang sama secara tidak sedar membimbing anak kita mengengkari undang-undang!

Sesuatu yang agak menyedihkan dalam budaya masyarakat Melayu Islam kita ialah kebebasan anak-anak remaja untuk keluar pada waktu malam. Budaya ini seoalah sudah diterima ramai dan tidak menjadi kesalahan lagi. Remaja lelaki dan perempuan bebas keluar waktu malam untuk melakukan aktiviti mereka dengan sesiapa sahaja tanpa dipersoalkan oleh ibu bapa. Malah kadang-kadang segelintir ibu bapa menganggap kebebasan itu adalah tanda kasih mereka kepada anak-anak! Di Barat, ibu bapa yang membenarkan anak-anak di bawah umur 18 tahun keluar selepas jam 10 malam akan di denda dan diberi kaunseling, kenapa tidak di Malaysia?

Islam sebagai agama yang memberi panduan kehidupan telah menggariskan dengan jelas aspek ini. Istilah mumayyiz dan baligh adalah sempadan umur untuk menetapkan tanggungjawab dan hukum. Sempadan umur ini bukan semata-semata melibatkan hukum fekah bahkan juga dalam melibatkan soal sosial dan perundangan. Justeru, penetapan had umur dalam soal kelayakan memandu kenderaan juga adalah berdasarkan hukum hakam yang melibatkan halal dan haram. Masakan tidak? Kenderaan yang dikendali oleh mereka yang tidak layak sememangnya membahayakan nyawa pemandu dan juga nyawa orang lain. Menjaga nyawa adalah merupakan teras asas agama Islam itu sendiri.

Begitu juga soal tanggungjawab ibu bapa mendidik anak-anak mematuhi peraturan dan undang-undang. Islam menganjurkan anak-anak dididik mematuhi peraturan dan undang-undang seawal tujuh tahun dan mesti dikenakan tindakan apabila pelanggaran peraturan jika berumur sepuluh. Walaupun sempadan umur tersebut melibatkan solat, tetapi ia melibatkan sikap dan disiplin individu. Allah telah menegaskan bahawa solat itu boleh mencegah pelanggaran peraturan dan undang-undang. Fahsya’ dan mungkar ialah pelanggaran peraturan dan undang-undang Allah dan khalifah pengurus kehidupan manusia.

Allah telah menetapkan malam adalah untuk berehat dan bersama bersama keluarga. Dalam surah al-naba; Allah menyebut Allah telah menciptakan waktu siang yang cerah itu untuk manusia menjalankan kehidupan dan malam itu dibaratkan pakaian memberi maksud untuk berehat dan diam bersama keluarga. Tetapi manusia merasa lebih bijak dan memilih untuk mengubah fitrah kejadian Allah. Waktu malam juga mahu dijadikan kehidupan. Ramai bebas keluar begitu sahaja malah anak-anak remaja pun di biarkan untuk keluar mencari kehidupan di malam hari bersama-kawan yang belum tentu fi’il perangainya.

Pelanggaran manhaj kehidupan inilah antara penyebab keboborokan yang berlaku dalam masyarakat kita. Gejalam arak, zina, judi, rempit, ragut, pecah rumah, samun, buang anak dan sebagainya adalah merupakan implikasi kepada pelanggaran kepada fitrah agama Islam itu sendiri. Inilah juga mungkin faktor penyebab peristiwa yang berlaku di Shah Alam itu.

Apa yang menyedihkan kita ialah pelanggaran kepada fitrah kehidupan dan kegagalan memahami al-Din sebagai cara hidup ini juga bukan hanya melanda masyarakat awam, bahkan ia juga secara tidak sedar melanda golongan pejuang Islam. Masih ada yang mengatakan undang-undang kerajaan sekarang bukan undang-undang Islam jadi tidak termasuk dalam soal halal haram. Memandu motosikal dan kereta tak ada lesen, tak pakai topi keledar tak berdosa sebab tidak ada dalam nas dan mana-mana hukum fikh. Tidak kah mendedahkan diri kepada kecederaan dan kematian itu satu dosa? Malah apa hukum mengganggu lalu lintas dan membahayakan keselamatan orang lain?

Jadi tidak hairanlah jika kita melihat pelanggaran kepada undang-undang lalu lintas yang dianggap undang-undang sivil ini amat berleluasa. Malah kita melihat mereka yang berkobar-kobar memperjuangkan syariat Islam itu sendiri dengan rasa tidak berdosa menyokong budaya pelanggaran peraturan dan undang-undang ini. Malah ia menggunakan alasan agama!

Apa pandangan anda?

Friday, April 30, 2010

Kasi lelaki itu!

Cadangan mengkasi lelaki yang tak bertanggungjawab sehingga sanggup membuang anak adalah cadangan yang nakal. Cadangan ini telah dikemukan oleh salah seorang senator Dewan Negara dalam persidangannya kelmarin.

Melihat gelagat manusia kadang-kadang agak melucukan. Apabila ada segolongan bersuara tentang kalam ilahi dan panduan yang telah disediakan pencipta untuk mengatasi masalah manusia, ramai di kalangan pembuat dasar memandang sepi malah mencebik muka. Langsung tidak cuba untuk merenung dan berfikir hikmah disebaliknya. Tetapi pada masa yang sama cuba mencadangkan cadangan yang nakal yang belum tentu boleh merungkai masalah.

Jawapan Menteri Wanita, keluarga dan masyarakat amat baik dan lebih lunak dengan mengatakan bahawa tindakan itu tidak adil kerana tidak semua kaum bapa mengabaikan anak-anak. Malah kecurangan kaum bapa itu sendiri timbul dari penyimpangan masyarakat
kita yang tidak lagi mementingkan tanggungjawab dalam mendidik anak-anak. Sikap penting diri sendiri dan mengejar harta dunia menyebabkan proses mendidik dan memberi kasih sayang kepada anak-anak telah diswastakan kepada pembantu rumah, taman asuhan, sekolah dan masyarakat. Gejala ini sudah menjadi lumrah budaya masyarakat kita tanpa mengira latar belakang kehidupan dan pendidikan.

Penyelesaian lain perlu dicari untuk menyelesaikan masalah hilangnya nilai kemanusiaan di kalangan kita. Tiada siapa yang lebih tahu tentang selok belok ciptaan manusia melainkan Allah Taala. Golongan agamawan yang lebih memahami titah firman Allah ini perlu lebih giat berusaha untuk memberi penerangan dan bimbingan yang sepatutnya. Mereka perlu lebih kedepan dalam memberi cadangan dan jalan penyelesaian bukannya hanya sekadar mengulas, mengkritik, menyindir dan menghukum.


Ambillah langkah proaktif terjun kedalam arus perdana masyarakat. Selami masalah mereka dan fahami cabaran yang merintang. Didik dan bimbinglah keterlanjuran masyarakat. Siramilah mereka dengan hikmah kalam kebesaran Allah dan rahmatnya. Sesungguhnya Allah itu maha pengampun lagi maha pengasih.

Wednesday, April 28, 2010

Resepikan semula Perencah al-Quran

Al-Quran adalah merupakan kitab ajaib yang diturunkan Allah Taala kepada manusia. Wahyu pertama idturunkan kepada nabi kita Muhammad S.A.W adalah merupakan perintah membaca. Menggunakan akal dalam memahami pesanan Allah dan ciptaannya.

Mukjizat (baca:keajaipan) al-Quraan bukan hanya semata keberkatan bacaannya boleh ditiup-tiup pada air untuk dimimum semata-mata. Begitu juga mukjizatnya bukan hanya untuk menghalau hantu syaitan, jin dan sebagainya. Mukjizat al-Quran adalah adalah mukjizat intelektual yang perlu menggunakan akal untuk melihatnya bahkan ia perlu digandingkan dengan akal untuk menzahirkan keajaiban al-Quran itu.

Al-Quraan adalah bahan mentah yang perlu digali, diadun, diproses dengan pelbagai rencah fitrah semulajadi kejadian manusia dengan menggunakan formula ilham akal anugerah Allah akan menyerlahkan al-Quran sebagai kata Allah yang ajaib boleh menyelesaikan segala permasalahan yang dihadapi oleh semua manusia malahan seluruh kehidupan di alam maya ini.

Pandangan yang hanya menekankan kepada pembacaan al-Quraan sekadar lafaz dan hafazan semata-mata dengan sekadar mengharapkan pahala dan keberkatan adalah tidak menepati tujuan sebenar al-Quraan itu diturunkan. Amat banyak ayat-ayat al-Quraan yang menganjurkan penggunaan akal pemikiran dalam memahami dan melaksanakan panduan yang digariskan dalam al-Quran dengan menggunakan perkataan “ya’qilun’ ‘yatadabbarun’ dan sebagainya..

Marilah kita memulakan langkah perubahan dengan belajar al-Quraan untuk memahami dan meneliti isi kandungannya dari hanya semata-mata belajar al-Quraan untuk memperelokkan bacaan tajwid dan tarannum. Semoga dengan cara ini fungsi al-Quran dapat dikembalikan ke tempatnya yang asal.

Monday, April 26, 2010

Ayam pun diberi minum air Yasin!

Ketika membelek akhbar harakah terkini saya terpandang satu iklan jualan air bacaan Yasin. Air ini di jual dalam bentuk beberapa produk berdasarkan nama-nama tertentu yang salah satunya ialah merupakan air zam-zam yang dibacakan dengan Surah Yasin.

Sudah menjadi lumrah masyarakat Islam di Malaysia amat teruja dengan Surah Yasin sehinggakan ianya menjadi bacaan di mana-mana majlis tanpa mengira peristiwa. Jika si kaya ingin membuat kebajikan, mereka akan mecetak surah-surah Yasin dan diedarkan ke masjid dan surau.

Pernah saya menghadiri sesi penerangan salah sebuah Syarikat perniagaan yang cuba membawa wadah Islam di Malaysia. Salah satu usaha mereka ialah membuka ladang ternakan ayam yang betul-betul bercirikan Islam. Di samping memastikan ayam itu dibesarkan dengan makanan dan proses yang terjamin halal, penceramah memberitahu bahawa ayam-ayam itu juga diperdengarkan bacaan yasin malah akan diberi minum air yasin untuk mendapat keberkatan!

Adakah sebegitu sekali tuntutan Islam?

Saya tidak mahu membincangkan tentang kelebihan surah Yasin dengan mengemukakan hujah hadis Rasulullah dan juga pandangan para ulamak tetapi ingin mengemukakan tentang kemurnian sebenar agama Islam itu sendiri.

Allah taala yang maha bijaksana telah menurunkan al-quran kepada nabi Muhammad sebagai panduan kepada semua manusia dalam 114 surah dibahagikan kepada 30 juzuk. Al-Quran adalah mukjizat utama Rasulullah. Al-Quran sebagai mukjizat masih lagi tidak difahami oleh masyarakat Islam secara lebih jelas. Bahasa lebih mudah untuk menggambarkan al-Quran ialah ia adalah buku ajaib yang diturunkan oleh Allah kepada manusia. Semua isinya mengandungi keajaiban bukannya hanya semata-mata surah Yasin.

Kalaulah surah Yasin itu mempunyai kekeramatan dan kehebatan sebagaimana di dakwa kenapa Allah turunkan surah yang lain memadailah surah Yasin sahaja. Apa yang diperhatikan sekarang ialah umat Islam di Malaysia di momokkan dengan kehebatan surah Yasin sehinggakan surah-surah lain dipandang sepi. Ini sebenarnya secara halus
menafikan mukjizat al-Quran itu sendiri malah menafikan kebijaksanaan Allah yang menurunkan al-Quraan sebanyak 114 surah.

Pada pandangan masyarakat Islam di Malaysia, keajaiban al-Quran hanya pada bacaannya yang mendatangkan keberkatan. Paling tidak pun di baca untuk mendapat pahala yang di janjikan oleh Allah satu ayat sepuluh pahala. Ayat-ayat al-Quran hanya dilihat berguna untuk rawatan dan mengalau jin dan iblis. Hal ini tidak hanya membelenggu pemikiran masyarakat awam bahkan juga melanda golongan agamawan yang dilihat masih banyak menggunakan pendekatan al-Quran dari aspek keberkatan semata-mata.

Keadaan ini sebenarnya perlu difikirkan secara serius oleh kita semua untuk mengembalikan Islam balik kepada kedudukannya yang asal. Kita perlu mengambalikan fungsi asal al-Quran yang perlu dibaca untuk difahami dan seterusnya dijadikan asas untuk mencorak kehidupan manusia seluruhnya.

Saturday, April 24, 2010

Agama dan Politik di Hulu Selangor..

Ahamdulillah, saya telah diberika kesempatan oleh Allah taala untuk berkunjung kekawasan pilihanraya kecil P094 parlimen Hulu Selangor pada hari khamis lepas. Saya bersama sahabat saya mengambil peluang meninjau suasana pilhanraya kecil yang dilihat antara pilihanraya yang hangat di Malaysia.

Saya dan sahabat berkesempatan untuk berhenti solat Isyak di salah sebuah masjid yang agak besar terletak ditepi jalan dari Tanjung Malim ke Hulu Selangor. Selepas solat Isyak semasa hendak keluar dari masjid saya mendengar perbualan sebahagian jemaah mengatakan ada ceramah kelompok oleh Pakatan Rakyat di kawasan berdekatan. Saya dan sahabat mengambil kesempatan ini untuk mendengar isu-isu terbaru pilihanraya.

Kami mengambil tempat dikalangan penduduk kampung untuk memenuhi kawasan lapang di tempat ceramah tersebut. Sementara menunggu kehadiran penceramah mengambil tempat saya melihat seseorang memakai jubah berserban berseroangan di suatu sudut. Saya mengambil kesempatan menegurnya kerana perwatakannya yang berlainan dari hadirin yang lain.

Setelah berlangsung sesi perkenalan ringkas saya mengetahui bahawa dia adalah merupakan imam masjid yang kami solat isyak tadi. Patutlah dia memakai jubah dan berserban. Disamping mendegar ceramah saya mengambil kesempatan untuk berbual-bual dengannya.

“Saya dengar cerita ramai pemimpin PR memberi kuliah maghrib dan berkhutbah di masjid dan surau hulu selangor ni. Tak ada masalah ke?” Soal saya..

“Kami orang masjid ni bersifat terbuka. Siapa datang kami akan terima semua. Tak kira pihak kerajaan atau pembangkang”

“Tapi kenapa hanya timbul cerita pembangkang saja yang menggunakan masjid untuk kempen parti”

“Memang ya pun. Sepanjang kempen piliharraya ni saya lihat Pihak PR saja yang menggunakan masjid. Mereka datang untuk solat berjemaah setiap waktu solat. Setakat ni saya tak lihat pun petugas parti kerajaan datang solat kat masjid kami ni, pihak pimpinan pun tak pernah nampak muka”

“Mungkin mereka tak mahucampur urusan agama dengan politik kot” Saya bergurau.

“Hmm.. takkan mereka sibuk berkempen sampai lupa nak mengadap Allah. Tu.. markaz besar parti Kerajaan tak jauh je dari sini.. tak tau la pulak mungkin mereka buat surau kat markas mereka tu.. Prinsip kami sesiapa pun datang tak kira pihak kerajaan atau pembangkang kami layan semua. Kami pun terttunggu juga pemimpin kerajaan singgah solat kat masjid kami ni, boleh kami bagi peluang jadi imam solat, bagi peluang mereka berdoa dan kami aminkan doa mereka. Kami pun teringin juga nak dengar tazkirah atau kuliah agama dari pemimpin kerajaan. Tapi setakat ni tak ada yang singgah. Pemimpin pembangkang boleh dikatakan setiap waktu solat ada yang singgah solat di sini. Inilah peluang kami orang kampung nak dengar kupasan agama yang menarik, setakat ini saya tak nampak sangat ada unsur-unsur politik dalam tazkirah mereka. Semuanya kearah mengingati kebesaran Allah dan bertakwa padanya” Bersemangat imam ini bercerita. Di depan sana Dr Mujahid juga bersemangat bercerita tentang peristiwa di parlimen hari ini .

Mengikut perbualan ringkas dengan beberapa penduduk setempat, saya dapati mereka semua amat gembira dengan pilihanraya ini lebih-lebih lagi berpeluang mendengar khutbah-khutbah yang amat segar dan membina semangat takwa.

“Tak pernah kami dengar khutbah yang begini.. langsung tak mengantuk.. menyentuh jiwa.. berbeza dari khutbah hari-hari biasa”

“Saya rasa kalau setiap minggu umat Islam dikhutbah dengan cara begini umat islam akan berubah”

Itulah antara suara-suara beberapa penduduk kampung sepanjang perbualan saya di beberapa masjid dan surau yang kami singgah untuk solat.

Tapi apakan daya.. bid’ah yang cukup besar masih melanda pemikiran umat Islam di Malaysia.. Agama tak boleh bercampur dengan politik.. hatta waktu kempen pilihanraya pun tak mahu mendekati masjid.. lantaran bimbang mengotori masjid dengan politik yang dikatakan bernajis.. lebih teruk lagi di samping kempen pilihanraya secara halusnya ada yang berkempen agar menjauhi masjid dan surau..

Masya Allah betapa kufurnya mereka dengan Allah..Mungkin bagi Sesetengah mereka Allah ni dipatuhi pada ketika tertentu sahaja, tidak pada masa yang lain. Atau Allah tak perlu sibuk mengambil tahu urusan manusia kerana manusia lebih tahu tentang urusan dunia!..

Semoga Allah ampunkan dosa kita semua dan di beri petunjuk ke jalan yang benar..Amin..