Teras utama aqidah Islam ialah yakin kepada alam ghaib. Alam ghaib adalah alam yang tidak dapat dilihat, dirasai di tanggap oleh akal fikiran manusia. Apabila disebut tentang alam ghaib akan tergambar dalam kotak pemikiran masyarakat kita ialah alam jin dan syaitan atau alam makhluk halus dan bunian.
Keyakinan kepada alam ghaib ini adalah merupakan syarat utama yang ditetapkan oleh Allah untuk melayakkan seseorang mendapat pangkat taqwa. Ini di tegaskan oleh Allah dalam surah al-Baqarah ayat ke 3 dan beberapa tempat dalam ayat yang lain. Rukun Iman itu sendiri adalah merupakan keseluruhnya melibatkan keyakinan kepada alam ghaib.
Keimanan seseorang muslim mestilah berteraskan keyakinan kepada unsur-unsur ghaib seperti meyakini kewujudan Allah dengan segala kehebatan dan kebesarannya. Allah tidak boleh dilihat dan tidak boleh di gambarkan keadaan sifatnya oleh akal manusia. Begitu juga keyakinan wujudnya malaikat yang diciptakan oleh Allah untuk menjalankan tugas-tugas tertentu. Kewujudan malaikat ini tidak pernah dilihat oleh manusia melainkan ketika menyerupai bentuk manusia dalam peristiwa tertentu yang amat jarang berlaku. Malah ia tidak pernah dapat dibukti kewujudannya dengan melalui kajian emperikal sains.
Setiap muslim wajib yakin kepada panduan Allah yang diturunkan oleh Allah secara bertulis atau bentuk lisan yang kemudiannya di tulis. Walaupun panduan Allah ini dapat didengari dengan telinga dan dapat dibaca dengan menggunakan penglihatan tetapi kepercayaan kepada kebenarannya adalah dari Allah itu yang menuntut keyakinan yang tidak berbelah bagi. Panduan ini wajib digunapakai dalam pengurusan harian kehidupan manusia.
Keyakinan kepada wujudnya utusan Allah di dunia ini yang dinamakan sebagai rasul adalah merupakan perkara ghaib yang ke empat perlu di yakini. Bahkan keyakinan kepada utusan Allah ini adalah penentu kepada keimanan dan keislaman seseorang. Wakil Allah yang hanya dari kalangan manusia biasa dan kriteria dan watikah perlantikannya adalah ditetapkan oleh Allah. Tugas utusan ini adalah untuk menyampaikan hasrat Allah kepada manusia dan menerangkan kedudukan sebenar kehidupan manusia yang akan berakhir di alam akhirat.
Semua utusan Allah membawa misi yang sama iaitu wajib mendaulatkan Allah dalam semua urusan kehidupan dan bersedia untuk hari akhirat sebagai tempat sebenar kehidupan manusia. Hari akhirat inilah alam sebenar untuk manusia hidup. Kehidupan di sana akan ditetapkan berdasarkan merit yang telah dicapai oleh manusia dalam tempoh ujian pendek kehidupan di dunia. Bagi mereka yang telah mematuhi arahan dan panduan (al-Quran) dalam menghadapi ujian akan mendapat merit yang tinggi melayakkan mereka mendapat ganjaran syurga iaitu kehidupan abadi yang penuh nikmat. Tetapi malang bagi mereka yang tidak mematuhi panduan dan arahan ujian, sudah tentu jawapan dan praktikal mereka tidak selaras dengan kehendak sebenar ujian. Mana mungkin seseorang itu boleh lulus dan mendapat merit yang tinggi jika secara jelas dan terang melanggar arahan soalan! Kegagalan ini akan mendapat hukuman yang berat di akhirat dengan mendapat azab neraka yang berkekalan.
Perkara ghaib yang terakhir ialah keyakinan kepada qada’ dan qadar yang telah ditetapkan oleh Allah dalam pengurusan alam ini. Projek alam semesta dan kehidupan manusia ini adalah merupakan projek yang maha besar dijalankan oleh Allah dengan perancangan yang teliti. Semua ini mempunyai sistem sendiri yang telah ditetapkan oleh Allah. Ini lah yang dinamakan fitrah kejadian dan Allah tidak sesekali dengan mengubah sistem alam semesta. Allah telah menetapkan perjalanan alam semesta ini dan seluruh kehidupan di dalamnya berdasarkan program yang telah siap ditetapkan. Ini telah termaktub di pusat pentadbiran alam semesta di lauh Mahfuz. Cuma setiap muslim mesti yakin bahawa ketetapan Allah ini terbahagi kepada dua bahagian. Ada yang langsung tidak boleh diubah oleh manusia dan yang kedua diberi peluang kepada manusia untuk memilih dan berusaha. Pilihan dan usaha ini mestilah berdasarkan kepada ketetapan asas yang pertama tadi. Sebagai contoh yang mudah ialah begini. Allah telah menetapkan badan memerlukan makanan dan minuman atau unsur yang berkaitan dengannya untuk mendapat tenaga. Manusia di beri pilihan untuk makan atau tidak. Jika tidak makan bererti tiada tenaga. Tetapi perlu diingatkan pilihan ini juga memerlukan izin Allah berdasarkan kebijaksanaan Allah. Banyak tempat dalam al-Quran Allah menyebut bahawa keimanan dan kekufuran adalah pilihan manusia sendiri begitu juga dengan syurga dan neraka. Cuma syarat untuk mendapat keimanan dan syurga itu adalah ketetapan yang perlu dipatuhi. Ingatlah bahawa Allah itu maha adil. Jika manusia telah memenuhi syarat atau ketetapan untuk mendapat keimanan, pasti Allah memberinya. Tetapi malangnya konsep qadar qadar inilah yang tidak difahami oleh manusia malah mereka tidak berusaha untuk cuba memahami.
Agama Islam adalah agama fitrah yang telah disediakah oleh pencipta alam semesta. Akal manusia tidak mampu untuk berfikir lebih dari kemampuan yang telah ditetapkan oleh Allah jauh sekali untuk mencapai tahap kebijaksanaan Allah taala. Memahami konsep kehidupan ini adalah merupakan pemahaman kepada alam ghaib itu sendiri yang menjadi teras utama kehidupan manusia. Alam ghaib ini hanya boleh difahami dengan betul melainkan melalui panduan yang telah dibekalkan oleh pencipta alam semesta ini.
Fahami alam ghaib sebelum terlambat! Berusahalah! Tentukan pilihan anda sebelum terlambat. Tempoh ujian sedang berjalan dan masanya akan tamat bila-bila masa!
No comments:
Post a Comment